Selasa, 7 Disember 2010

Khir Toyo: Mana bulu merak, mana bulu ketiak

Sumber: http://ustsaifulbahri.blogspot.com/

Berkokoklah hulubalang UMNO dengan mendakwa bahawa kerajaan tidak memilih bulu. SPRM juga mendakwa Khir Toyo meskipun beliau adalah pemimpin UMNO. Inilah lawak bodoh UMNO-BN. Khususnya para bloggers dan media pengampu UMNO. Sememangnya UMNO nak mendakwa ni semestinya memilih bulu. SPRM hanya pak angguk aje. Itu pasal kena tunggu lama. Kes penjualan tanah tersebut telah berlaku tahun 2004. Kenapa sekarang? Pilih bulu le tu.

Masa tu Datuk Khir Toyo adalah bulu merak. Bulu yang wangi lagi bertatahkan emas. Selaku MB Selangor menjadi kesayangan UMNO. SPRM haram tak boleh sentuh. Tetapi kini, Khir Toyo dah jadi bulu ketiak UMNO, dah le busuk, hangit lagi. Meskipun pipinya dan wajahnya dah gebu melecun, tapi politik beliau dah mula gelunsur. Bak pernah duduk di kemuncak bukit. sekarang ni dah berguling turun. Ini berlaku selepas PR berjaya menumbangkan BN di Selangor dan Khir Toyo hanya layak menjadi ketua pembangkang sahaja. Apatah lagi krisis dalaman negeri Selangor makin memuncak apabila perebutan antara team Datuk Khir Toyo dan Datuk Noh Omar. Tu tak masuk lagi Team Satim Diman. Masing-masing ada fail masing-masing. Peteh memeteh ni kerja UMNO. SPRM sentiasa berlampu kuning. Cuma tunggu green-light sahaja.. nak dakwa bila. Tunggu signal aje dari dewa-dewa diatas kayangan. Hah sekarang masa yang tepat!

Kini Datuk Khir Toyo dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah melibatkan dua lot tanah dan istana mewah beliau yang pernah kontreversi dahulunya kerana melibatkan pembinaan ala Bali yang dikatakan mencecah nilaian RM20j. Kita tengoklah jengkal siapa yang lebih panjang. Nyawa siapa yang lepas. Siapa yang ternobat sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor nanti.

Sebagai rakyat kita jangan terpana dengan wayang kulit mainan UMNO ni. Jangan anda lupa ketika krisis MB Terengganu. Apabila Derih Jusoh disingkirkan kerana derhaka kepada Sultan Terengganu, lalu Mat Said hendak ditabalkan sebagai MB Terengganu. Fuhhh!!! SPRM menghambat Mat Said macam koboi Rodeo menghambat lembu jantan. Mat Said tak berani tidur kat rumah kerana takut ditahan BPR masa tu. Hari esok beliau handak menerima watikah dari pihak istana. Kalau ditahan, tamat le riwayat Mat Said selaku gedebe UMNO. Rupanya jengkal beliau lebih panjang dari jengkal Derih Jusoh. Kini Mat Said selesa bersemayam di banglo mewahnya di Kijal.

Pada 22 Mac tahun 2008, ketika kemelut memuncak, TV3 telah menyiarkan berita, ADUN Kijal yang disebut-sebut akan dilantik sebagai MB, disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR). Buletin Utama TV3 melaporkan, seorang ahli politik Terengganu sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung beberapa projek iaitu:-

1. Projek Roller Coaster di Kemaman pada 1995

2. Projek Pembinaan Dewan Besar Seri Amar Chukai, Kemaman pada 2007

3. Projek Mercu Tanda Daerah Kemaman di Bandar Chukai pada 2006

4. Projek Tambun Tanah di Kijal pada 2008 (3 kes)

Bayangkan Pembinaan Mercu Tanda Kemaman sejemput tu aje diberi kepada syarikat kroni dengan harga RM3,996,928.00 pada 13 November, 2005 dan kini sudah sekian lama rosak tak terpakai. Buat malu orang Kemaman aje. Air tak memancut lagi, batang tiang dah tak bertukar warna, batu globe mat said pun dah dah expired.?tak berpusing dan skrin tanpa tulisan, dah jadi hitam legam… Ibarat dah mandul pe!!!

Kini setelah Datuk Ahmad Said masih lagi duduk di tampuk empuk MB Terengganu timbul pula pelbagai isu penyelewengan baru. Isu wang ehsan yang tak kesudahan yang disalah-gunakan untuk kepentingan UMNO-BN di Terengganu. Isu penyelwengan RM300j untuk membangunkan pulau-pulau di Tasik Kenyir dengan mewujudkan Pulau Burung, Pulau Rama-rama, Taman Orkid dan Pulau Herba dan sebagainya. Isu penyelwengan dan anugerah balak kepada golongan kroni dan orang istana tertentu dan bermacam-macam lagi. Tapia pa SPRM peduli??? Datuk Mat Said kini bak bulu merak bersalut emas.

Beberapa ketika dulu berbunyi jugak isu SPRM nak menyiasat Datuk Idris Jusoh selepas pelucutan beliau dari tampuk MB Terengganu. Antara penyelewengan yang dilaporkan termasuklah tuntutan VO (Variation Order) Masjid Kristal yang asalnya RM80 juta menjadi RM200 juta lebih. Juga turut didakwa adalah tuntutan VO stadium dari RM180 juta menjadi hampir RM300 juta. Semua wang tuntutan ini difahamkan telah diselewengkan untuk pribadi disebalik kononnya untuk “Political Fund” yang diletakkan atas nama proksi dan kroni. Siasatan kes projek Taman Tamadun Islam dan penganjuran Piala Monsun di Pulau Duyung, juga turut didakwa berlaku penyelewengan.

Bayangkan bukan sedikit royalti Petronas yang telah membuat bayaran sebanyak RM7.3 bilion kepada negeri Terengganu itu sejak empat tahun selepas Umno kembali memerintah Terengganu. Tetapi kemana duit itu ghuyub? Sekarang sudah 2 tahun pulak Mat Said jadi MB. Entah kemana fail dah hilang.

Habis apa SPRM buat? Buat apa lagi kalau duk tengah pilih bulu le tu. Agak-agak mana dia bulu merak, mana dia bulu ketiak? Tapi kalau pimpinan PR yang dikatakan ada terlibat dengan rasuah, tak bertangga dikejarnya… yelahh… bulu ari-ari. Cepat le pergi chek!!!

Haron Din Tokoh Maal Hijrah Selangor


SHAH ALAM, 7 Dis: Datuk Dr Haron Din dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 1432H dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Negeri, di sini malam tadi, sebagai pengiktirafan pada penglibatan beliau dalam bidang dakwah sejak sekian lama.

Anugerah itu disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum itu berkenan melancarkan sambutan awal tahun Islam serta meluncurkan sebuah buku bertajuk Solat Rasul terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Ketika ditemui seusai majlis, Dr Haron, 70, berkata, anugerah itu merupakan satu motivasi terhadap dirinya yang terlibat dalam bidang dakwah sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih atas pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor ini, meskipun saya tidak pernah impikannya namun bila sudah ditakdirkan, saya menerima dengan sepenuh hati," jelasnya kepada media.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid.

Menjelaskan tentang pandangan negatif masyarakat kepada golongan ulamak, Dr Haron menjelaskan, sebenarnya rakyat dan masyarakat awam tidak mengenali siapa dan yang mana satu ulamak kerana tidak banyak pendedahan berlaku di media perdana khasnya.

Membandingkan dirinya sendiri yang banyak diberikan peluang untuk siaran di televisyen sebelum ini, menyebabkan orang ramai termasuk golongan muda tetap mengenali dan memberikan penghormatan sebaiknya.

"Jadi tidak timbul masalah kalangan muda tidak menghormati ulamak kerana yang sebenarnya mereka belum mengenali siapa ulamak itu," ujarnya yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS.

Justeru, tegasnya, peranan ulamak ini mesti diinstitusikan agar mereka dapat menjalankan kewajipan mendidik rakyat dan anggota masyarakat dengan lebih baik lagi.

Menyentuh tentang peranan ulamak muda dan golongan tua, beliau menjelaskan, itu hanya istilah untuk menunjukkan usia dan tempoh mereka mendidik masyarakat sahaja, tidak lebih dari itu dan semua pihak mesti berperanan dalam masyarakat.

Dr Haron memulakan pengajiannya di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali, Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah, Perlis dan Kuliah al-Islamiah, Klang, Selangor seterusnya mengambil Sijil Tertinggi Kolej - Kolej Islam Malaya pada 1962 hingga 1965), lulus dengan cemerlang dan mendapat hadiah biasiswa persekutuan terus ke Mesir.

Menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah - University Al-Azhar (1966-1968), Diploma Pendidikan - ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968) dan Ph.D Syariah - Universiti Darul - Ulum Qahirah (1972-1974).

Antara kerjayanya sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975–1976), Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985), Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara.

Juga menjadi Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB, Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia, Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan.

Begitu juga sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd, Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting.

Dalam politik, pula sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983), Ketua Penerangan PAS Pusat, sehingga kini sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Timbalan Mursyidul Am PAS serta pernah bertanding di dalam pilihan raya 2004 di Parlimen Arau mewakili PAS.

Dr Haron Din adalah Pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (DarusSyifa') yang terletak di Bangi

Ku Li Derhaka Kepada Sultan Kelantan?


KOTA BARU, 7 Dis 10: Bernama melaporkan Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata tindakan tokoh politik veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang masih mempertikai kedudukan Sultan Kelantan dari segi undang-undang adalah hak dan pandangan peribadi beliau.
 
Katanya, ini kerana kedudukan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V telahpun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Saya juga tidak dititahkan untuk membuat kenyataan berhubung kenyataan (Tengku Razaleigh) itu. Barangkali ia perlu dikaji oleh pakar yang berkaitan undang-undang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Hijratul Rasul peringkat Negeri Kelantan yang disempurnakan Sultan Muhammad V, di sini, malam tadi.

Menurutnya, beliau perlu mendapat titah daripada Sultan sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kenyataan Tengku Razaleigh itu.

Bekas Menteri Kewangan itu, dalam kenyataan kepada media semalam masih mempersoalkan status kedudukan Sultan Kelantan dari undang-undang.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas diminta mengulas keputusan Sultan Muhammad Ke-V memperkenankan penarikan balik dua anugerah kebesaran negeri, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) dan tauliah pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) (Al-Muhammadi I).

Pada 5 Dis, Istana Kelantan mengesahkan penarikan balik dua darjah kebesaran itu yang dikurniakan kepada Tengku Razaleigh. Ini berikutan kenyataannya sebelum itu yang disiarkan akhbar berbahasa Cina dan menyinggung perasaan Sultan Kelantan.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu. Tengku Razaleigh, 73, yang juga Ketua Umno Gua Musang adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid. — Bernama

Komen Blog Ibnu Hasyim: Ku Li sudah mula menderhaka kepada Sultan Kelantan?

http://www.ibnuhasyim.com/2010/12/ku-li-derhaka-kepada-sultan-kelantan.html

Sultan gesa bersatu atas kalimah tauhid


penulis Muhammad Yusri Amin [Harakah]
KOTA BHARU, 7 Dis: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menggesa umat Islam khususnya rakyat di negeri ini supaya menggerakkan usaha mewujudkan umat Islam bersatu padu atas ‘kalimah tauhid’.

Ini penting bagi merealisasikan status umat Islam sebagai ‘khaira ummah’ dan seterusnya mencapai kejayaan cemerlang di akhirat kelak.

Baginda mengajak umat Islam supaya sedar dan insaf bahawa tanggungjawab besar itu tidak akan berjaya dicapai tanpa perpaduan dan persaudaraan di kalangan ummah.

“Sudah tiba masanya kita sebagai satu ummah melaksanakan muhasabah diri dan menilai semula tahap perpaduan yang diamalkan di kalangan umat Islam pada hari ini, sekaligus melakukan anjakan perubahan atau ‘penghijrahan’ ke arah suatu tahap yang lebih baik dalam aspek hubungan sesama manusia,” titah baginda pada Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1432 Hijriah di Balai Islam, Lundang dekat sini, malam tadi.

Baginda mengajak rakyat dan umat Islam supaya sama-sama menghayati ruh dan semangat perjuangan ‘hijrah’ yang telah diteladani dari Junjungan Besar Nabi Muhammad khususnya dalam aspek perhubungan dan persaudaraan sesama Islam dan masyarakat bukan Islam.

“Sejarah Hijratul Rasul sendiri telah membuktikan kejayaan kita menempa kegemilangan hasil kerjasama erat antara kaum Ansar dan Muhajirin.

“Di hadapan kita terbentang masa depan yang tidak diketahui untung nasibnya, bergantung kepada fungsi dan peranan masing-masing. Kita semua bakal mencorakkan wajah kejatuhan atau kebangkitan semula umat Islam,” titah baginda.

Pada sambutan Hijratul Rasul bertema “Satu Ummah, Satu Matlamat” itu, baginda turut menekankan komitmen ummah dalam amalan sunnah yang merupakan kunci kekuatan dan kejayaan dalam mendidik ruh dan hati supaya menjadi baik, tenang dan bersangka baik.

Bagi menjunjung kegemilangan Islam, baginda menaruh penuh harapan agar umat Islam sama-sama berusaha mengembalikan kemuliaan umat Islam dan bangsa dengan bertaqwa kepada Allah.

“Dengan semangat Hijrah untuk memartabatkan umat Islam di negeri Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya, marilah kita membangunkan masyarakat dengan budaya Islam yang unggul iaitu ‘faqiihan’, ‘rahiiman’, ‘ilman’ dan ‘salaaman’ dalam menelunsuri kehidupan masa depan kita yang kian mencabar,” titah baginda.

SALAM MAAL HIJRAH 1432

Hijrah Dan Nasib Seorang Politik


ESOK umat Islam akan menyambut kedatangan tahun baru Hijrah 1432. Tidak sampai 5 jam lagi maka akan tibalah tahun baru Hijrah. Biasanya bersempena kedatangan tahun baru Hijri orang Melayu (Islam) akan memasang berbagai niat ingin berubah. Dari jahat menjadi baik, dari baik menjadi bertambah baik dan kuat imannya. Ada juga yang memasang azam untuk tambah isteri.

Sesungguhnya di ambang Hijrah ini umat Islam seharus bergembira untuk memasang niat dan azam baru. Menggunakan detik-detik kedatangannya untuk bermahasabah diri. Bagaimana pun kedatangan Hijrah tahun ini disambut dukacita oleh bekas MB Selangor Mohammad Khir Toyo. Hari ini Khir Toyo terpaksa hadir ke mahkamah kerana didakwa telah melakukan rasuah. Peristiwa hari ini adalah sebadang jadam untuk Khir dan keluarganya.

Khabarnya sebelum digiring ke mahkamah, beliau telah disoal siasat dan ditangkap di pejabatnya. Kesalahannya ialah kesalahan lama kerana dituduh yang berbunyi; mendapatkan untuk dirinya dan isterinya Datin Seri Zaharah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 8 & 10, Jalan suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn, Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni (macam keturunan Jawa juga bunyinya), dengan harga RM3.5 juta sedang harta itu dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Dr Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang Dun Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun (sikitnya) atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mungkin ramai yang tidak faham dengan pertuduhan itu, bunyinya berbelit-belit dan macam ayat budak sekolah Tadika baru belajar undang-undang. Apa boleh buat itulah yang ditafsirkan undang-undang berkenaan dari bahasa Inggeris. Mungkin maksud ataupun ayat asalnya lebih terang bersuluh. Apakah undang-undang berbelit-belit bunyinya itu akan menghasilkan keputusan dan hukuman berbelit juga kelak?

Tidak kisahlah sama ada undang-undang berbelit atau pun tidak jelas. Tetapi hari ini Khir Toyo seperti juga Anwar Ibrahim terpaksa kena hadir dan dibawa ke mahkamah. Anwar hadir untuk mendengar perbicaraan kesnya, manakala Khir pula untuk mendengar pertuduhan ke atasnya. Apa yang bakal dilalui Khir selepas ini sudah mangli dilalui Anwar.

Secara mudahnya orang boleh beranggapan tuduhan terhadap Khir Toyo itu kerana beliau 'terlibat dalam rasuah' pemilikan tanah banglow. Itulah pemahaman umum. Bahawa Khir Toyo selepas ini kena hadir ke mahkamah dan melalui perbicaraan terhadap tuduhan itu. Beliau kena jelas tuduhan itu yang pada anggapan orang ramai beliau mendapat tanah itu dengan harga yang jauh lebih murah daripada sepatutnya.

Berita yang melibatkan Khir Toyo itu adalah berita menggemparkan hari ini. Bayangkan kalau pertuduhan dibuat semasa Khir Toyo menjadi MB tentu berita itu akan menjadi berita utama. Nasib baik sedikit Khir sudah tidak menjadi MB lagi. Kalau Khir masih jadi MB maka nasibnya akan jadi sama dengan dua bekas MB Selangor sebelum ini Harun Idris dan Abu Hassan Omar yang terpaksa melepaskan jawatan itu kerana skandal. Seorang kerana dituduh rasuah dan seorang dibabitkan dengan skandal sex.

Kata Khir Toyo ketika mengulas pendakwaan itu, dia semacam merasa bertuah kerana dirinya akan diproses menerusi undang-undang. Katanya selepas ini dirinya akan bersih dan boleh main politik semula. Khir macam yakin bahawa beliau tidak bersalah dan tuduhan itu akan terlepas. Apakah itu sebagai merangsang diri sendiri. Baguslah kalau benar begitu. Kalau Khir masih boleh tersenyum dan dapat tidur lena, bertuahlah Khir. Mungkin kalau tertakdir dia akan dijatuhi hukuman penjara dia juga sudah bersedia.

Anihnya kalau dia merasakan tidak bersalah kenapa dia segera melepaskan jawatan sebagai ketua pembangkang di Dun Selangor? Apakah keputusan itu dibuat atas rasa tanggung jawabnya (responsibiliti) sebagai seorang ahli politik. Bila Khir tiba-tiba mengambil keputusan itu menyebabkan orang ramai akan mula berfikir mungkin Khir merasakan dia akan didapati bersalah, maka dia mengambil keputusan awal-awal lagi.

Baguslah dan hebatlah Khir kalau mengambil tanggungjawab itu. Baru sehari masuk ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan sudah letak jawatan. Inilah dikatakan berintegriti. Tetapi peliknya kenapa jawatan ketua pembangkang saja yang diletakkan, kenapa jawatan lain dipegang. Kalau Khir benar-benar dianggap seorang yang berintegriti beliau juga harus melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Adun Sungai Panjang.

Tunggu apa lagi? Katanya soal itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti. Hendak tunggu apa lagi. Lebih baik Khir mengambil keputusan melepas semua jawatan sebelum diarah. Itu baru dianggap pisik. Selepas tidak menjadi MB Selangor pucuk pimpinan sudah lama tidak pedulikan Khir. Pertukaran Pengerusi Perhubungan Umno Selangor kepada Perdana Menteri menjelaskan Khir sudah tidak dipedulikan. Hari ini Khir hanya dilantik sebagai Pengarah khas Umno Selangor sahaja. Hakikatnya beliau sudah tidak ada apa-apa jawatan dan kuasa di Selangor.

Percayalah kalau Khir melepaskan semua jawatan dan termasuk Adun dia akan dilihat sebagai hebat. Beliau akan dikenal sebagai anak Jawa yang bertanggungjawab dan gentleman. Selamanya orang akan menyebut bahawa Khir bersedia menerima risiko dan akibat atas perbuatannya sendiri. Tetapi kalau Khir Toyo melepaskan jawatan selepas disuruh ataupun selepas mahkamah menjatuhi hukuman bersalah, Khir sudah tidak dianggap bermaruah lagi. Tindakan beliau selepas itu tidak memberi apa-apa wisdom kepadanya lagi. Mungkin dia hanya akan dianggap sebagai anak toyol saja.

Mungkin Khir sakit untuk berbuat demikian. Namun hakikat dan sunah-sunah seorang pejuang Khir harus menelannya. Seorang pejuang akan menangis sendiri bila ditimpa bencana dan akan berketawa beramai-ramai bila mendapat kemenangan. Hari ini Khir boleh bayangkan bagaimana beliau semasa menjadi MB dan kini semasa menjadi OKT di mahkamah. Banyak bezanya.

Dan kalau Khir ingin mengenali rakan dan sahabatnya, hari inilah. Pada hari dia menghadapi pertuduhan dan terpaksa berada di kandang orang salah dalam mahkamah. Mana-mana orang yang datang mengiringi beliau atau hadir dalam perbicaraan itulah sahabatnya. Khir kena ingat baik-baik. Kepada Khir selamat menghadapi perbicaraan di mahkamah semoga diberikan kekuatan oleh Allah. Kalau kita boleh angkat penyapu maka kita juga sedia untuk kena sapu. Dan kepada pemimpin lain juga perlu berwaspada mungkin anda juga akan ada giliran memeritkan itu. [wm.kl. 5:00 pm 06/12/10]

Pendakwaan Khir Toyo: Satu Sandiwara?????


Dari blog : http://www.malaysiawaves.com/

Mengapa Khir Toyo didakwa sekarang? Diwaktu kemarahan rakayt memuncak akibat kenaikan harga barang dan petrol? Diwaktu rakyat Selangor turun ke jalanraya memprotes kroni2 UMNO merompak air mereka? Di waktu rakyat Malaysia dihimpit dengan masalah kenaikan harga barang serta kenaikan kos hidup?

Sudahkah kita lupa apa yang berlaku kepada Eric Chia dalam kes PERWAJA.? Apakah Eric Chia telah didapati bersalah?

Siapakah Khir Toyo? Seorang bekas Menteri Besar yang kemungkinan besar tidak akan dicalonkan semula sebagai calon pilihanraya. Seorang yang dipersalahkan di atas kekalahan UMNO dan BN di Selangor 2008. Apa ruginya UMNO sekiranya Khir Toyo didakwa?

Kemungkinan besar Khir Toyo didapati tidak bersalah adalah sangat kecil. Lupakah kita kepada kes liwat Anwar Ibrahim. Walaupun begitu lemah kes pihak pendakwa, kes beliau terus berjalan.

Mengapa pula sistem yang jelas berat sebelah kepada UMNO tiba-tiba bertindak keras ke atas penyokong mereka?

Jawapannya, bagi saya, adalah semua ini tidak lain sebuah SANDIWARA!!!!. Khir Toyo cuma didakwa. Bukan didapati bersalah.

Kesan dari pendakwaan ini diharapkan adalah supaya rakyat kendur kemarahan mereka kepada UMNO terutama mereka yang berada di atas pagar. Pendakwaan ini diharapkan dapat memberi gambaran positif kepada rakyat Malaysia seolah-olah Barisan Nasional ikhlas di dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Ingat, wahai pembaca2 sekalian. Ini cuma PENDAKWAAN, belum lagi PENSABITAN KESALAHAN oleh mahkamah. PENDAKWAAN tidak menjamin apa-apa.

Cuma ia sekadar peluang kepada Barisan Nasional mengendurkan kemarahan rakyat kepada mereka.

Itu sahaja.

Tulang Besi

Kenyataan Mursyidul Am PAS: Timbalan Perdana Menteri – Patuhi Prinsip Islam



Isu pembahagian harta pusaka biasanya hanya didebatkan apabila seseorang sakit teruk atau sudah meninggal dunia. Sekalipun tidak salah, namun jarang sekali isu pembahagian harta pusaka timbul dalam keadaan seseorang dalam keadaan sihat sejahtera. Demikianlah juga apabila isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menerajui negara dibangkitkan oleh media massa milik UMNO.

Bagi saya, isu ini sengaja ditimbulkan oleh media berkenaan adalah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional sudah sakit teruk dan tidak mempunyai harapan untuk pulih lagi. Alhamdulillah, media massa milik UMNO sendiri pun nampaknya mulai sedar saat-saat akhir hayat mereka di pentas politik Malaysia. Insya-allah, saya optimis akan tiba juga ketikanya Barisan Nasional akan digantikan oleh Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya.

Berhubung isu perlantikan YB Lim Kit Siang selaku Timbalan Perdana Menteri yang kononnya dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini. Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa peliknya, kerana itulah amalan pemberitaan media milik UMNO terhadap pihak lawannya.

Pengalaman saya sendiri, misalnya dalam kes ‘Islam plastik’ yang pernah saya tuturkan di Pulau Pinang satu ketika dahulu pun pernah dilaporkan sebagai ‘Islam Palestin”. Salah dengar dan salah lapor atau memang disengajakan ialah satu budaya biasa dalam amalan media milik UMNO.

Hari ini, isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik UMNO dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin UMNO segenap lapisan untuk memberikan ulasan. Seolah-olah UMNOlah satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul UMNO dan seolah-olah rebah UMNO bererti rebahlah Melayu. Begitu hanyir dan busuknya ‘berita sampah’ yang disebarluaskan ke dalam minda masyarakat pada hari ini.

Ingin saya nyatakan, pendirian saya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam al-Quran (Surah al-Hujurat ayat 13):
“Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mengenal.”
Justeru Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT, melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya. Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai.

Lupakah kita bahawa UMNO pernah menyerahkan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun UMNO yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi UMNO? Ketika itu, kenapa profesor-profesor bertaraf cendikiawan diam membisu, dan kenapa pula, bila giliran DAP menjadi ketua menteri mereka sibuk mengulas ia sebagai mencabar ketuanan Melayu? Peliknya apabila Tun Dr Mahathir sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah gesaan itu sudah melupakan asal usul keturunan, ertinya melupakan ketuanan Melayu?

Apa yang penting ialah dasar, jika dasar Islam. Sesiapapun boleh menjadi pemimpin. Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa Menteri Besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh. Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang muslim yang soleh. Ini prinsip Islam yang perlu dipatuhi dalam membentuk kepimpinan negara dan ummah.

Seorang muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!

TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan

AG perjelas mengapa Khir lewat didakwa



Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata tempoh yang lama diambil sebelum mendakwa bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di mahkamah berhubung isu kediaman mewahnya di Shah Alam adalah kerana ia memerlukan siasatan terperinci dan rapi.

Kkhir toyo mansion 060709 06atanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu
meneliti maklumat-maklumat terperinci yang meliputi nilai rumah, tanah dan hiasan dalamannya.

"Begini. Selepas membeli sebuah rumah dengan harga lebih murah, ia tidak terus menjadi satu kesalahan," katanya sambil menambah, jika tidak, setiap orang yang membeli barang-barang jualan, akan secara automatik melakukan kesalahan.

"Anda harus kembali kepada asasnya (kes), bagaimana hal itu dijalankan, (mendapatkan) saksi; rakaman laporan saksi; supaya segalanya jelas ... terutama ini sudah lama berlaku... kita tidak boleh menjalankan siasatan yang tidak rapi."

Abdul Gani memberitahu wartawan demikian selepas Khir Toyo dan pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Haryoni dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah hari ini.

Khir Toyo didakwa membeli dua plot tanah untuk membina kediaman mewah itu dari Shamsudin pada diskaun yang besar. Shamsuddin turut didakwa bersubahat dengan Khir Toyo.

Saksi 'akan dilindungi'

NONEAbdul Gani juga memberitahu bahawa pihak pendakwa akan memanggil sekurang-kurangnya 16 orang saksi. Pendakwa juga telah memohon untuk kes itu didengar oleh Mahkamah Tinggi.

Ditanya mengapa kedua-dua tertuduh tidak didakwa di bawah Akta SPRM, Abdul Gani berkata kesalahan itu dilakukan di bawah Kanun Keseksaan.

"Tetapi tuduhan kami adalah dengan berdasarkan Akta SPRM. Jika anda ada mendengar di mahkamah, saya ada menyebutkan bahawa ini adalah kesalahan yang ditetapkan di bawah Akta SPRM, dan, berdasarkan itu, ia menjadi suatu kesalahan yang boleh dirampas.

"Jika ia hanya berdasarkan Kanun Keseksaan, ia menjadi kes saman dan anda mendapat waran tangkap, tetapi kita menggunakan Akta SPRM."

BN nie macam tak pedulik je apa jadi kat ISLAM..!!!???

Majdan Yahya
KUALA LUMPUR, 6 Dis: Konvensyen Barisan Nasional, semalam tidak banyak yang diperkatakan tentang memartabatkan Islam khususnya oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak selaku pemimpin parti yang didakwa pejuang Islam.

Mengulas perkara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, menyatakan bahawa Najib lebih mengutamakan isu-isu popular seperti konsep 1Malaysia yang diperkenalkan.

Pada masa yang sama tidak ada penekanan terhadap memartabatkan Islam.

“Najib tidak ambil peduli apa akan jadi kepada Islam dan sensitiviti umat Islam. Beliau lebih memandang program-program yang menyeronokkan dan popular seperti mewujudkan hub hiburan demi menarik pelancong asing,” ujarnya pada sidang media di pejabat Harakah di sini, hari ini.

Beliau berkata, Najib yang juga Perdana Menteri sepatutnya membela hak-hak Islam dan orang Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Pada masa yang sama, katanya banyak perkara-perkara pokok yang sepatutnya diberikan perhatian tetapi diabaikan oleh Najib seperti rasuah, penyelewengan kuasa dalam bidang kehakiman dan penafian konsep federalismne sehingga hak negeri-negeri diabaikan.

Baginya, secara senyap Najib kini menjadi diktator melalui bendera demokrasi dengan sekumpulan golongan elit yang dibangunkan.

Dalam pertemuan tersebut juga, beliau menekankan peranan media dalam memberi kesedaran kepada rakyat tentang pengabaian kerajaan kepada Islam dan Melayu.

Pada masa yang sama, katanya media alternatif hendaklah memberi kesedaran dan jaminan kepada rakyat marhaen, kakitangan kerajaan dan sebagainya bahawa mereka tidak akan terabai jika Pakatan Rakyat memerintah.

Khir Toyo didakwa atas tuduhan rasuah

 
Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah.

NONEKedua-duanya tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Khir Toyo, 45, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau mengaku tidak bersalah ketika tuduhan itu dibaca di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
khir toyo mansion 060709 06Khir Toyo didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.
ADUN Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Shamsuddin didakwa di bawah akta yang sama serta satu tuduhan tambahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Khir Toyo.
Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.
Azhanis menetapkan ikatjamin sebanyak RM750,000 tiap seorang.
Khir Toyo diwakili peguam M Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi.
Beliau menjadi menteri besar Selangor ke-13 dari Ogos 2000 hingga Februari 2008. Sebelum itu, SPRM menahan Khir Toyo ditahan di pejabatnya di Shah Alam kira-kira jam 9 pagi tadi sebelum dibawa ke mahkamah.
NONEDifahamkan kedua-duanya disoalsiasat pagi ini di ibupejabat SPRM Selangor di Wisma PKPS di Shah Alam.

Ketua pendakwaraya SPRM, Abdul Razak Musa tiba di mahkamah kira-kira jam 11.10 pagi dan terus menuju ke kamar DPP.

Khir Toyo pula tiba kira-kira jam 11.25 pagi.
SPRM telah menyiasat kes tersebut ekoran dakwaan yang dibuat oleh ADUN Sekincan, Ng Suee Lim.
Ng mendakwa hartanah seluas 50,000 kaki persegi itu dibina pada anggaran kos RM20 juta, manakala tanah itu dibeli dengan harga RM3.8 juta.

Khir Toyo telah menafikan dakwaan tersebut, dengan mengatakan beliau membeli rumah dan tanah tersebut pada harga RM4 juta. Beliau juga telah memfailkan saman fitnah terhadap Ng.