Ahad, 5 Februari 2012

Usah ikut nafsu, Dewan Ulama nasihat Hasan Ali


Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh mengingatkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali supaya berfikir sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengkritik parti itu.

Walaupun kenyataan Hasan dikatakan langsung tidak memberi kesan ke atas Pas, namun Nik Zawawi menggesa Hasan supaya tidak sesekali mengikut hawa nafsu.


Nik Zawawi turut meminta bekas pemimpin Pas itu berjuang demi kepentingan agama sebagaimana yang pernah diperjuangkannya ketika berada dalam parti itu.
Hasan dipecat oleh Pas pada 8 Januari lalu.

“Dia bebas berkata apa sahaja kerana dia bukan lagi ahli Pas tetapi kita harap supaya dia berfikir dengan baik. Jangan ikut nafsu tetapi bergeraklah demi kepentingan dan perjuangan Islam,” katanya.

Hasan terus mengkritik beberapa pemimpin Pas dan mendakwa, selain pemimpin DAP dan PKR, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad penghalang utama kerja beliau sewaktu menjadi Exco Agama Kerajaan Negeri, sebelum ini.

Khalid merupakan ahli jawatankuasa kerja pusat Pas dan Yang Dipertua Pas kawasan Shah alam serta Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor.

Menurutnya, beliau memahami bantahan dibuat oleh DAP dan PKR kerana pemimpin tersebut terdiri daripada orang bukan Islam.

Sementara itu, berhubung kenyataan Hasan bahawa beliau akan menubuhkan Jati iaitu sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan, Nik Zawawi berkata, Hasan boleh berbuat apa sahaja kerana sudah tidak lagi terikat dengan Pas.

Pertubuhan itu yang didakwa Hasan sebagai kuasa ketiga dalam politik negara juga dilihat tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada Pas.

Dalam kenyataan Hasan, beliau menegaskan Jati akan menjadi kuasa ketiga dalam arena politik negara, namun belum memutuskan sama ada ia akan menyokong parti memerintah atau sebaliknya.

Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Pas Terengganu tidak bimbang dengan kenyataan itu yang menggambarkan cita-cita besar Hasan dalam Jati.

“Ia tidak membabitkan Pas dan ahli-ahli Pas juga tidak terpesong. Itu hanya pandangan individu. Tidak menjejaskan apa-apa pun dan itu hak dialah,” katanya.

Hassan Ali Tak Merayu, Lebih Suka Merayau & Meracau


Dr Mahfodz: Saya paling rapat dengan Dr Hasan

Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed (gambar) mungkin paling kecewa dengan keputusan Datuk Dr Hasan Ali tidak mahu merayu menyertai semula PAS.

Naib ketua dewan ulamak PAS mengakui beliau sangat rapat dengan Dr Hasan yang dipecat dari parti awal Januari lalu.
Bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu dipecat kerana mempunyai pendirian berbeza dengan parti dan juga Pakatan Rakyat.

Dr Hasan yang menubuhkan NGO JATI kerap menyerang PAS dalam siri program di seluruh negara.

“Saya kenal rapat dengan Dr Hasan dan selalu bertemu di masjid Mujahiddin Damansara Utama.

“Malah saya orang pertama yang diarahkan parti bertemu bekas exco agama kerajaan negeri Selangor untuk mendapatkan penjelasan mengapa menyerang PAS.

“Saya dan isteri pergi ke rumah Dr Hasan di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur tetapi beliau tidak membuka pintu untuk kami masuk.

“Jadi kami tidak dapat bertemu Dr Hasan,” kata Dr Mahfodz.

Nasharuddin janji kekal

Berbeza dengan Nasharuddin Mat Isa, ahli parlimen Bachok itu berjanji kekal dengan perjuangan PAS.

Kata, Dr Mahfodz, beliau mendapat kepastian itu dari SMS yang dihantar oleh bekas naib presiden PAS itu.

Masa depan Nasharuddin dalam PAS menjadi tanda tanya selepas kegagalan mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti Julai tahun lalu.

Beliau yang sudah dua penggal menjadi timbalan presiden PAS kalah kepada pemimpin veteran Mohamad Sabu.-FMT
Hasan Ali tidak akan rayu
KUALA LUMPUR - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menegaskan beliau tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan pemecatannya sebagai ahli parti Islam itu.

