Sabtu, 23 April 2011

1Malaysia Bukannya 1Islam - Perak Islam Lain, Negeri Lain Islamnya pulak lain...!!!

Majlis Fatwa benarkan poco-poco di negeri lain
April 22, 2011

SEPANG, 22 April — Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan untuk tidak menghalang tarian poco-poco di kalangan umat Islam selagi ia tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan, kata pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Sehubungan itu masyarakat Islam dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan badan itu sejak 2007 yang antara lain tidak melakukan ritual ibadat bukan Islam, menjaga pergaulan lelaki dan perempuan serta pakaian yang sesuai.

“Sekiranya tidak melanggar (peraturan ) maka tiada halangan. Malah kalau ia mendatangkan kebaikan kepada kesihatan, maka kita rasa tiada halangan kepada perkara itu,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan di sini.

Bagaimanapun Bernama Online memetik beliau berkata Majlis Fatwa Kebangsaan tetap menghormati keputusan Majlis Fatwa Perak untuk mengharamkan tarian itu seperti diumumkan muftinya Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh.

Pada 6 April lalu, Harussani memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau tidak akan menarik balik keputusan mengharamkan tarian poco-poco, sebaliknya bersedia untuk memberi penjelasan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Mufti Perak berkata Jawatankuasa Fatwa negeri itu membuat keputusan mengharamkan tarian poco-poco selepas membuat kajian dan penelitian mendalam.

“Saya bersedia (buat penjelasan), kita haramkan tarian poco-poco sebab kita dah siasat... kita dah kaji...kita dah teliti sebab itu kita haramkan kerana ia menyimpang dari ajaran Islam.

“Keputusan ini bukan keputusan main-main, kita tahu dan sedar apa yang kita buat, jika ada sesiapa yang tidak faham saya sedia jelaskan dan bersedia memberikan sebab kenapa ia diharamkan termasuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan,” kata Harussani.

Kata Harussani, Jawatankuasa Fatwa Perak telah mengambil kira sembilan asas, antaranya soal akidah dan kepercayaan umat Islam lebih penting daripada penjagaan kesihatan apabila memutuskan tarian poco-poco sebagai haram.

Sementara itu, Harussani yang turut menghadiri muzakarah itu ketika dihubungi berkata fatwa pengharaman itu dibuat selepas terdapat pertanyaan daripada persatuan Islam di Perak sama ada tarian itu patut diharamkan atau sebaliknya.

“Selepas itu kajian dibuat dan didapati ada unsur itu. Negeri-negeri lain tiada permintaan untuk mengkaji tarian itu sebab itu tiada fatwa mengenainya dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Shukor ketika diminta mengulas mengenai antara perkara utama yang dibincangkan pada muzakarah kali ini, beliau berkata ia termasuklah penggunaan vaksin ‘mencevax’ iaitu sejenis vaksin yang digunakan jemaah haji dan umrah sejak sekian lama.

“Jadi kita telah mengkaji dan mendapatkan pandangan pakar di mana selepas tahun 1997 penghasilannya lebih baik selain kos yang lebih munasabah. Kita setuju teruskan (penggunaannya) jika tiada gantian yang lebih baik daripada itu,” katanya.

Menurutnya terdapat juga permohonan daripada syarikat lain untuk membekalkan vaksin untuk jemaah haji dan umrah, yang sudah berada di pasaran selama dua tahun.

“Pada prinsipnya kedua-dua vaksin itu harus dan boleh digunakan. Tetapi kita mengutamakan vaksin pertama kerana ia sudah lama digunakan,” kata beliau.

Muzakarah tiga hari yang bermula 20 April turut membincangkan mengenai wang pampasan insurans konvensional yang tidak dituntut serta masalah wang khairat kematian

Kedah sanggup urus UUM

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri mencabar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan Universiti Utara Malaysia (UUM) sekiranya pengurusan universiti berkenaan tidak mampu mengurus kewangan universiti itu dengan baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, cabaran itu dibuat berikutan dakwaan UUM yang mempertikai pembayaran cukai tanah bernilai RM1.7 juta, hingga timbul persepsi bahawa Kerajaan Negeri menaikkan cukai tanah sebanyak 10 kali ganda.

“Ini bukan soal naikkan cukai tanah, kerana nilainya kembali pada asal setelah tempoh rebat tamat. Jika mereka tak mampu urus, kita bersedia ambil alih kerana kita yakin mampu urus UUM dengan sumber kewangan yang ada,” kata kepada Sinar Harian.

Menurutnya, UUM atau Kementerian dialu-alukan untuk berbincang mengenai pembayaran cukai tanah malah pihaknya bersedia bertolak ansur dalam hal ini, antaranya menawarkan bayaran ansuran dan sebagainya.

“Sejak dua tahun lalu, mereka boleh bayar tetapi sekarang kecoh pula, apa motif mereka sebenarnya,” katanya.

Azizan berkata, cukai tanah di Kedah adalah terendah setelah Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah memperkenalkan dasar baru penurunan cukai tanah antara 35 hingga 75 peratus sejak tiga tahun lalu.

“Sejak dasar baru cukai tanah diperkenalkan, Kerajaan Negeri hilang hasil tanah sebanyak RM50 juta. Takkan pula selepas tiga tahun, nak naikkan pula. Saya harap pihak terbabit faham istilah mengekalkan atau menaikkan cukai tanah kerana fakta awal tak tepat,” katanya.

Menurutnya, KPT harus menyalurkan peruntukan secukupnya kepada UUM sama ada untuk pembayaran cukai tanah atau menaikkan taraf infrastruktur saluran paip atau membina tangki air berkapasiti tinggi untuk mengatasi kemelut di universiti terbabit.

Sebelum ini, Azizan memaklumkan bahawa keluasan tanah milik UUM adalah 872 hektar dan cukai yang perlu dibayar oleh Kementerian ialah RM1,743,745 setahun atau 20 sen bagi satu meter persegi.

Namun setelah Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) ketika itu memberikan rebat selama dua tahun, iaitu dari 2006 hingga 2008, UUM hanya perlu melunaskan cukai tanah sebanyak RM100,000.

MB Kedah - saya dah kata, jangan ganggu pentadbiran saya tapi depa nak kacau juga...

Khabar buruk untuk perasuah di Kedah
 
Oleh AZAMIN AMIN
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri sama sekali tidak akan berkrompromi perbuatan rasuah malah tidak akan melindungi mana-mana individu yang terbabit gejala itu."Saya akan terus perangi rasuah lebih-lebih lagi jika melibatkan pejabat saya. Datang berbincang boleh, tapi kalau nak rasuah saya halau keluar!

"Saya tidak akan lindungi sesiapa sahaja yang terbabit. Kita akan pastikan sifar rasuah dan ini melibatkan ajaran agama serta amanah rakyat kepada kita!"
Demikian amaran keras dan penegasan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Razak di hadapan lebih 300 kakitangan dan pegawai kerajaan negeri sewaktu perhimpunan bulanan di Wisma Darul Aman 18 Februari lalu.

Selain membanteras gejala itu, Ustaz Azizan dalam ucapannya menyatakan bahawa tugasnya selaku pemimpin pentadbiran negeri adalah untuk memastikan kesenangan para kakitangan untuk bertugas dan membela kebajikan rakyat di negeri ini.

Beliau menegaskan, menjadi tanggungjawab beliau sebagai ketua kerajaan berjumpa dengan kakitangan untuk memberi nasihat dan bimbingan penambahbaikan agar pentadbiran kerajaan menjadi lebih baik dan terurus.

"Allah memilih manusia sebagai khalifah yakni pemimpin dan kita semestinya memimpin dan mentadbir dunia dengan penuh amanah agar menjadi makmur dan sejahtara.

"Kita sebagai pengurus dan pentadbir kerajaan perlu menanamkan sikap bertanggungjawab dan memegang amanah sebagai pemimpin.

"Segala tindak tanduk kita perlu dikawal oleh iman dan akal yang waras. Allah menilai kerja kita mengikut niat masing-masing," tambahnya lagi.

Beliau berkata kejayaan kerajaan negeri yang bebas defisit, mendapat sumber pendapatan yang menguntungkan dan mempunyai simpanan rezab merupakan hasil daripada kerjasama semua pihak khususnya para pegawai serta kakitangan yang meneruskan dasar belanja berhemah dan berjimat cermat yang berterusan.

"Saya bersama kepimpinan Exco merasakan mentadbir kerajaan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. Untuk menjayakannya bukan hanya terletak di bahu kami tetapi di bahu semua kakitangan.

"Kelembapan pengurusan akan mendatangkan kerugian kepada kerajaan dan saya berharap semua kakitangan dapat menjalankan tugas dengan cekap, cepat dan pantas agar membuahkan hasil yang baik kepada kerajaan," katanya.

Berhubung laporan kewangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkaitan penggunaan wang syarikat GLC Seri Temin Development Corporation (M) Sdn. Bhd. (STDC) untuk kegunaan Umno, Ustaz Azizan tidak mempertikaikan keuntungan yang diperolehi sebaliknya mempersoalkan cara wang itu dibelanjakan.

"Yang kita persoalkan salah guna wang syarikat semata-mata untuk Umno. Jika digunakan untuk kebajikan rakyat tak mengapa tetapi untuk parti...mana boleh.

Antara laporan yang dibuat ialah wang syarikat tersebut digunakan pada 2007 untuk Mesyuarat Perwakilan Umno Padang Terap sejumlah RM10,000, lawatan Pemuda Umno ke Indonesia RM10,000 , lawatan Puteri Umno ke Indonesia RM5,000 dan sumbangan kepada Umno Kedah sejumlah RM200,000.

Selain itu duit syarikat itu turut digunakan untuk sumbangan petugas BN pilihanraya kecil Ijok RM5,000, sumbangan T-shirt dan wang saguhati konvoi Pergerakan Pemuda Umno Padang Terap RM4,000 dan dan membekal cenderamata untuk perwakilan Umno Bahagian Padang Terap sejumlah RM26,150.00.

Ditanya berkaitan ulasan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Dato' Ahmad Bashah bahawa tindakan itu merupakan perkara kecil sahaja, Ustaz Azizan memberitahu itu adalah untuk SPRM yang menentukan kesalahan itu.

"Ia umpama pencuri yang biasa mencuri...dia kata kecil saja. Biar SPRM yang tentukan perkara itu.

"Itulah saya dah kata, jangan ganggu pentadbiran ini tapi depa nak kacau juga...jadi kita dedahkanlah tembelang depa selama ini," katanya ketika ditemui wartawan sejurus seusai perhimpunan itu

Kenapa UMNO BN Bermati- matian Mahu Cemar Nama Baik Anwar

SHAH ALAM 22 APRIL : Tv3 selesai merakamkan siri laporan terbaru merangkumi tuduhan- tuduhan seks terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Ketua Pembangkang itu bergelut dengan fitnah video lucah 'Datuk T', sumber- sumber memberitahu Tv Selangor.

Laporan yang bakal disiarkan di Buletin Utama itu akan menyaksikan S. Nallakarupan membuat pelbagai dakwaan terhadap Anwar, sumber- sumber yang rapat dengan bekas pemimpin MIC itu mengesahkan.

“Kemungkinan besar dakwaan- dakwaan Nallakarupan itu akan disiarkan dalam tempoh terdekat untuk memberikan lebih tekanan kepada Anwar, “ kata sumber itu tanpa mengulas lanjut.

