Sabtu, 23 Jun 2012

Rupa-Rupanya Sebab Ini Rafizi Ramli Letak Jawatan


Sambil menafikan tindakannya meletakkan jawatan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor bukan bermakna wujud masalah dengan kepimpinan PKR, Rafizi Ramli menyifatkan dirinya "bukan Superman." Sehubungan itu, Pengarah Strategi PKR ini berkata, beliau mahu memberi tumpuan sepenuhnya ke atas kerja-kerja dan strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibahim merupakan Penasihat Ekonomi Selangor, dilantik lebih dua tahun lalu.
Kata Rafizi, beliau tidak berbalah dengan Anwar atau Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagaimana didakwa dan dianggap oleh sesetengah pihak.

"Kerja saya semakin hari semakin bertambah. Saya bukan 'Superman'. Tidak boleh melakukan dua tiga perkara dalam satu masa.

"Saya boleh melihat beban dan tanggungjawab ini semakin meningkat, dan akan meningkat dalam beberapa minggu akan datang," kata beliau ketika dihubungi dengan merujuk kepada spekulasi mengenai tarikh PRU13.

Rafizi juga menegaskan bahawa jawatan-jawatan lain dalam parti kekal dan akan meneruskan tanggungjawab yang diberikan.

"Kepada mereka yang ragu-ragu, (kononnya) saya akan lompat parti, saya berjanji akan bersunat sekali lagi kalau lompat parti. Patut semua wakil rakyat kena janji macam ini," katanya menerusi satu mesej Twitter tengah malam tadi.

Rafizi menghantar surat meletakkan jawatan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor semalam.

"Saya menghantar notis hari ini (semalam)," kata Rafizi, yang mengumumkan keputusan itu menerusi mesej Twitter sekitar 3 petang semalam.

Dalam mesej Twitternya semalam, beliau berkata, "letak jawatan proses biasa."

"Perlu sedikit rehat, letih buat dua kerja di kerajaan negeri dan parti. Ramadan dah dekat, tumpu ibadah.

"Saya tidak pernah tugas (berkhidmat) lebih dari dua tahun pada satu-satu jawatan. Yang ini dah melebihi dua tahun, masanya untuk terus bergerak. Tidak ada kaitan politik dengan itu," kata pemimpin muda ini yang akhir bulan lalu menyertai Debat Sinar bersama Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Ketika dihubungi malam tadi, Rafizi yang menyandang jawatan itu sejak dua tahun lalu berkata: "Saya sebenarnya telah memutuskan untuk melepaskan jawatan ini akhir tahun lalu."

"Tetapi oleh kerana tarikh PRU13 tidak menentu, saya meneruskan khidmat saya.

"Sekarang kita sudah boleh agak bila PRU13. Saya rasa ini adalah masa yang sesuai, jadi, saya beri notis satu bulan. Cuma ia diumumkan secara kebetulan ketika cetus isu berkaitan Faekah (Husin, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor," katanya.

"Cuma secara kebetulan masanya tidak kena, itu saja. Bagi saya ini tiada kaitan, letak jawatan perkara biasa," kata beliau lagi.

Rafizi dijangka bertanding kerusi Parlimen pada PRU13.

Difahamkan beliau akan mencuba nasib di kawasan Pandan, yang kini disandang oleh bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat. ~
sinarharian

Hasil Bancian Facebook

Hasil Analisa Ibrahim, Zulkefli Paling Dibenci 

Bekas ahli Umno, bekas ahli Berjasa, bekas ahli parti Semangat 46 kemudian bekas ahli Umno Inchek Ibrahim Ali menjadi politikus yang paling dibenci di kalangan rakan Facebook (Fb) saya. Dalam bancian yang dilakukan dua hari lepas seramai kira-kira 116 rakan memberi komen dan 55 menyatakan suka terhadap soalan yang saya kemukakan; siapakah dia politikus yang anda benci.

Dari jumlah itu seramai 37 orang dengan tegas dan berani menyatakan mereka benci atau tidak suka dengan political animal Inchek Ibrahim. Ada yang menyebut nama Ibrahim Ali berkali-kali ini menunjukkan kebencian mereka ke tahap melampau dan tidak boleh dimaaf.
Yang paling dibenci.
Politikus kedua yang dibenci oleh rakan Fb saya ialah ahli Parlimen Kulim - Bandar Baru, Zulkefli Nordin atau nama timang-timbangannya Zulkefli 9/10. Sama seperti Inchek Ibrahim kebencian kepada wakil rakyat ini juga di tahap berapi-rapi apabila ada yang mengulas serta menyenaraikan segala macam dosa-dosa ahli politik tersebut. Ada yang menyebut pembohongan dilakukan wakil rakyat ini tidak terbatas sampai di dalam masjid Haram di Makkah dan di masjid Nabawi di Madinah.

Seramai 23 orang rakan Fb saya yang dengan terang dan berani menyebut nama yang mereka benci ialah Zulkefli Nordin.

Manakala diranting ketiga dibenci ialah bekas presiden Umno yang juga bekas perdana menteri Mahathir Mohamad. Seramai 16 orang menulis dan menyebut mereka tidak suka kepada Mahathir Mohamad.

Lain-lain yang disenaraikan sebagai orang politik yang dibenci ialah Hassan Ali nama timang-timangannya Hassan Akidah. Seramai 11 orang menyebut mereka benci dengan Hassan Akidah.

Sementara dua tokoh nombor satu negara Najib Razak dan Anwar Ibrahim juga turut disenaraikan sebagai orang dibenci. Mereka masing-masing dicemuh dan dibenci oleh lima rakan Fb saya.

Nama-nama lain yang disenaraikan sebagai dibenci ialah Khairy Jamaluddin, Ahmad Maslan, Kapal Singh, Udin anak Yassin, Nazri Aziz, Rais Yatim dan Nala Karuppan.

Ezam Mohd Noor atau senator boy juga turut sama disebut sebagai orang dibenci bersama Noh Omar dan MB Terengganu negeri al-runtuhi Ahmad Said.

Tiada seorang pun pemimpin Pas yang disebut sebagai dibenci kecuali bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa. Seorang rakan Fb mencatat mereka membenci Nasharudin yang dikembarkan dengan Mahathir. 

Seperti mana dijanjikan saya juga mempunyai dua orang politician yang paling saya benci berdasarkan kepada kebinatangan sifat dan sikap politik mereka. Mereka ialah Inchek Ibrahim Ali dan Zulkefli 9/10. Nampaknya pilihan peribadi hampir 70 peratus menyamani apa yang ada di hati rakan-rakan Fb. Kepada semua yang mengambil bahagian sama ada menyenaraikan atau like diucapkan berbanyak terima kasih. 
 

Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah letak jawatan sebagai pengarah (MAS)


KUALA LUMPUR - Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah meletakkan jawatan sebagai pengarah Malaysia Airlines (MAS).

Syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan berkata Wan Azmi mengumumkan bahawa ia tidak mahu dipilih semula sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif syarikat itu di Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 di sini, hari ini.

Susulan keputusan beliau itu, resolusi yang mahu mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi pelantikan semula beliau ditarik balik, kata MAS.

Pengerusi syarikat, Tan Sri Md Nor Md Yusof mengucapkan terima kasih kepada Wan Azmi di atas sumbangan beliau kepada syarikat penerbangan nasional itu sebagai ahli lembaga sejak 9 Ogos tahun lepas.