Selasa, 21 Disember 2010

Mufti Perlis, Pengerusi DAP Dan Menteri Jaga Agama



MUFTI PERLIS:
Mufti Perlis menyatakan bahawa orang bukan Islam boleh menjadi peguam syarei yang membawa maksud mereka boleh mewakili orang Islam untuk perbicaraan di mahkamah syariah.

Baginya, jika Saidina Ali boleh kalah dalam perbicaraan dengan seorang Yahudi di hadapan hakim Islam yang membuktikan keadilan Islam, maka pada zaman serba canggih ini mengapa Islam tidak diberi peluang untuk membuktikan keadilannya kepada segenap lapisan manusia?

PENGERUSI DAP:
Sementara itu Pengerusi DAP pula, yang selama ini dilabel anti Islam berikutan kenyataan ‘langkah mayat’, menegaskan bahawa DAP bersedia menerima Islam sebagai agama rasmi negara.

Menurutnya, DAP bersedia berbincang supaya PR mencapai konsensus bersama dalam perkara berkenaan.

MENTERI JAGA AGAMA:
Menurut menteri jaga agama pula, pertumpahan darah akan berlaku seperti di Pakistan dan Iraq sekiranya negara ini memiliki dua mazhab, maksudnya Sunni dan Syiah.

Menurutnya, penyebaran ajaran Syiah boleh menggugat keharmonian masyarakat kerana kerana beberapa dakyah songsang dalam ajaran itu.

SAYA:
Ketika banyak pihak sedang mempromosikan keharmonian hidup antara Muslim dan non-Muslim di bawah payung rahmat Islam, pemikiran menteri Umno masih dibelenggu ‘sejarah’ perbalahan antara Sunni dan Syiah.

Ketika Amerika sangat membenci dan tidak mahu Sunni dan Syiah ‘berbaik-baik’, menteri Umno turut menjadi penyambung usaha itu. Kenyataan bahawa pengikut Sunni dan Syiah akan berbalah sampai bertumpah darah di negara ini adalah kenyataan yang tidak optimis dengan rahmat Islam.

Jika Amerika tidak mahu Sunni – Syiah bersama, Umno juga tidak mahu PAS – DAP bersama. Jika Amerika mengungkit-ngungkit sejarah perbalahan Sunni – Syiah, Umno juga akan mengungkit-ngungkit sejarah perbalahan PAS – DAP.

Mengungkit-ngungkit perbalahan tidak membawa makna apa-apa. Dua puak yang pernah berbalah suatu masa dahulu tidak semestinya akan berbalah sampai bila-bila. Apatah lagi jika perbalahan itu bukan diinginkan oleh kedua-dua belah pihak, tetapi mereka ‘dilaga-lagakan’ oleh musuh masing-masing.

Sebagai mana Amerika pernah melaga-lagakan Sunni – Syiah dan ingin terus kedua-dua kelompok itu berperang, demi kuasa mereka, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Umno juga mahukan PAS – DAP terus berbalah, juga demi kuasa mereka.

Kita ingin benar melihat orang-orang bukan Islam membuka kitab-kitab warisan Islam untuk mendalami hukum-hukum Islam, peraturan-peraturan Islam, kaedah-kaedah Islam dalam menyelesaikan masalah manusia, ketika mereka dibenarkan menjadi peguam syarei.

Kita ingin benar melihat orang-orang Sunni dan Syiah bersama-sama menjulang panji-panji kalimah tauhid untuk berhadapan dengan Amerika dan kuncu-kuncunya.

Kita ingin benar melihat Umno terkubur bersama ‘1’ mereka kerana dipinggirkan oleh orang Islam dan bukan Islam yang marahkan parti itu kerana menghalang mereka daripada menikmati hidup di bawah rahmat Islam.
------------------------------------------
Kampong Kubang Paya – Kampong tanpa non-Muslim dan Syiah, tapi ada Umno

Tiada ulasan:

Catat Ulasan