Khamis, 26 Mac 2015

Tabiat Perjuangan Islam

Firman Allah Taala di dalam surah As-Saba' ayat 28 bermaksud: Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad), melainkan kepada semua umat manusia sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

RasululLah saw diutuskan ke seluruh alam. Bukan semata-mata kepada bangsa Arab dan Jazirah arab. Namun sebaik sahaja di Madinah telah wujudnya rakyat yang mendukung perjuangan Islam dan tertegaknya sebuah kerajaan yang menerima Islam sebagai fikrahnya maka Baginda saw langsung melaksanakan hukum-hukum Islam yang diwahyukan Allah Taala.

Baginda tidak menunggu sehingga dakwah Islam telah menguasai terlebih dahulu Parsi atau pun Rom atau tempat-tempat lain di dunia ini sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah. Adakah Baginda tergesa-gesa? Tidak bahkan itulah tabiat perjuangan Islam. Seluruh hukum syariatnya wajib segera ditegakkan sebaik sahaja telah ada kerajaan dan rakyat yang mengimani kebenaran Islam dan ajarannya.

Kesediaan rakyat Kelantan menerima PAS sebagai sebuah kerajaan negeri selama 25 tahun menuntut agar seluruh Syariat Islam dilaksanakan di negeri itu. Walau pun cita-cita PAS untuk melaksanakannya sehingga di peringkat nasional namun tuntutan Islam mewajipkannya sebagai gerakan Islam melaksanakannya diperingkat negeri Kelantan terlebih dahulu seperti mana RasululLah saw melaksanakannya di Madinah terlebih dahulu.

Kesilapan dan kekeliruan para penentang Hudud ialah kerana mereka memandang perlaksanaan hudud itu pada skala nasional. Memanglah dari sudut itu ia belum mungkin dilaksanakan kerana kerajaan yang memerintah dan sebahagian yang amat besar dari rakyat belum menerima perjuangan Islam yang syumul dan kerajaan pusat yang memerintah masih berfahaman sekular. Berlainan dengan Kelantan.

Maka sebagai Muslim kita tidak ada pilihan selain mengikuti contoh yang telah diberikan oleh RasululLah saw dalam perlaksanaan syariat Islam yang syumul. Kita mesti melaksanakannya terhadap mereka yang telah meyakini Islam dan menerimanya sebagai Agama yang syumul. Kelantan telah bersedia selepas melalui proses dakwah dan tarbiah yang panjang berasaskan asuhan para ulamanya dan perjuangan aktivis Islam dan budaya ilmu Islamnya yang kukuh.

Alasan menangguhkan pengiktirafan dan perlaksanaan hukum hudud sehingga setelah mendapat kuasa di Putra Jaya terlebih dahulu adalah alasan yang tidak berpandukan AlQuran, Sunnah maupun seerah RasululLah saw. Ia lebih merupakan khayalan para pendukung ideologi dan falsafah sekular di negara ini dan terjemahan kebencian sebahagian mereka terhadap setiap perkara yang tidak selari dengan fahaman Sekularisme.

Zulkifli Ismail Muhammad
Ketua Dewan Ulama
PAS Negeri Melaka
Penulis Buku Ancaman
Bahaya Sekularisme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan