Isnin, 15 Ogos 2011

Artikel Hak Mempertahankan Islam Dan Kebebasan Beragama


Oleh Presiden PAS

Apabila tercetusnya isu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap penganjuran program di Damansara Utama Methodist Church, tidak semena-mena media arus perdana bertindak memaparkan berita dengan tujuan untuk melonjakkan UMNO menjadi juara mempertahankan Islam, seolah-olah memang benarlah UMNO adalah sebuah parti gagah perkasa yang mempertahankan Islam.

Namun rakyat boleh sebenarnya menilai siapakah yang sebenarnya memperjuangkan Islam, dengan menerokai kembali sifat dan sikap yang ditunjukkan terhadap agama Islam sejak puluhan tahun ini.

Perlu diketahui bahawa pertembungan agama untuk mencari penganut bukan perkara baru, kerana ianya berlaku sejak dari zaman Nabi Adam sehinggalah tamatnya ajal dunia ini. Umat Islam yang beriman bahawa mereka adalah penganut  agama para rasul yang berakhir dengan Nabi Muhammad S.A.W. wajib mempertahankan agama mereka dan menyebarkanya kepada seluruh manusia, namun dilarang melakukan paksaan terhadap sesiapa pun manusia, kerana Islam itu bukan sahaja ucapan secara lisan, ianya hendaklah disertakan dengan iman dan dinyatakan dengan amalan yang ikhlas. Memaksa orang menganut Islam hanya melahirkan penganut Islam munafik.Rasulullah S.A.W. telah berada dalam masyarakat majmuk, sama ada di Makkah dalam kedaan yang lemah, atau dalam kedaan yang sangat kuat berkuasa di Madinah. Ketika Islam dalam kedaan berkuasa di Madinah,

Rasulullah S.A.W. mengizinkan penganut agama lain wujud dalam masyarakat Islam secara aman  dengan menjadi rakyat yang wajib dilayan secara adil tanpa paksaan dalam agama  menerusi perjanjian bertulis yang dimeteraikan.
Dalam masa yang sama Islam mewajibkan  penganutnya  mempertahankan Islam, yang menjadi hak kepada penganut Islam sendiri dan kerajaannya. Zalim terhadap penganut agama lain juga adalah haram, sehingga Rasulullah S.AW memberi amaran neraka kepada orang Islam yeng mengkhianati perjanjian yang sebenarnya adil.

Al Quran meletakkan garis panduan dalam surah Al Haj, ayat 40 :

Maksudnya :“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara dan gereja-gereja penganut kristian, rumah-rumah ibadat orang yahudi dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

Rasulullah S.A.W  telah menafsirkan perintah Allah secara amalan, apabila Islam melarang penganut Islam menceroboh gereja dan paderi walaupun ketika berlakunya perang, maka sudah tentulah ketika damai keadaan ini lebih wajib dipelihara.

Bagi penganut agama lain yang wujud bersama dan berada dalam masyarakat Islam yang lebih ramai sekalipun,  maka hak beragama, berkeluarga, bekerja dan bermasyarakat bagi mereka adalah wajib ditunai dan haram dicabuli oleh mana-mana pihak. Dalam masa yang sama, banyak ayat-ayat Al Quran memaparkan berlakunya perbahasan secara hujah di antara Islam dan pihak lain dalam masyarakat Islam dengan mengutamakan kebijaksanaan.

Sejarah Islam juga memaparkan kewujudan orang Islam dalam masyarakat bukan Islam yang berkuasa dan adil tanpa paksaan terhadap penganut Islam. Rasulullah S.A.W. mengarahkan para sahabatnya berhijrah ke Habasyah, iaitu sebuah negara kristian ortodok yang adil di zamanya untuk mendapat perlindungan dan berlakunya dailog di antara Islam dan Kristian dengan hujah. Sejarah Islam di China menyebut kewujudan masyarakat Islam di negara China yang besar dan adanya orang Islam yang menyumbang khidmat negara dengan cemerlang kepada negara China dan adanya hubungan diplomatik diantara China dan Islam dengan baik.

Amir Al Mukmin Umar bin Al Khattab dijemput oleh paderi besar Palestin yang menyambut kemenangan Islam menjatuhkan Rom Timur yang sebelumnya dikuasai oleh penganut Kristian yang berlaku zalim terhadap mereka. Khalifah Umar datang menerima jemputan dan melawat Gereja Baitul Laham. Apabila tiba waktu sembahyang,  Umar bertanya :”Di mana tempat saya bersembahyang?”. Paderi besar menjawab :”Di sini sahaja (dalam gereja)”. Umar menjawab :” Tidak patut bagi Umar bersembahyang di sini, nanti generasi akan datang berkata : ”Umar pernah bersembahyang di sini lalu mereka mendirikan masjid di sini (dengan merobohkan gereja)”. Maka Umar pun keluar dan bersembahyang di halaman, dan bersempena dengannya didirikan masjid yang masih ada sehingga hari ini berhampiran dengan gereja yang masih ada. Apa yang paling menarik di zaman terkini, pihak gereja itu pula melindungi mujahidin Palestin yang dikepung oleh tentera zionis Israel.

Semua cerita benar tersebut berlaku dalam  kedaan Islam diamalkan dengan sempurna, yang berbeza dengan Islam yang diamalkan oleh UMNO pada ketika lalu dan kini. Islam warisan penjajah Inggeris  yang dizamannya Islam telah dirampas kuasanya daripada raja-raja Melayu dengan memenjarakannya dalam kepompong Jabatan Agama dan Majlis Agama yang tidak berkuasa mengikut Islam yang sempurna. Manakala kedudukan jabatan agama adalah mengikut bidang kuasa seperti jabatan-jabatan lain, seperti jabatan pendidikan, tanah, kebajikan , termasuk jabatan haiwan dan perhutanan. Kuasa jabatan agama itu sekadar mengawal masjid, mengawasi khutbah dan pengajian agama, mengendalikan urusan keluarga Islam, pusaka dan harta wakaf. Islam menjadi agama yang diperintah dan ditadbir, bukannya agama yang memerintah dan mentadbir. Hasilnya masjid boleh digeledah, tidak ada perbezaan dengan gereja dan imam boleh diambil tindakan bukan kerana kesalahan agama, tetapi kerana kononnya kesalahan politik. Politik pula dipisahkan daripada  agama, seperti juga pemisahan agama dengan politik dalam lain-lain agama selain dari Islam.

UMNO tidak layak mempertahankan Islam kerana tidak berwajah Khalifah Umar yang melawat gereja dan bersembahyang apabila tiba waktunya, kerana Umar mendirikan sembahyang maka dengan sendiri mendirikan masjid, sedang UMNO mendirikan masjid tetapi tidak semestinya mendirikan sembahyang,  boleh berhimpun  untuk membincangkan agenda negara dengan meninggalkan sembahyang, sedangkan Saidina Umar tidak memisahkan sembahyang dengan urusan negara.

Kesimpulannya kenyataan media milik UMNO dalam isu gereja lebih bersifat apa yang disebut oleh Imam Ali K.W. “Ucapan yang zahirnya benar , tetapi matlamatnya kebatilan“. Ianya dengan bermatlamat untuk memancing undi melayu Islam yang buta al Quran, bagi pilihanraya umum ke-13 untuk meneruskan agenda warisan penjajah iaitu Islam yang terpimpin bukannya Islam yang memimpin.

Marilah kita buka Al Quran dan ajaran Rasulullah SAW dan para sahabat dan ulama muktabar yang menunjukkan cara beramal dengan Islam yang sebenarnya. Bukan melalui media dan pengampu di sepanjang jalan. 

Isnin 8 Ramadhan 1432 bersamaan 8 Ogos 2011

BN Kedah umpama pemerintah ‘mulut buaya’


Hidup semasa pemerintahan penjajah seperti berada di dalam mulut buaya, tetapi berada di bawah pemerintahan BN seumpama masuk ke dalam mulut singa, demikian bidalan dibuat Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Katanya, semasa di bawah pemerintahan Inggeris, tiada wakil rakyat, tidak wujud pemilihan dan demokrasi, malah hasil mahsul negara diambil sewenangnya.Rakyat baik parti kanan mahupun kiri ujar beliau, telah sama-sama bangkit berjuang untuk kemerdekaan


“Kita berharap lepas merdeka, kita terlepas daripada mulut buaya kita jadi bebas, kita berpemerintahan sendiri. Kita telah bentuk satu perlembagaan tahun 1957, setuju negara demokrasi berparlimen dan setuju raja berpelembagaan. Tetapi selepas 50 tahun kita masih seperti dijajah. Ada demokrasi tetapi berat sebelah.

“Awal pemerintahan Perikatan nampak kebebasan, tetapi lama kelamaan di bawah BN telah menjadikan negeri ini seperti haknya. Buat satu sistem hingga pihak lain tidak boleh menang dalam pilihan raya. Jika menang sekadar sikit-sikit,” terangnya.

Jelas Phahrolrazi, Suruhanjaya Pilihan Raya tidak bebas, wujud kongkongan media dan berlakunya ketaatan paksa kakitangan awam kepada parti politik.

Katanya, BN telah menganggap harta negara sebagai hak mereka antaranya sepertimana perjanjian Lebuh Raya Utara Selatan dan air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Sangat rahsia hingga rakyat tidak boleh tahu. Ini perjanjian kerajaan, kenapa tidak boleh didedahkan kepada rakyat?

Perjanjian klasifikasikan sebagai rahsia. Kenapa rahsia, kenapa tidak boleh didedahkan kepada umum.

Kenapa tidak transparen? Kenapa semua perkara mesti disembunyikan?” ujarnya melontarkan persoalan bertalu-talu.

Beliau turut menyentuh perjanjian Petronas di mana semua BN Kedah umpama pemerintah ‘mulut buaya’ itu telah dijadikan milik individu dan parti politik.

Tambahnya lagi, segala perjanjian projek mega yang lain juga rahsia tetapi rakyat menanggung semuanya itu, sedang ia terus dimiliki dan dikuasai parti politik.

“Segala beban dihadapi rakyat. Ini sebenarnya yang kita katakan, masa di zaman penjajah duduk dalam mulut buaya, lepas merdeka ingat bebas, tetapi rupanya masuk mulut singa pula,” sindir beliau Tegas Phahrolrazi, Pakatan Rakyat memberi komitmen melaksanakan perubahan apabila diberi mandat memerintah kelak di mana kerajaan akan menjadi pengurus hak rakyat.

“Apabila dilaksanakan kemudahan atau projek untuk rakyat, itu semua adalah hak rakyat. Itu semua hak rakyat, kerajaan hanya urus dengan baik dan telus,” terangnya.

Di bawah BN juga katanya, wujud pilih kasih di mana pemberian hak rakyat ditentukan berdasarkan sokongan politik selain banyak urusan memerlukan sokongan dari jawatan politik kepartian.

Sedang di bawah Pakatan Rakyat, segala pemberian adalah berdasarkan kelayakan dan langsung tidak melihat kepada latar belakang kaum, agama mahupun parti politik.

Rakyat Menang Saman, Penyelewangan Felcra Terbongkar

Oleh Mohd Hafez


Kemenangan akhirnya berpihak kepada rakyat apabila seorang waris kepada peserta Felcra yang telah lama ditipu Felcra akhirnya menang saman atas pencerobohan Felcra Berhad keatas tanah ibunya.

Plaintif, Mohamad Ramly Sanji, 60, menfailkan saman berkenann pada 2008 selepas mendapati pihak defenden iaitu Felcra Berhad melakukan pencerobohan ke atas tanah seluas dua hektar dijalan Kacu Tapah, yang dibangunkan atas tujuan tanaman kelapa sawit.

Keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Hassan Abd Rahman.

Melalui keputusan itu, mahkamah memutuskan bahawa perjanjian yang dibuat oleh Felcra dengan ibu plaintif tidak sah.
Selain itu mahkamah turut mengeluarkan perintah injuksi mandatori yang menetapkan bahwa pihak Felcra perlu mengosongkan tanah tersebut dalam masa 30 hari dan segala kos pengosongan itu perlu ditanggung pihak Felcra.

Pihak Felcra juga perlu membayar ganti rugi kepada plaintif dan kos tindakan itu akan ditaksirkan mahkamah.

Plaintif, Mohamad Ramly Sanji, menyatakan perjuangan beliau banyak dibantu oleh Badan Bertindak Peserta Felcra ( BAPA ).

Sementara itu, menurut pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra ( BAPA ) yang juga merupakan Timbalan 3 Pesuruhjaya PAS Perak, Tuan Haji Razman, beliau menganggap kemenangan ini adalah kemenangan rakyat.

Beliau menyatakan, kini Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA) sedang rancak melakukan jelajah di rancangan-rancangan Felcra seluruh Negara untuk terus memberi kesedaran serta membantu peserta-peserta untuk mendapatkan semula hak-hak mereka yang selama ini tidak diendahkan oleh pihak pengurusan Felcra.


Untuk melihat rakaman penuh sidang Media ISU : RAKYAT MENANG TERHADAPA FELCRA boleh layari link:

Mohon sebarkan kepada seluruh rakyat,khususnya warga Felcra dan masyarakat Kampung

Di Sediakan Oleh
Mohd Hafez Sabri
( Pegawai Khas Pesuruhjaya PAS Perak )

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR MESTI DIAMBIL TINDAKAN

Multimedia Oleh Sofi Wahab


Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata PAS memohon campurtangan Seri Paduka Baginda Yang Dipertua Agong untuk bertindak ke atas Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang gagal menguruskan SPR khususnya tentang penyelewengan daftar pemilih.

Beliau berkata Pilihanraya sangat penting kepada sesebuah negara, di mana jika rakyat menerima keputusan sesuatu pilihanraya maka negara itu akan selamat dan aman tetapi sebaliknya jika rakyat menolaknya ia merupakan sesuatu yang bahaya.

Kenyataan penuh dalam video yang dikepilkan.

 

Jangan manipulasi isu akidah



Oleh Harakahdaily

SHAH ALAM, 14 Ogos: NGO Islam mendesak supaya isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam tidak dimanipulasikan dan diputarbelit oleh akhbar-akhbar untuk memberikan kelebihan politik kepada sesuatu pihak sehingga memecahbelahkan perpaduan umat Islam.Demikian antara resolusi Sidang Meja Bulat NGO-NGO Islam bertajuk Isu Aqidah Ummah: Apa Sikap Kita anjuran Ikatan Ilmuan Malaysia (Ilmuan) yang diadakan di Kompleks Perumahan Exco Kerajaan Negeri Selangor, semalam.NGO yang terlibat ialah PIMPINAN, ILMAM, Sekteriat Pemuda Perihatin, Yayasan Kepimpinan Malaysia, Ummah Prihatin Malaysia, ILMUAN, Pro – Guam, Perubatan Islam Darus Syifa’, PAPISMA, GAMIS, INTELEK, BISA - Belia Islam Ampang, IKATAN - Ikatan Padu Rakyat Malaysia, IMPROF - Pertubuhan Muslim Professional, Khidmat - Ikatan Khidmat Muslim, MPM - Majlis Perundingan Melayu, GAGASAN, PMRAM, UKP - Usrah Kebajikan Profesional, FORKAD - Front Bertindak Anti Murtad, Umah Care, Terap Care, Tabung Kebajikan Al-Masakin dan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Berikut adalah resolusi penuh sidang meja bulat berkenaan. 

1. Kami bersepakat dan beriltizam untuk mempertahankan pegangan akidah umat Islam di negara ini daripada dicerobohi selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Peruntukan Undang-undang yang sedia ada termasuk menguatkuasakan undang-undang murtad. 

2. Kami mendokong dan menyokong usaha mana-mana pihak untuk memperkukuh akidah umat Islam melalui program-program pendidikan dan kebajikan serta menuntut diperkasakan program-program tersebut termasuklah dengan mengembalikan semula bantuan yang secukupnya kepada sekolah-sekolah agama rakyat. 

3. Kami menggesa supaya Jais dan pihak-pihak berwajib yang lain segera membuat tindakan dan pendakwaan jika benar terdapat usaha-usaha untuk memurtadkan umat Islam dari pegangan akidah mereka sebagaimana tuntutan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan. 

4. Kami menuntut supaya badan-badan yang berkaitan dengan harta amanah umat Islam bertindak secara cekap bagi membantu umat Islam yang terpinggir dan tercicir supaya kehidupan mereka lebih terbela dan terjamin. 

5. Kami mendesak supaya isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam tidak dimanipulasikan dan diputarbelit oleh akhbar-akhbar untuk memberikan kelebihan politik kepada sesuatu pihak sehingga memecahbelahkan perpaduan umat Islam. 

6. Kami menegaskan bahawa isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam ini adalah isu yang sangat sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian kaum, justeru menyeru kepada semua pihak supaya tidak bertindak menyalahi undang-undang yang termaktub. 

7. Kami menuntut supaya semua pihak yang pernah terlibat merobohkan institusi-institusi Islam termasuklah meruntuhkan institusi pendidikan Islam, masjid dan surau memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia disebabkan tindakan-tindakan mereka inilah yang telah mendorong agama Islam tidak dihormati. 

8. Kami menggesa supaya institusi-institusi yang mentadbir urusan umat Islam diserahkan kepada mereka yang benar-benar layak dan dihormati supaya institusi-institusi ini akan dilihat sebagai benar-benar berwibawa. 

9. Kami mencadangkan supaya forum-forum seperti sidang meja bulat ini dijadikan platform muzakarah yang dapat menemukan semua pihak, pelbagai jalur pemikiran yang mewakili masyarakat madani dan parti-parti politik demi meninggikan syiar Islam di negara ini. 

10. Kami NGO yang hadir hari ini bersepakat untuk bergabung dalam membela Islam

Isu azan dedah sikap hipokrit Umno

Artikel Oleh Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Tindakan Umno cuba mempolitikkan semua isu  yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat (PR), terutamanya isu agama memperlihatkan betapa dangkalnya pemikiran dan sifat hipokrit mereka.

Dalam isu fatwa pembesar suara yang mengarahkan pembesar suara tidak digunakan untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran sebelum waktu Subuh di negeri Pulau Pinang, Umno kelihatan ingin mempolitikkan isu tersebut sehingga tidak boleh membezakan mana keputusan fatwa negeri, dan mana satu tindakan kerajaan negeri.

“Isu bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara pada waktu pagi bukanlah isu baru, kerana ianya sudah acap kali ditimbulkan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan rakyat.

Apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah keputusan mufti dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang yang melihat isu ini bercanggah dengan nas yang jelas, kerana tindakan memperdengarkan bacaan al-Quran, walaupun ia satu kebaikan; namun Islam juga mengambil kira soal sensitiviti orang lain yang inginkan ketenangan, ada kanak- kanak yang sedang tidur, orang yang uzur, terutamanya yang tua sakit dan sebagainya,” terang Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Fatwa larangan pembesar suara di Pulau Pinang yang dibuat Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kini menerima pelbagai sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk mufti Perlis, Juanda Jaya, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi kerana ia bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur cuba dipolitikkan Umno sebagai satu keputusan negeri Pulau Pinang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin dipetik sebagai cuba menyalahkan kerajaan negeri Pulau Pinang atas tindakan Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tersebut dengan menyatakan “perkara itu berlaku kerana kerajaan yang memerintah negeri berkenaan adalah parti yang langsung tidak sensitif terhadap isu-isu agama Islam.”
“Tindakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertikaikan keputusan Fatwa Kerajaan Pulau Pinang, kata Tuan Ibrahim merupakan satu penghinaan kepada wibawa Mufti dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang telah membua kajian dan keputusan yang teliti.

Bayangkan kalau kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pualau Pinang, Lim Guan Eng, tentu ia akan menimbulkan kegilaan huru-hara para pemimpin Umno dan saudara baiknya Perkasa dan juga mengkritik beliau,” bidas Tuan Ibrahim, yang juga Ketua Lajnah Penerangan PAS bahagian Dakwah.

Membandingkan dengan sikap pemimpin Umno dan Perkasa yang berdiam seribu bahasa Kerajaan Negeri  Melaka memanjang tempoh hiburan sehingga jam 3 pagi di bulan Ramadhan, Tuan Ibrahim menyifatkan semua aksi ini adalah “gelagat pimpinan Umno Perkasa yang hanya nampak ada mata pada perkara yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat, sebaliknya membiarkan kemungkaran di negeri yang diperintah mereka.”

“Sikap sedemikian mencerminkan Umno sebagai  sebuah parti yang mengutamakan kepentingan politik berbanding tuntutan  agama, sehingga sesuatu kemungkaran terang-terangan, terutamanya yang berlaku di negeri pimpinan Umno dibiarkan tanpa sebarang kritikan dikeluarkan,” tambah beliau.

Dalam isu murtad yang kini hangat diperdebatkan di media ekoran kontroversi melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Tuan Ibrahim mengecam sikap Umno yang tetiba cuba menjadi hero dalam isu ini, walhal mereka jugalah yang menyokong usul-usul pencegahan murtad umat Islam di Parlimen yang dibawa oleh para pemimpin PAS.

“Tapi kini dalam kemelut gereja-Jais, lebih-lebih lagi apabila berlaku di negeri Pakatan Rakyat maka golongan ini, seperti skrip drama yang tidak berubah terus berriuh-rendah di media kononnya nak menyelamatkan aqidah umat Islam dari murtad. Sekiranya ini berlaku di negeri mereka, percayalah isu ini akan menjadi senyap-sepi seperti isu warga asing menjadi pengundi, nama pengundi bertindih yang berlambak, bukti pengundi hantu ahli Umno sendiri dan sebagainya.

Sekiranya ada keuntungan politik, di sanalah mereka akan berkokok. Demi agama, bangsa dan negara – hanya dan bila hanya ada keuntungan politik - inilah sikap bermuka-muka pimpinan Umno,” selar Tuan Ibrahim.

Isu Bacaan Sebelum Subuh: TG Nik Abd Aziz & Pemuda PAS Setuju Fatwa Pulau Pinang

Written by zain-ys

Bernama melaporkan, TG Nik Abd Aziz bin Nik Mat Mursyidul Am PAS bersetuju dan menyokong fatwa yang dikeluarkan oleh JK Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran diperdengarkan melalui pembesar suara di masjid-masjid sebelum azan Subuh sehingga mengganggu masyarakat sekeliling.

Sementara ini Ketua Pemuda PAS Pusat juga menyatakan sokongannya terhadap fatwa berkenaan.
---------------------------------------

Petikan Berita
Nik Aziz Sokong Larangan Bacaan al-Quran Guna Pembesar Suara

KOTA BAHARU, 14 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju amalan bacaan al-Quran dibuat menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu mesyarakat sekitarnya.

Mursyidul Am PAS itu berkata perbuatan itu tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat sehingga boleh menyusahkan mereka dan seseorang Islam harus menghormati masyarakat sekeliling dengan tidak membuat bising, walaupun dengan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara.

Sehubungan itu, beliau menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh.

"Kita (umat Islam) hanya dibenarkan melaungkan suara ketika azan untuk mengerjakan solat. Oleh itu, saya tidak bersetuju jika masjid menggunakan pembesar suara sehingga menjejaskan orang lain yang sedang tidur atau sakit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRKB) di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan Kerajaan Pulau Pinang melarang penggunaan pembesar suara semasa mengaji al-Quran pada waktu subuh di masjid dan surau di negeri itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz menggesa wanita negeri ini yang suka membeli atau menyimpan barang kemas supaya menjualnya untuk dilaburkan dalam KRKB yang baru dilancarkan itu.

Ini kerana, katanya, ia akan memberi pulangan yang menguntungkan kesan kenaikan harga emas dunia yang menjadi bahan pelaburan urusniaga koperasi menerusi Permodalan Kelantan Berhad (PKB).

Semasa ditanya sama ada kebimbangan sesetengah rakyat Kelantan yang ingin melabur dalam koperasi itu kesan kegagalan Koperasi Kohilal yang kebanyakannya dianggotai PAS, Nik Abdul Aziz berkata kegagalan koperasi itu ekoran kejatuhan saham dan keadaan ekonomi merudum pada 1998.

ISU PEMBESAR SUARA SEBELUM SUBUH DI PULAU PINANG

Kenyataan Media Exco Hal Ehwal Agama Islam P.Pinang isu pembesar suara sebelum Subuh..

Kenyataan Media
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pulau Pinang
YB Abdul Malik Kassim, 12 Ogos 2011

PIMPINAN KERAJAAN NEGERI TIDAK CAMPUR TANGAN KEPUTUSAN MAJLIS FATWA NEGERI BERHUBUNG ISU LARANGAN PENGGUNAAN PEMBESAR SUARA SEBELUM SUBUH

Pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah campur tangan dalam sebarang keputusan Majlis Fatwa Negeri yang dipengerusikan oleh Mufti Negeri Sahibul Samahah Datuk Seri Haji Hassan Ahmad dan dianggotai oleh para ulamak, professional agama, serta wakil daripada istana.

Saya hanya mengetahui keputusan Majlis Fatwa berhubung larangan menggunakan pembesar suara sebelum subuh, berdasarkan laporan akhbar yang disiarkan pada hari ini.
 

Justeru, saya menolak dengan sekeras-kerasnya tohmahan pihak yang mengaitkan pimpinan kerajaan negeri terlibat dengan keputusan Majlis Fatwa tersebut.
Namun begitu, kerajaan Negeri Pulau Pinang menghormati keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bil. 2/2011 yang bersidang pada 7 April 2011, mengenai hukum membaca Al-Quran sebelum subuh dengan menggunakan pembesar suara.

Mesyuarat Majlis Fatwa Bilangan 2/2011, yang dipengerusikan Mufti Negeri Pulau Pinang kemudiannya telah disahkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bil.3/2011 pada 6 Jun 2011 memutuskan bahawa bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara dari surau dan masjid sebelum waktu subuh adalah dilarang menurut Hukum Syara'.

Namun, kerajaan negeri berpendirian pentadbiran masjid dan surau boleh
mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan tradisi dan amalan sedia ada atau sebaliknya, setelah menerima pemberitahuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam ( JHEAIPP) tentang keputusan Jawatankuasa Fatwa.

Sungguhpun begitu, sebagai pentadbir institusi agama, mereka sewajarnya menghormati keputusan Majlis Fatwa yang membuat keputusan berdasarkan hukum Islam, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Majlis Fatwa memutuskan bahawa perbuatan tersebut boleh mengganggu orang lain sama ada yang berada di dalam atau di luar masjid demi maslahah ummah. Ini berdasarkan hadis dan dalil yang berkaitan, bermaksud…

"Daripada Abi Sa'id al-Khudri berkata ia : ketika Nabi s.a.w beriktikaf ( beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda : Ketahuilah setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain dan jangan kamu mengangkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat." ( sunan Abi Daud, hadis ke 1332, juzuk 2, cet. Dar al Hadis)

Keputusan tersebut kemudiannya telah dimaklumkan kepada JHEAIPP pada 12 Julai 2011 untuk tindakan selanjutnya.
Saya yakin, demi kepentingan politik sempit pihak-pihak tertentu akan mengambil peluang mengekploitasi keputusan majlis fatwa tersebut. Pihak berkenaan pastinya akan menabur fitnah kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang anti-Islam.

Dalam semangat Ramadan Al-Mubarak ini, demi kepentingan umat Islam, kerajaan negeri sentiasa membuka pintu rundingan dan mengalu-alukan muzakarah dan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi memartabatkan Islam di negeri bertuah ini.

Malah, saya mengalu-alukan pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa bermuzakarah dengan pihak terbabit dalam semangat saudara seagama.


Suka membaca tulisan Dr. Dzul...

Ada kebijaksanaan dan hikmah....
 
Menilai gelagat dan “nawaitu” orang politik pertahan Aqidah ummat.

Akhbar Utusan Malaysia terus menerus memutarkan isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) keatas sebuah gereja Methodist di Damansara Utama baru baru ini tanpa memperdulikan tindakan itu bakal mengundang pertentangan agama dan perkauman yang melampau.

Meletakkan tajuk Bajet 2012 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri sebagai tajuk utama pilihan pengarang, akhbar itu juga turut memaparkan gambar berwarna sekumpulan badut Umno BN menjalankan demonstrasi di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Gambar muka depan itu menyerlahkan peri-laku mereka yang meletakkan mangkuk tandas dan penyapu sebagai bantahan kepada Menteri Besar Selangor. Demonstrasi itu adalah bagi menyatakan perasaan mereka yang tersinggung dengan tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana kenyataan memohon maaf kepada pengurusan gereja terbabit atas serbuan pihak JAIS itu.

Seramai kira kira 30 orang demonstran hadir yang mewakili 2 pertubuhan bukan kerajaan iaitu, Permuafakatan Warisan Melayu Malaysia (Warisan) dan Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan ( Gempak). Mereka turut mempertikaikan sikap Khalid yang kononnya dituduh memperdagangkan Islam dan akidah umat islam kerana kepentingan politik.

Apakah salah tindakan Khalid memohon maaf bagi pihak kerajaan negerinya, sementara menunggu laporan lengkap dari JAIS berikutan insiden tersebut, sehingga tindakannya itu dianggap mereka sebagai memalukan dan tidak wajar?

Kewajaran Khalid meminta maaf itu tidak patut diputarbelitkan media. Ia boleh diertikan bahawa Khalid kesal isu sebesar ini tidak dimaklumkan kepada beliau dan tidak juga kepada Exco agamanya. Ini tidak bermakna bahawa Khalid menyokong gereja tersebut. Sebaliknya pulak ianya juga tidak menggambarkan Khalid menyalahkan JAIS dalam tindakan mereka.

Yang penting sebagai ketua sebuah negeri, Khalid mahu dilihat berhati hati dalam membuat sebarang tindakan kerana menjaga keharmonian perasaan antara kaum dan agama. Tegasnya Khalid mahukan laporan lengkap disiapkan bagi mengadili kes ini dengan baik berpandukan maklumat yang tepat.

Begitu juga dalam menagani isu isu lain bersabitan pertentangan agama seperti masalah kuil dan kepala lembu dan babi hutan, serangan terhadap rumah ibadat dan kes perebutan anak selepas ibu atau bapa kembali ke agama asal dan sebagainya. Isu seumpama ini amat sensitif dan emotif, berlembut tidak bermaksud kita lemah atau menyebelahi dan lunak kepada sesuatu pihak.

Laporan lengkap dan terperinci insiden tersebut dijangka diterima selepas Hari Raya Aidilfitri. Khalid mahukan laporan penuh termasuk semua bahan bukti dan soal siasat keatas 12 individu yang dikatakan terbabit dalam usaha memesongkan akidah mereka oleh pihak gereja Methodist Damansara Utama.

Pengarah Eksekutif, Harapan Komuniti Raymond Koh juga telah tampil memberi kenyataan bahawa majlis makan malam yang diadakan di premises gereja tersebut adalah bertujuan mengutip dana , ianya dihadiri jemputan dari pelbagai kaum dan beliau juga mendakwa makanan yang dihidangkan halal dan disediakankan oleh orang melayu.

Beliau menyatakan kekesalannya bahawa majlis kutipan dana itu telah disalah tanggap sebagai majlis memurtadkan orang Islam. Beliau juga terkilan serbuan JAIS itu dibuat tanpa sebarang waran ditunjukkan walaupun pihaknya meminta pegawai JAIS berbuat demikian.

Walaubagaimana pun JAIS sedar bahawa mereka dibenarkan berbuat demikian dibawah peruntukan Enekmen Ugama Bukan Islam 1988. JAIS kini bertanggungjawab mengumpul segala bukti bagi memperkukuhkan dakwaan bahawa wujud usaha untuk memurtadkan orang Islam.

Akhbar Utusan Malaysia juga mendahului pihak JAIS apabila menyiarkan satu lapuran dari beberapasumber di muka 4 akhbar bertarikh 11 Ogos 2011, bagaimana serbuan itu dibuat serta berjaya mendapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa majlis tersebut sememangnya majlis memurtadkan orang islam. Umum menyaksikan sekali lagi UM menjalankan perbicaraan melalui media atau “trial by the media”. Ini amat dikesali pelbagi pihak. Ia juga bercanggah dengan prinsip Islam “Al-Aslu Bari atul Zimmah” – “Tidak Berdosa-Bersalah selagi belum dibuktikan” yang berkebetulan diguna pakai dalam perundangan sivil.

Pengarang UM seharusnya menghormati kenyaatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang meminta semua pihak menghentikan segera sebarang spekulasi sehingga pihak JAIS menyelesaikan siasatannya. Tampaknya UM mendahului Menteri agama itu.

Sementara itu pimpinan PAS terus dikecam oleh pelbagai pihak atas sikap yang dikatakan berdiam diri kerana menghitung kepentingan politik mereka.

Sayugia dingatkan bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Hj Hadi Awang telah membuat kenyataan akhbar selepas mesyuarat JK Kerja PAS Pusat bahawa PAS akan bersemuka dengan kedua dua pihak terbabit. Ini bagi mendapatkan penjelasan supaya jalan terbaik yang lebih harmoni dan adil dapat dicapai.

Kajian rambang penulis, mendapati pendirian itu amat disenangi pelbagai pihak: Islam dan Bukan-Islam. PAS nyata sekali lagi menyerlahkan sentuhan politiknya yang semakin matang. Apakah itu yang sangat dicemburi seteru poitiknya, Umno. Mungkin PAS lebih memahami dan mendalami tuntutan “Politik Baru”.

Seorang penganalis politik upahan Umno, atas perasaan cengkil mungkin, telah menyelar PAS mengalami sindrom “skizofrenia politik” kerana kononnya berpecah pendirian dalam mendepani isu ini. Ketua Pemuda PAS dikatakan menyokong Dr Hassan Ali, sementara pendirian pimpinan Pusatnya menentang. Cubaan beliau melaga-lagakan PAS itu nyata meleset.

Apa yang disebut oleh Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam kenyataan blognya, menegaskan pendirian Pemuda yang tidak akan bertolak ansur dalam mempertahankan soal akidah umat Islam, walaupun terpaksa mengorbankan tenaga, wang ringgit mahupun darah dan nyawa. Komitmen itu adalah menasabah dan sepatutnya lahir dari seorang Ketua Pemuda sebuah parti Islam.

Nasrudin juga turut menyatakan menyokong tindakan pimpinan tertinggi mengatur pertemuan dengan pihak gereja dan JAIS sebelum membuat sebarang kenyatan. Jelasnya soal akidah tidak boleh dipandang ringan terutama dalam negara yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.

Kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dalam akhbar Utusan Malaysia jelas bertujuan mengeruhkan semangat setiakawan antara PAS dengan DAP dan PKR apabila memutar belit kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS dalam soal akidah umat islam. PAS dan Ketuanya tidaklah semudah itu boleh dipermainkan oleh politik murahan dan ledakan emosi orang-orang Umno yang mahu dilihat menjadi jagoan Islam

Terkini Ezzam Mohd Nor, Lokman Adam, bersama seorang ahli parlimen bebas Zulkifli Nordin dengan sekumpulan pemuda yang menggelarkan diri mereka Gerakan Mencegah Murtad telah mengisytiharkan kesediaan untuk berperang habis-habis terhadap portal Malaysiakini dan Malaysianinsider kerana didakwa biadap terhadap JAIS.

PAS tidak akan terikut-ikut dengan rentak dan gelagat Umno yang gagal mempamerkan sikap Islam yang sebenarnya. PAS tidak perlu bersaing dengan Umno bagi membuktikan siapa lebih ‘hebat’ untuk mempertahankan aqidah ummat Islam. Sebabnya jelas. Tradisi mempertahan aqidah dan akhlak Ummat sememang menjadi tunggak dan teras perjuangan PAS termaktub dalam Perlembagaan parti Islam itu.

Umno yang baru celek dan ketika bertindak ternyata lebih memburukkan lagi keadaan. Kini tindakan ganas dan melulu ini bakal mencetuskan mudharat bagi Islam. Dalam kejahilan uslub dan metodologi memperjuangkan Islam, Umno gagal menyerlahkan ‘kemuliaan dan kerahmatan’ agama ini.

Menilai kesungguhan pemimpin pemimpin Umno mempertahankan akidah umat islam yang dikaitkan dalam isu serbuan ini, mengingatkan kita pada satu peristiwa yang melibatkan mantan mufti Selangor ketika itu Al-Marhum Dato’ Ishak Baharom yang “dipecat” dari jawatannya juga ketika itu cuba menyelamatkan akidah umat Islam.

Kerajaan negeri Selangor, dibawah pentadbiran Umno-BN telah tidak menyambung kontrak Dato’ Ishak Baharom sebagai Mufti Besar Selangor ketika itu kerana terlibat dalam usaha penangkapan 3 orang gadis melayu oleh JAIS yang menyertai pertandingan ratu cantik di salah sebuah hotel di Subang Jaya pada 13 Jun 1997.

Beliau dan penguasa JAIS dikecam hebat oleh media yang juga ketika itu dikuasai oleh Umno BN. Bantahan orang ramai juga disiarkan secara terbuka dan pelbagai peringkat pimpinan Umno BN mengutuk tangkapan tersebut. Dato’ Ishak Baharom dikecam hebat oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamed.

Sebagai seorang Mufti Besar Negeri Selangor tentulah beliau percaya sebarang perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan adalah dilarang sama sekali oleh agama islam. Ini termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor yang telah diwartakan 2 tahun sebelum kejadian itu pada 11 Mei 1995.

Pimpinan Umno wajar diingatkan bahawa ada 2 kelompok utama yang terdedah kepada kerosakan aqidah. 1. Terlalu miskin dan dhaif dalam menyara kehidupan dan 2. terlalu jahil serta longgar dalam pegangan agama serta dibuai dengan hiburan yang melampau. Sejak isu murtad disebut-sebut bertahun lamanya , apakah tindakan konsisten yang dilakukan Kerajaan Pusat dan menteri agamanya?

Pemimpin Umno mutakhir ini yang menunjukkan ghairah bercakap tentang mempertahankan aqidah ummat ini perlu tengok balik kepada diri mereka sendiri. Sejauhmanakah mereka terlibat dalam menjadikan kedua-dua golongan tadi semakin kritikal dan tenat

Tengok kepada polisi dan dasar hiburan negara. Tengok juga kepada kejayaan proses pembasmian kemiskinan selepas DEB dan jurang kaya-miskin yang semakin melebar. Tengok kepada proses pembolotan kekayaan negara dan peminggiran sebahagian rakyat yang terpinggir dalam arus pembangunan mutakhir ini. Golongan asnaf dan fuqara serta ibu tunggal nyata dalam pengkalan data negeri dan Pusat.

Persoalannya, mengapakah masih ada ummat Islam yang dhaif mengadu nasib kepada badan pertubuhan NGO Kristian dan lain-lain? Benarkah agensi-agensi dan jabatan-jabatan Islam gagal menangani keperluan mereka, seperti lazim didakwa pelbagai pihak? Apaah tindakan undang-undang sahaja mampu mengawal kejadian seumpama ini? Ataukah ia membayangkan permasalahan yang lebih mendasar dan mendalam di segi pegangan aqidah, kafahaman dan amalan ummat Islam di negara ini?

Islam berdiri atas hujjah dan kefahaman yang jelas. Keyakinan aqidah mesti dibina atas ilmu dan pengetahuan yang kukuh. Aqidah adalah natijah iman yang mendalam dan tidak dapat dipaksakan. Paksaan adalah bertentangan dengan uslub atau kaedah menanamkan Iman dan keyakinan. Paksaan akan membuahkan sifat Nifaq, satu yang berlawanan dengan sifat Aqidah yang mesti dilakukan secara redho atas kejelasan hujjah dan ilmu.

Bertempek, melaung dan berdemonstrasi sahaja untuk ummat berpegang dengan aqidah bukan jalannya menanam dan menyuburkan Aqidah ummat. Meleka dan melalaikan ummat dengan hiburan keterlaluan juga berlawanan dengan usaha untuk mempertahankan aqidah ummat.

Atas bahu kepimpinan politik dan agama, tugasan untuk mendidik ummat Islam ini diletakkan. Aqidah adalah keyakinan hati dan jiwa. Ia tidak dapat dipasakkan dengan undang-undang dan hukuman semata-mata. Ia perlu dibina dengan menyeluruh dan konsisten serta bereterusan.

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak memerlukan ia diperkasa dengan ‘keangkuhan’ lebih dari ia perlu ditampilkan dengan sifat “Rahmah” dan “Ihsan Belas” kepada pihak lain. Ada yang juga tak kena dengan kepimpinan yang bertanggungjawab tentang agama Islam di Negara ini yang gagal memahami bahawa Islam itu bukan dalam kedudukan diserang atau “under-siege” seperti yang didakwa pihak tertentu yang tidak memahami watak dan sifat Islam itu sebenarnya.

Bahkan Politik Baru menampilkan satu keselesaan dan perasaan saling menghormati yang cukup mendalam sekaligus membuka ruang ‘dialog’ antara agama yang cukup luar biasa. Pernah penulis sendiri terasa akan permusuhan dan perseteruan yang sangat tajam dengan pihak IFC satu ketika dahulu.

Namun setelah ruang dialog, wacana dan diskusi mampu dibina, maka runtuh segala tembok-tembok prajudis. Semua masih kuat dengan pegangan agama dan kepercayaan masing-masing, mungkin lebih kukuh lagi. Tetapi hari ini , kami boleh berkawan bahkan bergandingan bahu kea rah mencari “Satu Malaysia Baru” yang lebih cemerlang, hebat dan gemilang.

Hari ini, Dato Ambiga, Malik Imtiaz dan Harris Ibrahim adalah kawan dan rakan seperjuangan penulis dalam BERSIH 2.0. Kami memahami mereka dan mereka lebih memahami kami lagi dan mengapa ummat Islam cukup sensitif dengan persoalan Aqidah dan Akhlak atau Moral. Kami akan terus mewujudkan dialog dan wacana nasional ini bagi memperkukuhkan persefahaman antara agama dan budaya bagi menjauhi prajudis dan buruk sangka. Inilah Politik Li-Ta’arafu – “Saling Kenal-Mengenali-Hormat-Menghormati” yang dianjurkan Al-Quran.

Bukankah persefahaman ini yang dimahukan PM Najib dalam pendekatan “moderate’nya? Bukankah ini yang dicanang merata dunia yang kononnya dilaksanaka di Negara contoh ini? Namun jelasnya kesemua ini tampak kosong dan lompang. PAS dan Pakatan rakyat jauh lebih berjaya dan telus dalam menghidupkan dan menghayati tuntutan “Al-Wasatiyyah” atau “Keserdahaan” yang dianjurkan oleh Islam.

Kembali kepada persoalan pokok. Bila direnungi kesemua pergolakan ini, anda tidak dapat mengelak dari bertanya. Benarkah Umno konsisten untuk mempertahankan aqidah ummat ataukah ia lebih tepat lagi kerana ingin menangguk di air keruh untuk kepentingan kepartaian sahaja bagi menjatuhkan lawan politiknya? Politik itu murni dan medan untuk bersaing bagi mencari redho Allah. Tetapi nyata hari ini, politikuslah kelompok utama yang merosakkan medan amal ini.

Mungkin kesemua ini tidak salah dari perspektif politik Umno. Tetapi jangan sampai ‘nawaitu’ politik sebenar itu, ketika diadunkan atas nama agama, bakal merosakkan kemuliaan Islam sebagai agama Rahmatan Lil-‘Alamin!

Masa akan menentukan dan menyerlahkan kebenaran hakikat ini.

Dr Dzulkefly Ahmad,
Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan PAS.
by Dr. Dzul

Panas!! Cara SPR Membantu BN Menipu


istem demokrasi pada umumnya merupakan suatu proses di mana pilihanraya akan diadakan bagi membolehkan rakyat jelata untuk memilih kerajaan mereka. Sesebuah kerajaan perlu memperbaharui mandate mereka apabila tibanya masa sebagai penilaian terhadap prestasi kerajaan tersebut di penggal yang lalu yang jauh bezanya dengan sistem autokratik di mana pemerintahnya tidak perlu menghadapi sebarang pilihanraya. Walaubagaimanapun, sesuatu pilihanraya tidak semestinya membawa kepada perubahan menyeluruh di dalam pentadbiran kerajaan bercirikan sistem satu parti di mana parti memerintah sahaja yang berpeluang untuk memenangi pilihanraya tersebut.


Kerajaan yang tidak berani menghadapi pertandingan di dalam pilihanraya tetapi tetap terpaksa menghadapi pilihanraya akan mencuba untuk mencacatkan sistem demokrasi tersebut dengan memutarbelit dan menyulitkan perjalanan sistem tersebut.

Di Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah ditugaskan untuk menguruskan pilihanraya di negara ini. Pendek kata, SPR sepatutnya bebas dan berkecuali dari segi pengurusan dan pandangannya serta bertanggungjawab terus kepada Yang DiPertuan Agong, tetapi adalah amat berdukacita melihat SPR tidak menjalankan tanggungjawabnya secara bebas dan berkecuali yang mana ia sepatutnya.

Kaedah “gerrymandering”

Kaedah ‘gerrymandering’ ini adalah merupakan suatu amalan memanipulasi sempadan pilihanraya bagi mewujudkan lebih banyak kerusi perundangan untuk parti memerintah. Kaedah tersebut termaktub setelah Elbridge Gerry, Gabenor Massachusettes (1810-1812) di Amerika pada masa itu telah menandatangi rang undang-undang bagi mewujudkan lebih banyak kawasan pilihanraya di kawasan perundangan yang dikuasai partinya.

SPR juga turut menggunakan kaedah ini dengan sepenuhnya. Kata pengerusi penganjur Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan: “kita telah mengkaji persempadanan semula yang telah dilaksanakan pada tahun 2003 yang meliputi pelbagai keadaan yang dipersoalkan kesahihiannya di mana sesetengah kawasan perundangan telah melepasi had sempadan di antara kerajaan-kerajaan tempatan dan juga yang merangkumi keadaan yang cukup aneh.

Salah satu amalan ‘gerrymandering’ adalah untuk mewujudkan lebih banyak kerusi-kerusi parlimen atau dewan undangan negeri di kawasan-kawasan yang dikuasai oleh BN. Apa yang telah kita perhatikan adalah tidak banyak kerusi baru yang diwujudkan di Kelantan yang telah sekian lama diperintah oleh PAS.

Oleh kerana kawasan luar Bandar dianggap lebih pro-BN, maka lebih banyak kerusi-kerusi baru diwujudkan di kawasan-kawasan ini jika dibandingkan dengan jumlah kerusi di kawasan bandar. Keadaan ini telah mengakibatkan banyak perbezaan yang ketara di antara saiz kawasan dengan jumlah penduduk di kawasan tersebut. Misalannya kerusi parlimen Kapar yang kini dikuasai oleh PKR mempunyai jumlah pengundi seramai 112,224 orang, manakala banyak kerusi-kerusi di kawasan luar bandar yang dikuasai oleh BN hanya mempunyai jumlah pengundi pada kadar 50,000 orang sahaja. Di kawasan parlimen Putrajaya pula, hanya terdapat 7,000 pengundi sahaja di kawasan tersebut yang kebanyakan terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan pusat.

Setelah pilihanraya umum 1999, SPR telah menumpukan perhatian mereka dalam mewujudkan lebih banyak kerusi campuran pelbagai kaum sebagai menghalang perkembangan pengaruh PAS pada masa itu. Kerusi campuran pelbagai kaum ini juga dianggap sebagai kawasan-kawasan yang selamat buat BN disebabkan oleh corak pemilihan pada masa itu di mana orang-orang Cina hanya mengundi DAP manakala orang-orang Melayu bertumpu kepada PAS. Bagaimanapun kerusi-kerusi campuran ini telah memberikan tamparan yang hebat kepada BN pada pilihanraya umum 2008 yang lalu.

Persempadanan semula yang terbaru telahpun bermula pada Mac 2011 yang lalu dan ianya akan mengambil masa selama setahun untuk diseragamkan. Bagi menyempurnakan proses persempadanan semula ini, BN memerlukan sokongan majority dua pertiga undian di parlimen tetapi BN kini tidak lagi mempunyai majoriti tersebut. Oleh itu, adalah kurang pasti sama ada persempadanan semula ini dapat dilaksanakan oleh BN di dalam pilihanraya yang akan datang.

Pemindahan pengundi
Walaupun tidak melaksanakan proses persempadanan semula, SPR turut mencuba cara lain dengan memindahkan para pengundi dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain ataupun dari sati pusat mengundi ke satu pusat mengundi yang lain bagi mengelirukan para pengundi sewaktu pilihanraya diadakan. Kegiatan pemindahan tidak sah yang dilakukan oleh SPR jelas bertentangan dengan undang-undang pilihanraya di mana hanya pengundi itu sendiri yang berhak untuk menentukan samada seseorang pengundi itu hendak berpindah dari satu kawasan ke satu lagi kawasan.
Undi pos

Undi pos merangkumi para pengundi yang berkhidmat sebagai anggota tentera, polis dan lain-lain pasukan keselamatan yang tidak akan dapat mengundi di kawasan mereka masing-masing sewaktu pilihanraya diadakan. Kritikan yang berterusan terhadap perlaksanaan undi pos ini adalah kerana selama ini para pemerhati adalah tidak dibenarkan untuk memerhati proses undi pos ini sewaktu ianya dijalankan. Sistem pengundian pos ini telah diketahui umum sebagai suatu langkah untuk menyelamatkan kerusi-kerusi parlimen atau dewan undangan negeri yang berisiko tinggi untuk BN. Contoh yang paling ketara adalah perdana menteri sekarang Najib Razak yang kalah di dalam pengiraan pertama di kerusi parlimen Pekan pada tahun 1999, tetapi beliau tiba-tiba diumumkan menang setelah pengiraan semula diadakan hasil daripada penambatan undi-undi pos ke kawasan tersebut.

Selain dari itu, kekuatan pasukan simpanan askar wataniah juga telah ditambah oleh Kementerian Pertahanan sebagai langkah kerajaan untuk turut menambah jumlah undi-undi pos. Kementerian Pertahanan juga telah merancang untuk menambah kekuatan jumlah kekuatan pasukan askar wataniah kepada 58 kompeni di setiap kawasan parlimen di masa yang terdekat sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengundi hantu

Satu lagi masalah yang sering dinafikan oleh SPR adalah kewujudan pengundi hantu. Contohnya di negeri Perak terdapat lebih 1600 orang pengundi yang telah berumur lebih daripada 100 tahun, terdapat lebih daripada 100 orang pengundi yang berdaftar di satu alamat rumah di kawasan-kawasan yang tertentu, jumlah pengundian di sesuatu kawasan telah melebihi jumlah pengundi yang sebenarnya dan sebagainya. Walaupun terdapat banyak tanda-tanda dan bukti-bukti kukuh mengenai kewujudan amalan-amalan tidak sihat sewaktu pengundian, ianya sering dinafikan oleh SPR yang selalu memberi alasan bahawa kesemua taktik ini hanya mainan politik pembangkang semata-mata.

Selain dari itu, permintaan umum agar SPR menggunkan dakwat kekal bagi membendung kegiatan pengundi hantu juga ditolak mentah-mentah oleh SPR. Sebagai imbasan kembali, SPR telah menarik balik penggunaan dakwat kekal pada saat-saat akhir pada pilihanraya umum 2008 yang lalu, setelah 47,000 botol dakwat tersebut telah dibeli.

Kelayakan sebagai pengundi seberang laut
Mengikut undang-undang yang ada sekarang hanya empat kategori rakyat Malaysia yang berada di luar negara layak sebagai pengundi seberang laut iaitu: anggota tentera, polis, pegawai kerajaan, pegawai dan kedutaan, serta pelajar-pelajar sepenuh masa bersama dengan suami dan isteri masing-masing. Manakala mereka yang bekerja di sektor swasta diseberang laut atau mereka yang berniaga di negara lain adalah tidak layak untuk menjadi pengundi seberang laut.

Adalah dianggarkan terdapat lebih satu juta rakyat Malaysia yang bermastautin dan bekerja di seberang laut bagi menggelak daripada layanan tidak adil dan ketidakadilan social dan perkauman yang telah lama berleluasa di negara ini.

Pembawa kesulitan kepada pengundi

Kita telah beberapa kali perhatikan di beberapa siri pilihanraya kecil baru-baru ini di mana SPR telah banyak kali menetapkan tarikh pilihanraya diadakan pada hari-hari bekerja dan enggan mengadakan pilihanraya tersebut di hujung minggu bagi menggalakan lebih ramai pengundi keluar mengundi.

Jelas terbukti bahawa amalan SPR mengadakan pilihanraya ini pada hari-hari bekerja telah menyulitkan ramai pengundi kerana tidak mendapat cuti ataupun para pengundi akan menghadapi kesulitan untuk pulang ke kawasan mengundi mereka kerana keadaan yang tidak mengizinkan.

Keengganan SPR untuk melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik apabila seseorang rakyat Malaysia telah mencapai umur 21 tahun juga menjadi tanda tanya apakah sebab yang sebenarnya SPR berbuat demikian.

Jelas terbukti dengan pelbagai karenah di sini telah menunjukkan bahawa sekatan-sekatan ini adalah bertujuan untuk mengekalkan kerajaan dan kuasa BN yang ada sekarang. Selagi BN masih ada, demokrasi akan tetap dikekang dengan cara-cara begini dan selagi itulah demokrasi akan dilemahkan./mc
addin77

Zahid Hamidi Jahil hukum agama ?

Naib Presiden Umno DS Ahmad Zahih Hamidi jahil hukum agama.. sekurang-kurang begitulah jika berasaskan kenyataan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berhubung larangan penggunaan pembesar suara bagi bacaan al Quran pada waktu subuh di Pulau Pinang.

Menteri berkenaan Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga tidak membantah malahan menyifatkan keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang itu selaras dengan pekeliling Jawatankuasa Fatwa Negeri. Begitu juga dengan bekas mufti negeri itu, Prof Madya Dr Mohamad Asri Zainal Abidin menyokongnya.
Zahid sebaliknya menghentam larangan itu malah menyifatkan ia sebagai keputusan kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil menghormatinya kerana keputusan itu selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri yang telah mengeluarkan surat pekeliling mengenai larangan itu pada 3 Ogos lepas.

Asri menyifarkan ia adalah selaras dengan arahan Nabi Muhamamad Saw sendiri.

Dr Juanda berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di masjid dan surau dengan kuat adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

“Perbuatan mengganggu ini adalah haram dan berdosa,” katanya sambil menegaskan: “Kami sokong kenyataan itu dan Perlis dah lama kuat-kuasakan larangan itu di masjid dan surau, walaupun kadang-kadang ada (pihak) yang larang."
Menurut Dr Juanda, Jawatankuasa Fatwa Perlis telah membincang hal berkenaan sejak 30 April 2007 dan dalam garis panduan masjid di negeri itu diletakkan satu klausa: 'tidak membaca dan memperdengarkan sebarang bacaan selain azan dengan kuat sebelum dan selepas'.

Keputusan itu diluluskan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Perlis, 25 Julai 2007 yg dipengerusikan oleh Tuanku Raja Muda Perlis.

“Ini adalah amalan yang menepati kehendak Sunnah Nabi SAW yang sepatutnya dipatuhi oleh semua umat Islam yang cintakan Sunnah Nabi SAW yang sahih.

“Pihak yang pertikai adalah jahil tentang hukum dan peranan masjid dalam Islam,” katanya.


Nampaknya DS Ahmad Zahidi jahil lah dalam bab ini ?

"Kami menghormati keputusan itu kerana ia adalah hasil mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 7 April lepas dan surat pekeliling mengenai larangan sudah dikeluarkan pada 3 Ogos lalu," kata Jamil.

Ahmad Zahid, berkata tindakan melarang masjid dan surau menghentikan bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara pada subuh di negeri itu tidak akan berlaku jika kerajaan negeri Pulau Pinang sensitif terhadap agama Islam.

Beliau berkata, perkara itu berlaku kerana kerajaan yang memerintah negeri berkenaan adalah parti yang langsung tidak sensitif terhadap isu-isu agama Islam.

Beliau berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang seharusnya merujuk fatwa itu kepada Yang Di-Pertuan Agong selaku ketua agama.

"Mereka yang menjadi pemimpin parti politik hendaklah senada memberikan pendapat, jauh sekali memberi pendapat politik sebagai fatwa Islam," katanya.
penangdaily