Kebanyakan dakwaan- dakwaan Nalla itu “bukan perkara baru,” cuma disadurkan dengan butir- butir terperinci dalam usaha meyakinkan rakyat terutama pengundi Melayu, kononnya Anwar pemimpin tidak bermoral.

Rasanya tidak perlu dihuraikan rekod Nalla, seorang rakan karib Anwar yang kemudian merajuk dan berpaling tadah apabila tidak dipilih menjadi calon untuk pilihanraya kecil Ijok pada tahun 2006.

Hakikatnya adalah, dakwaan dan tuduhan terhadap Anwar diperhebatkan di Tv3 dan media arus perdana kawalan UMNO sejak pilihanraya Sarawak.

Walaupun PRN Negeri itu sudah berlalu, namun serangan terhadap Anwar tetap dipanjangkan dan menimbulkan persepsi BN, khususnya UMNO, sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihanraya umum dalam tempoh terdekat.

Awal minggu ini, Parti Keadilan Rakyat memberi amaran kepada rakyat bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tetap akan mencari ikhtiar untuk mendakwa Anwar bersabit video lucah Datuk T.

Ramalan itu terbukti benar apabila pejabat Peguam Negara memulangkan kertas siasatan kepada polis kerana tidak berpuas hati dengan rumusan yang dibuat oleh badan itu.

Justeru arahan diberi kepada polis untuk menyiasat lagi kes video lucah tanpa terikat kepada sebarang tarikh untuk menyiapkan siasatan.

Pada masa sama, Berita Harian, sebuah lagi akhbar kawalan UMNO memetik sumber- sumber sebagai mendakwa sebuah agensi penyiaran Korea Selatan kononnya mengesahkan pelaku dalam video 'Datuk T' sepadan dengan badan Anwar menerusi ujian bio metrik.

Semua “fakta- fakta” ini adalah untuk mempengaruhi rakyat, khususnya pengundi Melayu supaya menolak Anwar dan pada masa sama merencatkan hubungan PKR pimpinan Anwar dengan PAS dan DAP.

Perkembangan terbaru memberi petanda jelas bahawa rakyat Malaysia harus bersedia untuk disajikan dengan pelbagai fitnah terhadap Anwar bersabit video 'Datuk T'.

Pada masa sama, individu- individu seperti Nalla dan Umi Hafilda dipergunakan untuk menabur tuduhan- tuduhan lain terhadap Anwar.

Kenapa begitu banyak tumpuan diberikan oleh kerajaan pimpinan UMNO, polis dan pejabat Peguam Negara terhadap kes Anwar ?

Jawapannya berkait dengan Piliharaya Umum ke- 13 dan pemilihan UMNO yang akan datang. Kedua- duanya mempunyai impak besar ke atas kelangsungan jangka hayat politik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Para strategis UMNO menjangka peluang parti itu menguasai pengundi Melayu atas pagar akan cerah jika ia berjaya memusnahkan kredibiliti Anwar sebagai pemimpin Islam dan menampilkan beliau sebagai peliwat dan kaki perempuan.

Analisis yang dijalankan oleh Biro Tata Negara menunjukkan pengundi Melayu amat menitik- beratkan soal agama dan moral – justeru itu Anwar menjadi sasaran tuduhan seks bertalu- talu dalam hasrat UMNO untuk memberi isi kepada persepsi itu.

Justeru tidak sukar memahami kenapa video lucah 'Datuk T' dimainkan di kem- kem BTN sebagaimana yang didedahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Pengundi atas pagar kaum Melayu memegang kunci untuk memastikan sama ada Najib akan dapat merebut balik majoriti dua pertiga di Parlimen atau kecundang terus di medan pilihanraya kepada Pakatan Rakyat pimpinan Anwar.

Jika Najib tewas atau gagal menawan balik majoriti dua pertiga BN, usia remaja beliau sebagai PM dan Presiden UMNO akan mendapat saingan hebat daripada gandingan Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

Walaupun pemilihan UMNO masih dilihat sebagai jauh lagi, garisan- garisan pertempuran (battlelines) sedang pun dilakar dan kem- kem tertentu dibentuk dan dipupuk.

Kunci kepada siapa sokong siapa dan siapa lawan siapa akan berpaksi kepada pencapaian Najib pada PRU 13 – jika BN menang majoriti dua pertiga – Najib akan dijulang sebagai penyelamat maruah Umno.

Jika tidak, beliau dan gagasan 1Malaysia akan dikritik sebagai penyebab maruah Melayu tergadai di bumi sendiri.

Berasaskan sifir politik ini, bukanlah menjadi misteri kenapa Anwar Ibrahim harus ditumbangkan dalam apa cara sekalipun sebelum Najib mengadakan pilihanraya umum.

Hanya apabila yakin cabaran Anwar sudah ditumpulkan, kredibiliti dan maruah beliau sudah musnah di mata rakyat, maka hanya pada masa itu, Najib akan mendapat “ilham” untuk memanggil pilihanraya umum.

Sementara menunggu detik itu, rakyat khususnya pengundi Melayu harus melazimkan diri dengan membaca “cerita bukan-bukan” mengenai Anwar di muka depan Utusan Malaysia, Berita Harian dan menonton topik yang sama menerusi RTM serta TV3

Menolak sekeras-kerasnya laporan Berita Harian mengenai video seks

http://buletinonline.net/images/stories/berita46/YB%20SAIFUDDIN%20NASUTION%20ISMAIL.jpgKami membantah dan menolak sekeras-kerasnya laporan muka hadapan Berita Harian semalam bertarikh 21hb April 2011.

Kami kesal kerana Berita Harian dengan sengaja mensensasikan isu video seks itu walaupun penyiasatan polis masih diteruskan. Kami turut kesal apabila Berita Harian diperalat pihak tertentu demi merekayasa "perbicaraan melalui media" (trial-by-media), yang cukup jelas bernada politik dalam percubaan terus-menerus untuk mengaib dan menganiaya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Harus diingat bahawa syarikat Korea Selatan tersebut telah dipilih dan diberi maklumat khusus oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), yang mana ketua-ketua mereka masih menuruti kehendak barisan ahli politik yang mempunyai dendam kesumat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berusaha menamatkan perjuangan reformasi politik beliau.

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menafi sekeras-kerasnya penglibatan beliau dalam video ini. Kami juga ingin menyatakan dengan tegas bahawa individu di dalam video itu bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru kredibiliti PDRM sekali lagi terjejas dan dipersoalkan selepas pendedahan oleh bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL, Datuk Mat Zain Ibrahim, dalam beberapa surat terbuka beliau:

1) mengenai empat laporan polis yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim antara 9 Julai 1999 dan 20 Ogos 1999 mengenai salah guna kuasa dan menghalang proses undang-undang oleh sebilangan individu tersohor, termasuk Tun Dr Mahathir dan Dato Abdul Gani Patail. Mengapakah tiada tindakan lanjut dari pihak polis mengenai laporan-laporan polis ini?

2) mengenai persamaan yang cukup rapat antara "video seks" ini dengan "video seks" yang disebarkan beberapa hari sebelum PRU tahun 1999.

Kami mengajak Rakyat Malaysia bersama-sama menolak "politik lucah", dan marilah bersatu menggesa pemulihan semula institusi-institusi terpenting negara, terutamanya PDRM, SPRM, SPR, dan badan kehakiman.
YB Saifuddin Nasution
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Rakyat

Nostalgia : ucapan akhir Mantan Presiden Kita

Kes Sarbani: Keluarga Dakwa Polis Macam Nak Sorokkan Sesuatu

Kes Sarbaini: Keluarga tak puas hati, nak tahu ‘kisah sebenar’

KUALA LUMPUR, 22 April — Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis sambil mendakwa ia tidak dibuat secara menyeluruh untuk mengetahui sebab-sebab kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu.

Gambar: Keluarga Ahmad Sarbaini tidak puas hati dengan hasil siasatan polis. — Foto oleh Jack Ooi
Sebaliknya, ketika dihubungi The Malaysian Insider, sumber yang rapat dengan keluarga Ahmad Sarbaini berkata pihaknya mempersoalkan hasil siasatan polis kerana ia tidak dibuat secara menyeluruh selain nampaknya mahu “menyembunyikan” sesuatu daripada diketahui umum.
“Keluarga mempersoalkan kenapa hasil siasatan tidak begitu menyeluruh, macam nak sorokkan sesuatu... bila sudah jadi macam ini, cuba pula nak sorokkan sesuatu.

“Kami sekeluarga tertanya-tanya adakah cerita ini akan habis begini sahaja, kami memang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan dan kami tetap nak tahu apa yang terjadi, kami nak tahu kisah sebenar,”
katanya.

Kata sumber itu, keluarga Ahmad Sarbaini sedia maklum punca kematian adalah jatuh dari bahagian tinggi tetapi apa yang dipersoalkan adalah bagaimana dia boleh jatuh sehingga membawa kepada kematian bapa lima anak itu.

“Kami sekeluarga tetap mempersoalkannya, siasatan macam tak begitu menyeluruh... kami memang tahu Allahyarham jatuh dari tempat tinggi tapi atas sebab apa dia jatuh? Sebab apa dia mati, sebab apa yang saya tahu kebiasaannya kalau jatuh dari tingkat tiga dia mungkin hanya akan patah-patah sahaja tapi ini sampai mati (meninggal dunia) pula.

“Sebab itu kami nak tahu apa yang terjadi, sebab apa dia jatuh? Adakah benar dia jatuh dari tingkat tiga dengan sindiri atau ditolak dari atas?

“Kami nak tahu semuanya, kami memang tidak puas hati dan kami nak tahu cerita yang sebenarnya,” tambah sumber itu.

Ditanya mengenai kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan kelalaian serta mahu membersihkan dakwaan kononnya Ahmad Sarbaini membunuh diri sebagaimana dikatakan sebelum ini, sumber itu berkata, ia akan dibincangan bersama keluarga terdekat.

“Kami akan bincangkan dulu perkara ini, nanti akan dimaklumkan kemudian,” jawabnya ringkas.

Semalam polis berkata kematian Ahmad Sarbaini disebabkan kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM.

Justeru kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, kini terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.

Minggu lalu, keluarga Ahmad Sarbaini memberitahu The Malaysian Insider bahawa berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM jika hasil siasatan polis tidak memihak keluarga pegawai kastam itu.

Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.

Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

Kematian Ahmad Sarbaini merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja. -TMI


Baru sebentar tadi GB mengulas mengenai isu ini. Petikan:

Ia memang sudah dijangka dan polis sejak dari hari pertama kejadian "sudah pun" membuat rumusan sedemikian.

Laporan yang dikatakan telah lengkap itu sebenarnya tidak lengkap. Tidak komprehensif. Ia mengulangi siasatan polis di dalam kes Teoh Beng Hock.

Ahmad Sarbani dikatakan "mati kemalangan". Tergantung. Kemalangan disebabkan apa? Tanpa sebab?

Apakah kerana tergelincir? Terjun sendiri? Ditolak? Dicampak? Itu semua kena ada di dalam kertas siasatan. Sekarang NIL.

Inkues dan Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan lagi. Sebab polis tidak lengkapkan siasatan. Kerana apa? Macam dalam kes Teohlah jugak.
Jika demikian sikap polis, bagaimanakah polis mahu diyakini oleh rakyat? Nampaknya polis lebih rela maruahnya menjadi hina daripada melaksanakan tugas mendedahkan kebenaran dan menegakkan keadilan untuk rakyat jelata.-GB

Anwar Adalah 'Binatang Jalang'

Oleh Mohd Sayuti Omar
AKHBAR pro Umno hari ini telah menyiarkan di muka depan kononnya watak dalam video lucah yang sengaja disebar dan dibesar-besarkan itu adalah sepadan dengan wajah bapak reformis Anwar Ibrahim. Sepadan bukan bermakna itu sahih Anwar. Sepadan adalah iras-irasan yang bukan hakiki.
Laporan dalam akhbar itu juga menyebut polis sudah mengenal pasti di mana video itu diperbuatkan. Ianya dibuat di sebuah kondominum di pinggir Kuala Lumpur, bukan Muangtai. Manakala wanita yang terlibat dalam video berkenaan dikenal pasti sebagai gadis pelajar dari sebuah institusi swasta. Kenapa tidak dikaitkan dengan mana-mana IPTA awam, dari UIA ke UM ke atau UITM rasanya lagi sedap.
Apabila filem lucah itu dibuat di Malaysia maka mulai hari ini bolehlah diikhtrafkan Malaysia sebagai pengeluar filem lucah termahal dan terkelas sekali di dunia. Elok juga kalau festival filem tempatan mengambil kira filem berkenaan untuk menerima apa-apa award. Ia ditonton bukan saja oleh 30 juta rakyat Malaysia termasuk anak-anak di Tadika Kemas, tetapi oleh seluruh penduduk dunia. Apa lagi kalau pemainnya bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, menambahkan gimik kehebatannya.

Malang sungguh negara ini, sebab bekas-bekas timbalan perdana menterinya ditohmohakan dengan berbagai tuduhan yang kotor dan cemar. Satu masa dulu bekas TPM Malaysia dikatakan bertanggungjawab ke atas pembunuh beramai-ramai penduduk Memali mukim Siong Kedah. Selepas itu seorang bekas timbalan perdana menteri juga ditohmoh sebagai terlibat dengan pembunuh warga asing. Bekas TPM itu juga dikatakan terlibat dalam berkahlwat dengan seorang artis di sebuah resort di Port Dickson.

Jadi apabila Anwar yang juga bekas TPM dituduh dan dikaitkan dengan video lucah ia seakan melengkapkan kemisterian atau pun nasib malang dan warna huduh terhadap mereka yang bergelar TPM. Bagi Anwar pula pertuduhan itu melengkapkan segala rukun-rukun kejatan yang dilakukannya bagi menimbuskan kerjaya dan nilia juangnya.

Belum dikorek lagi apakah bekas TPM seperti Mahathir, Ghafar Baba atau Tun Razak Hussein juga ada kisah dan cerita sendiri dalam hidup mereka? Muhyiddin Yassin yang kini menjabat jawatan TPM juga harus waspada dan menjaga diri sebaik mungkin kerana beliau juga mungkin terkena tula jawatan itu.

Kata laporan akhbar pro Umno nombor 2 itu, polis tidak fokus kepada penyiasatan jam Omega yang dikatakan milik Anwar itu. Bagaimana pun jam itu sudah dikenal pasti ianya dibeli di Taiwan. Kata polis kerana ia sudah lama di beli (2004) dan tiada maklumat pemiliknya susah untuk menentukan jam itu kepunyaan siapa.

Bila polis berkata demikian semacam sudah ada kekenduran dari pihaknya dalam isu video lucah ini. Dalam kasus video lucah itu jam adalah bukti utama dan pokok untuk menentukan siapa sebenarnya watak yang mirip atau dikatakan sepadan dengan Anwar itu. Kerana dari jam boleh diambil DNA yang ada kepada pemiliknya.

Apabila tiada sebarang bukti jelas menunjukkan watak dalam video itu Anwar maka pertuduhan tidak boleh dibuat ke atasnya. Sesiapa pun tidak boleh mengesahkan lelaki itu adalah Anwar kerana tidak ada bukti-bukti kukuh.

Masalahnya tape atau CD video itu tidak boleh dipadankan dengan DNA Anwar yang sudah ada ditangan kerajaan hari ini. Jadi apakah maksudnya bila polis mengatakan jam itu tidak menjadi fokus? Kalau ia dibawa atau dilakukan juga tentu Karpal Singh akan mempertikaikan macam mana jam itu diperolehi nanti? Ini samalah dengan isu DNA Anwar yang diawal semasa dalam tahanan lokap dipertikaikan oleh Karpal Singh. Kerana cara pengambilannya tidak sah ia ditolak sebelum dibenarkan semula oleh mahkamah.

Perkara pokok yang akan dipastikan dulu apakah jam Omega itu jam Anwar? Tanpa ada pendaftaran pemiliknya ia sukar untuk dibuktikan. Apa lagi Anwar dan isterinya mengakui jam itu masih ada kepadanya. Kenapa Azizah tidak menunjukkan jam itu kerana mungkin beliau memilih mahkamah untuk dikemukakan bukti itu. Ini tentu atas nasihat peguam. Jadi wartawan dan mereka yang ingin melihat jam itu jangan emosi sangat dan perlu melihat strateginya.

Mudah saja kalau tidak ada bukti pihak pendakwaan tidak akan membuat pertuduhan. Anwar tidak akan dibawa ke mahkamah. Pendakwaan biasanya mempunyai bukti jelas dan konkrit kalau ingin membawa seseorang ke muka peengadilan. Tetapi dalam kes Anwar ini pendakwa boleh juga bawa Anwar atas tujuan hendak menyusahkannya.

Timbul seribu keanihan kepada saya dalam kes-kes membabitkan Anwar ini. Banyak perkara yang misteri, tidak lengkap, mengelirukan dan berlaku 'cocoh tarik' yang jelas. Bukti-bukti yang dibawa bagi mensabitkanya dalam sesuatu kes selalu longgar, bercanggah di antara satu sama lain dan tidak kemas dan boleh diubah-ubah.

Bukan isu liwat dengan pembacuh kopi, tetapi dalam isu liwat pertama dengan Azizan Abu Bakar dan gengnya dulu juga tidak kemas dan mengelirukan. Disebabkan kelemahan bukti-bukti dan alibi itulah maka kes liwat ke atasnya di buang begitu saja. Bila berlaku begini wang rakyat rugi dan maruah Anwar pula tercemar dan yang merugikan pihak berkepentingan rakyat akan marah.

Begitu juga dalam kes liwat dengan pembacuh kopi timbul beberbagai keraguan dan kekeliruan mengenai fakta kes dan bukti-bukti serta saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwa. Percanggahan laporan perubatan, tarikh kejadian dan banyak lagi menjadikan kes itu seperti mahkamah dalam wayang kulit saja.

Mulanya digembar gemburkan pihak pendakwa dibekalkan dengan video atau gambar yang menunjukkan Anwar sedang 'merukah ponggek' pembacuh kopi. Semua orang terngangga dan terkejut untuk melihatnya. Walhasil sampai di mahkamah tidak ada pun gambar yang dimaksudkan itu melainkan gambar 'mangsa liwat' itu dilihat keluar dari sebuah gate kondominum saja. Hai... Kalaulah gambar sebegitu sejuta kali pun ia boleh dibuat dan diadakan.

Ini dalam kes video lucah keadaan sama nampaknya berlaku. Bukti-bukti sahih mengatakan lelaki itu Anwar nampaknya gagal dikemukakan. Apakah tanggapan atau persepsi umum hanya melihat wajah itu sebagai Anwar akan diterima sebagai saksi? Kalau begitu adalah sangat 'tamada', sangat 'kodi', dan sangat naif mahkamah negara ini.

Kalaulah pendakwa turut juga mengheretkan Anwar ke mahkamah, maka jelas ianya satu usaha berterusan untuk menyusah dan memasungkan langkah Anwar agar tidak gugat kerajaan BN. Tindakan berterusan mencerminkan betapa bahayanya seorang Anwar kepada sebuah kerajaan seperti BN. Apakah ini juga boleh difahamkam bahawa kerajaan hari ini begitu takut sekali ianya runtuh kerana dengan keruntuhannya akan bercemperian segala macam noda, kebusukan dan hanyur lendir yang dilakukan ke atas rakyat?

Lakukan apa juga kezaliman dan kekerasan ke atas Anwar, beliau tidak akan mundur dan mengaku kalah. Segala tindakan tidak akan menghentikan Anwar dari terus menyerang dan mengaum. Beliau akan nekad melawan kerana dia adalah binatang jalang yang terbuang dari kumpulannya seperti mana diucapkan Chairil Anwar lebih 60 tahun lalu. Sebagai mana Chairil Anwar hidup sesudah kematiannya, maka begitulah Anwar akan tetap disebut hingga ke hujung zaman. Sesungguhnya api jihad Anwar boleh terpadam bila jasadnya ditinggalkan roh.

kalau sampai waktuku
ku mau tak seorang kan merayu
tidak juga kau
tak perlu sedu sedan itu
aku ini binatang jalang
dari kumpulannya terbuang
biar peluru menembus kulitku
aku tetap meradang menerajang
luka dan bisa kubawa berlari
berlari
hingga hilang pedih peri
dan aku lebih tidak perduli
aku mahu hidup seribu tahun lagi.
- Chairil Anwar.
http://msomelayu.blogspot.com/

Tiada kempen berlebihan dalam PAS

KUALA LUMPUR, 22 April: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan tidak berlaku kempen berlebihan dalam parti itu sehingga menyebabkan perpecahan.
"Calon sendiri tak berkempen. Tapi kalau pengikut-pengikiut yang berkempen, itu saya tak boleh nak halanglah.

"Dalam PAS budaya kita, masing-masing dah tahu etika kempen dan kempen macam pilihan raya tak berlaku dalam PAS," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini..
PAS, tambahnya tidak terikut-ikut dengan parti lain yang menangguhkan muktamar kerana ingin memberi tumpuan kepada pilihan raya umum yang dijangkakan selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

"Saya agak parti lain menangguhkan mesyuarat agung mereka kerana takut pertandingan dalam parti akan menyebabkan perpecahan sebab kempen yang terlalu hebat.
"Tapi PAS ada budaya sendiri. Walaupun ada pertandingan tapi tak akan merosakkan perpaduan dalam parti .

"Jadi tak ada masalah nak teruskan (muktamar) melainkan pilhan raya diadakan pada Jun," katanya.

Beliau juga memberithau tarikh tutup bagi setiap kawasan menyerahkan borang pencalonan untuk jawatan tertinggi dalam PAS adalah pada 15 Mei ini.

Katanya, ianya bagi memberi peluang kepada setiap kawasan yang belum selesai mengadakan mesyuarat agung mereka untuk turut membuat pencalonan.

Jumlah pencalonan setiap kawasan tidak akan dibuka kepada umum termasuk Harakah dan Harakahdaily sehinggalah semua kawasan selesai membuat pencalonan.

"Pencalonan dari setiap kawasan tidak akan dibuka, diletakkan di satu tempat dan hanya akan dibuka setelah semua selesai.

"Saya sendiri pun tidak akses kepada jumlah pencalonan dan Harakah dan Harakahdaily pun tak boleh siar jumlah pencalonan itu," kata beliau.

Beliau berkata, setelah 179 kawasan selesai membuat pencalonan, ia akan dihantar kepada calon-calon tersebut dan mereka boleh memilih sama ada menerima atau menolak pencalonan tersebut.

Tempoh untuk menarik diri sehingga 26 Mei, sebelum kertas undi dicetak pada 28 Mei.

"Calon yang berhasrat diri untuk bertanding mesti menjawab surat tawaran yang dikeluarkan jawatankuasa pemilihan.

"Kelayakan bertanding ialah apabila seseorang itu mendapat minima dua pencalonan," jelasnya.

Pengerusi jawatankuasa pemilihan ialah Pengarah jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Muktamar Tahunan PAS Pusat akan berlangsung pada 1 hingga 5 Jun dengan majlis perasmian pada 1 Jun bagi Muktamar Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat pada 2 Jun manakala muktamar penuh bermula 3 hingga 5 Jun.

Bagaimanapun tempat berlangsungnya muktamar akan dimaklumkan kemudian.

Menyentuh mengenai isu-isu yang akan dibangkitkan pada muktamar nanti, Mustafa berkata, ianya berdasarkan ucapan dasar Presiden dan menjangkakan pilihan raya umum ke-13 menjadi salah satu isu utama yang akan dibincangkan.

"Isu yang akan dibangkitkan berdasarkan ucapan dasar Presiden dan drafnya pun belum lagi siap. Jadi bergantung pada ucapan Presidenlah. Tapi berkenaan pilihan raya umum akan dibincangkan," katanya. -Hrkh

Di sini mencela, di sana merayu

KUALA LUMPUR, 22 April: Itulah kiasan yang menggambarkan karenah kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap kaum Tionghua sekiranya seseorang itu mengikuti berita-berita media tradisional Umno Barisan Nasional kebelakangan ini.

Semenjak menerima tamparan hebat di Sarawak ekoran kehilangan 15 kerusi, 12 di tangan DAP akibat kejatuhan undi popular sebanyak 8 peratus, Umno Barisan Nasional melalui lidahnya, Utusan Malaysia telah melancarkan serangan bertubi-tubi kepada kaum Tionghua dengan label-label seperti ‘tidak mengenang jasa’ dan menuduh kononnya komuniti Cina mahukan kuasa politik muktamad.
(Gambar: Pengarang media Umno mencerca Cina Malaysia selepas ditolak Cina Sarawak)

Utusan turut menyeru kerajaan BN Sarawak tidak lagi boleh bersikap terlalu pemurah untuk memberikan tempat kepada perwakilan kaum Tionghua di dalam kabinetnya.

Bahkan, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed turut serta memainkan sentimen yang sama dengan menuduh DAP telah berjaya memisahkan kaum Tionghua daripada kerajaan ekoran kemenangan bergaya parti itu di Sarawak.

Bukan itu sahaja, dalam satu tindakan yang dilihat merobek koyak slogan 1Malaysia ciptaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan telah menyeru pemiliknya, Umno untuk melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi” untuk menyatukan orang Melayu sebagai reaksi kepada dakwaan bahawa kaum Tionghua sudah bersatu-padu di bawah DAP.

Cadangan Zaini itu ditolak oleh Mahathir hari ini dengan mengatakan bahawa beliau berharap benda itu tidak berlaku kerana itu satu tindakan yang akan membinasakan negara, meskipun NGO kegemarannya, Perkasa sudahpun menawarkan diri untuk mengelapai pergerakan tersebut.

“Saya harap ia tidak akan berlaku. Ia amat tidak baik... orang ramai harus fikir mengenai ini, kita menuju malapetaka jika ia berlaku,” kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, Najib turut menjauhkan pentadbirannya daripada seruan Zaini – dengan mengatakan bahawa cadangan 1Melayu, 1Bumi cumalah satu pandangan peribadi, namun beliau tidak mengatakan secara jelas samada Umno menerima atau menolak idea tersebut.

“Ia pandangan peribadi penulis. Di sudut kerajaan, kami sudah pun ada satu konsep yang jelas dan kami akan meneruskan usaha-usaha kami,” beliau berkata.
(Gambar: Muhyidin memujuk ahli perniagaan China melabur ke Malaysia)
Namun, situasi suram antara kerajaan Umno Barisan Nasional dengan kaum Tionghua dalam negeri kelihatan jauh lebih positif di peringkat antarabangsa, apabila kerajaan persekutuan tengah berusaha keras untuk berinteraksi dengan para pelabur kaum Tionghua daripada negara China untuk melabur di dalam negara.

Delegasi yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini berada di Shanghai sedang merayu syarikat-syarikat China untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.

“Malaysia mengalu-alukan pelaburan China di dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan, khususnya di dalam aktiviti teknologi tinggi, bernilai tambah dan berasaskan pengetahuan.

"Sebagai respons terhadap peningkatan minat pelabur China, Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kini sedang berunding secara aktif dengan syarikat China yang berminat di dalam sektor logam, kimia, pengangkutan, elektronik dan elektrik, automotif dan makanan," katanya yang dipetik akhbar Berita Harian.

Tambahnya, sehingga kini terdapat lebih 120 syarikat berkepentingan China beroperasi di Malaysia dengan pelaburan modal lebih AS$250 juta (RM754 juta).

Gani Patail lebih berkuasa daripada Najib malah Obama

Percaya atau tidak, tapi itulah hakikatnya. Gani Patail, Peguam Negara kini dilihat lebih berkuasa daripada Perdana Menteri Malaysia, malah lebih berkuasa daripada Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.
Tindak-tanduk Gani bukan sahaja mengatasi apa saja Undang-undang ciptaan manusia tetapi beliau juga dilihat tidak takut untuk melanggar apa sahaja Undang-undang dan hukum-hakam ciptaan Allah SWT. Rekod pembohongan dan pengkhianatan si peguam negara seperti tiada batasan.
Tindakan terbaru Gani dalam kemelut video seks yang kononnya membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan betapa Undang-undang negara perlu tunduk dan mengikut interpretasi dan kemahuan beliau. Pelbagai hukum dan kanun acara jenayah yang diguna-pakai, hanya sebagai hiasan.
Dengan kuasa sebagai Peguam Negara, beliau telah memperlekehkan segala usaha pihak polis semata-mata mahukan Datuk Seri Anwar disabitkan dengan kesalahan yang tidak wujud. Akibatnya, pihak polis terpaksa menari mengikut rentak yang ditentukan oleh Gani dan bukannya mengikut keperluan Undang-undang yang digunakan pakai. Undang-undang yang telah dibuat oleh Parlimen, diinjak-injak mengikut selera Peguam Negara.
Tidak hairanlah jika kes video seks ini bermula dengan hanya seorang 'Datuk T' telah menjadi 'Datuk Trio'. Daripada seorang pelacur warga China, menjadi seorang pelajar IPTS. Kejadian yang didakwa berlaku di sebuah hotel, berpindah ke sebuah kondominium. Jam tangan Omega yang kononnya dihadiahkan oleh keluarga DiRaja Arab Saudi tiba-tiba bertukar menjadi sebuah jam tangan yang dibeli di Taiwan.
Malah ketulenan video yang telah disahkan oleh 'pakar multimedia tempatan' seperti yang pernah diwar-warkan oleh Ketua Polis Negara sedikit masa lalu, terpaksa disahkan semula ketulenannya oleh sebuah badan penyiaran Korea Selatan! Dan pihak polis dipaksa untuk mengubah-ubah segala fakta siasatan bagi memuaskan nafsu dan kehendak si Peguam Negara.
Pesalah-pesalah (ketiga-tiga Datuk 'T') yang terang-terangan melakukan kesalahan di bawah Akta Acara Jenayah Kanun Kesiksaan Seksyen 292 tidak berani disentuh oleh pihak polis.
Begitulah beberapa rentetan peristiwa yang membuktikan betapa manusia bernama Gani Patail, adalah manusia yang paling berkuasa di atas muka bumi ini, menjadikan pihak polis seolah-olah tiada kewibawaan kerana segala hasil siasatan mereka perlu 'turun-naik' pejabat Peguam negara beberapa kali.
Pelbagai peristiwa yang telah menimpa watak-watak utama 'Kes Liwat 1' tidak langsung memberikan apa-apa kesan terhadap tindak-tanduk Peguam Negara, Gani Patail.

AMK: Tiada Kanun Keseksaan Boleh Mensabitkan Anwar
SHAH ALAM 21 APRIL: Di sebalik kesungguhan polis menyiasat ketulenan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, anehnya, tiada satu pun laporan polis dibuat mengenainya.

Dan sekali lagi, jika pun benar pelakunya adalah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu, tiada peruntukan mahupun kanun keseksaan untuk mendakwa Anwar melakukan sebarang kesalahan jenayah, kata Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

Walhal katanya, ketiga-tiga individu yang jelas berdepan dengan kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan itu masih bebas sehingga kini.

"Dalam kes ini, tidak ada satu laporan pun yang dibuat mana-mana pihak untuk mensabitkan Datuk Seri Anwar dengan apa-apa kes jenayah. Hanya laporan yang dibuat di seluruh negara menjurus secara khusus kepada Seksyen 292.

"Dan tidak ada satu kesalahan pun dalam mana-mana kanun keseksaan yang boleh mensabitkan (Datuk Seri) Anwar sekiranya betul pelakon itu adalah beliau, di mana kita menafikan ianya sekeras-kerasnya," ujar beliau.

Shamsul yang dihubungi Tv Selangor tidak menolak kemungkinan adanya campur tangan politik selain desakan daripada pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) sehingga Peguam Negara didesak memulangkan semula kertas siasatan tersebut kepada polis hari ini.

Katanya, polis seolah-olah berada dalam keadaan keliru memandangkan tiada asas kukuh dalam siasatan terbaru untuk mensabitkan Anwar dengan individu dalam video 21 minit berkenaan.

Justeru beliau menyatakan kekesalan terhadap tindakan Tan Sri Ghani Patail yang sekali lagi dilihat menjadi pencacai Umno-BN dalam usaha memusnahkan karier politik Anwar sejak tahun 1998.

"Saya hairan mengapa peguam negara memulangkan kertas siasatan itu (kali ke 2) seolah-olah pihak polis menyiasat dengan tidak sempurna. Apa yang ingin diketahui adalah satu perkara yang menghairankan.

"Di situ timbul satu persepsi dan kita menjangkakan bahawa peguam negara tidak berminat untuk membuat pertuduhan terhadap ketiga-tiga (trio Datuk T) suspek jenayah," ujar beliau lagi.

Shamsul tetap menegaskan bahawa ketulenan rakaman tersebut masih dipertikai kerana ianya berwarna hitam putih.

Rentetan perkara itu ujar Shamsul, kerajaan terus menggunakan helah media arus perdana sebagai medium untuk meracuni pemikiran rakyat.

"Sekarang ini mereka guna strategi baru pula iaitu dengan menggunakan kononnya pakai imej dan menyiarkan di muka hadapan akhbar (Berita Harian) lalu mengesahkan ianya imej Anwar

Trio 'Datuk T' iaitu bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay dan bekas bendahari Persatuan Peribumi Perkasa (Perkasa), Shuib Lazim mengaku mendalangi pendedahan rakaman video 21 minit kepada media terpilih di Carcosa Seri Negara pada 21 Februari lalu.

Mereka mendakwa Anwar adalah individu yang melakukan aksi seks dengan pelacur berbangsa Cina namun di lokasi yang masih menjadi tanda tanya selain melakukan intimidasi jenayah dengan mengugut supaya beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Umum.

Anwar walau bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan seterusnya membuat laporan polis terhadap ketiga-tiga individu terbabit untuk disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan sekiranya bersalah akan dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun dan denda.
- TVSelangor News