Selasa, 8 November 2016

LARANGAN CETAK GAMBAR TOKOH PADA BAJU

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
*LARANGAN CETAK GAMBAR TOKOH PADA BAJU*

Sabda Rasulullah SAW:

لا تقوم الساعة حتى تلحق قبائل من أمتي بالمشركين، وحتى يعبدوا الأوثان، وإنه سيكون في أمتي ثلاثون كذابون كلهم يزعم أنه نبي، وأنا خاتم النبيين، لا نبي بعدي

Tidak akan berlaku hari kiamat sehinggalah terjadi
1. sebahagian kabilah dari umatku (Islam) yang bergabung dengan musyrikin;
2. sebahagian yang menyembah berhala;
3. Akan muncul 30 pendusta yang mengaku sebagai Nabi, sedangkaj akulah penutup kenabian. Tiada lagi Nabi selepasku.
[HR Abu Daud dan Tirmizi]

Apa yang disebutkan oleh baginda SAW benar-benar telah berlaku satu persatu. Ada pihak yang sanggup menjual agama, bergabung dengan bukan Islam untuk menghancurkan Islam. Contohnya seperti Mirza Ghulam Ahmad daripada India, pengasas ajaran sesat Qadiani yang mengaku menjadi Nabi. Beliau telah dibantu oleh penjajah British untuk menyebarkan fahamannya ke tanah air umat Islam termasuk tanah arab, negara kita dan rantau ini.

Diantara fitnah yang diberi amaran juga ialah hilangnya kepercayaan orang Islam terhadap kekuatan ajaran Islam sehingga mereka tidaklah melakukan dakwah yang berani kepada penyembah berhala sebaliknya bergabung dengan mereka pula untuk mendapatkan kuasa dan mengekalkan kuasa pemerintah walaupun menjual akidah.

Dan kita melihat adanya orang Islam yang menyembah patung-patung yang dinamakan berhala. Apa yang diberi amaran oleh Nabi itu berlaku di zaman kita. Walaupun di sana ada orang Islam yang kata dia bukan sembah, hanya sebagai tugu memperingati pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu, hakikatnya ia tetap dikira sebagai pemujaan terhadap patung yang diharamkan.

Upacara meletakkan bunga, kemudian diam sekejap (bertafakkur) di hadapan patung itu. Fikir apa masa tengah diam tu pun kita tahu. Tiru sahaja apa yang orang putih buat. Tidak kiralah pemimpin atau rakyat sekalipun, perbuatan ini ditegah dalam agama Islam. Para mufti sendiri sudah memfatwakan perbuatan tersebut adalah haram.

Begitu juga, ulama menegah perbuatan menggantung gambar-gambar tokoh kerana ia boleh membawa kesyirikan. Awal-awal dibuat hanya sebagai peringatan, tetapi lama-kelamaan setelah tiba generasi yang jahil, gambar itu akan dipuja pula. Maka Sadd Zariah (menutup lubang kerosakan), ianya tidak dibenarkan. Ramai ulama mengharamkan

Samalah hari ini, jenis cetak gambar pada baju pula. Letak gambar tokoh-tokoh yang kita sayang pada t-shirt dan sebagai. Ini juga tidak baik di sisi Islam. Ada ulama yang mengharamkannya.

Ini saya tegurlah di sini. Mungkin tak ada lagi yang menegur. Kita sepatutnya kalau sayang pada tokoh tertentu, berdoa sajalah supaya tuhan merahmati mereka. Bukan buat patung buat gambar dan sebagainya.

Jadi mereka yang dah mati tu elok buang sajalah gambar mereka. Berdoalah minta Allah beri rahmatnya pada mereka. Wallahualam.

Masjid Rusila
21 Oktober 2016
20 Muharram 1438

(Alang Ibn Shukrimun)

Telegram:
http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun
Facebook:
https://m.facebook.com/alangshukrimun/

ISU SALAF-KHALAF UMPAMA AIR DALAM BOTOL

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
ISU SALAF-KHALAF UMPAMA AIR DALAM BOTOL

Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [Al-Baqarah:29]

Lafaz istawa ila sama' (menuju ke langit) menjadi khilaf dikalangan Ulama antara salaf dan khalaf. Ulama salaf adalah mereka yang hidup zaman Nabi, sahabat dan tabiin sehingga akhir kurun ke 3 hijrah. Zaman tersebut orang belum banyak berfikir. Zaman orang Islam belum terpengaruh dengan pemikiran luar. Jadi mereka hanya menerima zahir ayat. Kalau tuhan menuju ke langit, maknanya memang Dia tuju ke langit. Namun mereka tidak samakan tuhan dengan makhluk kerana Firman Allah SWT:
ليس كمثله شيء
Tiada yang sepertiNya sesuatupun
[As-Shura:11]

Ulama-ulama khalaf pula mentakwil ayat tersebut dengan erti kekuasaan Allah. Maknanya kuasaNya menuju ke langit untuk mencipta. Timbul pentakwilan sebegini kerana berada di zaman ilmu falsafah, orang banyak menggunakan akal sehingga sesat. Oleh itu ulama menggunakan ilmu falsafah untuk menerangkan hakikat sifat tuhan. Masanya ialah selepas kurun ketiga, selepas munculnya ulama seperti Asyairah, Maturidy dan lain-lain.

