Rabu, 30 Mei 2012

UMNO-BN merusuh jika Pakatan Rakyat menang pilihan raya?

Oleh Fairuz Azhan
 
Baru-baru ini Tun Mahathir Mohamad telah memberikan satu kenyataan kononnya Pakatan Rakyat akan membuat rusuhan sekiranya BN memenangi PRU13. Bekas Perdana Menteri itu sepatutnya tanya Najib Razak sama ada BN mahu merusuh sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
 
Bukankah Najib menyeru kepada semua ahli UMNO supaya mempertahankan Putrajaya dengan nyawa dan darah? Siapa sebenarnya akan merusuh jika kalah?
 
Sudah 12 pilihan raya umum negara ini sejak 1955, kesemuanya dimenangi oleh BN (dan sebelum 1974, oleh Perikatan – UMNO, MCA, MIC) menjadikan mereka kerajaan paling lama di dalam sejarah dunia, tetapi tak pernah pula berlaku rusuhan oleh oposisi.
 
Malah bila pembangkang menang lebih sedikit pada tahun 1969, pimpinan UMNO yang memprovokasi rusahan sehingga terjadinya peristiwa berdarah 13 Mei. Tetapi hingga hari ini UMNO dan para pecacainya masih menyalahkan orang lain.
Siapa samseng, siapa anti-demokrasi?
 
Rakyat sememangnya boleh melihat dan menilai di antara Pakatan Rakyat dan UMNO-BN, siapa yang anti-demokrasi, siapa lebih samseng, siapa yang lebih berkemungkinan untuk merusuh sekiranya kalah dalam PRU 13 nanti.
 
Hampir setiap hari sejak kebelakangan ini, tanpa putus kita mendengar kisah-kisah lagak samseng UMNO dan para pecacai mereka yang membuat kacau dalam sebarang acara Pakatan Rakyat.
 
Apakah minda mereka cukup dangkal untuk menerima idea keluhuran proses demokrasi? Sudahlah Pakatan Rakyat tidak mendapat sebarang liputan langsung dalam media massa, bila buat majlis pun diserang, dipukul dan dibaling dengan batu. Inilah ‘transformasi’ Najib, daripada demokrasi yang sedang membangun kembali kepada zaman jahiliyah.
 
Amat malang sekali bahawa UMNO tidak mahu menjayakan sebuah demokrasi luhur atau setidak-tidaknya mempromosi demokrasi. Bila diajak debat isu-isu nasional, dia kata debat itu budaya barat. Sudahlah debat tak mahu, bila Pakatan mahu sampaikan mesej, dibaling batu, dipukul oleh samseng-samseng pro-UMNO. Inikah masa depan politik negara yang kita mahukan?

Lebuh raya: Tunjuk jalan keluar buat Umno Kelantan


(TG Nik Aziz menandatangani plak perasmian pembinaan Lebuh raya rakyat Kota Bharu - Kuala Krai semalam)
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada kerajaan PAS Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana berjaya mengusahakan projek pembinaan lebuhraya dari Kuala Krai ke Kota Bharu yang bernilai RM1.8 bilion.

“DPPM percaya pembinaan lebuhraya ini adalah hasil dari kecekalan dan kesungguhan pemimpin PAS berjuang demi rakyat dan bukannya khayalan atau gimik politik seperti tohmahan sesetengah pihak,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Beliau berkata, hanya dengan sikap amanah, adil, jujur dan bersih serta menjauhi rasuah atau penyelewengan kuasa menjadikan kerajaan PAS Kelantan mampu berdikari meskipun tanpa bantuan kerajaan pusat.

Katanya, ia juga menjadi petanda bahawa PAS bersedia memimpin negara ini jika diberikan mandat oleh rakyat kelak.

Apa yang lebih membanggakan lagi, ujar beliau kerajaan Kelantan berjaya menunjukkan contoh Negara Berkebajikan yang dicanangkan PAS selama ini dan juga dalam Buku Jingga seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat iaitu dengan pembinaan lebuhraya tanpa tol, sesuatu yang tidak pernah difikirkan munasabah oleh pemerintahan Umno BN.

Malah, katganya konsep wakaf dan sumbangan daripada orang ramai serta syarikat berteraskan kerajaan (GLC) memberi gambaran bahawa projek ini adalah hasil titik peluh daripada kerajaan dan rakyat negeri itu yang bekerjasama membangunkan negeri tersebut.

DPPM juga, ujarnya merasa kecewa kerana kerajaan pusat gagal memberikan kemudahan lebuhraya kepada rakyat Kelantan seperti yang sepatutnya.

Menurutnya, berpuluh tahun rakyat Kelantan dinafikan hak daripada memiliki pelbagai kemudahan sehingga mereka terpaksa memikirkan kaedah lain bagi mengatasi masalah mereka.

Malah, kata Riduan royalti minyak yang sepatutnya dimiliki oleh kerajaan Kelantan turut dinafikan dengan pelbagai alasan.

Katanya lagi, rakyat Kelantan ibarat warga negara asing yang menjadi kelas kedua dan tidak layak mendapat apa-apa kemudahan dalam negara ini.

“Ternyata Umno gagal membela nasib umat Melayu yang sebangsa dengan mereka hanya kerana dipisahkan oleh ideologi politik kepartian.

“Sifat pendendam, dengki, khianat dan benci terhadap parti lain yang sebangsa dengan mereka menunjukkan Umno tidak layak memerintah negara ini,” ujarnya.

Justeru, kata beliau rakyat Kelantan wajar menunjukkan jalan keluar buat Umno di negeri itu dan seluruh negara dalam PRU ke-13 nanti. -Hrkh

Saya masih Ahli umno tetapi saya kempen untuk umno tumbang - Tamrin Ghafar Baba,

Umno kini terima tamparan hebat apabila Dato' Tamrin anak kepada tokoh veteran umno terkenal Allahyarham Tun Ghafar Baba sekarang ini muncul di pentas ceramah Pakatan Rakyat.

Dalam pembukaan ucapannya di Parlimen Merbok bersama YB Amirudin Shari Adun Batu Cave, beliau berkata 'saya masih ahli umno...tetapi saya terlalu kecewa dengan umno kerana membiarkan rasuah dan penyelewengan bermaharajalela..sebab itu saya berdiri di sini untuk menerangkan kepada rakyat betapa umno kini telah jauh tersasar daripada perjuangan asalnya. '

Beliau juga membidas SPR kerana sepatutnya SPR menjadi badan yang berkecuali bukannya bekerja untuk memenangkan umno bn. Bukti telah banyak Pakatan Rakyat dedahkan tetapi malangnya SPR pekak membisu.

Beliau juga memberi contoh bagaimana pengundi di rumahnya di Ampang hanya 5 orang tetapi di dalam daftar SPR terdapat 20 orang pengundi. Apabila buat aduan kepada SPR, SPR seolah-olah pekak badak.

Tamrin juga menyelar kerajaan umno kerana memberi pinjaman RM250 juta kepada suami Shahrizat sedangkan ada penternak lembu berbangsa India sejak turun temurun tetapi apabila mereka memohon pinjaman RM100 ribu dinafikan.

Menurutnya lagi kini wanita umno amat malu apabila mereka turun padang bertemu rakyat, mereka digelar wanita umno lembu. "Kepada pemimpin umno RM250 juta tetapi kepada rakyat hanya RM500 itu pun setelah terasa saingan hebat Pakatan Rakyat yang jauh lebih berjiwa rakyat.

Tamrin juga menyentuh soal PTPTN, sepatutnya kerajaan sudah berkemampuan untuk memberi pendidikan secara percuma kepada rakyat. Bukannya membebankan rakyat. Rakyat disuruh berjimat sedangkan anak PM bertunang sahaja menelan belanja hampir RM500 ribu. Sambut harijadi RM80 ribu.

Sebab itu beliau menyeru kepada semua rakyat terutamanya kepada ahli umno, sudah tiba masanya pada PRU 13 akan datang, berilah mandat baru kepada Pakatan Rakyat, rakyat wajib tolak umno bn

P’raya Presiden melakar masa depan baru Mesir

Setelah tumbangnya kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak pada revolusi Januari 2011, kini rakyat Mesir berpeluang untuk membuat pilihan secara bebas dalam pilihanraya presiden. Ia merupakan ujian yang besar untuk melihat sama ada kebangkitan di Tahrir Square itu benar-benar membuahkan hasil dengan tamatnya riwayat rejim lama yang autokratik dan membina sebuah negara baru yang lebih demokratik.

Keputusan rasmi pilihanraya yang baru diumumkan menunjukkan calon Freedom and Justice Party (FJP), Dr Mohammed Mursi mendahului dengan meraih 24.4% bersamaan 5 764 952 undi manakala calon Pro-Mubarak, Ahmed Shafiq mendapat 23.3% undi. Ia diikuti dengan tokoh sosialis, Hamdin Sabahi daripada Parti al Karamah yang mendapat 23.3% undi manakala calon bebas yang juga merupakan bekas ahli Ikhwanul Muslimin, Abdul Moneim Aboul Futuh pula memperoleh 17.2% undi.

Berikutan daripada tidak ada calon yang memperoleh sokongan melebihi 50% maka pusingan ‘run-off’ perlu diadakan. Pertembungan sengit dijangka akan berlaku antara Dr. Mursi dan Shafiq. Keputusan ini agak mengecewakan bagi aktivis pro-demokrasi kerana calon pilihan mereka iaitu Sabahi dan Abdul Moneim gagal ke pusingan seterusnya. Ia juga mengejutkan sesetengah pihak bagaimana Shafiq yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri ketika di hujung pemerintahan Mubarak itu boleh mendapat undi yang besar sekaligus layak ke pusingan penentu pada pertengahan Jun nanti.

Pilihanraya presiden yang turut dipantau oleh mantan Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter ini begitu signifikan buat rakyat Mesir kerana ia merupakan titik-tolak untuk mereka memilih Presiden baru yang akan mengetuai negara setelah 30 tahun diperintah oleh diktator daripada kalangan tentera. Hasil daripada revolusi yang berlaku menunaskan harapan yang menggunung tinggi dalam jiwa sanubari rakyat untuk melihat negara Mesir yang baru.

Namun, jalan itu penuh berliku dan ia tidaklah seindah yang diimpikan bak kata pepatah “ku sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari”. Sehingga ke hari ini, Mesir masih ditadbir oleh Supreme Council of the Armed Forces (SCAF), yang diketuai oleh Jeneral Muhammad Hussein Tantawi. Sebagaimana yang diketahui ramai, institusi tentera Mesir merupakan antara saki-baki pewaris Mubarak yang senantiasa berusaha melemahkan kebangkitan rakyat.

Keamanan dan kestabilan masih belum dapat diwujudkan dengan sempurna. Kadar jenayah terus meningkat, ekonomi negara masih di tahap merudum dan sistem perkhidmatan awam tidak berfungsi dengan baik. Demonstrasi diadakan bersilih-ganti dan adakalanya berlaku pertempuran antara rakyat dan juga polis atau tentera. Rakyat terus mendesak Jeneral Tantawi agar segera menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat. SCAF terus berdalih dan berjanji kuasa hanya akan diserahkan kepada Presiden yang baru pada 1 Julai nanti.

Ironinya, Presiden yang bakal menang kelak masih belum mengetahui kuasa yang akan diberikan mengikut perlembagaan. Hal ini kerana perlembagaan yang baru masih belum disiapkan. Jawatankuasa penggubal perlembagaan yang majoritinya dikuasai oleh blok Islamis itu telah diboikot oleh blok liberalis dan ia telah digantung oleh Mahkamah Agung kerana dikatakan tidak mewakili pelbagai lapisan rakyat. Timbul kerisauan di kalangan umum sekiranya perlembagaan yang baru kelak akan memberi kuasa yang besar kepada golongan tentera. Kebimbangan ini ada asasnya apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri kerajaan sementara telah mengusulkan agar tentera mendapat bajet yang khusus yang tidak boleh disemak oleh parlimen.

Antara dua isu penting yang menjadi bahan kempen pilihanraya presiden ini ialah isu ekonomi dan keamanan. Taraf ekonomi Mesir yang sememangnya telah merudum sebelum berlaku revolusi kini masih belum pulih. Hampir separuh rakyat hidup di bawah paras kemiskinan, kadar pengangguran mencecah 25% dan kejatuhan kadar tukaran matawang asing.

Timbul juga persepsi bahawa Mesir telah menjadi semakin tidak aman dan huru-hara semenjak revolusi. Demonstrasi mingguan itu kadangkala bertukar ganas seperti yang berlaku pada awal bulan ini di hadapan Kementerian Pertahanan. Kerajaan Sementara juga tidak mendedahkan statistik kadar jenayah yang dikatakan terus meningkat termasuklah kes bunuh, rogol dan rompakan.

Walaupun undian umum media Mesir menjangkakan mantan Presiden Liga Arab, Amir Moussa yang akan mendahului dalam pemilihan pusingan pertama ini tetapi keputusan sebenar menunjukkan beliau hanya mampu berada di tempat kelima. Ada yang menganggap Dr. Mursi calon ‘spare part’ dan hanya pengganti kepada calon asal, Khairat Shater namun hasil kerja keras kempen partinya yang bertemakan “Islam is the Solution” telah membuahkan hasil. Sepanjang tempoh kempen Dr. Mursi menjadikan Renaissance Project sebagai agenda utama buat rakyat seandainya dipilih sebagai presiden kelak.

Lain pula kisah Shafiq yang digelar ‘feloul’ kerana pernah terlibat sama dalam rejim Mubarak. Shafiq tampil dalam kempen sebagai calon underdog yang lemah dan cuba meraih simpati ramai. Fokus kempennya pula berkisar pada pentingnya untuk mencegah kuasa golongan Islamis daripada terus melebar dan jaminan untuk mengembalikan kestabilan negara. Sokongan besar yang beliau perolehi ialah undi daripada golongan Kristian koptik yang risau akan kebangkitan Islam, golongan kroni Mubarak yang ingin terus mendapat manfaat, golongan polis dan tentera serta masyarat umum yang sudah keletihan dalam mencari keamanan pasca revolusi.

Antara isu lain yang menjadi tumpuan ialah polisi antarabangsa khususnya melibatkan Israel dan Amerika Syarikat. Israel pasti mengalami mimpi ngeri seandai negara jirannya ini diperintah oleh gerakan Islam yang berpengaruh, Ikhwanul Muslimin. Dr. Mursi berjanji untuk mengkaji semula Perjanjian Kem David 1979 manakala Shafiq awal-awal lagi akan terus mengekalkan perjanjian sedia ada. Kemenangan gerakan Islam juga akan turut memancarkan sinar harapan baru buat rakyat Palestin khususnya di Gaza. Manakan tidak, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk membantu saudara seakidahnya dan membebaskan kembali tanah suci Masjidil Aqsa daripada Zionis Yahudi yang kejam itu.

Masa depan politik Mesir masih belum dapat dijangkakan dengan tepat kerana situasi semasa menunjukkan jalan berliku ini tetap perlu dilalui samada calon Islamis yang menang mahupun pewaris Mubarak yang menang. Berlakunya polarisasi di kalangan pengundi antara dua kepentingan samada menerima calon Ikhwanul Muslimin yang lebih cenderung untuk melaksanakan syariah atau memilih calon yang pernah bersekongkol dengan Mubarak. Kemenangan Shafiq pasti akan meleburkan kembali semua impian mereka yang menginginkan Mesir yang baru.

Revolusi 2011 yang telah mengorbankan 1000 nyawa itu tidak sewajarnya berakhir dengan sebegitu rupa. Pengorbanan mereka yang tak ternilai harganya itu tidak sewajarnya dibayar dengan memilih untuk kembali kepada pemerintahan silam. Sesungguhnya cabaran besar sedang menanti Presiden dan kerajaan yang baru untuk menyatukan kesemua rakyat sama ada Muslim, Kristian, liberalis dan golongan kiri di bawah satu lembayung pemerintahan baru Mesir.

Kini, amanah besar sedang digalas oleh setiap rakyat Mesir untuk melakar masa depan mereka sendiri. Janganlah pula tersilap langkah kerana buruk padah pasti menanti bak kata pepatah “terlepas mulut harimau, masuk mulut buaya”.

Sungguhpun golongan liberalis berpendapat pusingan run-off ini adalah the worst-case scenario yang membuatkan mereka terpaksa memilih antara dua persimpangan namun bagi kita semua yakinlah bahawa hanyalah Islam ad-Din yang akan menjadi penyelamat bukan sahaja di dunia mahupun akhirat sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari agama (ad-Din) selain daripada Islam maka ianya tidak sesekali akan diterima dan di akhirat kelak tergolong dalam golongan yang rugi.”

Syed Ahmad Fadhli Syed Mahmad Hadzari ialah mahasiswa tahun 3 jurusan Sains Politik, UIAM.

MEMANG HEBAT KERAJAAN TOK GURU NIK AZIZ !!

 
MACHANG - Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73 kilometer, yang akan menelan kos RM1.8 bilion, yang tertangguh sejak 26 tahun, dimulakan di Kampung Berangan Mek Nab di sini, hari ini, antara lain menggunakan sumbangan orang ramai.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setelah lebih dua dekad pembinaannya ditangguhkan oleh Kerajaan Pusat, pihaknya mengambil keputusan membina sendiri jalan baru itu demi kemudahan rakyat.

Katanya, Projek jalan baru itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5) dan ditangguhkan dari tahun ke tahun.

"Malangnya pada RMK-10 ia tidak lagi disenaraikan dan kami (Kerajaan Negeri) mengambil keputusan membinanya sendiri.

"Jalan baru ini memainkan peranan penting dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas pada musim perayaan seterusnya membantu menurunkan indeks kemalangan jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Pakej 1 ( Machang-Kuaala Krai) di Kampung Berangan Mek Nab di sini. Projek keseluruhan yang dijangka bernilai RM1.8 bilion itu bakal disiapkan dalam masa tiga tahun.

Pada majlis itu, orang perseorangan dan korporat turut menyumbang bagi sama-sama menjayakan lebuh raya rakyat itu. Nik Abdul Aziz berkata, lebuh raya yang berkonsepkan tanpa tol itu turut dilaksanakan secara wakaf di mana kos pembinaannya serta penyelenggarannya dibiayai sebahagiannya oleh dana hasil sumbangan derma dan wakaf rakyat serta yarikat swasta.

Katanya, projek itu adalah demi kepentingan rakyat dan bukannya permainan politik sebagaimana yang didakwa beberapa pihak.

Mengapa PAS bersama Bersih 1, 2 dan 3


Memilih pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut Ulil Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya ajaran yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci daripada segala kesalahan. Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah S.W.T)

Rasulullah S.A.W bersabda : “Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang baik “. Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh umatnya.

Ucapan Abu Bakar R.A apabila dipilih menjadi ketua negara selepas wafatnya Rasulullah S.A.W : “Wahai tuan-tuan ! saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah saya, sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat ......”. Beginilah juga ucapan setiap pemimpin yang dilantik selepasnya.

Amalan sistem pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara Barat. Walaupun mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara, rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab. Sistem yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.

Bagi mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka benar-benar memahami hak mereka dengan larangan tegas secara undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak pembangkang yang menuduh. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya adalah badan yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W ketika menegakkan negara contoh di Madinah.

Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk PAS, yang ditubuhkan daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi moden menjadi medan politik paling sesuai dengan Islam yang mengutamakan secara damai. Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak ada kesilapan langsung.

Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat berhati-hati menunaikan amanah.

Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama skandal Water Gate. Di England pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan perisikan negara asing. Di India membatalkan kemenangan seorang perdana menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem dictatorship terpaksa berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.

Negara kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihanraya yang tidak bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku pemisahan kuasa yang sebenar. Kedudukannya berada di bawah siapa parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah menjadikan kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan tidak ada hari kiamat. Daftar pengundi yang tidak masuk akal, seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan penduduk kampung yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku sebelumnya tanpa tindakan yag adil. Politik wang yang membarah ke dalam parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya umum.

Semua yang berlaku adalah kemunkaran yang mencalarkan imej Islam yang menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemunkaran yang wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.

PAS wajib menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan memberi kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah kemunkaran kerana Rasulullah S.A.W mewajibkan kepada setiap orang Islam menyampaikan mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah kemunkaran mengikut kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan perasaan benci dalam hati. Demonstrasi aman yang menjadi salah satu daripada amalan demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan kebencian dalam hati.

Rasulullah S.A.W mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai daripada persembunyian mereka di Makkah selepas Islamnya Hamzah dan Umar R.A bagi menunjukkan sikap mereka terhadap pamimpin Makkah yang zalim secara terbuka dan aman tanpa senjata.

Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang berkuasa, tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabatnya, menyebut peristiwa lama berlaku sebelum dilantik manjadi Rasul: ”Aku pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi mengadakan Halaf Fudul (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama. Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku menyertainya “.


Rasulullah menerima secara positif segala sifat yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei seorang pemimpin kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu di zaman jahiliyyah dan banyak lagi contoh yang lain.

Bersih adalah gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti politik pelbagai ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah pilihanraya yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, ramai kalangan mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, tetapi sifat fitrah manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.

PAS berpendapat bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep demokrasi yang adil. UMNO sendiri telah lama merosakkan imej Islam. Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah besar yang diamalkan para Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia. Amanah politik dijadikan peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.

Akhirnya PAS wajib mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku ini, hujah lebih kuat lagi apabila membaca amanat Rasulullah S.A.W: “Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri, nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah“. Sabdanya lagi: ” Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad paling afdal “.


PAS tidak membenarkan para ulamanya menjadi syaitan bisu yang berdiam diri terhadap kebenaran di hadapan mata yang wajib ditegakkan dan kemunkaran nyata yang wajib ditegah, PAS tidak mengizinkan para ulamanya menjadi burung kakak tua yang bercakap hanya mengikut apa yang diajar oleh tuannya sahaja dan tidak mampu menilai sendiri.

Adapun alasan berlakunya kekacauan selepas itu, adalah disebabkan salah laku kerajaan terhadap perhimpunan aman, seperti melarang berhimpun di padang dataran merdeka yang menjadi tempat berhimpun dan provokasi pihak yang diadakan sendiri atau diizin oleh kerajaan sendiri. Sikap tidak adil melantik kumpulan penyiasat yang ditunjukkan oleh satu pihak kerajaan sahaja adalah cara yang tidak bermoral untuk menegakkan keadilan yang sebenar. Lebih tidak adil lagi apabila adanya tangkapan selepas bersurai dan menyeksa mereka yang ditangkap, dimaki hamun dan sebagainya. Ini bukan cara yang bijak untuk mempertahankan kerajaan, bahkan cara menggali lubang sendiri untuk jatuh dengan cara memalukan. Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan nas al-Quran dan hadith, serta doa mereka yang dizalimi pasti diperkenan Allah walaupun daripada seorang yang bukan Islam.

Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama UMNO yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ ( 38

Maksudnya: Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu. (Surah Muhammad: 38)
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Panas: MCA Cuba Ganggu, Tapi 'Ahli Parlimen' BN Sendiri Di Lihat Hadiri Ceramah Anwar Di Maran !

MARAN - Orang ramai yang telah hadir ke program ceramah Pakatan Rakyat yang menampilkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (foto) Ahad lalu kecewa dengan tindakan Majlis Daerah Maran membenarkan satu program karaoke anjuran parti MCA diadakan berhampiran Pejabat PAS Kawasan Maran dekat sini.

Mereka hairan, bagaimana majlis tempatan terbabit membenarkan acara itu diadakan, sedangkan mereka tahu PAS akan menganjurkan ceramah umum pada malam tersebut. Pertandingan karaoke lagu-lagu mandarin, dengan sistem pembesar suara yang canggih itu kemungkinan besar diadakan bertujuan untuk menganggu kelancaran program berkenaan. Anwar yang hadir sekitar jam 11.00 malam itu bagaimana pun berjaya menyampaikan ceramah beliau tanpa gangguan atau provokasi oleh mana-mana pihak.

Ribuan rakyat hadir berbondong-bondong untuk mendengar ceramah beliau malam itu. Sebelum itu, Anwar khabarnya telah bersama dalam satu lagi program ceramah anjuran PKR di hadapan tapak pasar malam dan hentian bas pekan Sg.Jerik. Kehadiran Anwar ke Maran malam itu juga telah disambut oleh kehadiran begitu ramai penyokong UMNO BN termasuk Ahli Parlimen Maran dari Barisan Nasional (BN) sendiri iaitu Dato' Hj. Ismail Mutalib dan beberapa orang kanannya. Beliau dipercayai telah mendengar ceramah Anwar sejak dari awal hingga ke akhirnya. Kehadiran beliau tidak disedari oleh orang ramai kerana dia berpakaian tidak formal pada malam itu.

Dalam ceramahnya, Anwar berkali-kali mengulangi janji-janji Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak, memansuhkan PTPTN, memansuhkan tol dan banyak lagi. Beliau turut berharap dengan sokongan rakyat yang hadir pada malam itu maka pakatan rakyat akan berjaya merampas parlimen Maran daripada BN pada pilihanraya umum ke-13 ini nanti. Anwar turut meluahkan perasaan kecewa atas kebiadapan MCA mengadakan program karaoke di kawasan berhampiran (kira-kira 100 meter) dari kawasan tapak ceramah malam itu.

Sementera itu, disekitar bandar Maran kelihatan begitu banyak bendera UMNO BN yang dipasang termasuk kain rentang mengutuk Anwar dan sticker "TIBAI" yang dilekatkan pada dinding dan pokok. Semua itu, bagi menyatakan perasaan tidak puas hati penyokong UMNO terhadap kehadiran mantan Timbalan Perdana Menteri itu di kawasan mereka.

Bukti, kacau ganggu pertandingan karaoke yang dianjur oleh MCA Maran
Ribuan rakyat hadir berbondong-bondong ke program ceramah malam itu
Orang ramai tidak berganjak walau pun gangguan dibuat oleh pihakMCA
Sokongan rakyat makin meningkat dan mereka nyata mahukan perubahan
Turut hadir mendengar ceramah Anwar ialah Ahli Parlimen Maran sendiri

[Apa yang menarik untuk diperkatakan ialah, tindakan MCA mengadakan program karaoke bagi tujuan untuk menganggu ceramah Anwar pada malam itu jelas sekali sesuatu yang sia-sia sebenarnya. Ini kerana, ramai penonton mereka sendiri dilihat telah pergi ke tapak ceramah Anwar dan hanya kembali ke khemah depan pentas yang disediakan selepas ceramah tamat. itu pun mereka hanya mahu menunggu keputusan cabutan bertuah yang turut diadakan, Malah, pengacara majlis beberapa kali mengulangi nombor bertuah berkenaan kerana ada dikalangan mereka yang terus balik selepas ceramah Anwar berakhir.
Kaum Tionghua majoritinya telah menolak BN, maka itu tindakan MCA dilihat telah memakan diri sendiri. Turut berceramah pada malam itu ialah beberapa orang pemimpin PAS termasuk Tuan Guru Hj. Md Baqi Othman (YDP PAS Maran) dan Dr.Hamzah Jaafar (Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang). Secara keseluruhannya program telah berjaya dan mendapat sambutan. Namun, jika tiada gangguan dari MCA kemungkinan besar lebih ramai hadir mendengarnya]. -PahangDaily