Sabtu, 4 Jun 2011

SELAMAT BERJUANG DEMI ISLAM


Terkini: Keputusan penuh semua jawatan PAS pusat

Presiden : TG Abdul Hadi Awang (menang tanpa bertanding)

Timbalan Presiden :


Mohamad Sabu
(420 undi)
Tuan Ibrahim Tuan Man (399)
Nasharudin Mat Isa 224

Naib Presiden :


Salahudin Ayub
(753)
Husam Musa (660)
Mahfuz Omar (616)
Idris Ahmad (491)
Nik Amar Nik Abdullah(321)
Nizar Jamaludin (217)

AJK PAS Pusat Sesi 2011-2013 :

Mazlan Aliman (804)
Dr Mohd Hatta Md Ramli (765)
Datuk Kamarudin Jaafar (739)
Hanipa Maidin (735)
Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721)
Dr Zulkefly Ahmad (702)
Dr Mujahid Yusof Rawa (651)
Khalid Samad (643)
Abdul Ghani shamsuddin (579)
Amiruddin Hamzah (576)
Abdul Wahid Endut (556)
Abu Bakar Chik (527)
Datuk Mohd Amar Abdullah (470)
Dr Siti Mariah Mahmud (445)
Datuk Mahfodz Mohamed (449)
Datuk Hassan Ali (437)
Abdul Ghani Abd Rahman (430)
Nuridah Salleh (416)

[sumber:
Harakah Daily]

al-brangionline:

Tahniah!!!!!!Jawatan bukan semata-mata kerana jawatan, tetapi ia satu AMANAH yang besar.

Tuan Ibrahim: Tidak timbul soal ulama, bukan ulama

Tidak timbul soal ulama bukan ulama yang sedang dimainkan media pro Umno terhadap saf kepimpinan baru PAS, kata bekas calon Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bercakap kepada Harakahdaily beliau berkata, keputusan pemilihan PAS yang diumum hari ini membuktikan perwakilan faham struktur dalam PAS yang sememangnya diterajui Majlis Syura Ulama.

"Kita ada panduan dari Majlis Syura, ini akan memandu parti kita.

"Saya fikir ia tidak mencerminkan penolakan terhadap ulamak, tetapi mereka faham ulama tetap tertinggi dalam PAS melalui Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS Pusat," katanya yang juga dilihat dari kelompok ulama, dalam pertandingan tiga penjuru jawatan Timbalan Presiden PAS.

Dalam keputusan hari ini, beliau dan penyandang sebelum ini Nasharudin Mat Isa, bagaimanapun tewas kepada Mohamad Sabu yang dilihat bukan dari kelompok ulama.

Mohamad mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim 399 dan Nasha 224.

Bagi tiga jawatan Naib Presiden pula, perwakilan telah memilih Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Salahudin mendapat 753 undi, Husam (660), Mahfuz (616), Idris (491), Nik Amar (321) dan Nizar (217).

Media Umno bagaimanapun menganggap 'line up' baru kepimpinan parti itu sebagai wujud penolakan kepada kelompok ulama di kalangan perwakilan.

Mengulas perkara sama, Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu turut merasa hairan dengan sikap Utusan.

"Hanya media Umno main isu ulama-profesional ini. Kenapa tiba-tiba Utusan menjadi sayang kepada ulama menjelang muktamar.

"Sedangkan kita yang menang ini semuanya mendokong kepimpinan ulama,"katanya.

Naib Presiden PAS yang baru, Datuk Husam Musa pula berkata, ia hanya propaganda media Umno untuk memecahbelahkan parpaduan dalam PAS.

"Struktur ulama sememangnya kukuh dalam PAS. Paling tinggi Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan Majlis Syura.

"Saya, Mahfuz, Mat Sabu dan Salahudin daripada kecil dalam PAS, membesar dan dididik oleh Ulama PAS, jadi tidak ada apa-apa perubahan pun" tegasnya.

Mengulas peranan yang mahu dimainkannya sebagai salah seorang naib presiden PAS yang baru, beliau berkata mahu menumpukan kepada kemenangan PAS pada PRU-13 akan datang.

"Kemenangan ini untuk kita merangka pelan kejayaan PAS dalam PRU-13 dan meletakkan PAS pada posisi yang betul agar diterima rakyat pelbagai kaum," katanya.

Tuan Ibrahim ketika diminta mengulas kekalahannya pula, redha dengan keputusan pengundian oleh perwakilan tersebut.

"Alhamdulillah, Allah mengurangkan beban saya di akhirat. Saya tak rasa kecewa kerana kita tahu ruang berjuang dalam parti sangat luas," katanya

Mengalu-alukan Kenyataan Presiden Pas Tentang Negara Islam

MENGALU-ALUKAN KENYATAAN PRESIDEN PAS TENTANG NEGARA ISLAM
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Selamat bermuktamar kepada PAS dan tahniah kepada yang diberikan amanah. PAS adalah tonggak politik negara. PAS adalah nafas umat Islam dalam berpolitik di negara ini.

Saya mengalu-alukan kenyataan YB Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut: “Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan”.

Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS. Dalam masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain di dunia ini yang mula keluar dari rethoric negara Islam kepada realiti kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia. Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiyyah atau islamic state seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah (decolonization).

Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu. Apabila perkataan ‘daulah Islamiyyah’ atau Islamic state muncul, kemudian diikuti dengan kebangkitan Revolusi Syiah di Iran, maka perkataan daulah Islamiyyah atau Islamic state ini mula dipopular oleh para pejuang politik islami di seluruh dunia. Disebabkan istilah ini juga mereka berbalah bahkan menuduh pihak lain kurang islam disebabkan tidak bersama dalam perjuangan menegakkan daulah islamiyyah atau negara Islam itu. Walaupun kadang-kala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai.

Cuma, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah ini, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan realistik. Gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan ‘negara Islam’ itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata. Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan utopia state yang hanya wujud diminda, tidak mungkin pada realitinya.

Alhamdulillah, apabila gerakan Islam –sebahagian mereka- benar-benar terlibat sendiri secara langsung dengan politik kenegaraan, maka mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan. Kembali mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis, juga amalan para khalifah Islam yang mendapat petunjuk (al-Khulafa al-Rasyidin), maka mereka akhir jelas mengapa perkataan ‘negara islam’ atau daulah islamiyyah itu tidak wujud atau tidak disebut.
peta_malaysia.jpg
Politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana. Namun, prinsipnya kekal. Ini kerana Islam satu agama realistik. Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya. Bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya. Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya. Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam.

Soal mekanisme hukum –sama ada hudud atau tidak- dibincangkan setelah ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang kondusif yang memungkin keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi. Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan.
Sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih kehadapan, namun hari ini- dengan kenyataan YB Presiden akan memberikan nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud ‘negara kebajikan’ yang hendak diwujudkan. Saya percaya Presiden PAS ada kerangka yang jelas. Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas. Ini kerana welfare state mempunyai pelbagai gambaran. Secara umum, dunia memahami welfare state adalah negara-negara yang memakai nordic model seperti Norway, Denmark, Sweden dan lain-lain. Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut.

4 Jun 2011

PAS ucap tahniah kepada YDP Agung


KUALA LUMPUR, 4 Jun: PAS mengucapkan tahniah kepada Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena hari keputeraan baginda melalui satu usul tergempar yang dibentangkan oleh Timbalan Presidennya yang baru terpilih, Haji Mohamad Sabu.

Doa untuk baginda pula dibacakan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dengan diaminkan oleh semua para perwakilan dan pemerhati.

Hari ini, 4 Jun 2011 adalah sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Mohamad Sabu ketika membentangkan usul ucapan tahniah dan junjung kasih itu berkata, Baginda adalah ketua agama Islam dan pelindung kepada Islam.

Hadi: ‘Perubahan pimpinan PAS biasa, macam alih perabot rumah’

Ahli-ahli PAS mengambil kesempatan memohon kad keanggotaan parti pada hari kedua Muktamar Tahunan Ke-57 di Taman Melewar dekat Kuala Lumpur hari ini. – Foto oleh Choo Choy May
GOMBAK, 4 Jun – PAS tidak akan mengalami perubahan dasar sebaliknya hanya akan mengubahsuai strategi sesuai dengan keputusan pemilihan kali ini yang menyaksikan kemenangan besar calon barisan profesional, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang. “Sekali lagi, dasar tidak berubah tetapi strategi yang kita ubah,” kata Presiden PAS pada sidang media hari kedua Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di sini hari ini.

Hasil pemilihan semalam, PAS menerima timbalan presiden yang baru iaitu Mohamad Sabu manakala Datuk Paduka Husam Musa pula kembali sebagai naib presiden manakala Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar mengekalkan kerusi naib presiden masing-masing.

Selain Mohamad Sabu, Salahuddin, Mahfuz dan Husam, seramai 12 daripada 18 ahli jawatankuasa kerja pusat PAS yang baru dilihat daripada kalangan kumpulan profesional.

Hadi menambah, walaupun ada beza pandangan dalam penentuan calon, tetapi tetap menghormati keputusan perwakilan kali ini.

“(Saya) terima apa sahaja keputusan dan hadapi untuk pilihan nanti, kepimpinan kali ini terdiri daripda pelbagai latar belakang, AJK pusat wakili semua pihak,” kata beliau yang telah mempertahankan jawatannya tanpa saingan.

Mengenai komposisi barisan yang memihak kepada kumpulan profesional, Hadi menjelaskan, ia bukan benda baru dan “PAS memimpin secara kolektif.”
Hadi juga berkata, keputusan yang diumumkan pagi tadi menunjukkan kematangan ahli-ahli dan perwakilan dalam memilih pemimpin-pemimpin untuk berada di saf hadapan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“PAS adalah parti berpengalaman, parti tertua. PAS juga pernah jadi kerajaan di peringkat pusat, negeri dan menghadapi cabaran di peringkat negeri,” katanya.

Sehubungan itu Hadi juga berkata, bukan pemimpin-pemimpin politik yang membuat perubahan tetapi para perwakilan manakala “matlamat, acuan tetap sama dan tidak akan berubah.”

“Perubahan pucuk pimpinan, biasalah... sama macam alih perabot rumah,” katanya lagi.

Menjawab soalan timbalannya bukan seorang ulama, Hadi memberitahu, ia bukan satu masalah kerana kerajaan Uthmaniyah juga bukan daripada kalangan ulama.

“Ulama ini sebenarnya bermaksud orang berilmu termasuk dalam pelbagai bidang... contoh Ibn Khaldun, beliau seorang yang berilmu dalam bidang agama dan sosiologi. Sekarang ini susah nak cari pemimpin yang tahu dalam semua bidang, jadi PAS buat pimpinan secara kolektif,” katanya.

Berkenaan dakwaan bahawa calon-calon yang pro-Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menang kali ini, Hadi juga mengetepikan tanggapan sedemikian.

“Tidak, pemimpin dipilih untuk, kerana kita mahu pemimpin yang rapat dengan NGO, rapat dengan semua pihak,” katanya yang turut menolak tanggapan bahawa pemimpin-pemimpin pusat kali ini dilihat sebagai golongan agresif.

“Kita ikut suasana,” kata Hadi yang turut memberi jaminan bahawa calon yang tidak terpilih, tetap sama membantu pimpinan yang lain.

“Saya akan melantik AJK baru, enam orang tapi itu semua kena tunggu dahulu.

“Saya tidak guna kuasa mutlak, dulu bila Mat Sabu (Mohamad) kalah, dia tetap jadi AJK pusat,” katanya lagi.
 

SAH Ceramah Mat Sabu Akan Kena Kepong

Analisis Isu Oleh: mirputra

"TAHNIAH buat mat sabu kerana berjaya juga akhirnya mendapat tempat dalam saf kepimpinan PAS pusat...Dengan jawatan sebagai Tim.Presiden PAS..Dengan harapan akan ada perubahan dalam PAS demi untuk menuju Putrajaya..Kalau kita masih ingat diawal 80'an dan 90'an setiap kali mat sabu turun ceramah tak kiralah dimana negeri sekali pun..ceramah dari mat sabu akan dihadiri lebih dari ribuan orang..jalan akan sesak dan selalunya masalah permit ceramah menjadi halangan kerana pihak polis tidak meluluskannya..

Maka ceramah dari mat sabu akan menjadi kecoh dan ada masanya polis terpaksa naik kepentas untuk menghentikan ceramah..Alasan dari polis ceramah dan berkumpul nie adalah haram..kerana tiada permit..itulah alasan yang selalu kita dengar dan yang selalu mat sabu hadapi...Bila berlaku tsunami politik pada 2009 hinggalah sekarang orang yang mengikut jejak mat sabu anjur ceramah tanpa permit adalah DSAI..Kita boleh tengok setiap kali DSAI turun utk ceramah mesti ada yang tak kena dengan polis termasuk FRU..

Semua naib presiden PAS di tarbiah ulama

Naib presiden PAS yang baru Datuk Husam Musa menolak pengkelasan antara golongan ulama dan profesional dalam parti itu kerana ia hanya wujud di media.

Sedangkan, katanya, beliau sendiri dan dua penyandang yang mempertahankan jawatan - Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - juga mendapat didikan dan tarbiah daripada golongan itu."Tak ada isu sama ada kami menentang ulama dan ulama meminggirkan kami. Kami, saya, Salahudin, Mahfuz dan Mat Sabu dari kecil dibesarkan dengan tarbiah atau didikan ulama," kata Husam.

Menurut Husam, keputusan hari ini juga memberi isyarat bahawa ahli parti itu hendak melihat prestasi parti meningkat dan mahukan wakil rakyat yang boleh fokus untuk pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Tugas saya besar, untuk jaga pokok supaya berbuah," katanya.

Katanya, cabaran PAS dalam politik Malaysia untuk mencari corak politik yang boleh diterima, munasabah dan adil dalam masyarakat majmuk.

"Jadi kami kena yakinkan orang Melayu dan bukan Melayu," kata Husam lagi.

Dalam pertembungan enam penjuru, tiga naib presiden itu telah mengetepikan dua calon ulama - Idris Ahmad dan Mohd Amar Nik Abdullah - dan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Sementara itu, Seri Nizar Jamaluddin dalam reaksi segeranya berkata tidak sedih dengan kekalahan yang diterimanya kerana perwakilan membuat "pilihan paling baik".

"Kepimpinan yang dipilih hari ini jauh lebih bersepadu dalam membantu presiden dan timbalan presiden.

"Ia menjadi satu signal untuk memperkukuh kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan NGO," katanya.

Katanya, keputusan yang diumumkan oleh ini adalah pilihan terbaik daripada perwakilan dan "bukan soal siapa menang atau kalah".

Sebaliknya mereka memilih calon yang menawarkan tenaga dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya lagi, tidak timbul persoalan profesional menguasai kepimpinan PAS hari ini kerana kedua-dua tersebut "tidak ada perbezaan, sebaliknya mereka dipilih kerana mahu memimpin parti.M/Kini

Asri: Prinsip negara Islam-berkebajikan, bukti PAS alami kemajuan besar


GOMBAK — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan PAS sudah mula memperlihatkan “kemajuan memberangsangkan” memandangkan ia sanggup mengakui bahawa dalam al-Quran tidak disebut negara Islam, cuma ditekankan ialah negara berkebajikan.

Muktamar PAS kali ini dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.

Katanya, sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih ke hadapan, namun hari ini dengan kenyataan Hadi akan memberi nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

“Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud ‘negara kebajikan’ yang hendak diwujudkan. Saya percaya Presiden PAS ada kerangka yang jelas.

“Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas. Ini kerana negara berkebajikan mempunyai pelbagai gambaran,” kata beliau.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut ‘apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan’,” kata Asri dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS,” kata beliau mengulas kenyataan Hadi semalam.

Secara umum, tambah beliau, dunia memahami negara berkebajikan adalah negara-negara yang memakai model nordik seperti di Norway, Denmark dan Sweden.

“Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut,” katanya.

Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 semalam, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk ‘negara Islam’, isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.

Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama ‘negara Islam’ itu semata-mata.

“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.

“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya.

Semalam Hadi menyampaikan ucapan dasar presiden bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.

Asri, pensyarah dari Universiti Sains Malaysia berkata, pada masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain di dunia ini yang mula keluar dari retorik negara Islam kepada realiti kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia.

“Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiyyah seperti yang disangka oleh sesetengah pihak,” kata beliau sambil menambah, ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah.

“Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu.

“Apabila perkataan daulah Islamiyyah, kemudian diikuti dengan kebangkitan Revolusi Syiah di Iran, maka perkataan daulah islamiyyah ini mula dipopular oleh para pejuang politik islami di seluruh dunia,” katanya.

Kata Asri, disebabkan istilah ini juga mereka berbalah, bahkan menuduh pihak lain kurang islam disebabkan tidak bersama dalam perjuangan menegakkan daulah islamiyyah atau negara Islam itu.

“Walaupun kadangkala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai,” kata beliau lagi.

Cuma, menurut Asri, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah itu, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan realistik.

Katanya, gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan ‘negara Islam’ itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata.

“Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan ‘utopia state’ yang hanya wujud di minda, tidak mungkin pada realitinya.

“Alhamdulillah, apabila gerakan Islam — sebahagian mereka benar-benar terlibat sendiri secara langsung dengan politik kenegaraan, maka mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan,” kata beliau lagi.

Justeru, Asri juga berkata, politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana, namun prinsipnya kekal.

“Ini kerana Islam satu agama realistik. Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasul-Nya,” katanya.

Kata beliau, “bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya.”

Jelas tokoh agama muda ini, Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya.

“Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam. Soal mekanisme hukum sama ada hudud atau tidak, dibincangkan setelah ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang kondusif yang memungkin keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi.

“Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan,” katanya lagi

Mat Sabu: Perwakilan berani, saya akan penuhi harapan rakyat ke atas PAS


KUALA LUMPUR — Mohamad Sabu yang memenangi jawatan timbalan presiden PAS berkata, beliau akan membantu parti itu memenuhi keperluan orang ramai dan bukan Melayu, yang menurut beliau meletakkan harapan tinggi ke atas komponen Pakatan Rakyat (PR).

Dalam reaksi pertama selepas diumumkan sebagai orang nombor dua parti Islam itu, Mohamad berkata, survival mana-mana parti politik akan ditentukan oleh sokongan undi orang ramai dalam pilihan raya.

Oleh itu anak kelahiran Pulau Pinang ini berkata, PAS perlu memainkan peranan menyeluruh untuk memenuhi keperluan ahli-ahli parti dan juga masyarakat umum bukan ahli PAS.

“Jadi, saya akan menggunakan kedudukan (sebagai timbalan presiden) untuk memenuhi harapan orang ramai dan bukan Melayu ke atas PAS,” kata beliau ketika ditemui di sisi Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di sini pagi ini.

Mohamad, 56, yang mesra dikenali “Mat Sabu” menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan ibrahim Tuan Man.

Ini kali kedua Mohamad bertanding jawatan timbalan presiden.


Mohamad Sabu (kiri) menerima ucapan tahniah daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas diumumkan sebagai timbalan presiden baru PAS. — Foto oleh Choo Choy May
Dua tahun lalu, beliau tewas di tangan Nasharuddin yang turut mengatasi Datuk Paduka Husam Musa.
 
Kali ini Husam dipilih semula sebagai naib presiden.

Pun begitu, tegas Mohamad, kemenangan beliau tidak akan membawa perubahan ke atas dasar PAS yang sudah pun ditetapkan kecuali pendekatan-pendekatan yang perlu dan akan diambil untuk menterjemahkan prinsip perjuangan parti itu.

“Cuma gerak kerja sahaja akan diubah (untuk menghadapi situasi semasa),” kata beliau lagi.
Ketika ditanya sama ada beliau menang kerana sokongan besar perwakilan daripada kalangan profesional, Mohamad berkata, “saya tidak tahu, sebab saya belum buat analisis lagi.”

Beliau sekali lagi menekankan bahawa tidak timbul isu wujudnya kumpulan profesional dan ulama dalam PAS memandangkan sudah ada peranan yang jelas antara sayap eksekutif dan ulama dalam PAS.

Dalam temu bual khas disiarkan The Malaysian Insider semalam, Mohamad berkata, konsep kepimpinan ulama sepatutnya ditekankan dalam Majlis Syura, bukannya diterjemahkan ke atas jawatan-jawatan eksekutif parti Islam itu.
Mohamad berpendapat bahawa konsep kepimpinan ulama telah menjadi kekeliruan di kalangan ahli menyebabkan golongan profesional sukar mendapat tempat dalam jawatan tertinggi parti itu.

“Bagi saya presiden dan ke bawah boleh sesiapa sahaja yang layak untuk memimpin tiada masalah baik ulama atau profesional.

“Majlis Ulama ini yang perlu ditekankan bukan jawatan eksekutif, ia perlu dipertingkatkan dalam organisasi ini.

“Sebab itu, kalau kita lihat banyak ahli yang salah erti konsep kepimpinan ulama ini dan ia menimbulkan sedikit kekeliruan,” katanya.
“Namun saya pasti perubahan sudah mula berlaku dalam PAS,” kata beliau.

Dalam reaksi hari ini, beliau juga yakin bahawa keputusan pemilihan, yang berlangsung semalam dan diumumkan pagi ini, tidak akan menjejaskan perpaduan yang sedia terjalin dalam PAS.

“Saya yakin perpaduan akan kukuh untuk membawa PAS ke depan,” katanya sambil menambah, perwakilan telah membuat keputusan yang berani.

Mengenai kekalahan Nasharudin, Mohamad berkata, “saya tidak komen.”
Bagaimanapun Mohamad secara berseloroh berkata, beliau “bernasib baik” kerana menang di sebalik liputan media yang positif dan negatif.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada perwakilan dan kepada wartawan yang memberikan liputan media yang positif dan negatif,” katanya lagi.

Mohammad Sabu akan lepaskan jawatan sekiranya..

Salam perjuangan..

Suasana pemilihan PAS pada kali ini sebenarnya dilihat oleh banyak pihak. Pelbagai pandangan dilontarkan, sama ada ianya dari pihak PAS sendiri, atau UMNO yang menjadi saingan tradisi atau mereka yang ingin melihat PAS bangkit sebagai sebuah Parti Islam (Jamaah) yang mampu menggantikan UMNO yang semakin hari semakin rosak (akidah dan akhlak). Semenjak dari beberapa bulan yang lepas, telah banyak cakap-cakap yang disampaikan kepada aku, ada yang memberi pandangan "kita perlu pertahankan kepimpinan ulama". Ada juga yang berkata "perlantikan individu tertentu akan memadamkan terus usaha perlaksanaan UG".

Sebentar tadi aku baru sahaja menghubungi seorang sahabat bagi berbincang dengan beliau untuk menubuhkan PAS cawangan seperti yang diarahkan oleh YDP. Belum sempat aku nak sampaikan hasrat tersebut, sahabat tersebut tersebut terus sahaja menyatakan kebimbangan beliau, yang tak perlu rasanya untuk aku nyatakan disini. Aku memahami apa yang beliau pendamkan, kerana suatu ketika dahulu aku pun sefikiran sebegitu. Namun, suasana dan keadaan semasa perlu diambil kira bagi memastikan mulut-mulut jahat UMNO tidak lagi memecah belahkan kesatuan Jamaah. Oleh yang demikian, kesimpulan yang dapat aku nyatakan disini ialah:

1. Utusan Malaysia dan sewaktu denganya (baca media APCO) sebenarnya tidak mampu mempengaruhi minda perwakilan untuk pemilihan yang dianggap genting ini.

2. Kewujudan suara yang kuat agar 'sekam-sekam' UG segera dipadamkan bagi menumpukan perhatian mengalahkan UMNO/BN pada pilihanraya ke-13 nanti.

3. Konsep 'kepimpinan ulama' tidak akan terhakis dengan pemilihan ini, sekalipun presiden PAS sendiri dari kalangan profesional. Ini adalah kerana kepimpinan ulama sebenarnya telah terpelihara dengan adanya 'Majlis Syura' yang menjadi penaung tertinggi keputusan halatuju parti. Namun begitu, apa yang perlu difahami sekarang ialah sehingga kini hanya 'ulama' (merujuk suasana Jamaah PAS) yang mampu untuk mewujudkan 'wehdatul fikh' dan wehdatul amal', maka penting bagi kita memeliharanya.

4. Tidak kira siapa pemimpin itu (ulama, profesional atau aktivis), paling penting sekarang ialah memastikan PAS sentiasa berada di orbit perjuangan dan fokus untuk mengambil alih peranan UMNO yang dilihat tidak lagi mampu membela umat Islam dan orang-orang Melayu.

5. Suara-suara yang memburukan sesama sendiri tidak lain, hanya merugikan jamaah. Perlu difahami bahawa pemilihan di dalam PAS akan sentiasa ada pada masa-masa akan datang. Apa yang penting sekarang ialah perlulah bekerja sepenuh kudrat (sebagaimana ucapan Presiden) bagi memastikan UMNO/BN tumbang pada pilihanraya akan datang.

Pada hujung pandangan ini, aku yakin sebenarnya Abg Mat (Mohamad Sabu) sebenarnya tidak pun ingin memegang jawatan Timbalan Presiden apatah lagi bakal dinobatkan sebagai orang no.1 parti, sekiranya berlaku sesuatu pada Presiden. Tetapi, beliau akan menyerahkan semula jawatan ini sekiranya..
fokus menumbangkan UMNO/BN berjaya dilaksanakan!

Percayalah!

p/s: Kesempatan ini, aku ingin ucapkan jutaan tahniah dan takziah kepada seluruh kepimpinan PAS yang telah dipilih, terutamanya kepada Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man yang aku sayangi.

Umno-APCO Gelabah Mat Sabu, Husam Dan Mahfuz Menang!!

'Wajah baru yang menakutkan Umno'

Ada yang menyifatkanya sebagai kemenangan untuk kumpulan profesional dan kekalahan untuk golongan ulama.

Tidak kurang pula tafsiran bahawa kemenangan “kumpulan Erdogan” dalam pemilihan PAS semalam sekali gus menempelak cubaan Umno untuk “meminang” PAS, khususnya sejak beberapa bulan lalu.

Apa pun, yang jelas ialah PAS sekali lagi telah menunjukkan kematangan untuk memilih pasukan terbaik bagi mengetuai cabaran menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Berlainan dengan Umno, PAS tidak menangguhkan pemilihan parti semata-mata kerana khuatir saingan untuk jawatan akan memecah belahkan parti dan menggugat peluangnya dalam pilihan raya umum.

Sebaliknya pucuk pimpinan PAS begitu yakin terhadap kematangan perwakilan dan calon untuk merapatkan saf dengan selesainya pemilihan yang dijalankan dalam semangat demokrasi dan musyarawah.

Kecenderungan untuk menyifatkan PAS sebagai parti yang kini dikuasai oleh golongan professional berpaksi kepada kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden dan Husam Musa sebagai Naib Presiden baru.

Mohamad Sabu kini diangkat sebagai orang pertama dari golongan bukan ulama yang menyandang jawatan Timbalan Presiden dalam tempoh 20 tahun.

Nasharuddin Mat Isa tersingkir sebagai orang kedua parti manakala tokoh ulama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga kecundang kepada Mohamad Sabu.
PAS dalam genggaman profesional

Untuk Naib Presiden, selain Husam, Sallehuddin Ayob dan Mahfuz Omar melengkapkan senarai jawatan itu apabila mengekalkan kerusi mereka.

Kemenangan beberapa tokoh lain seperti Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkfli Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar untuk menduduki Jawatankuasa Kerja Pusat juga disabitkan sebagai bukti PAS dalam genggaman profesional.

Media arus perdana khususnya Utusan Malaysia akan cuba memaparkan PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai golongan ulama. Tentunya modal ini akan diambil oleh Umno untuk dijual pula kepada pengundi.

Namun, walaupun bertukar nakoda (itu pun peringkat Timbalan dan ke bawah sahaja) hala tuju PAS tetap sebagaimana yang terpacak dalam matlamat perjuangannya.

Perwakilan yang memilih golongan “profesional” atau Erdogan yakin calon-calon berkenan mempunyai ketokohan untuk memacu PAS menghadapi PRU-13 tanpa melunturkan azam dan matlamat perjuangan parti.

Semua yang dipilih sebenarnya sebati dengan perjuangan PAS – Mohamad Sabu, Husam dan yang lain-lain adalah orang lama yang bergerak sealliran dengan liku-liku perjuangan PAS.

Mereka adalah veteran dalam parti yang faham sentimen akar umbi PAS dan pada masa sama mempunyai sifat dinamis untuk berkerjasama dalam kerangka Pakatan Rakyat bagi mencapai matlamat PAS membangun negara berkebajikan.

Mengaibkan negara Islam?

Konsep negara berkebajikan ini sudah pun dicanang oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai bukti kononnya PAS sudah mengubah haluan dan kononnya mengabaikan penubuhan sebuah negara Islam, apatah lagi di bawah PAS pimpinan golongan professional.

Kedua- dua akhbar itu seharusnya memerinci nilai-nilai yang disebutkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang Hadi dalam ucapan dasarnya dan membuktikan bagaimana penubuhan sebuah negara berkebajikan bercanggah dengan syariat Islam.

“Kita mulakan dengan perlaksanaan negara berkebajikan, ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut negara Islam, ia sebut negara berkebajikan,” kata Hadi pada sidang medianya semalam.

Konsep negara berkebajikan didokong dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat, bermakna ia turut dipersetujui oleh DAP.

Kemunculan pemimpin- pemimpin seperti Hadi, Mohamad Sabu, Husam dan yang lain hadir berkongsi pentas dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh untuk menerangkan penubuhan negara berkebajikan kepada umat Islam dan bukan Islam tentunya menjadikan Umno dan akhbar miliknya gusar dan cemas.

Justeru kerana itulah Utusan dan Berita Harian akan menjaja PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai oleh ulama, malah sudah mengubah matlamat perjuangannya.

Sebelum pemilihan PAS semalam, Utusan Malaysia cuba secara licik untuk membawa mesej- mesej tertentu untuk mempengaruhi perwakilan parti dalam memilih calon.

Utusan yang sering menyerang Islam yang dibawa oleh PAS tiba-tiba mengingatkan keperluan parti itu supaya meneruskan perjuangan dan matlamatnya dengan pimpinan ulama.

Agenda sempit Umno

Memang hebat transformasi Utusan walaupun ia hanya untuk memastikan agenda sempit Umno menjalin kerjasama politik dengan PAS tidak kecundang. Namun akhirnya rancangan Utusan-Umno itu nampaknya gagal juga.

Pemilihan muka-muka baru termasuk Mohamad Sabu dan Husam bermakna mereka kini memikul tanggungjawab besar untuk membantu Hadi mengemudi PAS dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perwakilan membuat pilihan sedemikian kerana menyifatkan mereka sebagai gandingan terbaik untuk misi berkenaan. Sebuah misi yang mampu mengubah landskap politik Malaysia dan menjanjikan pembaharuan-pembaharuan yang didahagakan oleh rakyat, Islam dan bukan Islam.

Misbun Sidek menyertai PAS?

Ramai selebriti, tokoh dan ahli sukan negara telah menyertai perjuangan PAS. Antaranya Bob Lokman, Radhi Mat Din bekas penyerang bolasepak kebangsaan(2 dari Kiri), Chairil Anwar bekas penyerang Hoki Kebangsaan(3 dari kiri), Yasir Said bekas juara Cup Prix Malaysia(Kanan sekali), dan khabarnya Misbun Sidek bekas pemain badminton negara.
SUMBER

Dua Calon Timbalan Presiden PAS Yang Tertewas Tidak Kecewa Dan Menerima Keputusan Dengan Hati Terbuka Demi Persiapan Menghadapi PRU13

GOMBAK 4 Jun - Calon Naib Presiden pada pemilihan PAS yang tewas, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man tidak kecewa dengan kekalahannya dan berkata perwakilan telah memilih calon yang difikirkan sesuai untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. "Bukan soal siapa menang, siapa kalah. Semua bekerja dalam Parti. Sahabat Nabi pun berlumba untuk berada di saf hadapan. Saya tak rasa kecewa. Ini keputusan perwakilan. Mereka pilih 'line-up' hadapi Pilihan Raya Umum. Mungkin mereka lihat daya lebih sesuai dengan keperluan," kata Tuan Ibrahim.
 
Seorang lagi penyandang Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa pula menerima keputusan dengan hati terbuka dan berharap Jawatankuasa Pusat baru dapat memberi khidmat dan usaha terbaik mereka membantu Pakatan Rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang. "Harapan saya dengan jawatankuasa baru yang dipilih perwakilan akan lebih efektif dalam menangani dan mendepani isu-isu semasa apatah lagi dalam konteks persiapan kita untuk menghadapi PRU 13 yang dijangka akan berlaku dalam tempoh terdekat jadi dengan barisan yang ada ini akan memberi kemenangan kepada parti," kata Nasharuddin.

[Apapun, kami ucapkan syabas kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) kerana berjaya mengadakan pemilihan secara tertib dan berhemah, bebas dari unsur-unsur rasuah dan penyelewengan. Malah, PAS lebih berani dari beberapa buah parti komponen BN yang takut untuk mengadakan pemilihan gara-gara Pilihanraya Umum Ke-13. Namun, PAS dilihat berani menyahut cabaran dan yakin keputusan pemilihan bakal diterima oleh semua pihak dengan hati yang terbuka. Itulah bezanya apabila perjuangan itu diasaskan hanya kepada Islam. Kekalahan dan kemenangan tidak menjadi sati igauan buruk buat mana-mana pemimpin yang bertanding. Mereka akhirnya bersatu padu dalam suasana harmoni. Senario ini jauh sekali berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh lain-lain parti, hatta dalam Pakatan Rakyat itu sendiri sebenarnya. Semoga mereka yang menang dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin untuk membawa arus perubahan besar buat agama, bangsa dan negara].
tvsnews

Kasihan Awang Adek Menipu Utusan dan Bernama

Saturday, 4 June 2011

Bekas Menteri Besar Kelantan 'Baru' pada pilihanraya umum 2008, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin mendakwa kira-kira 10,000 anggota Pas, golongan atas pagar dan kaum belia yang mencapai umur mengundi di Kelantan menyertai UMNO selepas pilihan raya umum 2008.

Awang Adek berkata ada yang protes kerana tiada pembangunan di Kelantan. awang adek sebenarnya ingin menyatakan bahawa ramai ahli UMNO di Kelantan telah keluar UMNO semenjak tahun 2008 tetapi beliau telah membuka rahsia bahawa ahli PAS telah masuk UMNO.

Di kawasan Anuar Musa sahaja telah ramai yang keluar dari UMNO dan menyertai PAS. Tiga cawangan di kawasan tersebut telah dibubar ekoran 'orang kuat' kawasan itu telah menyerahkan borang menyertai PAS baru-baru ini. Gelombang Merah yang terkumpul setakat ini ial;ah berjumlah 7820 orang mengikut sumber dalaman UMNO.

Program Gelombang Merah itu telah mendapat sambutan hanya di Pasir Puteh sahaja dan di kawasan lain telah ditolak kewujudannya. Ramai yang tidak bersetuju dengan Gelombang Merah ini akan turun ke Bukit Jalil untuk menunjukkan bantahan pada perlawanan bola sepak Piala F.A terhadap kezaliman UMNO.
 

Tiada masalah bukan ulamak jadi pemimpin PAS - Presiden

Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Tiada masalah timbalan dan naib-naib presiden bukan dari golongan ulamak, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau sebaliknya gembira dengan keputusan yang dibuat perwakilan dalam pemilihan kali ini bagi sesi 2011-2013.

"Saya bersyukur dengan perpaduan yang wujud. Walaupun berbeza pandangan dari segi menentukan calon, tapi kita mendapat keputusan yang penuh kemesraan.

"Semua pihak menghormati keputusan perwakilan dan menerima siapa sahaja yang dipilih menjadi pemimpin khususnya untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13," kata beliau pada sidang media di muktamar PAS kali ke-57 di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad hari ini.

Beliau menambah, PAS memang pernah memilih bekas Yang Dipertua parti yang kedua bukan dari golongan ulamak.

"Ini bukan perkara baru. PAS pernah pilih Haji Abas Alias yang bukan daripada ulamak sebagai yang dipertua PAS yang kedua.

"Tengok kepada AJK PAS Pusat, lapan di kalangan ulamak, dua doktor, dan selebihnya jurutera dan pemimpin masyarakat," katanya yang ditemani timbalan presiden yang baru, Mohammad Sabu dan tiga Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Mohammad Sabu menyatakan komitmennya untuk membantu Ustaz Hadi melebarkan pengaruh PAS di kalangan NGO dan parti-parti lain.

Tegasnya juga, beliau tetap mementingkan kepimpinan ulamak dalam PAS.

"Saya akan cuba bantu Presiden untuk bidang melebar luaskan pengaruh PAS kepada bukan Melayu, bukan PAS dan NGO.

"Kepimpinan ulamak tetap dipertegaskan, bukan macam Umno yang letak Ulamak dalam bentuk biro.Dalam PAS ulamak adalah satu majlis syura dan ada dewan yang akan mengawal dasar parti," katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Hadi turut menyifatkan kepimpinan yang baru ini sebagai kabinet pilihan raya.

Mengulas lanjut, beliau yakin kepimpinan baru ini mampu membawa PAS lebih diterima masyarakat sekaligus relevan menggantikan Umno.

"Ahli-ahli memilih saf hadapan untuk pilihan raya. Sebab itu kabinet saya kali ini kabinet pilihan raya," katanya