Beliau dipecat oleh Pas pada 8 Januari lalu dan mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan.

Hasan yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi membantah keputusan pemecatan beliau dengan menyifatkan tindakan itu diambil secara arbitari dan mengikut selera 'parasit' yang mahu beliau keluar Pas.

"Peranan parasit yang begitu menonjol dalam mesyuarat membuat keputusan tersebut sehingga pimpinan tertinggi terpaksa membuat keputusan di luar batasan pengurusan manusia dalam organisasi seperti lazim dilakukan.

"Saya juga tidak pernah menerima surat, pesanan ringkas atau panggilan telefon meminta saya hadir khusus untuk memberi keterangan terhadap apa-apa pertuduhan (sekiranya ada) yang dikenakan terhadap saya," kata beliau pada sidang media di rumahnya di sini, petang ini.

Menurut Hasan, beliau tetap berpegang kepada kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyatakan bahawa segala-galanya yang melibatkan dirinya telah selesai selepas Pertemuan Mahabbah di Kota Bahru pada 27 Disember lalu.

Mengulas isu sama, Hasan berkata, hala tuju dan dasar perjuangan parti telah terkeluar dari landasan asalnya apabila negara Islam, hukum hudud, kepimpinan ulama ukhwah Islamiyah dan akhlak Islam tidak lagi menjadi amalan serta urusan harian parti.

“Sebelum ini, saya sering mencadangkan supaya Pas mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana pendekatan akomodatif yang diambil oleh ‘parasit’ di dalam Pas melampaui hal berkaitan dasar parti hingga terpaksa dikorbankan demi menjaga hubungan bersama PR.

“Dalam konteks negeri Selangor, saya sendiri menghadapi kesukaran dan suasana serba salah untuk melonjak, menjunjung dan mendaulatkan Islam serta bangsa Melayu seperti yang termaktub dalam pernyataan dasar parti,” katanya.

Hasan menambah, antara sebab beliau enggan membuat rayuan adalah kerana mendapati pimpinan ‘parasit’ dalam Pas lebih gemar mendengar pandangan daripada DAP dan PKR berbanding daripada wakil partinya sendiri dalam hal pentadbiran Kerajaan Negeri.

Katanya, ruang untuk Islam di Selangor khususnya berkaitan hal nahi mungkar menjadi perkara pokok perjuangan Pas hampir tidak wujud kerana DAP, PKR dan sebahagian daripada pimpinan Pas Negeri yang menjadi ‘parasit’ tidak menyebelahi beliau.

“Alasan yang diberikan ialah kerana pendapat saya kononnya bercanggah dengan hak asasi manusia, kebebasan individu, hak untuk memilih dan demi mengutamakan Putrajaya.

“Hampir dalam semua perkara, Pimpinan ‘parasit’ ini menyuarakan pandangan negatif terhadap semua yang saya lakukan sebaliknya mereka lebih suka menyerang saya termasuk menyuarakan melalui media masa yang sebenarnya sudah jauh menyimpang daripada amalan akhlak Islam,” katanya.
-SH

Stadium RM292 juta tidak boleh digunakan lagi


KUALA TERENGGANU: Stadium Sultan Mizan yang terletak di Gong Badak sudah tidak boleh digunakan lagi dan bakal diruntuhkan begitu saja.

Perkara ini dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut di sini.

"Stadium tu tak boleh guna dah, kena peruntuh dan buat yang lain," kata Abdul Wahid ketika berucap merasmikan forum kepenggunaan Terengganu di Kuala Ibai hari ini.

Stadium itu siap dibina pada tahun 2008 dengan kos RM292 juta dan gunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2009.

Sebahagian bumbungnya runtuh selepas itu dan dibiarkan tanpa digunakan sehingga kini.

Media melaporkan baru-baru ini sebanyak RM50 juta harta stadium itu hilang akibat kecurian selepas ia runtuh.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengakui kes kecurian itu namun menafikan jumlah kerugian sehingga RM50 juta itu.

Menurut Abdul Wahid, kerajaan negeri Terengganu membayar RM2.2 juta untuk mengkajinya dan RM6 juta lagi dibelanjakan untuk meruntuhkan bumbung yang belum runtuh.

"Namun saya mendapat maklumat, stadium itu sudah tidak selamat lagi untuk digunakan.

"Samalah macam bangunan pasaraya dekat stesen bas tu, siap tetapi tidak boleh digunakan," kata Wahid yang juga anggota Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau dipercayai merujuk kepada bangunan sebuah pusat membeli belah yang mula dibina sejak tahun 1990an tetapi hanya siap sejak beberapa tahun lalu.

Namun begitu, hanya sebuah restoran makanan segera yang beroperasi di bahagian tepinya namun bangunan itu dikatakan tidak selamat untuk digunakan keseluruhannya akibat dari struktornya yang sudah terlalu lama. -Hrkh

Gambar Sekitar Sambutan Maulid Rasul Sultan Kelantan Bersama Pimpinan Negeri Kelantan

http://a2.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc7/s720x720/404596_10150650893560039_227789400038_10842510_1066894898_n.jpg

http://a2.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc7/s720x720/425112_10150650905740039_227789400038_10842538_813840249_n.jpg
 

TG Haji Hadi: Calon PRU13 Mesti Penuhi Syarat, Bukan Sekadar "Boleh Menang"

TG Hj. Hadi: Punca Pas pecat Hasan Ali

MUKADIMAH: Dalam wawancara selama 1 1/2 jam bersama Sinar Harian baru-baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bukan sahaja menegaskan tidak mempunyai agenda untuk menjadi perdana menteri, tetapi juga mengulas tindak-tanduk bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, yang dipecat daripada parti itu kerana melanggar disiplin dan pelbagai cabaran serta halangan dihadapi Pas, terutama dalam usaha mengambil alih Putrajaya.
Ikutilah wawancara Timbalan Pengarang Berita, Farush Khan; Editor Terengganu, Wan Normi Hasan dan wartawan Wan Saidatul Fadzilah Wan Najemudin dengan tokoh agama dan politik itu, yang berlangsung di kediaman beliau di Rusila, Marang, Terengganu.

Kenyataan Datuk Hasan menjejaskan juga prestasi parti?

Hadi: Dalam sehari dua, apabila sudah banyak hari akan terserlahlah langkah kita itu betul. Contohnya, isu berkait dengan Himpunan Sejuta Umat. Kita lihat isu ini banyak benda tidak tepat. Contohnya, orang Melayu masuk Kristian sampai ratus-ratus ribu. Pernah dengar kan? Bila polis siasat, maklumat itu tidak betul, orang yang disiasat dibebaskan. Mengapa tiada diambil tindakan? Kerana ada pelindung dia; kita tahu. Pada kita murtad ini bukan sahaja masuk Kristian, tapi termasuklah hina hukum Islam. Boleh jadi murtad dengan kejahilan dia, berlaku begitu rupa. Menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal. Jadi, murtad ini luas. Dan kita nampak isu ini dipolitikkan dan pada PRU 2008 ada yang berhempas-pulas mendapatkan undi Melayu. Rata-rata orang Melayu tak tahu agama kebanyakannya dan mereka sayang pada Islam. Mereka jadikan isu ini untuk tarik undi Melayu, bukan untuk mempertahankan Islam.

Saya pernah bawa usul menangani murtad di Parlimen pada 1998. Mengikut standing order di Parlimen, usul bukan kerajaan hendaklah diletakkan di belakang. Yang kedua, usul seperti ini hendaklah dibawa oleh seorang menteri kerajaan yang boleh disokong, dirujuk kepada standing order. Apabila menteri bawa, ada sokongan. Setelah ada undi barulah saya bawa usul ini, banyak lapis, akhirnya ditinggalkan begitu sahaja usul ini.

Tetapi akhir-akhir ini dibawa isu ini dengan Himpunan Sejuta Umat. Tidak lebih daripada mempolitikkan isu, bukan nak pertahankan akidah dan nak gunakan orang Pas untuk mengerah orang Pas ramai-rami hadir di stadium Shah Alam. Saya tahu ada kalangan yang nak sediakan bas. Apabila kita tahu macam ini, kita kata jangan pergi, Datuk Hasan Ali pergi, kemudian pergi lagi ke Perak dan buat kenyataan. Kenyataan ini tidak tepat dengan apa yang kita nak. Memang kita tidak setuju dengan murtad; lawan murtad, tapi Saidina Ali (Abu Talib, Khalifah Islam keempat) berkata, kata-kata yang betul, tetapi tujuannya kebatilan.

Atau matlamatnya tak betul. Tak ada dalam Islam ini, matlamat menghalalkan cara. Matlamat mesti betul, cara mesti betul. Kalau matlamat betul, cara salah, tidak boleh. Matlamat salah, cara betul, tidak boleh. Dua-dua kena betul. Itu lagi kena faham dan Pas bukan milik siapa, milik organisasi, kumpulan kita.

Pas ini ada Majlis Syura Ulama dilantik dalam Jawatankuasa Pas Pusat empat orang, Dewan Ulama lantik empat orang, Dewan Pemuda dua orang, Dewan Muslimat dua orang kemudian mereka dilantik ini pilih lima orang lagi dalam kalangan ulama yang boleh merujuk dalam bahasa Arab, merujuk kitab-kitab Islam; yang kita ketahui kewibawaan, akademik dan kemampuan.

Kita tahu moral dia konsisten dengan pendirian dan dia boleh buat keputusan, boleh membatalkan keputusan parti, sekiranya bercanggah dengan al-Quran dan hadis, ijmak ulama dan kias. Ini jaminan yang ada dalam Pas. Kalau ada ahli parti yang nak buat sendiri, bertindak sendiri, maka kalau dia bercakap sebagai orang Pas, orang kaitkan dengan Pas, jadi lebih baik dia bebas.

Bangunan Umno Hulu Tereng­ganu disimbah dengan cat hijau?

Hadi: Saya rasa kita orang Pas tidak buat sampai begitu. Kita ajar orang kita tidak boleh melampaui batas. Kalau ada orang Pas bertindak begitu kita disiplinkan dia kerana Islam ajar kita, kita berlawan dalam perang pun tidak boleh melampaui batas, apa lagi perang melalui demokrasi. Itu boleh jadi pihak lain yang buat provokasi, boleh jadi belaka. Dalam politik boleh jadi semua.

Siapa Menteri Besar Terengganu kalau Pas menang dalam PRU13?

Hadi: Itu ditentukan parti. Belum tentu saya bertanding di state (negeri). Kalau bertanding di state pun, belum tentu lagi saya jadi menteri besar. Bahkan di Kelantan, saya bagi contoh; tahun 1959, yang jadi menteri besar Datuk Ishak Bakri. Datuk Asri tidak jadi menteri besar. Lepas tu Ishak jadi Speaker, Datuk Asri jadi menteri besar, dia bukan Pesuruhjaya Pas Kelantan. Lepas tu Datuk Asri tidak jadi menteri besar walaupun dia pesuruhjaya. Tuan Haji Mat Amin Haji Yakob Almarhum.

Di Terengganu juga pernah begitu, masa Daud Saad Almarhum menteri besar, dia pegang pesuruhjaya. Yang dilantik ialah diterima rakyat, diterima pegawai pentadbir negeri. Kerana kita nak memerintah negeri ini ada beberapa orang di kalangan tuanku sultan, pegawai tadbir negeri, wakil rakyat, yang keempatnya rakyat. Ini kita mesti lihat penerimaan semua sekali. Tidak boleh kita nak tentu-tentukan begitu.

Siapa Perdana Menteri (jika PR menang PRU-13?)

Hadi: Pada peringkat ini kita dalam Pas tidak bincang. Di peringkat PR pun tidak bincang. Kita bincang untuk ke Putrajaya dulu. Jadi, macam orang kampung cerita, kambing tak bela lagi, sirih tak tanam lagi. Jadi duk bergaduh nak buat pagar. Yang ni kata nak buat pagar, yang ni kata nak tambat kambing. Apabila tanya mana kambing, tiada kambing lagi. Mana sirih, tidak tanam lagi pun. Apabila sampai masa, insya-Allah kita ada orang layak. Macam saya kata dululah, saya tiada dalam agenda menjadi perdana menteri. Yang penting, kita nak perkasakan Islam. Siapa duduk di atas, saya terima, bahkan saya boleh rehat; balik kampung jadi pembantu sahaja, pergi ke laut, balik jadi nelayan.

Dari segi politik, kepimpinan negara mesti Melayu Islam kerana majoriti adalah orang Melayu. Itu mengikut kaedah politik Islam. Kalau orang Cina masuk Islam, jumlah mereka besar, mereka ada tokoh, mereka layak jadi pemimpin. Kita orang Melayu kena terima, kalau India begitu juga.

Jadi realiti hari ini majoriti orang Melayu adalah Islam. DAP sudah terima Islam sebagai agama Persekutuan. Hak istimewa orang Melayu dia terima, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dia terima. Dalam masa yang sama, agama lain ada hak dia. Bangsa lain yang miskin tidak boleh diabaikan, hak dia untuk mengajar bahasa ibunda tetapi bahasa Melayu jadi bahasa rasmi. Dan kita kena sedar Umno tidak buat benda ini dalam masa 50 tahun lebih. Tidak perkasakan; itu silap dialah. Yang kita silapkan MCA, MIC, silapkan Gerakan; silap Umno sendiri. Dalam Pas sendiri, kita tidak tolak ansur dan DAP menerima kerana kita tegas dalam masalah ini.

Barangkali saudara-saudari ingat masa tahun 2000 DAP keluar daripada Barisan Alternatif, minta Pas batalkan beberapa agenda Pas, kita tegas; kita tidak berganjak dan DAP keluar dan masuk balik. Dengan kita tidak berganjak itu menunjukkan kita tidak menggadaikan prinsip kita. Dan kita tidak zalimi rakan-rakan kita.

Dari segi hudud, adakah DAP terima?

HADI: Memang dia orang bukan Islam, tidak terima, tetapi untuk melaksanakannya dia tidak boleh halang kita. Dan dalam konteks Islam kita bukan sahaja tidak boleh paksa orang bukan Islam masuk Islam, tetapi juga termasuk dalam melaksanakan undang-undang. Dengan sebab itu, dalam undang-undang hudud, qisas dan takzir di Kelantan dan Terengganu, kita buat satu peruntukan orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada mereka menerima Islam atau menerima satu cara yang lain. Kepada saya, saya yakin orang bukan Islam akan terima pada akhirnya. Jangan kita tanya perompak, tanya mangsanya. Kalau tanya perompak, perompak tak sukalah kena hukum.

Dalam Islam, kalau bunuh hukumnya bunuh. Mungkin Undang-undang barat pun sama hukum membunuh, tetapi kalau ambil harta, kalau perompak kena potong tangan, potong kaki. Kalau tanya Cina-Cina yang kena rompak tu, dia setuju kalau potong tangan, potong kaki. Kemudian ada teori mengatakan kalau kita laksanakan pada orang

Islam, orang Islam jadi kudung, jadi apa, itu tidak betul. Kita kena faham, undang-undang hudud ini undang-undang mendidik, bukan menghukum. Nak hukum payah, mendidik.

Apabila dilaksanakan, orang Melayu, orang Islam jadi moral dia tinggi. Penjenayah tidak banyak. Orang lainlah penjenayah. Ia akan jadi macam itu. Itu hikmat dia kena faham. Dengan itu kita terima kalau DAP tidak setuju, tak apalah. Yang peliknya Umno kata dia tidak setuju.

Barangkali dia anggap itu hudud ala Pas?

HADI: Kalau hudud Pas kita muzakarahlah. Kita bincang. Hudud ini ayat Quran, bukan Pas boleh buat. Pas tidak boleh reka hukum hudud ini.

Percanggahan berhubung pelaksanaan hudud antara Pas dan DAP, bagaimana dineutralisekan?

HADI: Kita neutralisekan dengan utamakan perkara yang jadi bersama. Contohnya negara berkebajikan, tolong bela rakyat miskin, tolong rakyat miskin, khidmat pada masyarakat. Rawatan percuma pendidikan percuma. Ada pendidikan swasta, dengan pengawasan dia, ini semua parti bersetuju, kita utamakan yang ini dulu. Nak laksanakan hudud itu, dia makan masa. Ini boleh dibuat. Contohnya nak hapuskan tol, Pas setuju, DAP setuju. Nak bantu kemudahan makanan kepada rakyat, semua setuju. Ini halal, ini haram, bezalah. DAP boleh makan babi, kita tidak boleh makan babi; memang kita tidak setuju dengan babi, tapi kita tidak boleh halang DAP.

Datuk Hasan Ali kata negara berkebajikan bercanggah dengan konsep Islam?

HADI: Ada kenyataan mengenai perkara itu, dia tarik balik, dia minta maaf. Sebab dalam Islam tidak disebut sembahyang Islam, puasa Islam, nikah Islam. Disebut negara, kemudian negara berkebajikan, negara adil, negara ihsan. Itu istilah-istilah yang disebut dalam Quran, tetapi dia merangkumi sekali aspek ini. Dan saya ada tulis buku, negara berkebajikan, berdasarkan huraian yang saya bentang di muktamar Pas. Dan negara berkebajikan sudah diterima di muktamar. Bila muktamar terima dia tolak, itu sudah melanggar partilah.

Berkenan hudud dilaksanakan tetapi proses tidak sebagaimana yang diharapkan? Adakah manifesto senasib?

HADI: Yang pertama, hudud pada undang-undang jenayah sudah diwartakan. Tuanku sudah sain. Sudah lulus. Yang kedua kita balik pada Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan Malaysia kata Islam adalah agama Persekutuan. Agama ini, ada dua. Mengikut tafsiran Barat, religion. Pentafsiran Islam addin. Bila kita sudah merdeka kita kena tafsir mengikut addin, bukan religion. Addin merangkumi segala aspek, cumanya berlaku di Kelantan bila kita lulus di Kelantan, Tun Mahathir, Perdana Menteri pada masa itu, hantar surat kepada Yang Amat Berhormat Tok Guru Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz memberi amaran sekiranya Kelantan melaksanakannya, Kerajaan Pusat akan bertindak. Bagi Terengganu tiada surat itu. Terengganu ada bantahan daripada seorang pimpinan Umno yang bukan pimpinan utama, bawa ke mahkamah, tetapi tarik balik benda itu.

Jadi kita harap, setelah gagalnya undang-undang yang diamalkan hari ini, masalah rompakan, masalah jenayah, ada negeri tidak boleh saya sebut takut malu dia, tiap-tiap hari ada kadar jenayah. Tiap hari, bukan tiap-tiap bulan; sehari ada kes bunuh. Negeri yang jumlah penduduk dia ramai di Malaysia yang gejala sosialnya lebih kerana kemajuan industrinya pesat sampai satu hari satu kes bunuh. Itu polis beritahu saya. Tak payahlah saya dedah negeri mana. Itu bahayanya; itu yang media tidak dedah, yang media dedah pun banyak dah. Walaupun yang buat jenayah itu bukan orang kita, orang luar, pendatang tanpa izin, macam-macam, tetapi kesimpulannya jenayah besar.

Kalau laksanakan undang-undang qisas dan hudud ini saya yakin Tuhan kata ‘Dan bagi kamu hukuman jenayah qisas ini membawa kehidupan’.
Quran mengatakan demikian, maknanya membawa kehidupan, di sini jenayah akan berkurang dan hapusnya kes ini, membawa kehidupan kepada manusia. Yang kita ingat kalau laksana hukuman ini banyak orang kena hukum.

Barangkali oleh kerana pencuri 30,000 - 40,000 di seluruh negara dalam masa setahun. Barangkali banyak tangan kena potong. Kita fikir begitu. Bila diisytihar sahaja undang-undang ini maka habis takut mencuri, berhenti mencuri. Dia akan jadi macam itu. Di Arab Saudi, masa pemerintahan Kiya ul Aziz, dalam masa 20 tahun, tidak sampai 10 orang kena potong tangan. Mereka yang pergi buat umrah, pergi haji lihat sendiri tempat pengurup wang, sebagai contohnya, tutup dengan kain sahaja.
Pergi sembahyang, tutup dengan kain, orang takut nak mencuri, itu dia punya kehebatan. Yang pentingnya, kehebatan undang-undang; undang-undang itu hebat. Yang ada hari ini undang-undang tidak hebat, orang tidak gerun, penguat kuasa pun orang tidak gerun. Bahkan rumah polis pun dia masuk, rumah ketua polis boleh perompak masuk. Itu menandakan tidak hebat.

Dengan sebab itu, saya rasa tidak timbul terhalang. Kita tengok dululah apabila kita menang kali ini. Apa akan berlaku, respons daripada Pusat bagaimana, kita tengok.

Ada tak calon wanita di Terengganu?

HADI: Kita usaha nak tonjolkan calon wanita kerana calon kita ini mesti daripada akar umbi, daripada cawangan-cawangan dan daripada atas. Kalau daripada atas sahaja, respons cawangan tiada, tidak boleh. Kadang-kadang kita ada tokoh, tapi tokoh tu tempat dia orang tidak kenal kena, bawa tempat lain. Calon lelaki pun begitu. kita nak orang ini, contohnya, Mat Sabu Timbalan Presiden Pas, Muhamad Sabu pada 2008, tetapi boleh kalah, walaupun dia seorang tokoh yang besar. Dulu pernah di sini tahun 1950 - 1960 Parlimen Dungun, wanita, Khadijah Sidek. Di sini, pernah orang Johor, bukan Terengganu. Menang di sini, jadi calon wanita. Ini bukan kali pertama. Dan, kita ada calon wanita, kita kemukakan dan saya sebagai ahli Majlis Syura Ulama, semua nama calon dihantar ke Pusat dan ada dua tiga orang wanita di Terengganu.

(Penceramah bebas) Ustaz Azhar Idrus?

HADI: Tidak termasuk.

Nampaknya Pas pun laksanakan calon boleh menang?

HADI: Calon yang boleh menang yang cukup syarat. Dia mengikut kehendak parti kita, ikut syarat dan boleh menang. Kalau boleh menang sahaja, tapi tidak cukup syarat parti kita, kita tidak beri jadi calon.

'Lampu hijau' bagi Lynas cetuskan bantahan baru


Kira-kira 2,000 penduduk sekitar Kuantan semalam berhimpun  di pantai Teluk Cempedak sebagai membantah tindakan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang meluluskan lesen kendalian sementara (TOL) untuk projek kontroversi Syarikat Lynas Advanced di Gebeng.

NONEBermula sejak 5 petang semalam, penunjuk perasaan yang berpakaian kemeja-T anti-Lynas hitam dan kuning membawa bersama kira-kira 1,000 belon dalam warna yang sama.

Mereka diminta untuk menulis hasrat mereka pada cebisan kertas sebelum dilekatkan pada belon-belon berkenaan sebelum dilepaskan.

Antara mesej itu berbunyi: "Hentikan Lynas, Radiasi Lynas? Tidak, terima kasih saja!". Satu lagi sepanduk panjang dalam bentuk kaligrafi Cina berbunyi: "hapuskan racun, jadikan negara kita gembira dan sihat,"

Dalam usaha mewujudkan kesedaran kepada orang ramai, para penunjuk perasaan juga memberi belon kepada orang ramai.

Pengerusi Selamatkan Malysia, Hentikan Lynas (SMSL) Tan Bun Teet, ketika dihubungi malam tadi, berkata keputusan AELB meluluskan lesen TOL telah mengabaikan sentimen tempatan yang mencetuskan kemarahan rakyat yang berhimpun itu.

"Malam ini, ramai yang datang, pantai penuh sesak dengan orang," katanya.

NONEMenurut beliau juga, jumlah belon yang dibawa juga tidak mencukupi kerana pihaknya tidak menjangkakan sebegitu ramai orang akan akan datang.

Tan juga berkata demonstrasi yang diadakan malam semalam berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Tiada sebarang kehadiran polis atau pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuantan yang dikesan, berbanding perhimpunan lalu, di mana khemah penganjur digeledah dan orang ramai diarahkan bersurai.

Beliau juga memberitahu pada Rabu ini, kumpulannya akan mengutus surat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, bagi menuntut AELB, yang terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya supaya menarik balik lesen TOL itu.

NONE"Kami akan beri tujuh hari kepadanya untuk jawab. Jika surat kami tidak dibalas dalam tempoh berkenaan, kami akan memfailkan semakan kehakiman dengan mahkamah," katanya.
Hadir bersama pada acara malam semalam adalah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bersama keluarganya.-M,kini

[GEMPAR] Kereta & Rumah TPJ PAS Johor Terbakar Dalam Cubaan Membunuh

BMW, rumah TPJ Johor terbakar, dipercayai khianat

JOHOR BAHRU, 3 Feb: Sebuah kereta BMW milik Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad serta tingkat bawah rumahnya di Taman Universiti, di sini hangus terbakar dalam satu kejadian yang dipercayai perbuatan khianat, awal pagi ini.
Dzulkefly ketika dihubungi Harakahdaily berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 pagi sewaktu beliau dengan enam anggota keluarganya sedang nyenyak tidur di tingkat atas.

"Ketika itu kami semua sedang tidur. Tiba-tiba terdengar satu letupan kuat. Saya kejut isteri dan saya lihat enjin kereta BMW terbakar dan ada api di tingkat bawah rumah.

"Tidak lama kemudian satu lagi letupan kuat berlaku. Kami kejut semua anggota keluarga dan buat keputusan untuk keluar ke pintu belakang dan terus menghubungi pihak bomba," katanya.

Menurutnya, pihak bomba yang tiba kira-kira beberapa minit kemudian berjaya memadamkan api daripada terus marak.

Ekoran kebakaran itu kereta BMW miliknya itu keseluruhannya hangus manakala bahagian ruang tamu tingkat bawah juga turut terbakar.

"BMW keseluruhannya hangus, sebuah lagi kereta Camry yang diletak di sebelahnya, separuh terbakar tapi saya rasa masih boleh dibaiki.

"Bagaimanapun saya bersyukur sebab tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya sambil memaklumkan telah membuat laporan polis.

Sementara itu, Mazlan Aliman dalam respons segeranya memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu adalah cubaan membunuh.

"Badan Perhubungan PAS Johor dukacita dengan insiden ini.

"Saya mengesyaki ini cubaan membunuh, bukan perbuatan khianat biasa lagi ni. Nasib baik Haji Dzul dan keluarga sempat melarikan diri," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu.
Dzulkefly sebelum ini menurut Mazlan, banyak mendedahkan isu-isu panas di negeri Johor dan dikhuatiri ada pihak yang tidak senang dengan tindakan beliau.

Sehubungan itu, beliau yang turut bergegas ke tempat kejadian awal pagi tadi mendesak pihak polis menjalankan siasatan terperinci agar pihak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.


"Kita yakin dengan kepakaran pihak polis, dan kita harap polis menjalankan siasatan terperinci," katanya. -HD






Budak sekolah dipaksa sambut Awang Adek ka?

Lihat gambar bawah neh. Terserah korang nak buat andaian macam mana tapi aku punya andaian memang neh dipanggil menggunakan budak sekolah untuk politic purpose.

Jangan nak temberang larh weh. Dah pacak bendera bn, bendera umno, pakai baju lambang parti lepas tue nak kata neh majlis sambutan biasa? Ada yang kena mencarut karang neh. Sabar..

Lihat bawah neh ;

Nak kena sambut buat cara nak kena sambut. Nak kena sambut pun tak perlu pacak bendera umno dan bn bagai. Nak buat program sekolah, ko buat. Takde sapa larang aih. Tapi jangan melampau2 pacak bendera umno dan bendera bn.

Bendera malaysia takpe. Bendera parti mana boleh. Itu kawasan sekolah bukan kawasan politik. Budak2 pun tak reti mengundi lagi. Tahu atau tidak tahu apa itu bn bukan masalah pun pada korang sebab bebudak itu belum tahu apa itu parti politik dan apa itu mengundi.

Oleh kerana si awang adek neh telah menggunakan budak2 sekolah dan GURU2 sekolah atas tujuan politik adalah amat perlu bagi umno menghukum dia. Jangan cakap tak serupa bikin. Jika pembangkang di larang menggunakan dewan sekolah waktu sekolah bercuti untuk mengadakan ceramah politik, apasal pula awang adek dibenarkan untuk memacak bendera2 parti di sekitar kawasan sekolah dan menggunakan budak2 sekolah atas tujuan politik pula?

Tidak boleh yang tertera dalam undang2 negara merangkumi tidak boleh kepada semua jenis parti politik. Pembangkang dan kerajaan. Hidup jangan jadi sochai dengan hanya mengamalkan sebahagian undang2 dan meninggalkan pula undang2 yang lain.

Dan kalau rakyat memilih untuk tidak respect umno, jangan nak pandai2 salahkan rakyat sebagai tidak bersyukur dan sebagainya. Sila telek diri sendiri apa kesalahan yang korang lakukan sehingga memaksa rakyat menjadi benci. Faham?

Ameno : BEKAS BAKAL MENTERI BESAR KELANTAN SEDANG BERANGAN.