Rabu, 22 Disember 2010

KITA parti serpihan: Azizan


ALOR SETAR - Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) tidak akan menggugat keutuhan Pakatan Rakyat (PR) kerana ia hanyalah parti serpihan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya tidak berasa tergugat dengan kewujudan parti baru itu yang dipimpin bekas calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim, walaupun Zaid dipercayai mempunyai pengaruh yang tinggi.

“Saya menyifatkan KITA sebagai parti serpihan dan kebiasaannya parti serpihan tidak mendapat kekuatan dalam sekelip mata,” katanya.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah mengulas mengenai tindakan Zaid keluar daripada PKR dan bertindak menubuhkan KITA dengan mengambil alih Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), yang kemudiannya dilantik sebagai Presiden parti itu.

Menurutnya, parti serpihan seperti itu kebanyakannya tidak mampu bertahan lama dalam arena politik, dan andaian ini dibuat berdasarkan situasi sebelum ini yang bukan sahaja berlaku dalam UMNO, tetapi turut berlaku dalam Pas.

“Dahulu dalam Pas pun ada parti serpihan, Islah tapi tak ke mana pun. Dalam UMNO pun berlaku apabila Semangat 46 turut berkubur. Nampaknya kali ini berlaku dalam PKR pula. Kita lihat sejauh mana kemampuan parti ini sama ada mampu bersaing dengan parti-parti utama atau tidak,” katanya.

Azizan berkata, agak sukar untuk parti serpihan mengekalkan sokongan ahlinya kerana kebanyakan ahli mereka terdiri daripada golongan yang keluar daripada parti induk kerana timbul rasa tidak puas hati.

Ditanya sama ada kewujudan parti baru ini menunjukkan orang Melayu semakin berpecah belah, Azizan berkata, pertambahan parti politik tidak menggambarkan situasi perpecahan orang Melayu, kerana ia hanyalah sebuah parti.

“Banyak parti politik di Malaysia tidak semestinya menunjukkan kita orang Melayu makin berpecah belah. Saya percaya dalam isu-isu tertentu orang Melayu masih bersatu, cuma dalam memilih pemerintah dan sokongan politik, mereka tidak sehaluan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan