Ahad, 27 Februari 2011

Bob Lokman berkempen untuk PAS di Merlimau

Bob Lokman berkempen untuk PAS di Merlimau malam tadi. — Foto oleh Jack Ooi

JASIN, 27 Feb — PAS tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu dengan menggunakan pengaruh pelakon, pelawak dan penulis lirik Bob Lokman, yang menyertai parti Islam itu awal minggu lalu, dalam kempen kerusi Merlimau.
Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman telah menyertai PAS pada 19 Februari lalu.
Dalam ceramah pertamanya di Merlimau Pasir di sini malam tadi, ketibaan Bob Lokman disambut meriah kira-kira 500 orang.
“Hari ini menjadi sejarah apabila saya menyertai PAS selepas pada 2004 dan 2008 merupakan satu usaha yang sia-sia saya membantu Barisan Nasional (BN).
“Sebagai orang yang bertanggungjawab kepada negara saya berada di landasan benar bersama PAS,” kata Bob Lokman.
Penulis lirik “Isabella” itu berkata pengundi-pengundi di Merlimau harus menolak kerajaan BN yang tidak “mengiktiraf” Islam dalam pentadbiran negara.
Beliau juga yakin PAS boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 6 Mac ini.
“Kita perlu undurkan kerajaan yang sudah lama bertapak, kerajaan yang tidak iktiraf Malaysia sebagai negara Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata, jika Bob Lokman boleh melakukan perubahan dengan memilih PAS mengapa tidak pengundi di Merlimau.
“Dulu beliau (Bob Lokman) sokong Umno-BN tapi sekarang boleh sokong PAS pula.
“Nanti bila tiba hari pengundian kalau nak pangkah Umno, ingatlah Bob Lokman dan pangkah PAS,” katanya.
PAS meletakkan Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka Yuhaizat Abdullah sebagai calon manakala BN mempertaruhkan ahli jawatankuasa Umno Jasin Roslan Ahmad untuk mempertahankan kerusi DUN Merlimau.
Pakatan Rakyat dilihat berhadapan dengan situasi kemerosotan undi orang Melayu sejak Julai 2009 di mana pada pilihan raya kecil DUN Manek urai di Kelantan, yang pengundinya 99 peratus orang Melayu, PAS hanya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 65 undi berbanding 1,352 pada Mac 2008.

Sementara itu, calon PAS Yuhaizat Abdullah berkata pengundi di DUN Merlimau perlu membuat keputusan bijak dengan memilih seorang wakil rakyat yang boleh memperjuangkan nasib rakyat.
“Pilihan raya bukan masa untuk buat jalan raya, pilihan raya bukan masa untuk betulkan atap rumah, pilihan raya bukan masa untuk perbaiki longkang, pilihan raya juga bukan masa untuk menabur janji kosong.
“Tapi sistem untuk pilih wakil rakyat yang memahami kehendak rakyat, BN sedar betapa besar kuasa rakyat sebab itu pelbagai projek dibawa ke Merlimau,” katanya.
Yuhaizat, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin berkata beliau sentiasa bersiap sedia untuk memberikan khidmat terbaik kepada penduduk Merlimau.
“Saya merayu untuk berikan undi dan kepercayaan kepada saya di Merlimau, saya janji dan akan sentiasa bersiap sedia untuk memberikan khidmat serta memahami masalah rakyat,” katanya.
Yuhaizat akan berdepan calon BN Roslan Ahmad, ahli jawatankuasa Umno Jasin.TMI

Gaddafi dah tak boleh lari...


Rejim Gaddafi dikenakan sekatan PBB

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara meluluskan perintah sekatan perjalanan dan pembekuan aset terhadap regim Muammar Gaddafi, selain tuduhan terhadapnya kerana jenayah kemanusiaan.

 
Undi sebulat suara 15 negara Majlis Keselamatan yang dibuat pada mesyuarat yang berlarutan lewat tengah malam semalam itu juga memerintahkan sekatan senjata dikenakan terhadap Libya apabila PBB memaklumlam lebih 1,000 orang sudah terkorban dalam serangan yang diarahkan Presiden Libya itu.

Majlis Keselamatan itu juga menuntut agar serangan kerajaan Libya terhadap orang awam dihentikan serta merta.

Larangan perjalanan dan pembekuan aset mengikut Resolusi 1970 itu hanya membabitkan presiden berusia 68 tahun itu, tujuh anak lelaki dan anak perempuannya Aisha, anggota keluarga dan pegawai tertinggi perisikan dan pertahanan yang dituduh berperanan menyerang balas orang awam.

Terdapat 16 nama dalam senarai sekatan awal selepas disenaraipendekkan daripada 22 nama ketika awal persidangan majlis itu, awal hari ini.

Tuduhan jenayah kekejaman itu akan dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa apabila majlis mendapati wujudnya serangan yang sistematik dan besar-besaran terhadap orang awam di Libya yang bertentangan dengan hak asasi.

Mengikut resolusi itu, semua urus niaga atau penjualan membabitkan senjata ke Libya mesti dihentikan serta merta.

Resolusi itu juga mengarahkan Libya menerima kemasukan bantuan kemanusiaan dan pemantauan badan hak asasi bagi melindungi orang asing di negara itu.- AFP

Bahayaaa...Kenyataan Yang Boleh Men"Cacat"kan Aqidah..


"Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengingatkan seluruh jentera parti Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau supaya menganggap pengundi di kedua-dua kawasan itu sebagai 'raja'. Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu kerana hanya pengundi di kedua-dua kawasan itu yang akan menentukan kemenangan besar bagi calon BN"
MasaAllah..apa hal di brader Pak Din,kalau nakkan sangat kemenangan jangan sampai perkataan yang kita keluarkan boleh mensyirikkan Allah,kerana kemenangan dan kekalahan itu adalah kehendak dan ketentuan Allah yang Merancang dan menentukan.Seperti ayat Allah yang bermaksud "Sesungguhnya Kemenangan itu adalah dari Allah".

Jangan sampai terlampau gila untuk mempertahankan kekuasaan sehingga kita tidak sedar tergelincirnya Aqidah kerana perkataan yang kita keluarkan.Sepatutnya Ulam Mamak dalam Umno perlu memberikan teguran diatas perkataan yang dikeluarkan.kerana beliau seorang pemimpin yang diikuti oleh jutaan rakyat diatas apa yang diperkatakannya.

Beginilah adanya pemimpin yang kurang berilmu dengan Ilmu Tauhid,bercakap mengikut nafsu dan merapu,surga neraka dianggap satu gurauan,hukum Allah sudah menjadi mainan..Tapi ingat..bagi rakyat yang diberikan hidayah dan Iman oleh Allah mereka akan sentiasa dilindung oleh Allah dan tidak akan sesekali tertipu dengan dengan kata-kata pemimpin sekular ini..Takbirr...Hancusss Umno...
 

Najib Mengamuk, Tanya Pakatan Islam Apa Yang Diperjuangkan?

PM bidas dakwaan peneroka hamba kerajaan
BANDAR JENGKA, 27 Feb — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membidas dakwaan pembangkang kononnya kerajaan memperhambakan peneroka Felda tanpa memperdulikan kebajikan mereka.

Beliau berkata sejak Felda ditubuhkan 54 tahun lepas, peneroka yang dahulunya tidak mempunyai sebarang harta kini mampu berbangga dengan hasil yang dikecapi hasil penat lelah mereka.

“Kalau orang kata kononnya kita memperhambakan peneroka, hamba mana yang ada tanah seluas 10 ekar, hamba mana yang ada rumah batu atau rumah separuh batu ataupun sekurang-kurangnya bahagian depan batu.

“Rezeki tidak datang bergolek, ini semua kerana anda pilih kerajaan yang betul,” katanya ketika berucap pada majlis mesra bersama warga Felda Jengka 23 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.

Najib berkata janji pembangkang yang kononnya ingin melupuskan 300,000 hektar tanah Felda Plantations untuk diberi kepada generasi kedua dan seterusnya akan membawa malapetaka yang besar kepada peneroka.

“Sebab 51 peratus pelaburan dalam Felda Plantations adalah milik Koperasi Pembangunan Felda dengan dividennya peneroka dapat sebanyak 14 peratus. Itu lebih tinggi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan amanah saham.

“Dividen ini tidak ada lagilah kalau bagi (tanah) kepada anak cucu. Sebenarnya kita dah kira kepentingan, masa depan anak cucu peneroka,” katanya.

Perdana Menteri berkata usaha kerajaan memajukan masyarakat peneroka itu lebih berlandaskan kepada perjuangan Islam berbanding yang diperjuangkan parti pembangkang.

“Kalau kita nak perjuangkan Islam, Islam yang macam mana, yang miskin? Yang tidak ada tanah? Rumah robek? Itu bukan imej Islam yang diperjuangkan kerajaan, kita nak imej yang gagah perkasa dan hebat di mata dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut bersetuju memberi pertimbangan khas berhubung pembayaran Skim Insentif Tanam Semula kepada peneroka felda dalam Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau iaitu Felda Jengka 22, 23 dan 25.

Katanya perkara tersebut akan dirunding oleh Felda dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia. Pada majlis itu,

Najib turut merasmikan gelanggang futsal terbuka, dewan semai bakti, pusat jalur lebar dan merasmikan pecah tanah kilang biomass Felda Jengka 9 secara maya. — Bernama

Pemimpin Hindraf ditahan polis

Anggota polis bercakap dengan penyokong Hindraf yang merancang untuk mengadakan protes di pekarangan KLCC pagi tadi.

KUALA LUMPUR, 27 Feb — Polis menahan pengasas Hindraf P. Uthayakumar pagi ini menjelang perhimpunan haram yang dirancang untuk diadakan di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
 
Isterinya S. Indradevi mengesahkan dia ditahan di luar rumah mereka di Pantai Hillpark di sini pada pukul 7.45 pagi tadi, ketika dia hendak bertolak ke kawasan protes.

“Kira-kira tujuh anggota polis mengepung dia ketika dia hendak meninggalkan (rumah).

“Mereka membawa dia ke ibu pejabat kontinjen dekat Pudu,” kata Indradevi ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pun begitu katanya, protes yang dirancang untuk diadakan akan diteruskan meskipun polis menahannya.

“Kami beri jaminan ia akan diteruskan. Ia tidak akan dibatalkan,” kata Indradevi.

Hindraf yang diharamkan dua tahun lalu mahu mengadakan protes berhubung novel kontroversial Interlok.

Polis memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas ke atas sesiapa yang menghadiri perhimpunan hari ini.

Dalam pada itu pihak polis mengenakan sekatan jalan di beberapa tempat di Lembah Klang termasuk mengawal kawasan kompleks KLCC sejak 8 pagi tadi. msia insider

Malaysia amal dasar "Pemimpin didahulukan"

Perdana Menteri Najib Tun Razak dan kabinetnya cuba menyembunyikan ketakutan bahawa rusuhan Timur Tengah akan tersebar dirantau ini.

Najib berkata, "Kita tidak boleh samakan apa yang berlaku di Mesir dengan Malaysia kerana hal-hal yang sangat berbeza di kedua-dua negara."

Beliau menekankan bahawa perbezaan penting antara kedua-dua negara adalah bahawa BN mempraktikkan dasar "Rakyat didahulukan".

Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa gejala di Timur Tengah tidak akan terjadi di Malaysia.

Ada juga menteri yang pernah bakar jambatan, berkata, "Di negara-negara yang menghadapi pemberontakan , mereka tidak mempunyai perlembagaan yang solid seperti kami, juga tidak mempunyai pilihan raya yang bebas memilih pemimpin mereka."

Semua mereka menyatakan bahawa Malaysia bersatu, demokratik dan bahawa kerajaan mendengar rakyatnya. Mereka adalah salah!

Mereka sebenarnya adalah dalam sindrom penafian kerana ada banyak persamaan antara negara-negara Arab yang rakyatnya bangun menuntut reformasi dengan keadaan di Malaysia.

Orang Mesir muak dengan Peraturan represif Hosni Mubarak. Alasan ketidakpuasan mereka terutama kewangan. Mereka marah dengan kehidupan di negara autokratik polis, keadaan hidup yang buruk, ekonomi lembab, pengangguran, korupsi dan salah laku oleh polis.

Pilihanraya mereka jauh dari adil, samalah seperti kita di Malaysia. Kita mengadu tentang kecurangan , membeli undi dan pengundi hantu, tetapi kerajaan terus mengabaikan keluhan kita.

Ada beberapa menteri Malaysia yang didakwa melakukan jenayah serius seperti serangan, pembunuhan dan perkosaan tanpa dihadapkan ke mahkamah dan lepas begitu sahaja tanpa hukuman.

Apabila mereka terlibat dalam rasuah dan ketika berjuta-juta wang tersebut diselewengkan ke luar negeri, tidak ada apa-apa tindakan yang dikenakan. Kalau mereka didakwa dan dihukum oleh mahkamah, dalam beberapa waktu yang singkat, mereka akan dibicara semula dan biasanya dibebaskan dengan alasan-alasan yang pelik.Lantaran itu gejala rasuah semakin subur di Malaysia.

Mereka yang korup dan pernah dihukum kerana politik wang dilantik menjadi pengerusi organisasi penting. Ketua menteri yang mengumpul kekayaan dengan mengorbankan masyarakatnya sendiri, bebas dan terus bermaharajalela.

Ini bukan dasar "Rakyat didahulukan", tetapi adalah sebaliknya, mereka melaksanakan dasar "pemimpin diutamakan".