Malangnya hari ini masing-masing berbalah. Tuduh menuduh kamu salafi, kamu wahabi, Ibn Taimiah, Asyairah dan Maturidi dan macam-macam. Puncanya kerana tidak membaca akan sejarah ini.

Dulu sesama mazhab fiqh boleh berbeza akidahnya walaupun fiqhnya sama. Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal semuanya mengikut manhaj salaf kerana berada di zaman salaf. Mereka tak mentakwil ayat-ayat ini semua. Belum ada lagi sifat-sifat 20 dan sebagainya. Namun ulama mutaakhirin seperti Imam Ghazali, Imam Haramain, al-Juwaini yang datang kemudian pula bermazhab Asyairah dan Maturidi walaupun bermazhab Syafie. Mereka tak berbalah antara satu sama lain.

Yang jadi ribut hari ini umpama orang mengaji bab gajahlah. Mengaji gajah bahagian kaki saja. Terus kata gajah macam batang pokok. Yang mengaji gajah bahagian telinga, kata gajah macam kipas. Bila berbeza terus berbalah.

Ulama-ulama dulu tak berbalah sebab belajar secara menyeluruh. Belajar akidah dengan sejarahnya, belajar syariah dengan tarikh tasyriknya, tafsir dengan asbab nuzulnya.

Ulama sekarang pula jadi berbalah sebab belajar tak habis. Bila belajar tak habis, ilmunya sedikit. Bila sedikit ilmu, dia jadi macam botol yang ada air sedikit. Bila dikocak memang kuat bunyinya. Kalau dalam tin lagi kuat. Padahal tak ada apa pun.

Masjid Rusila
27 Muharram 1437
28 Ogos 2016

_(Alang Ibn Shukrimun)_

Telegram:
http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun
Facebook:
https://m.facebook.com/alangshukrimun/

ULAMA YANG MEMBAWA IDEOLOGI PENJAJAH


PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
ULAMA YANG MEMBAWA IDEOLOGI PENJAJAH

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". [Al-Baqarah:30]

Islam adalah agama yang merangkumi segala aspek kehidupan termasuk pemerintahan. Di dalam ayat di atas menunjukkan bahawa tugas manusia bukan sahaja dalam bab ibadat tetapi juga dalam bab pemerintahan.

Kefahaman bahawa urusan politik tidak ada kena mengena dengan agama bukan dari ajaran Islam. Ia datang dari Kristian. Ia dibawa oleh penjajah ke setiap tanah jajahannya. Penjajah menetapkan urusan agama setakat bab nikah cerai, bahagi pusaka, jagaan anak, tengok anak bulan, urus masjid sahaja. Urusan jaga keamanan, ekonomi, politik, undang-undang serahkan sahaja kepada penjajah.

Selepas kejatuhan Uthmaniyah, era 20an muncul seorang Ulama al-Azhar bernama Ali Abdul Raziq, menulis sebuah buku bertajuk Islam wa usul Hukm (Islam dan dasar pemerintahan). Buku tersebut telah membawa ideologi sekular penjajah dengan menyatakan urusan pemerintahan tidak ada kena mengena dengan Islam. Apa yang dibuat oleh Nabi tidak bersangkut paut dengan Madinah.

Majlis Ulama Azhar yang dipimpin Syeikh al-Khadr Khusain pada waktu itu telah memanggil Ali Abdul Raziq dalam sebuah pertemuan. Ketika dia hadir memberi salam, tidak ada seorangpun yang menjawabnya. Lalu beliau dibicarakan, dipersoalkan berkait tulisan beliau itu. Selepas banyak soalan yang tidak dapat dijawab, akhirnya Ali Abdul Raziq dilucutkan jawatannya serta ijazah ditarik balik.

Muncul pula selepas itu seorang ulama yang menulis menyokong tulisan Ali Abdul Raziq bernama Khalid Muhammad Khalid. Beliau menulis sebuah buku bertajuk Min Huna Nabda (Dari Sini Kita Bermula) menyatakan unsur sekularisme di dalam Islam. Tulisan beliau telah disanggah oleh Syeikh Muhammad Al-Ghazali dengan sebuah buku bertajuk Min Huna Na'lam (Dari Sini Kita Mengetahui).

Di akhir umurnya, Khalid Muhammad insaf dan bertaubat lalu menarik balik tulisannya. Beliau lalu menulis sebuah lagi buku bertajuk Rijal Haulu Rasul (Lelaki-lelaki Sekeliling Rasul) sebagai menebus kesalahannya yang lalu.

Namun pemikiran mereka tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Penjajah menyebarkan buku-bukunya, menterjemah dalam pelbagai bahasa (termasuk bahasa melayu) sehingga mempengaruhi pemikiran orang Islam.

Masjid Rusila
4 Safar 1438
4 November 2016

(Alang Ibn Shukrimun)

Telegram:
http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun
Facebook:
https://m.facebook.com/alangshukrimun/