Ahad, 19 Disember 2010

Tubuh IPCMC, Bebas SPRM, Dalam 100 Hari PR Memerintah



KEPALA BATAS 19 DIS : Pembentangan kertas-kerja dari wakil Parti Keadilan Rakyat di Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-II menyaksikan tumpuan Pakatan Rakyat kepada isu keselamatan rakyat.
Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution mencadangkan pemulihan profesionalisma pasukan Polis Diraja Malaysia dan membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dari kawalan Eksekutif.

"Sejurus mengambil-alih kuasa, tekad kita adalah melaksanakan saranan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Penambahbaikan Polis, termasuk mewujudkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis atau IPCMC," kata Saifuddin.

Kematian mendiang A Kugan dan Allahyarham Aminulrasyid di tangan polis menunjukkan kerosakan PDRM dibawah Umno-Barisan Nasional tiada tolok banding.

Pakatan Rakyat melahirkan rasa khuatir akan kerosakan yang bakal diwarisi generasi akan datang.

"Polis sepatutnya berkhidmat kepada rakyat, bukan zalimi rakyat. Topi dan boot mereka adalah dari duit rakyat. Kerja mereka bukan untuk sepak terajang rakyat, tetapi tegakkan keadilan di bumi Malaysia," kata Saifuddin.

Saifuddin dalam pembentanganya berkata perlaksanaan IPCMC menjadi keutamaan Pakatan Rakyat dalam 100 hari mentadbir Malaysia.

Selari dengan langkah itu, Pakatan Rakyat meletakkan keutamaan untuk membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dari campurtangan politik.

"Pakatan Rakyat akan memastikan SPRM bertanggungjawab terus kepada Parlimen, dan melaksanakan tugasnya dengan adil dan amanah, tanpa rasa takut kepada penguasa," tegas Saifuddin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan