Jumaat, 26 November 2010

KATA-KATA HIKMAH DARIPADA TOK GURU

" Orang yang bijaksana ialah,apabila dia bercakap pasti akan memberi kesan kepada pendengar. Itulah yang dimaksudkan dengan bijaksana, atau dalam bahasa al – Quran disebut sebagai ‘ al – Hakim ‘ . al – Quran bukanlah manusia,tetapi kalamullah. Walaupun dilihat sebagai tulisan, tetapi ianya terkandung kebijaksanaan, iaitu dengan al –Quran, pembacanya akan terkesan..."

" Kita di Malaysia suka sebut Ketuanan Melayu, sebab Melayu bangsa asal. Tetapi kita lupa bahawa bumi ini adalah kepunyaan Allah.Sepatutnya,kita kena sebut ketuanan Allah...Beginilah cara berfikir orang – orang beriman..."

" Islam ajar kita, apabila manusia selalu diawasi oleh Raqib dan Atid, walaupun ada ibu bapa, guru, ustaz, polis dan askar, ada lagi Allah yang maha mengawasi. Mari kita bersama – sama besar – besarkan kesedaran ini. Inilah cara untuk menangani masalah sosial yang sangat kritikal sekarang ini. Semangatnya ialah, sekalipun polis tiada, Allah tetap ada. Tuhan sentiasa ada dan sentiasa melihat perbuatan kita..."

"Saya takut orang yang diberi gelaran di dunia umpamanya dengan pangkat Yang Amat Berhormat, tahu – tahu di akhirat kelak,gelaran itu menjadi terbalik. Daripada al – Aziz menjadi Yang Amat Hina. Daripada Yang Amat Setia menjadi Yang Amat Derhaka. Daripada Yang Amat Arif menjadi Yang Amat Bebal lagi buta hati. Daripada Yang Amat Berbahagia jadi Yang Amat Berdukacita..."

" Nyawa kita diumpamakan api pelita yang pada bila – bila masa sahaja boleh padam...."

(Petikan dari buku Telaga Budi, hasil karya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat- Menteri Besar Kelantan / Mursyidul Am PAS)

Hak dan Kepentingan Islam dan MelayuTerjamin Tanpa Umno

 

KUALA LUMPUR: Orang-orang Melayu boleh menukar kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 kelak kerana hak-hak mereka terkunci kemas dalam Perlembagaan Malaysia, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Umno tidak relevan malah tidak perlukan sama sekali untuk menjaga kepentingan orang-orang Melayu," tegas beliau.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sudi membuka jalan kepada Pakatan Rakyat (PR) melalui penekanannya tentang hak-hak orang-orang Melayu yang dijamin perlembagaan walau siapa pun yang memerintah, Mahfuz berkata, PAS akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang perkara itu.

"Jaminan di dalam perlembagaan yang dinyatakan oleh Najib dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno Ke-61 itu dengan sendirinya mendedahkan pembohongan dan khurafat Umno untuk menakut-nakutkan orang-orang Melayu kononnya mereka akan hilang kuasa jika parti yang disebut sebagai parti perasuah oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) itu tidak memerintah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Dengan pengakuan Presiden Umno sendiri tentang jaminan dalam perlembagaan itu, Mahfuz yakin orang-orang Melayu tidak akan dapat lagi diperbodohkan oleh Umno yang tidak henti-henti mengugut kononnya mereka akan kehilangan kuasa jika pemerintahan Umno ditamatkan.

"Kita akan menjelajah seluruh negara untuk menggerakkan orang-orang Melayu supaya dengan tegas menyatakan "tidak" kepada penghinaan terhadap mereka.

"Umno menghina orang-orang Melayu melalui tindakan tanpa batasannya memperbodoh-bodohkan mereka semata-mata untuk menyalahgunakan kuasa dan meragut harta kekayaan negara dengan kuasanya sebagai pemerintah.

"Kita akan menyedarkan orang-orang Melayu bahawa hakikatnya mereka tidak ada apa-apa kuasa walaupun hanya sedikit di bawah pemerintahan Umno kerana semua kuasa terpusat di tangan para pemimpin parti yang dikatakan busuk hingga ke usus itu," katanya.

Malah, kata Mahfuz lagi, jika PR memerintah, hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan itu akan diperkukuhkan lagi dengan memberikan apa yang tidak diberikan oleh Umno kini, iaitu siri-siri reformasi yang bersifat institusional (institutional reforms) terutama pembebasan badan kehakiman, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lain-lain pihak yang selama ini disalahgunakan oleh parti yang memerintah.

"Perkara itu telah lama dilaksanakan dalam negara-negara demokrasi yang lain tetapi Umno enggan melaksanakannya dalam negara ini demi kepentingan cengkaman kuasanya," kata beliau.

Dalam ucapannya itu, Najib yang memberikan penjelasan panjang lebar termasuk mengimbas sejarah moden negara dan Kesultanan Melayu Melaka berkata, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezapan kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

“Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa, pindaan terhadap artikel-artikel ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181,” kata Najib.

Sehubungan itu, kata beliau, hal ini, hendaklah diketahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini sama ada tentang kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik.

“Ini kerana dari segi perundangan, peruntukan-peruntukannya sudah pun tersurat dan sekaligus terpateri kemas,” kata Najib lagi.

Kata Najib lagi, seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja Melayu yang dianggotai sembilan Raja Melayu.

Dalam kata lain tegas Najib, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung.

PAS ganti Umno?

MSC 

KUALA LUMPUR, - Buat pertama kali dalam sejarah perhimpunan agong UMNO, Presidennya memberi semangat kepada ahli untuk mempertahankan Putra Jaya.Dengan suara yang lantang dan penuh semangat yang berkobar-kobar Presiden UMNO mengajak seluruh UMNO mempertaruhkan nyawa untuk mempertahankan penguasaan UMNO dan Barisan Nasional di peringkat kerajaan pusat.

Selalunya dalam perhimpunan agong UMNO mereka bercakap soal untuk mensifarkan pembangkang atau menghalang pembangkang menghilangkan 2/3 majoriti di parlimen. Bahang kehilangan kuasa mula dirasai oleh Presiden UMNO dan para perwakilan. Oleh itu, semangat baru perlu ditiupkan kepada ahli UMNO dan kompenan BN untuk memulihkan semangat mereka setelah lesu dan lemah selepas pilihanraya MAC 2008.

Siapa yang akan menerajui kepimpinan dalam Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan jikalau benar-benar berlaku pemindahan kuasa daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat secara umum Anwar Ibrahim diletakkan sebagai tonggak untuk mengepalai kerajaan baru, tetapi tidak salah mana-mana parti politik untuk bersedia menjadi pemimpin kepada kerajaan baru samada daripada PAS ataupu PKR, secara umum sentimen supaya orang melayu kekal sebagai Perdana Menteri walaupun pemrintah bertukar tangan.

Sekiranya PAS dijulang oleh rakyat untuk menjadi peneraju utama kepada kerajaan baru selepas Barisan Nasional, Saya amat berharap PAS tidak mengganti UMNO, mengganti UMNO bererti mewarisi "stail" kepimpinan pembangunan pembinaan kekuatan parti dan hala tuju.

UMNO membina kekuatan mereka semangat perkauman, janganlah PAS membina kekuatan mereka di atas asyobiah agama, sedangkan Islam sebagai "addin". Pas mesti membela kebenaran walaupun datang dari sesiapa dan menolak kemungkaran walaupun datang dari sesiapa. Asyobiah agama mesti di tolak terus, Islam sebagai "addin" mesti dijulang dan dimertabatkan.

UMNO membina harta di antaranya melalui tender runding sesuatu projek melalui wang yang dikumpul itu membina bangunan, menyertai pilihanraya, membiyai perjalan parti. Saya harap PAS tidak mengganti umno dalam membina kewangan seperti melalui tender runding untuk faedah kewangan individu atau kewangan parti untuk membina bangunan, manjalankan perjalan parti atau membiyai pilihanraya. Jikalau kita (PAS) membuat seperti perkara di atas maka kita benar-benar mengganti UMNO, PAS mesti berazam untuk mengikut contoh pemerintahan Khalifah Ar-rasyidin khasnya Umar Ibnu Khattab, yang membina kekuatan baitul mal untuk faedah umum bukan kekuatan individu atau kekuatan puak. Hasil hutan, khazanah bumi, tanah sebarang bentuk tranformasi hasilnya hendaklah pergi ke baitulmal bukan kepada individu, puak atau parti.

Konsep pembinaan kekuatan parti atau jamaah mesti datang dari wang infak atau zakat atau lain-lain sumber yang tidak boleh ditafsirkan sebagai rasuah wang sepatutnya pergi kepada baitulmal (perbendaharaan negara) bukan kepada individu atau parti. Kalau wang transaksi daripada sesuatu projek pemindahan wang itu pergi kepada parti politik pemerintah di benarkan maka pihak pemerintah (PAS) hendaklah memberi habuan kepada semua parti politik yang berdaftar di Malaysia. Dengan ini barulah PAS tidak dianggap mengganti UMNO.

Kita yakin evolusi pemikiran umat Islam dan rakyat Malayisa secara umum tidak mengizinkan monopoli mana-mana parti politik selepas barisan nasioanl-UMNO kehilangan kuasa. Reformasi rakyat akan mengubah dengan segera mana-mana pemerintah yang cuba mengganti peranan UMNO-BN yang kita perlu tonjolkan Islamic Civilisation (Tamadun Islam) bukan asyobiah Islam.

Kalau PAS hendak mengganti tempat UMNO dengan mewarisi tingkah laku umno, biarlah umno terus berkuasa sampai bila-bila. Slogan kita ialah tegakkan tamadun Islam di atas keruntuhan jahiliah.

Ditulis Oleh: Haji Mohamad Sabu

Kerajaan BN : Kerajaan Songsang

1. Alasannya adalah untuk menangani kes pembuangan bayi dikalangan gadis - gadis yang hamil luar nikah mutaakhir ini yang begitu meningkat angkanya malah menakutkan. Tetapi malang , cara penyelesaian yang diambil oleh pihak kerajaan agak ganjil dan songsang apabila menganjurkan pendidikan seks kepada pelajar - pelajar seawal usia memasuki alam persekolahan.

2. Gejala buang bayi bukan berpunca dari kejahilan mereka mengenai seks . Sebaliknya kerana kemaruk seks lah akhirnya mereka tidak sabar - sabar lagi mahu melakukannya[ zina ]  sebelum mereka diijab qabul. Kesannya ialah sesal , takut , malu dan sebagainya lalu mereka mengambil jalan mudah ialah membuang bayi yang mereka lahirkan .

3. Sepatutnya didikan yang mesti diberi kepada pelajar atau remaja ialah bagaimana mahu membina syakhsiah diri yang soleh\ah , bermoral , tahu batas pergaulan , kenal halal dan haram , takut azab Allah , memahami adab berkomunikasi , adab keluar rumah , mengenali kawan dan sahabat , mentaati ibubapa , menghormati guru , tahu batasan aurat dan sebagainya . Bukan diajar mengenai seks ! sebab isunya ialah kes buang bayi bukan implikasi kepada kejahilan mengenai seks tetapi implikasi dari pergaulan bebas , tidak mengenal dosa dan pahala , tidak takut azab Allah , tidak menutup aurat dan tidak pandai memilih kawan atau sahabat .

4. Memang ganjil dan songsang tindakan sedemikian . Saya tidak nafi di dalam Islam pun ada bab dan fasal mengenai pendidikan seks namun ia bukan lah menjadi subjek yang wajar didedah dan diajar kepada pelajar sekolah seawal usia mereka di alam persekolahan . Sebaliknya mereka dididik agar memahami agama dengan baik dan membina peribadi yang soleh\ah. Justeru itulah benteng mereka agar tidak terjerumus ke lembah maksiat dan mungkar yang akhirnya membuntingkan mereka dan meleret pula kepada jenayah buang bayi .

5. Pemikiran songsang ini wajar ditolak . Sebelum ini mereka mahu menubuhkan bank bayi kononnya jua untuk mengatasi kes pembuangan bayi . Mereka juga menubuhkan sekolah mengandung atau wanita hamil atas alasan yang sama . Seketika dulu mereka mempromosikan penggunaan kondom untuk mengatasi isu buang bayi . Semua ini mengarut . Kerana ia tidak menyelesaikan masaalah pokok atau punca sebenar kepada jenayah yang berlaku .

6. Kelihatan seperti mereka mahu melindungi sesuatu , lalu meracau mengemukakan cadangan yang songsang sebegini agar masyarakat tidak fokus pada isu sebenar iaitu zina , maksiat dan mungkar yang lain . Zina seolah - olah tidak menjadi masaalah kepada kerajaan BN . Berkempen menentang zina ialah PAS , Ngo - ngo Islam dan orang perorangan . Pihak kerajaan seperti mahu menggalakkannya .

