Sabtu, 4 Disember 2010

BN=Beban Negara: Harga RON95, Diesel, gula & gas naik lagi, BN menipu rakyat!

 
 

BN=Beban Negara: Harga RON95, Diesel, gula & gas naik lagi, BN menipu rakyat!



Oleh: Pria Malaya

Genap sebulan rakyat Malaysia khususnya para penyokong dan blogger jumud Umno ditipu hidup2 oleh para menteri Umno dan sekutunya..

Jika kalian masih ingat, 3 November lalu terpampang di dada2 akhbar kenyataan menteri yang menyatakan kononnya harga minyak petrol RON95 tidak naik bagi tahun ini..

Kenyataan rasmi dari kerajaan ini dilihat bagi meredakan kegelisahan dan kemarahan rakyat ekoran pengumuman kenaikan harga RON 97 sebanyak lima sen kepada RM2.15 seliter pada tarikh berkenaan...

Boleh rujuk pada link di bawah:
- Harga RON 95 kekal tahun ini (Kosmo)
- Harga RON 95 tidak naik (Utusan Meloya)

Namun pada hari ini, 3 Disember 2010, iaitu genap sebulan dari tarikh 3 November 2010, kerajaan telah mengumumkan LAGI kenaikan bagi petrol RON95 sebanyak lima sen..tidak cukup dengan itu, harga diesel, gula dan gas turut mengalami kenaikan...

Inilah yg dikatakan cakap tidak serupa bikin, munafik....utk yg terakhirnya, jadikan demo Ahad ini sebagai tempat menzahirkan perasaan kalian..kita jumpa di sana!..wallahua'lam...


Versi Malaysiakini

4-dalam-1: Harga petrol, diesel, gas, gula naik lagi

Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG) dan gula naik mulai tengah malam ini. Ia berikutan keputusan kerajaan menyelaraskan kadar subsidi.

Petrol RON95, dinaikkan 5 sen menjadikan RM1.90 seliter.
Dua hari lalu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter. Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.


(Harga terbaru berkuat kuasa hari ini...)

Harga diesel turut naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram.

Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Semua harga baru berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi esok. Ia didedahkan pada taklimat kepada editor di Putrajaya oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) .

Malaysiakini turut dijemput ke taklimat itu melalui panggilan telefon tetapi wartawan kami dihalang memasuki ibupejabat Unit Kordinasi dan Pelaksanaan di Pejabat Perdana Menteri, kemudiannya tanpa sebarang alasan.

Pengumuman rasmi mengenai kenaikan harga barangan tersebut dibuat malam ini.

Kali terakhir harga barangan meningkat adalah pada 15 Julai lalu. Ia membabitkan kenaikan 5-dalam-1. Barangan yang terjejas itu adalah dua gred petrol, diesel, gula dan gas. - MK

Versi TheMalaysianInsider

Petrol RON95 dan diesel naik lima sen, gula mahal 20 sen

Harga petrol RON95 sah mengalami kenaikan lima sen seliter manakala gula pula 20 sen sekilogram (kg) mulai tengah malam ini — kenaikan kali kedua harga produk itu sejak Julai lalu, di bawah dasar pelarasan subsidi diperkenalkan pentadbiran Najib.

Turut mengalami kenaikan ialah diesel, naik lima sen kepada RM1.80 seliter.

Ekoran pelarasan itu, RON95 akan dijual RM1.90 seliter.

Pelarasan itu juga membawa kepada kenaikan gas petroleum cecair (PLG) kepada RM1.90kg iaitu naik lima sen berbanding sekarang.

Kedua-dua bahan api petrol dan diesel serta LPG dan gula mengalami kenaikan pada Julai lalu apabila dasar pelarasan diperkenalkan dalam usaha kerajaan mahu mengurangkan subsidi.

Petrol RON97 yang tidak disubsidi telah mengalami kenaikan pada 1 November dan 1 Disember lalu, tetapi kerajaan tidak membuat pengumuman atas alasan ia perubahan kerana pengapungan harga.

RON97 tidak mengalami kenaikan kali ini.

The Malaysian Insider tengah hari tadi melaporkan produk-produk itu akan mengalami kenaikan mulai tengah malam ini.

Dengan pelarasan kali ini, kerajaan menjangkakan dapat menjimatkan RM621.9 juta dari produk petrol RON95, RM213.2 juta (diesel), RM63.5 juta (LPG) dan RM283.5 juta (gula) setiap tahun ataupun RM1.18 bilion.

Pada Julai lalu, kerajaan menjangkakan harga tidak akan naik sehingga akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pencapaian (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala (gambar) berkata, pelarasan subsidi diperlukan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

“Kami melakukan yang ini (pelarasan subsidi) untuk memastikan defisit kita dapat dikurangkan. Kami adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

“Kami akan memastikan kita hidup dalam lingkungan keupayaan (kita),” kata beliau pada majlis taklimat pengumuman pelarasan subsidi di pejabatnya petang tadi.


(Ingat BN, ingat Barang Naik...)

Kata beliau, walaupun ada kenaikan lima sen, harga jualan RON95 dan juga LPG serta diesel dan gula masih rendah berbanding di Indonesia.

“Lebih rendah berbanding Singapura dan Thailand,” katanya.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Salah satu pendekatan untuk mengurangkan kos ialah merasionalkan subsidi kita sebab subsidi keseluruhan Malaysia adalah paling tinggi berbanding negara lain. Subsidi kita tidak sasarkan pada (kumpulan) rakyat miskin,” katanya.

Oleh itu kata beliau, penjimatan daripada pelarasan subsidi akan digunakan untuk pembiayaan pembangunan luar bandar, pendudukan, pengangkutan bandar dan bidang-bidang lain dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Pertengahan Julai lalu, kerajaan mengumumkan pelarasan harga menyaksikan kenaikan harga beberapa barangan keperluan utama.

Dalam kenyataan diumumkan ketika itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pelarasan harga itu membabitkan petrol, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG), dan juga gula, yang diselaraskan semula sebagai sebahagian daripada Program Rasionalisasi Subsidi.

Selaras dengan itu, Kabinet telah mengambil keputusan bahawa berkuat kuasa pada 16 Julai 2010, harga bagi bahan api, terutamanya petrol, diesel dan LPG, dan juga gula, akan diselaraskan semula sebagai sebahagian dari Program Rasionalisasi Subsidi.

Menurut Najib yang juga Menteri Kewangan, Penyelarasan semula harga barang-barang itu akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Berdasarkan proses itu, kerajaan memutuskan harga petrol RON 95 dan diesel akan diselaraskan sebanyak lima sen seliter bagi semua sektor. LPG akan diselaraskan sebanyak 10 sen sekilogram dan petrol RON 97 akan diapung secara terkawal.

Bagi gula pula, harga akan diselaraskan sebanyak 25 sen sekilogram. -TMI

http://ruangbicarapriamalaya.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan