Sabtu, 4 Disember 2010

Unisel benarkan pelajar sertai demonstrasi


SHAH ALAM 3 Dis. - Universiti Industri Selangor (Unisel) akan membenarkan para pelajarnya menyertai demonstrasi anjuran kerajaan negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menyerahkan memorandum bantahan kenaikan tarif air di Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Ahad ini.

Keputusan itu dinyatakan oleh Naib Canselor Unisel, Datuk Dr. Rosti Saruwono yang menyifatkan penglibatan golongan itu di dalam perarakan tersebut adalah satu usaha yang amat penting bagi memantapkan idealisme di kalangan pelajar universiti.

Beliau berkata, para pelajar Unisel adalah terdiri daripada golongan dewasa yang boleh melahirkan fikiran serta pendapat sendiri dalam sesuatu isu dan penyertaan mereka dalam demonstrasi tersebut adalah untuk kebaikan pelajar itu sendiri pada masa depan.

"Para pelajar kita (Unisel) adalah orang dewasa dan kita galakkan mereka berfikiran secara dewasa. Kita mahu pelajar kita mengambil berat isu sejagat.

"Saya rasa penglibatan mereka dalam perarakan ini (serah memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong) dan isu-isu yang lain adalah digalakkan sebagai tanda mereka prihatin untuk melakukan sesuatu demi kebaikan am," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan