Selasa, 7 Ogos 2018

ISU PAKAIAN PRAMUGARI

*SEDIAKAN PAKAIAN MENEPATI SYARIAH BAGI PRAMUGARI DAN KRU*

*Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor*

Pemerkasaan agenda Islam dalam kerajaan PH seperti  telor dihujung tanduk, samar-samar dan terus mengalami perlecehan. Bagi MP Sepang yang juga Timbalan Menteri, seolah-olah isu rasuah jauh lebih penting daripada isu aurat staf penerbangan , walhal anggota legislatif PAS telah mengambil bahagian dalam pelbagai segmen soalan dan perbahasan sidang Parlimen kali ini. Dalam Islam tiada yang boleh diketepikan dengan alasan kecil atau besar sesuatu arahan Allah,namun berhala moden ideologi manusia seperti pragmatis sekular tidak meletakkan Islam sebagai petunjuk dalam mentadbir urusan kenegaraan. Wajah Indah Islam diburukkan lagi dengan fahaman neomuktazilah yang mengutamakan akal dalam (mengartikulasi sesuatu isu .

Jawapan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang menasihatkan mereka yang merasakan seragam pramugari Malaysia terlalu menggoda supaya merendahkan pandangan adalah jawapan palling lucu dan tidak bertanggungjwab. Bagi rakyat, jawapan menteri seperti ini mengulangi jawapan penuh kepandiran yang menggelikan hati dan merendahkan tahap intelektualisme mereka sebagai pemimpin negara. Adakah bodoh mesti menjadi kembar siam kepada pak menteri? ,sangat malang kepada  rakyat negeri ini memiliki barisan Menteri dan Timbalan Menteri yang jauh daripada kompetensi sebagai negarawan yang berjiwa besar.


Kenyataan beliau bahawa pihak syarikat bebas memilih seragam masing-masing selagi mampu menjalankan tugas dengan baik dan dalam masa yang sama kerajaan pula tidak menghalang pihak syarikat memperkenalkan seragam yang menepati agama menunjukkan bahawa kerajaan tidak mahu bertanggungjawab membantu menyelesaikan permasalahan pakaian seragam khususnya bagi wanita muslim. Dengan maksud lain, kerajaan tidak serius memikirkan soal etika pemakaian bagi nasib wanita Muslim yang terpaksa memakai pakaian ketat dan membuka aurat mereka ketika bekerja. Mungkin bagi kerajaan ia isu yang remeh, tetapi bagi umat Islam ia adalah perkara besar kerana melibatkan dosa dan pahala.


Secara realitinya, umum mengetahui pakaian seragam pramugari sangat ketat , tidak patuh Syariah sehingga menampakkan bentuk tubuh mereka, dan sesetengahnya memakai pakaian yang singkat sehingga menampakkan dada dan peha mereka. Bagi golongan wanita Muslim, mereka berhadapan dengan dosa setiap hari dengan pemakaian seperti itu dan bukan semua pramugari ini ‘redha’ dengan pakaian mereka. Namun oleh kerana ia adalah etika berpakaian yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan, mereka ‘terpaksa’ tunduk dengan kehendak syarikat penerbangan kerana memikirkan soal periuk nasi dan karier mereka. Bagi yang memikirkan dosa dan pahala, tidak ada pilihan lain melainkan mencari pekerjaan lain yang menepati kriteria pakaian syariah, tetapi dalam industri ia tidak memberi suatu solusi ‘menang-menang’ kepada semua pihak.


Nampaknya YB Anthony Loke gagal memahami realiti masalah dalam industri penerbangan.  Sepatutnya sebagai menteri, beliau ada kuasa untuk mengarahkan syarikat penerbangan menetapkan seragam kepada semua pramugari khususnya untuk wanita muslim, dan pakaian itu mestilah yang menutup aurat. Setidak-tidaknya beliau memberi teguran, nasihat, atau panduan kepada semua syarikat penerbangan agar menjaga kebajikan pekerjanya, terutama dalam soal berpakaian. Beliau tidak boleh hanya menyerahkan begitu sahaja kepada syarikat tanpa panduan atau nasihat yang jelas. Menggesa agar penumpang atau orang lain menundukkan pandangan bukanlah sebuah penyelesaian melainkan jawapan melepas diri semata-mata. Penumpang mungkin tidak berdosa jika menundukkan pandangan, tetapi bagaimana dengan pramugari yang berpakaian seperti itu setiap hari. 


Sebagai sebuah yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, Malaysia perlu kelihatan berbeza daripada negara-negara yang lain. Pelancong yang terdiri daripada umat Islam seluruh pelusuk dunia pasti berbangga apabila menggunakan khidmat syarikat penrbangan Malaysia kerana semua kru dan kakitangannya mementingkan soal syiar dan syariat dengan menutup aurat. Ia adalah persepsi awal bahawa Malaysia amat mementingkan soal menjaga batasan syariah dalam segenap perkara. Ia juga menjadi penanda aras untuk negara dipandang tinggi, dihormati dan dimuliakan oleh negara-negara lain. Banyak negara umat Islam yang memperkenalkan pakaian patuh Syariah kepada staff penerbangan dan ianya tidak menjejaskan keuntungan dan pengoperasian syarikat penerbangan. Hendak seribu daya, malas seribu dalih!.


Umat Islam telah meletakkan harapan tinggi agar perubahan ini berlaku dalam pemakaian staff penerbangan semenjak regim terdahulu ,namun harapan tinggal harapan. Rakyat melihat dengan mual bagaimana anggota legislatif daripada PH hanya menjadi "pasu bunga" dalam dewan untuk mempertahankan apa sahaja agenda Islam. Rakyat merindui klise , "tunggu sampai ke Putrajaya ,kita akan laksanakan agenda Islam" oleh politikus acah -acah Islamis daripada blok PH dengan janji-janji muluk bertatah emas berlian.  Belum sampai 100 hari pentadbiran PH, kehancingan dihidu daripada jarak dekat dan jauh. Rakyat telah membuat pilihan yang salah!.

*(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI*)

Komunis Juga Penjajah


Minda Presiden PAS

*KOMUNIS JUGA PENJAJAH*  

Saya tertarik kepada polemik berkenaan adakah kumpulan komunis itu juga pejuang kemerdekaan yang perlu disenaraikan dalam perjuangan menentang penjajah dahulu?

Sebelum menghukum hendaklah dibaca dan dikaji sejarah dan kefahamannya. Kalangan ilmuan pengkaji sejarah bersepakat bahawa teori komunis adalah ijtihad manusia Yahudi German bernama Karl Marx. Dia bukan Melayu, bukan Cina, bukan India dan bukan juga dari kalangan penduduk asal di hutan rimba tanah air kita. 

Teorinya yang ekstrem membela rakyat marhaen yang miskin sehingga menasionalisasikan (merampas dan memilik negarakan harta) sangat menarik pemikiran ramai rakyat Asia yang tertindas. Namun mereka terlepas pandang teorinya yang menolak adanya Tuhan yang dipercayai oleh semua agama, lebih-lebih lagi agama Islam yang lengkap pengajarannya melibatkan ekonomi, politik dan seluruh aspek kehidupan manusia sejagat. Maka Islam menjadi musuhnya paling ketat. Bahkan ramai daripada kalangan ilmuan dan pemimpin Barat menganggap Islam lebih bahaya daripada komunis, walaupun mereka juga berperang menentang komunis sehingga hari ini. 

Walaupun komunis itu tidak membawa bala tenteranya seperti negara Barat yang menjajah kita, tetapi fahamannya menjajah pemikiran rakyat pelbagai kaum yang direkrut menjadi bala tenteranya. Memang mereka juga menentang penjajah Barat, tetapi mereka juga adalah bala tentera penjajah pemikiran komunis, di mana  bahayanya lebih besar dari bala tentera penjajah Barat yang berkulit putih itu. Ini kerana fahaman komunis itu membunuh akidah secara ekstrem. Adapun penjajah Barat secara lebih terang-terangan dapat dilihat wajahnya. 

Di sinilah saya memahami mengapa pemimpin generasi awal daripada PAS seperti Almarhum Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan lain-lain yang menentang penjajah British tidak bersama komunis ke dalam hutan. Bahkan mereka juga menyokong ISA kerana menentang komunis, bukannya menangkap ikut suka hati. 

Kita juga membaca bagaimana tanah air umat Islam yang dijajah oleh komunis itu menerima akibat yang lebih dahsyat daripada penjajah Barat, di mana kesannya masih nyata pada hari ini. Walaupun ideologi komunis telah dikuburkan oleh penganutnya sendiri.

Saya dapati ijtihad pemimpin kita yang sama-sama menentang  penjajah Barat, tiba-tiba menentang komunis adalah tepat kerana menentang musuh yang lebih berbahaya hendaklah diutamakan. Inilah petunjuk Allah kepada Rasulullah S.A.W dalam menghadapi percaturan antarabangsa pada zamannya di antara Rom dan Parsi yang menjadi sebab turun Surah Ar-Rum yang bermula dengan firman Allah:

غُلِبَتِ الرُّومُ (2) فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ (3) فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ (4) بِنَصْرِ اللَّهِ يَنصُرُ مَن يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ (5)

_”Orang-orang Rom telah dikalahkan. (2); Di negeri yang dekat sekali dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. (3); Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. (4); Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (5)”. (Surah Ar-Rum: 2-5)_

Allah mewahyukan ayat-ayat ini apabila Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya berdukacita Rom dikalahkan oleh Parsi, walaupun kedua-dua kuasa besar itu bermusuh terhadap Islam, tetapi Parsi yang beragama Majusi lebih besar bahaya daripada Rom. Al-Quran adalah petunjuk kepada umat Islam dalam segala aspek.

Maka kita mengharapkan mereka yang menjadi mangsa kekejaman komunis itu mendapat kelebihan para syuhada’ kerana menentang musuh Islam yang lebih besar dan mereka yang berpihak kepada komunis itu diampunkan dosa kerana kejahilannya. Inilah dia Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

_”Sejahtera Bersama Islam”_

*ABDUL HADI AWANG*
Presiden PAS

Bertarikh: 24 Zulkaedah 1439 / 6 Ogos 2018

https://www.facebook.com/146911248727335/posts/1783753218376455/