7. Sebab itu tidak hairan kalau kerajaan songsang ini mencadangkan usaha melonjak ekonomi negara melalui ETP ialah dengan menjadikan malaysia sebagai Hub Hiburan . Kelab - kelab malam yang menjadi pusat berkumpul dan membiaknya kupu - kupu malam , pelacuran , pil extasy , pil kuda dan arak ini mahu terus disuburkan . Selayaknya kerajaan BN serius membasmi pusat maksiat , kempen anti zina , mengenakan undang - undang selayaknya bagi mereka berzina seperti sebat kepada mereka yang belum berkahwin dan rejam sehingga mati bagi mereka yang telah merasai persetubuhan yang halal .

8. Pendidikan dan penguatkuasaan undang - undang mesti berjalan serentak. Sebelum ini banyak pihak antaranya Karpal Singh turut mempersoalkan kelemahan pelaksanaan undang - undang dalam negara kita membuatkan jenayah buang bayi terus berleluasa. lantas mereka mencadangkan agar hukuman mandatori mesti dikenakan ke atas pesalah atau penjenayah buang bayi tersebut . Inipun sebahagian dari pemikiran songsang apabila mencadangkan hukuman berat ke atas penjenayah buang bayi tetapi tidak bersetuju hukuman sebat kepada penzina yang mengakibatkan hamil , lahir dan buang bayi .

9. Songsang juga cara fikir dan cara tindak apabila hukuman mendahului proses pendidikan dan pencegahan  ! Rakyat atau remaja - remaja ini tidak dididik supaya takutkan azab Allah , menutup aurat , menjauhi pergaulan bebas malah mereka juga tidak dicegah dari berpelesaran di pub - pub , kelab - kelab malam sebaliknya digalakkan pula mereka ke arah itu dengan promosi kondom , arak dan konsert hiburan yang meleka dan melalaikan .

10. Saya harap ulama' mesti bangkit menegur kerajaan BN ini . Terutama Ulama' kerajaan seperti mufti - mufti , qadhi - qadhi , imam - imam dan demikian juga Ulama' muda . Sampai bila nak menegur kerajaan secara rahsia dan senyap sedang mungkar dan maksiat ini membingit ke seluruh negara , merosakkan aqal , budi , akhlak dan aqidah mereka ? atau semuanya sudah songsang ? wali'yazubillah . Berilah petunjukMu Ya Allah kepada pemimpin dan ummah yang masih leka dan lalai .

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa agar kerajaan BN mengkaji semula pendekatan yang diambil dalam membawa pendidikan seks ini kepada pelajar sekolah atau batalkan sahaja hasrat tersebut, jika tidak  ianya akan dilihat oleh rakyat tidak lebih sebagai projek mencari keuntungan melalui satu lagi teks pengajian akan dicetak dan diedarkan .

Larangan Allah duduk bersama orang jahat - Surah al-An'am ayat 68-69

Ditulis oleh Presiden PAS

ALLAH berfirman yang bermaksud,“Dan jika engkau dilupakan oleh syaitan.” (Surah al-Aníam: 68) Ertinya jika syaitan menyebabkan kamu lupa untuk menghindarkan diri daripada majlis seumpama itu, kamu dimaafkan kerana sebab lupa. Bagaimanapun Allah berfirman yang bermaksud, “Maka jangan kamu duduk selepas ingat semula bersama kaum yang zalim itu.” (Surah al- An’am: 68)

Selepas kamu ingat akan amaran Allah, maka berkewajipan kepada kamu menghindarkan diri daripada majlis tersebut melainkan mereka tidak lagi bercakap menghina Islam, menghina hukum Allah SWT dan menghina Nabi s.a.w.

Ayat ini mengajar kita umat Islam, menjadi manusia mulia dan sukakan perkara yang mulia. Ia juga termasuk dalam perkara dakwah dan perjuangan.

Bukan sahaja mengajar umat Islam cintakan kemuliaan tetapi mengajar manusia sedar, bahawa orang yangmenghina Islam dan Nabinya s.a.w. adalah manusia yang jahat atau zalim bahkan kufur terhadap Allah SWT

Kemuliaan seseorang terjadi dengan Islam dan iman kepada Allah SWT, satusatunya Tuhan yang sebenar, tidak ada sekutu bagi-Nya.

Walaupun ada manusia menghina ayat-ayat Allah, perjuangan untuk menyampaikannya tetap diteruskan. Sama ada ada atau tidak orang menghina Islam, perjuangan untuk menyampaikan Islam wajib diteruskan di samping menjaga adab-adab pergaulan dengan manusia pelbagai ragam dan majlis mereka yang pelbagai jenis.

Oleh kerana itu Imam Hassan Al-Banna pernah pergi ke kelab malam bertujuan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada penghuninya. Ertinya menghadiri kelab seumpama itu untuk tujuan menyampaikan dakwah Islam, suatu yang dipandang mulia dan diizinkan oleh syarak.

Justeru Islam menetapkan cara bersosial yang selamat daripada fitnah, memberi dukungan kepada kebaikan dan menghapuskan majlis mungkar apabila diberi kuasa memerintah. Inilah sikap kita para pejuang Islam di sepanjang zaman.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, “Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikit pun atas orang-orang yang bertakwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ngejek) itu. Akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingatkan (larangan Allah itu), supaya mereka bertakwa.” (Surah al-An’am: 69)

Berkata Ibnu Abbas r.a. apabila datang larangan Allah supaya tidak duduk bersama majlis kaum musyrikin dan perintah supaya tinggalkan majlis mereka, maka berkata, orang-orang Islam pada zaman Nabi s.a.w.: “Tidak mungkin kami boleh memasuki masjid dan tawaf di sekeliling Kaabah.”

Maka Allah menurunkan ayat yang bermaksud, “Akan tetapi kewajipan orangorang Islam mengingatkan larangan Allah itu.” (Surah al-An’am: 69) Ertinya jika kamu duduk bersama mereka, kamu hendaklah memberi peringatan tentang amaran Allah tersebut, supaya mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam al-Quran.

Ertinya jika kamu duduk bersama mereka, kamu hendaklah memberi peringatan tentang amaran Allah tersebut, supaya mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam al-Quran.

Al-Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat ini dikatakan telah dinasakhkan dengan firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahnya) di dalam kitab (al- Quran), iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan kaum munafik) maka janganlah kamu duduk (bergaul) bersama-sama mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.

“Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahanam.” (Surah al-Nisa’: 140) Dalam sejarah Islam, Allah SWT telah memberi keringanan kepada umat Islam untuk bergaul dengan golongan musyrikin Makkah sebelum pembukaan kota suci tersebut sebagai “taqiyyah” (takut menzahirkan Islam dalam keadaan tertentu).

