PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
ULAMA YANG MEMBAWA IDEOLOGI PENJAJAH
Firman Allah SWT:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". [Al-Baqarah:30]
Islam adalah agama yang merangkumi segala aspek kehidupan termasuk pemerintahan. Di dalam ayat di atas menunjukkan bahawa tugas manusia bukan sahaja dalam bab ibadat tetapi juga dalam bab pemerintahan.
Kefahaman bahawa urusan politik tidak ada kena mengena dengan agama bukan dari ajaran Islam. Ia datang dari Kristian. Ia dibawa oleh penjajah ke setiap tanah jajahannya. Penjajah menetapkan urusan agama setakat bab nikah cerai, bahagi pusaka, jagaan anak, tengok anak bulan, urus masjid sahaja. Urusan jaga keamanan, ekonomi, politik, undang-undang serahkan sahaja kepada penjajah.
Selepas kejatuhan Uthmaniyah, era 20an muncul seorang Ulama al-Azhar bernama Ali Abdul Raziq, menulis sebuah buku bertajuk Islam wa usul Hukm (Islam dan dasar pemerintahan). Buku tersebut telah membawa ideologi sekular penjajah dengan menyatakan urusan pemerintahan tidak ada kena mengena dengan Islam. Apa yang dibuat oleh Nabi tidak bersangkut paut dengan Madinah.
Majlis Ulama Azhar yang dipimpin Syeikh al-Khadr Khusain pada waktu itu telah memanggil Ali Abdul Raziq dalam sebuah pertemuan. Ketika dia hadir memberi salam, tidak ada seorangpun yang menjawabnya. Lalu beliau dibicarakan, dipersoalkan berkait tulisan beliau itu. Selepas banyak soalan yang tidak dapat dijawab, akhirnya Ali Abdul Raziq dilucutkan jawatannya serta ijazah ditarik balik.
Muncul pula selepas itu seorang ulama yang menulis menyokong tulisan Ali Abdul Raziq bernama Khalid Muhammad Khalid. Beliau menulis sebuah buku bertajuk Min Huna Nabda (Dari Sini Kita Bermula) menyatakan unsur sekularisme di dalam Islam. Tulisan beliau telah disanggah oleh Syeikh Muhammad Al-Ghazali dengan sebuah buku bertajuk Min Huna Na'lam (Dari Sini Kita Mengetahui).
Di akhir umurnya, Khalid Muhammad insaf dan bertaubat lalu menarik balik tulisannya. Beliau lalu menulis sebuah lagi buku bertajuk Rijal Haulu Rasul (Lelaki-lelaki Sekeliling Rasul) sebagai menebus kesalahannya yang lalu.
Namun pemikiran mereka tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Penjajah menyebarkan buku-bukunya, menterjemah dalam pelbagai bahasa (termasuk bahasa melayu) sehingga mempengaruhi pemikiran orang Islam.
Masjid Rusila
4 Safar 1438
4 November 2016
(Alang Ibn Shukrimun)
Telegram:
http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun
Facebook:
https://m.facebook.com/alangshukrimun/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan