Sabtu, 1 Februari 2014

Perjuangan dan Jihad

Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdar) yang berasal dari perkataan "Jahada" bererti bersungguh-sungguh dan tekun mengerjakan sesuatu. "Jahada" pula bererti memerah tenaga. Jahada al-'aduww, bererti memerangi musuh. Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat.

Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama.Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak berisiko adalah peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang berbunyi; Daripada Abu Sa'id al-Khudri katanya, Rasulullah telah bersabda; "Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim."Oleh sebab itulah kebanyakan pentakrifan jihad pada zaman silan lebih merujuk kepada aspek peperangan. Contohnya, ulama

Mazhab Syafie memberi definisi jihad sebagai perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam. Manakala ulama Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai menyeru kepada agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan nyawa.Imam Hassan al-Banna pula menyatakan bahawa, "Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap Muslim.

Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran."Persoalan mengenai perjuangan dalam Islam juga merangkumi usaha umat Islam mengembangkan agama ini dengan menjalankan gerakan dakwah ke merata tempat di serata pelosok dunia. Lalu, dalam usaha berdakwah itu, mereka menghadapi sekatan, ancaman dan cabaran yang datang dari kebanyakan orang- orang kafir serta sasaran dakwah yang tidak bersikap terbuka untuk mendengar dahulu seruan Islam.

Dalam suasana ini, timbul perlawanan dan perjuangan menentang halangan, sekatan dan ancaman dari musuh dakwah. Namun dalam konteks zaman mutakhir ini, perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad, merangkumi aspek yang luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja. Bahkan ia lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan hak-hak umat Islam sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan Islam dengan saluran pilihan raya, penulisan dan sebagainya.

Pokoknya, di dalam usaha tersebut pada sepanjang zaman, mereka akan menghadapi cabaran dan tentangan dari musuh yang merupakan sebahagian daripada ujian Allah Taala. Cabaran dan tentangan tersebutlah yang melahirkan reaksi dalam bentuk perjuangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan