Khamis, 27 Oktober 2011

Mampuih Tertimpa Keris!!

Boleh mampuih tertimpa keris bukannya tertusuk keris. Keris pedoman Berahim, kasihan kan...tak ada apa nak dijulang, dibantainya keris. Melebih-lebih pula tu. Tengok yang di sebelah kiri, mendada tabik hormat pada keris!!

Kalau ajak pergi berperang gerenti lari!!!

Mahasiswa sedia himpun macam Bersih 2.0

GOMBAK, 26 Okt: Sekumpulan mahasiswa yang berhimpun di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak malam tadi membayangkan akan menggerakkan himpunan seperti Bersih 2.0 jika tuntutan mereka diabaikan kerajaan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Ab Razab berkata mahasiswa akan terus menerus bangkit untuk membuat bantahan sehinggalah kebebasan suara diberikan kepada pengamal akademik dan juga kepada mahasiswa.

"Sekiranya kerajaan gagal untuk menjawab memorandum bantahan ini, insya-allah kita akan buat himpunan bersama rakyat, badan-badan NGO yang terdiri daripada BERSIH.20 yang dijangkakan akan diadakan di Stadium Merdeka dan Putrajaya," katanya pada himpunan tersebut.

Himpunan yang diserta hampir 100 mahasiswa malam tadi itu diadakan bagi menuntut kebebasan akademik ekoran tindakan universiti itu terhadap pensyarahnya Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Walaupun hasrat awal untuk mengadakan demonstrasi, akhirnya mereka menukar rancangan dengan mengadakan protes secara senyap selepas berhadapan larangan daripada pihak keselamatan universiti.

Mereka mula berhimpun pada jam 8.35 malam, di perkarangan masjid kampus berkenaan, dengan menyalakan lilin dan mengangkat beberapa poster antaranya tertulis "Mahasiswa tuntut kebebasan akademik" dan "Bebaskan universiti dari cengkaman politik".

Perhimpunan tersebut pada asalnya bagi menyerahakn memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual hadir merasmikan satu program di kampus tersebut malam tadi.

Bagaimanapun beliau diganti Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sebelum itu, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA Mohd Iqbal Abdul Wahab berjaya menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin di dewan berkenaan.

Mohd Iqbal pula berkata pihaknya bercadang akan buat satu program bersama perdana menteri ekoran Najib tidak hadir ke UIA malm tadi.

"Tujuannya agar PM mendengar pendapat mahasiswa yang merupakan generasi penentu masa depan negara," katanya.

Sementara itu, jurucakap SMM Mohd Zaky Sukery memberitahu pemberita terdapat dua tuntutan utama dalam memorandum tersebut, iaitu mendesak kebebasan akademik diberikan kepada ahli akademik dan mendesak agar siasatan terhadap Abdul dihentikan tanpa syarat.

Beliau berkata, walaupun pergantungan tugas terhadap Prof. Aziz Bari telah ditarik balik tetapi semua mahasiwa masih tidak berpuas hati kerana kerana masih ada siasatan di kenakan kepada beliau.

"Prof. Aziz Bari disiasat seolah seperti seorang jenayah sedangkan beliau bersuara atas kajian, bukti dan fakta yang kukuh melalui buku yang ditulis. Tindakan UIA adalah tidak wajar dan sangat terdesak," katanya. -Hrkh

Gagal 25K, Umno berjanji pula 80K ??? BN gelabah!!

Semasa BN kembali memerintah Terengganu, Datuk idris Jusoh telah menjanjikan sebanyak 25,000 peluang pekerjaan. Janji tahun 2004 tetapi Sehingga kini dah nak masuk 7 tahun nampaknya janji hanya tinggal janji sahaja. Yang ada iklan untuk rakyat Terengganu ditawarkan bekerja dengan pasaraya Mydin adalah.

Kalau kat Paka bagaimana BN menyatakan bahawa hari ini BN memerintah, besok GPP 7 & 8 akan dibina dan beribu peluang pekerjaan akan ditawarkan. Tapi sampai kini habuk pun tarak dan rakyat terpaksa mencari sendiri sumber pekerjaan meskipun terpaksa mengutip besi-besi buruk.

Kita sedia maklum, kegagalan pihak kerajaan menarik pelabur dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan nescaya akan melahirkan banyak permasalahan sosial maupun ekonomi. Apatah lagi ia akan meningkatkan kadar jenayah dan permasalahan akhlak. Institusi kekeluargaan menjadi tidak stabil dan pelbagai lagi masalah yang timbul.

Kini semsa BN bukannya menambahkan peluang pekerjaan bahkan para pekerja yang sedia ada diberhentikan seperti kilang-kilang perkayuan kerana salah urusnya pembahagian balak di Terengganu yang diagih kepada kroni-kroni. Penutupan kilang papan Pesaka dan kilang Plywood di Durian Mas. Pemberhentian keretapi daripada Paka-Kerteh-Kuantan dan sebagainya.

Apakah pimpinan Umno benar-benar serius untuk menyelesaikan permasalahan ini? Terlalu banyak sumber dan khazanah yang dimiliki oleh Terengganu yang boleh digembelingkan bagi menjana sumber ekonomi dan peluang pekerjaan. Sebab itulah kalau dilihat bajet 2 billion setahun tetapi kemana dibelanjakan? Bajet yang terbesar dikalangan negeri-negeri disemenanjung mengalahkan Selangor tetapi kenapa rakyat Terengganu tiada peluang pekerjaan? Semua projek-projek mega nampaknya tidak mampu member peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu. Bajet itu pun bergantung kepada royalti bagaimana kalau tanpa royalti ? mampukah kerajaan BN yang ada hari ini membayar gaji kakitangan rakyat Terengganu?

Kini apabila manifesto Pas yang memberi tumpuan serius kepada peluang pekerjaan bahkan menjanjikan bakal menyelesaikan permasalahan 17,000 rakyat Terengganu yang menganggur. Kajian telah dibuat dan didapati Pas mempunyai mekanisme tersendiri dalam menjana peluang pekerjaan ini.

Gelabah dengan tawaran tersebut Datuk Seri Ahmad Said ketika melancarkan projek KTCC menjanjikan pula bahawa Kerajaan BN berjanji menawarkan peluang pekerjaan sebanyak 80ribu kepada rakyat Terengganu bermula tahun hadapan.

Rakyat nilailah sendiri janji kerajaan BN ini. Semasa pemerintahan Ahmad Said sebagai MB Terengganu ini telah meluluskan 6 billion bajet. Dah berapa ramai yg bekerja di Zoo yang beliau bina di Kijal tu? Berapa ramai yang bekerja jaga itik, angsa dan burung di Pulau burung Kenyir atau dah beribu bekerja diladang stawbery atau ladang anggur Terengganu. Bagaimana dengan ladang ubi gadong beliau? Ramai mana dah menawarkan peluang pekerjaan? Projek utk menggantikan ubi kentang atau menghasilkan ubat membesarkan payudara itu berjaya ke tidak? Kalau berjaya nanti ramailah awek mat-mat salleh datang ke Terengganu untuk membesarkan payudara mereka. Tak perlulah membuat pembedahan plastik lagi. Sememangnya Mat Said sentiasa berfikir diluar kotak.!!!!

Projek KTCC dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. Projek itu, dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM5 bilion, akan bermula Januari tahun depan dan dijangka siap menjelang 2018.

Pembangunan berkenaan dianggarkan dapat mewujudkan peluang pekerjaan lebih dari 82,000 orang menjelang 2020.

Projek tersebut berpusat di sekitar lima kawasan pembangunan utama, iaitu Muara Utara, Muara Selatan, Pulau Warisan, Kampung Ladang dan Corniche Waterfront.

Kerja infrastruktur utama di Muara Selatan termasuk pembinaan kerja-kerja tanah yang perlu, jalan raya, parit dan utiliti utama lain, bermula pada Ogos 2011 dan akan siap pada separuh kedua 2013

Ketua Jabatan Audit Boleh Didakwa Kerana Libatkan Kabinet - Aziz Bari

Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari menegaskan, tindakan melibatkan kabinet dengan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) merupakan kesalahan dan bertentangan dengan semangat perlembagaan.

Katanya, Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan menyebut LKAN perlu disediakan oleh ketua audit negara dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
"Perkara ini salah dan saya percaya boleh dibawa ke mahkamah. Dalam perlembagaan, di mana ada kabinet disebut (terlibat)? Lagi pun, kabinet sebahagian daripada player," kata pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

"Secara logiknya juga, kalau bentang pada kabinet, buat apa perlu ada (jawatan) ketua audit negara."

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada 21 Oktober lalu menjelaskan, sejak 1982, LKAN dimaklumkan kepada kabinet sebelum dibentangkan supaya kerajaan dapat mengetahui isu yang dibangkitkan dan bersedia memberi penjelasan apabila diperlukan.

Beberapa anggota parlimen Pakatan Rakyat baru-baru ini mempersoalkan ketiadaan laporan itu semasa pembentangan Belanjawan 2012, antaranya anggota parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang mahu perdana menteri menjelaskan kelewatan itu.

Amat misteri

Liew yang juga anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP berkata, beliau tidak mempersoalkan amalan itu tetapi menjadi tanggungjawab kabinet memutuskan bila ia patut dibentangkan.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Aziz berkata, walaupun perlembagaan tidak menyatakan tempoh tertentu untuk LKAN dibentangkan di parlimen, tetapi demi menjaga integritinya, Jabatan Audit Negara patut melakukannya segera.

"Jadi, ketua audit negara mesti jelaskan kenapa lambat," katanya sambil menegaskan kedudukan tinggi ketua audit negara yang dilantik Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja itu.

Aziz menjelaskan, proses untuk laporan itu sampai ke Dewan Rakyat tidak memerlukan masa yang lama kerana baginda tidak perlu menyemak apa-apa kerana ia melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Setakat ini, tambahnya, kelewatan itu masih "amat misteri".

Ditanya tentang gesaan Liew kepada perdana menteri, Aziz berkata kenyataan itu mungkin dibuat dalam konteks yang lain.

"Kalau perdana menteri (kena) perjelas, saya kira tidak betul," katanya lagi. -mk

Jangan ada pulak si bebal buat laporan polis kah terhadap kenyataan Prof. Aziz Bari di atas.

Setiap ahli akademik berhak menyuarakan pandangan, pendapat malah kritikannya. Hanya mereka yang termakan cili terasa pedasnya, lantas melompat tak tentu pasal. -GB

Baru tahu ! Shahrizat dapat projek RM250 juta!

Benarkah begitu ? Menurut sumber yang boleh dipercayai Dato’ Seri Shahrizat Jalil rupa-rupanya pernah mendapat satu projek anugerah kerajaan pusat  yang bernilai RM250 juta !

Difahamkan juga projek berupa ternakan lembu Feedlot yang menelan belanja yang sangat besar itu tidak mencapai sasaran atau matlamatnya. Rakyat sangat-sangat nak tahu apa penjelasan kerajaan? 

Betul kah rugi?  atau ada berlaku penyelewengan? Modal berjuta-juta  yang sudah dicurahkan, tetapi amatlah malang jika benar projek tersebut mengalami kerugian sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak. Seperti kita sedia maklum isu ini sudahpun dibangkitkan  di parlimen maka wajarlah pihak kerajaan atau kementerian yang terbabit memberikan jawapan!  Rakyat perlu tahu sikap sebenar pemimpin mereka.

Agaknya tentu ramai lagi menteri-menteri Umno dan kaum kerabat mereka yang mendapat rezeki rimau  sebegini. Patut lah menteri wanita yang alahan dengan tudung ini sayang sangat kat Umno,  membodek mengampu setiap masa. Sebusuk mana pun parti Umno dan perangai orang-orang Umno beliau tetap mengatakan Umno wangi !! Umno hebat,  Umno pembela bangsa Melayu !,.... Pegiii dahh.

Betullah keluhan rakyat marhaen selama ini  bahawa,..  Politik Umno ialah politik perut atau politik kumpul harta selagi boleh!. politik bina empayar keluarga dan kroni.  Politik perjuangan untuk rakyat jatuh nombor  choruuut. !!  

Cara dan matlamat  pemimpin Umno berpolitik ialah -  jika dapat habuan seratus ringgit,  sembilan puluh sembilan ringgit masuk poket sendiri, satu ringgit  untuk rakyat,  Itu sudah cukup bagus !  Kalau nasib tak baik, satu sen pun rakyat tak dapat !!!

Oleh : rahimothman

Murtad: Ke mana arah sasarannya

Satu himpunan besar dikerah bagi menangani gejala murtad yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia. Kepada siapa ditujukan sekiranya ia adalah bantahan? Apakah pendekatan dan uslub yang akan diambil? Dua perkara ini perlu dilihat dan difahami sedalam-dalamnya, supaya kerja yang berjenama Islam mengikut landasannya yang sebenar dan menepati kebijaksanaan yang ditunjuk oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Kecintaan kepada Islam adalah wajib, sebagaimana mempertahankannya juga adalah wajib. Perlu difahami bahawa setiap langkah hendaklah berlandaskan mesej yang istiqamah. Bukan sahaja berjaya mempertahankan Islam dan memelihara iman yang ada dalam diri dan penganutnya, dalam masa yang sama berjaya menyampaikan dakwah kepada bukan Islam yang menjadi sasaran dakwah Islamiyyah.

Perlu diambil iktibar, mengapa generasi awal Islam yang menghukum dengan keras terhadap orang Islam yang murtad, dalam masa yang sama menarik orang lain masuk Islam beribu kali ganda tanpa paksaan. Ini kerana Islam mengharamkan paksaan terhadap penganut agama lain. Mengapa pula dizaman kita ini diwarwarkan ramai yang murtad sehingga membimbangkan dan diberitakan terlalu berkurangan orang yang berminat kepada Islam. Kalau ada sekalipun kelihatan berkeliaran menunjukkan lesen mengemis daripada Jabatan Agama. Sedangkan dizaman keemasan pemerintahan Islam, orang yang baru menganut Islam boleh memegang jawatan tinggi dalam negara dan ada yang menjadi ketua negara. Malah ada yang menjadi ulama dan ilmuan terbilang yang membina Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam) bukan Islam Hadari yang sudah hampir lenyap suaranya.

Satu masa yang masih dekat berlalunya, ada seorang hamba Allah berjawatan Mufti, mewarwarkan ribuan orang melayu menjadi murtad dan masuk agama kristian dan hindu. Sehingga ada orang yang dipanggil polis dan mufti itu juga dipanggil polis untuk disoal siasat. Namun beritanya hilang entah ke mana, entah diletak dibawah karpet atau di mana failnya. Wallahu’alam, terserah kepada pihak yang berkenaan sama ada ia berita benar atau provokasi yang sengaja dicetuskan.

Media Islam antarabangsa melaporkan perkembangan pesat Islam di Eropah, Amerika, Asia Tengah dan Afrika. Di England sahaja mereka yang baru masuk Islam mencecah setengah juta orang dalam masa terdekat yang kebanyakannya kalangan terpelajar. Tiba-tiba masyarakat Islam di-Malaysia dilanda taufan murtad.

Kesalahan Murtad dimasukkan dalam perundangan Islam, dalam bahagian hukum jenayah berat. Adapun pendekatannya ditujukan kepada penganut Islam sahaja, tanpa disasarkan kepada penganut agama lain yang berada dalam masyarakat majmuk bersama masyarakat Islam. Orang Islam sendiri yang disalahkan sekiranya berlaku murtad, sama ada individu yang murtad atau kerajaan yang lemah dengan pegangan Islamnya dan tidak adil terhadap rakyatnya kerana tidak beramal dengan hukum-hukum Islam dan akhlaknya yang mulia. Ada pun kalangan bukan Islam diajak berdailog secara ilmiah dan dibuktikan beramal dengan akhlak Islam dan hukumnya yang adil. Inilah nas Al Quran dan Hadith.

Para ulama aqidah dan Syariat menyatakan kepada umat Islam secara fardu Ain, bahawa batas-batas Iman dan Kufur, serta menegaskan takrif murtad apabila seseorang itu melakukan apa sahaja yang ,membatalkan Iman dan Islamnya atau membatalkan dua kalimah Syahadah secara ilmu dan yakin tanpa paksaan. Murtad itu bukan sahaja menganut agama yang lain daripada Islam, tetapi murtad juga berlaku walaupun tidak menganut apa-apa agama, atau menganut sebahagian ajaran Islam sahaja, iaitu dengan tidak percaya kepada mana-mana ajaran Islam atau menghinanya, sama ada perkara rukun atau wajib dan sunat atau halal dan haram. atau harus. Murtad juga boleh berlaku dengan mempersenda-sendakannya secara ucapan, tulisan, kartun, lakunan drama dan sebagainya.

Adakah umat Islam hari ini diajar batas-batas Iman dan kufur dan perkara –perkara yang membatalkan dua kalimah syahadah? Atau sekadar mempelajari batal sembahayang puasa sahaja. Ini menunjukkan kejahilan boleh menempah murtad walau pun boleh dimaafkan kerana kejahilannya.

Rasulullah S.A.W. mengajar bangsa dan keluarganya batas sempadan diantara iman dan kufur, dan sempadan kasih kepada Islam, bangsa dan keluarga. Walaupun semuanya wajib dicintai. Tetapi aqidah Islam asas kepada selamatnya keluarga dan bangsa. Sehingga kaumnya menyedari bahawa selamatnya arab dengan Islam, bukan selamat Islam dengan arab, sehingga melahirkan bangsa arab yang berpegang dengan Islam tidak berlaku zalim terhadap kaum lain. Slogan ‘Selamat Melayu Maka Selamat Islam’ menandakan masih kabur kefahaman terhadap batas-batas iman dan kufur.

Seluruh kajian orentalis yang dicatatkan menegaskan terlalu sedikit mereka mencapai kejayaan memurtadkan orang Islam sepanjang zaman penjajah, hanya segelintir sahaja penganut Islam yang berjaya dimurtad meninggalkan agama Islam. Maka dirancang melalui serangan pemikiran untuk memurtadkan umat Islam daripada mana-mana ajaran Islam melalui pendidikan, media dan budaya nafsu yang melalaikan. Bukan melalui cara meninggalkan agama Islam dan masuk agama lain, tetapi melakukan kesalahan murtad dalam keadaan masih merasakan dirinya menganut Islam.

Apabila munculnya Kamal Atarturk yang dianggap bapa Turki Moden, dengan melaksanakan sekulerisme yang memisahkan politik daripada agama Islam saperti yang dimaktubkan dalam kitab Injil Mathew, tampil dengan gagah berani seorang tokoh besar Ulama Turki Shaikh Mustafa Sobri, yang pernah menjadi Shaikhul Islam kepada kerajaan Othmaniyyah. Beliau menegaskan dalam buku yang dikarangnya : “Bahawa teori sekulerisme yang memisahkan politik (urusan pemerintahan negara daripada agama Islam) adalah jalan pintas paling terdekat menuju kearah murtad. Fatwa ini dikuatkan oleh Al Marhum Mufti Arab Saudi Shaikh Abdul Aziz bin Baz dan Pengerusi Persatuan Ulama Antarabangsa Dr Yusuf Al Qardawi yang diberi tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia.

PAS ingin mengambil contoh para Sahabat R.A. dan generasi awal umat Islam yang meneruskan perjalanan dakwah Rasulullah S.A.W. dalam menghadapi peristiwa murtad yang paling mencabar dalam seluruh sejarah Islam, dengan kejayaan mengambalikan semula ratusan ribu mereka yang murtad kepada Islam dan ramai kalangan selepas murtad berjaya menegakkan Islam sehingga menumbangkan kuasa besar Parsi yang zalim.

PAS tidak bersedia bangkit laksana keluar beramai-ramai untuk menangkap hanya segelintir pencuri yang berjaya melepaskan diri, dengan cara pencuri berada sama dikalangan orang ramai yang memburunya, sama-sama meneriakkan : Pencuri! Pencuri! Akhirnya pencuri hilang bersama suara laungan yang berkumandang.

PAS tetap mengambil kira jasa Al Marhum Tunku Abdul Rahaman yang menubuhkan Perkim dan berjaya mengIslamkan tokoh-tokoh besar dizamannya tanpa huru-hara, dan memerhati kalangan mereka yang gagal meneruskan perjuangannya dan Perkim hilang entah dimana. PAS juga mengambil kira kejayaan Al Marhum Tun Datu Mustafa yang berjaya mengIslamkan ribuan rakyat Sabah dengan pertubuhan USIA nya, dan memerhati mereka yang lupakan tugas dakwah susulan kerana ditindih oleh kayu-kayu balak di Sabah dan Serawak .

PAS memilih uslub menyampaikan mesej Islam dengan konsep yang ditunjukkan oleh Al Quran dan Rasulullah S.A.W. dengan cara memantapkan aqidah umat Islam sendiri secara istiqamah yang menghalang murtad dengan ilmu dan syariat yang tegas dan adil, menghukum penganut Islam, dan menyampaikan dakwah kepada pihak lain tanpa paksaan dengan uslub hiwar antara agama dan tamadun, serta berhujah dengan ilmu dan amal Islam yang adil dan sempurna. - Tuan Guru Abdul Hadi Awang 


Nasionalis punca murtad – Nik Aziz



Ketika isu murtad Noraishah Bukhari, Lina Joy dan Hartina Kamarudin, PAS adalah parti paling hadapan melawan isu itu pada ketika itu bukannya Umno atau mana-mana NGO.
           Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan gejala murtad yang berlaku di negara ini adalah akibat tidak melaksanakan pemerintahan Islam.
          Menurutnya, dengan mengambil fahaman nasionalis, menyebabkan manusia akan merasa lekeh kepada Islam dan akan mengagung-agungkan fahaman kebangsaan.

"Di Malaysia ni punca murtad adalah kerana nasionalis. Golongan nasionalis ini buat manusia rasa lekeh kepada Islam kerana mereka tolak Islam ambik kebangsaan.


"Daripada rasa lekeh ini lah timbul masalah menggelongsor luruh daripada Islam. Ini kita panggil murtad," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya yang juga Menteri Besar Kelantan, PAS adalah parti pertama di negara ini yang memperjuangkan Islam.

Jika ada pihak yang mendakwa PAS tidak berusaha menentang murtad, beliau berkata tomahan itu salah kerana penubuhan PAS itu sendiri mahu mempertahankan Islam.

"PAS orang pertama mempertahan Islam.

"Bila Islam itu diperjuangkan maka segala perkara membawa manusia kepada Islam kita akan gunakan dan segala perkara yang memberi mudarat kepada Islam, PAS akan tentang," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan golongan pendakwah di negara ini agar jangan hanya melihat tugas dakwah sekadar menyeru masyarakat memakai serban dan jubah, malah lebih penting katanya adalah menegakkan pemerintahan Islam secara keseluruhan.

"Sekarang ini golongan pendakwah banyak, tetapi mereka berkisar hanya pada pakai seban sunnah nabi, berjanggut sunnah nabi dan berjubah sunnah nabi.

"Kita tinggal perkara paling penting sekali iaitu memerintah dengan Islam yang juga sunnah nabi. Ekonomi cara Islam, budaya cara Islam, sosial cara Islam dan politik cara Islam," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Lajnah Tarbiah PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata PAS konsisten memperjuangkan isu murtad sejak dahulu lagi.

Katanya, sejak 1990, sudah tiga kali PAS membawa undang-undang persendirian mengawal murtad di parlimen.

Bagaimanapun usul yang memerlukan cadangan daripada anggota kabinet itu tidak diangkat sehingga sidang parlimen habis.

Selain itu, ketika isu murtad Noraishah Bukhari, Lina Joy dan Hartina Kamarudin, PAS adalah parti paling hadapan melawan isu itu pada ketika itu bukannya Umno atau mana-mana NGO


Ada Rahsia Besar Umno BN Cuba Sembunyikan Dalam Laporan Audit 2010?


Sekali lagi Laporan tahunan Ketua Audit Negara (KAN) mendedahkan penyelewengan, kepincangan, keborosan dan keraguan dalam sistem pentadbiran khususnya berkaitan kewangan. Mungkinkah ada bukti-bukti lain yang lebih besar disembunyikan dari pengetahuan umum. Ini kerana Laporan ini terlebih dahulu diserahkan kepada kabinet sebelum didedahkan kepada Parlimen dan umum.


Sedangkan menurut perlembagaan Malaysia Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan menyebut LKAN perlu disediakan oleh ketua audit negara dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dibawa ke Dewan Rakyat. "Perkara ini salah dan saya percaya boleh dibawa ke mahkamah. Dalam perlembagaan, di mana ada kabinet disebut (terlibat)? Lagi pun, kabinet sebahagian daripada player," kata Professor Abdul Aziz Bari


"Secara logiknya juga, kalau bentang pada kabinet, buat apa perlu ada (jawatan) ketua audit negara." Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada 21 Oktober lalu menjelaskan, sejak 1982, LKAN dimaklumkan kepada kabinet sebelum dibentangkan supaya kerajaan dapat mengetahui isu yang dibangkitkan dan bersedia memberi penjelasan apabila diperlukan.


Beberapa anggota parlimen Pakatan Rakyat baru-baru ini mempersoalkan ketiadaan laporan itu semasa pembentangan Belanjawan 2012, antaranya anggota parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang mahu perdana menteri menjelaskan kelewatan itu./mutaligat
Addin :
Addin percaya ada perkara penyelewengan yang lebih besar di sembunyikan oleh Umno BN dalam Laporan Audit 2010. Jikalau tidak kenapa berlaku kelewatan dalam pembentangannya? Kenapa perlu melalui kabinet terlebih dahulu, sedangkan hanya perlu diserahkan kepada Yang Di Pertuan Agong terlebih dahulu. Ini terang-terang satu penderhakaan oleh kabinet Umno BN... membelakangi Yang Di Pertuan Agong.

BERSAMA BOB LOKMAN