Sabtu, 1 Februari 2014

ULAMAK TONGGAK PERJUANGAN


SEMOGA CEPAT SIHAT


Akidah Asas Perjuangan

Islam meletakkan akidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu sebagai landasan utama kerana persoalan akidah adalah bersifat menyeluruh dan evergreen. Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada akidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid.

Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yang menjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi atau perubahan besar-besaran dalam jiwa dan kehidupan manusia kerana ia bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang diserahkan hanya kepada Allah.Ia adalah cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi yang telah merampas suatu sifat khusus Tuhan yang utama iaitu menentukan perjalanan dan peraturan hidup manusia. Islam adalah revolusi terhadap kenyataan hidup yang bersandarkan kepada rampasan hak Tuhan itu dan juga merupakan suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan yang tidak diredhai Allah.

Sebaliknya Islam menuntut manusia tunduk dan patuh kepada Allah selaras dengan pengertian kalimah Islam sendiri.Syed Qutb menyifatkan Islam merupakan revolusi dalam kehidupan manusia. Dalam hubungan ini Syed Qutb menyatakan, "Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dari dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya pada alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya daripada hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada."Dalam perkara ini, Allah Taala berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36:

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka); Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya."

Peranan utama para Rasul yang diutuskan Allah adalah membawa petunjuk kepada hamba-Nya. Ia terdiri dari dua perkara penting yang saling perlu-memerlukan dan menyempurnakan antara satu sama lain iaitu :1. Menyeru supaya beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah Yang Maha Esa.2. Menyeru supaya menjauhi taghut.Jelas bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan menyembah Allah dan mentaati-Nya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah menjauhi dan menentang taghut.

Perjuangan dan Jihad

Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdar) yang berasal dari perkataan "Jahada" bererti bersungguh-sungguh dan tekun mengerjakan sesuatu. "Jahada" pula bererti memerah tenaga. Jahada al-'aduww, bererti memerangi musuh. Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat.

Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama.Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak berisiko adalah peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang berbunyi; Daripada Abu Sa'id al-Khudri katanya, Rasulullah telah bersabda; "Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim."Oleh sebab itulah kebanyakan pentakrifan jihad pada zaman silan lebih merujuk kepada aspek peperangan. Contohnya, ulama

Mazhab Syafie memberi definisi jihad sebagai perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam. Manakala ulama Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai menyeru kepada agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan nyawa.Imam Hassan al-Banna pula menyatakan bahawa, "Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap Muslim.

Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran."Persoalan mengenai perjuangan dalam Islam juga merangkumi usaha umat Islam mengembangkan agama ini dengan menjalankan gerakan dakwah ke merata tempat di serata pelosok dunia. Lalu, dalam usaha berdakwah itu, mereka menghadapi sekatan, ancaman dan cabaran yang datang dari kebanyakan orang- orang kafir serta sasaran dakwah yang tidak bersikap terbuka untuk mendengar dahulu seruan Islam.

Dalam suasana ini, timbul perlawanan dan perjuangan menentang halangan, sekatan dan ancaman dari musuh dakwah. Namun dalam konteks zaman mutakhir ini, perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad, merangkumi aspek yang luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja. Bahkan ia lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan hak-hak umat Islam sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan Islam dengan saluran pilihan raya, penulisan dan sebagainya.

Pokoknya, di dalam usaha tersebut pada sepanjang zaman, mereka akan menghadapi cabaran dan tentangan dari musuh yang merupakan sebahagian daripada ujian Allah Taala. Cabaran dan tentangan tersebutlah yang melahirkan reaksi dalam bentuk perjuangan.

PERJUANGAN ISLAM

Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak yang menentangnya. Oleh sebab perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan betapa unsur perlawanan dan persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada dalam Islam dah dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.

Mahu tidak mahu, setiap Muslim terpaksa menghadapi realiti perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau perkumpulan, hebat atau hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang. Demikianlah, sejak generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah lagi, umat Islam telah dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan tekanan dan ujian.

JOM TURUN