'AUDIT FINDING' - PAC TUMPU 10 ISU

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan menyiasat 10 masalah membabitkan ratusan juta ringgit dan menjadi antara faktor utama mengapa hutang kerajaan melonjak kepada paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun:
  1. Tindakan Kementerian Pertahanan menggunakan peruntukan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi untuk membeli sistem audio visual, lampu hiasan bernilai RM10,000 dan kerusi sofa berharga RM26,000.
  2. Mengapa kementerian yang sama terpaksa membayar lebih RM800,000.00 untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk projek yang menelan belanja RM1.27 juta.
  3. Mengapa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia mengikat perjanjian dengan pihak ketiga dan sekali gus melanggar syarat bahawa kerajaan persekutuan tidak terikat untuk membayar RM240 juta dalam bentuk bon terbitan LKIM.
  4. Mengapa Kementerian Kewangan tidak menamatkan kontrak sebuah syarikat yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual untuk Pelabuhan Pulau Pinang Sdn Bhd (PPSB), mengakibatkan kosnya naik RM6.71juta. Syarikat itu diberikan kontrak berkenaan tanpa ditender. PPSB kemudian bertindak untuk menambah anggaran kos projek untuk fasa ketiga dari lebih RM400 juta kepada RM600 juta. Dua syarikat kontraktor kemudian dilantik secara terus untuk melaksanakan projek itu untuk RM682 juta.
  5. Mengapa Perbadanan Tabung Pusat Pengajian Tinggi PTPTN member pinjaman berjumlah RM23 juta kepada lebih 6,000 pelajar yang tidak memohon bantuan itu.
  6. Menapa program rawatan haemodialisis Kementerian Kesihatan dibelenggui masalah termasuk pesakit menunggu terlalu lama untuk rawatan, peralatan dan perubatan masih belum diterima walaupun pembayaran sudah dibuat. Malah Kementerian Kesihatan membayar hampir RM300,000.00 kepada Persatuan Haemodialisis Klang namun persatuan itu belum membuka pusat rawatan setakat ini.
  7. Program Makanan Tambahan kepada murid-murid Sekolah (RMT) membekalkan makanan jauh lebih kurang daripada syarat kontrak. Mereka hanya diberikan roti putih dan marjerin dan bukan sandwic sardin serta buah-buahan dan minuman berkhasihat .
  8. Mengapa Kementerian Pertahanan menyerahkan dua bidang tanah kepada sebuah syarikat yang kemudian mencagarkannya untuk mendapat pinjaman bank RM465 juta. Syarikat berkenaan hanya menyiapkan 18% daripada projek membina kompleks tentera bernilai RM256 juta.
  9. Mengapa projek Institut Politeknik Muadzam Shah di Pahang tiga kali bertukar tangan sejak ia dimulakan pada September 2001 dengan kontrak bernilai RM219 juta. Kos projek berkenaan kini meningkat 34.6 peratus kepada RM294.74 juta, dan ini tidak termasuk RM10.55 juta yang terpaksa dibayar sebagai kos perunding dan juga sejumlah RM130,000.00 yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi kos penyewaan bangunan untuk penuntut institut berkenaan.
  10. Mengapa Perbadanan Aset Keretapi (PAK) yang ditubuhkan pada 1992 iaitu selepas Keretapi Tanah Melayu diswastakan, hanya 30% aset tanah berkenaan telah dipindahkan kepada PAK. KTMB pula telah menjual lima lot kepada pemaju swasta sebelum PAK dapat mengambil semula hak milik menyebabkan PAK kerugian RM335.32 juta.

Henti program Tabung Budi atau hilang lesen air


Henti program Tabung Budi atau hilang lesen air PDF Print E-mail

- Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) diberi tempoh 14 hari untuk menghentikan kutipan bagi Program Tabung Budi ataupun menghadapi kemungkinan kehilangan lesennya bagi membekalkan air.
23 Nov.

Notis bertarikh hari ini dikeluarkan oleh pengarah kawal selia air Selangor, Nor Azmi Diron di bawah Subseksyen 12(2) Akta Pembekalan Air 1997 kerana Syabas dikatakan telah melanggar syarat perjanjian konsesi air .

“Selain menghentikan program tersebut dalam masa 14 hari, Syabas juga dikehedaki memaklumkan kepada Kerajaan Selangor berkenaan pembatalan Tabung Budi. Pembatalan tersebut juga perlu diiklankan di dalam akhbar-akhbar utama di Malaysia,” kata kenyataan dari Sekretariat Akhbar, pejabat Menteri Besar Selangor.

Mengikut notis itu, lesen pembekalan air yang diberikan kepada Syabas mengikut Sub-seksyen 12 (3) Akta Pembekalan Air 1997 akan dibatalkan jika Syabas gagal mematuhi arahan pembatalan program itu.

“Notis tersebut juga telah mengingatkan Syabas bahawa selaku pemegang lesen, syarikat itu hanya boleh mengutip dan menyimpan caj yang masih berhutang (caj tertunggak) oleh pengguna dalam kawasan pembekalan air.

“Syabas tidak boleh mengutip sumbangan daripada orang ramai bagi tujuan membayar caj bekalan air tertunggak seperti yang dilakukannya melalui Tabung Budi,” petik kenyataan itu.

Sebelum ini, menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah berkali-kali menasihatkan Syabas supaya menghentikan segera Tabung Budi kerana program itu bukan sahaja melanggar syarat konsesi tetapi juga menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

“Syabas mendakwa program ini untuk kebajikan tetapi hakikat sebenarnya Syabas menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat membayar Syabas setiap bulan menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat. Namun pada masa yang sama Syabas mengutip sumbangan daripada orang ramai.

“Jika Syabas benar-benar ikhlas menjalankan tanggungjawab sosial korporat, mereka sepatutnya melupuskan caj air dan tunggakan yang ditanggung mereka yang tidak mampu,” katanya.