Khamis, 26 Mac 2015

PENJELASAN ISU HUDUD OLEH PRESIDEN PAS

SILA BACA, FAHAM DAN SAMA2 AMBIK TAU KERANA KITA SEORANG MUSLIM

♡SURAT TERBUKA KEPADA UMAT ISLAM- “ISU HUDUD YANG DIKELIRUKAN”♡

Ada dalam kalangan umat Islam yang memberi alasan bagi menolak usul persendirian berkaitan undang-undang jenayah dengan menggunakan beberapa perkataan yang berkaitan hukum Islam. Antaranya menyebut perkataan-perkataan seperti “Siyasah Syari’yyah”, “Maqasid Syari’ah”, “Fiqh Aulawiyyat”, “Maslahah” dan lain-lain.

Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka tentunya sangatlah tidak manis sekiranya kita menjadi laksana burung kakaktua yang pandai hanya menyebut kalimah yang diajar oleh tuannya, namun tetap berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau tasawwur daripada perkataan yang diucap. Maka menjelaskan maknanya dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah adalah sangat penting.

“Hudud” adalah cabutan daripada salah satu daripada hukum jenayah yang banyak dan menyeluruh. Mungkin sengaja dijadikan hujah yang difikirkan bagi menolak syari’at. Mereka menganggap Hudud paling sesuai dijadikan sasaran kerana pandangan mereka paling ganas, tanpa mengetahui secara detail dan objektif. Tanpa menyedari pula betapa ganasnya undang-undang ciptaan manusia yang masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara kuno : menjerut tali ke leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga menyeksa tanpa kesan mendidik masyarakat.

Penjelasan ini khusus bagi penganut Islam yang jahil tanpa dimaafkan, kerana beriman tanpa ilmu dan tidak berbudiman terhadap agama sendiri, serta tanpa peduli terhadap batas-batas iman dan kufur yang wajib diketahui dan dipelihara secara fardu ‘ain.

Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya تيسير الفقه للمسلم المعاصر [Memudahkan kefahaman (terhadap agama ) kepada Muslim Semasa atau terkini] di halaman 102 menjelaskan:
Terdapat tiga madrasah (pandangan) apabila menghadapi masalah semasa :

1- Kalangan yang berpegang kepada nas juzi’i yang zahir secara jumud tanpa menterjemahkannya secara ijtihad melalui ilmu Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid.

2- Kalangan yang menyalahggunakan Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid sehingga membelakangi nas yang nyata.

3- Kalangan yang mengambil kira kedua-dua aspek yang penting dalam ilmu Islam.

Nas yang nyata adalah ilmu Allah yang difirmankan atau ucapan Rasul S.A.W. yang bersifat ma’sum. Adapun yang lain dari nas yang nyata adalah keizinan Allah bagi ruang ijtihad di kalangan para ulama bagi melaksanakan syariat Islam dengan bijak dan adil, bukannya meninggal syariat Allah dengan alasan sehingga boleh digantikan dengan undang-undang ciptaan manusia yang dianggap lebih baik.

1- Siyasah Syari’yyah
Perkataan “siyasah” daripada bahasa Arab yang bermaksud mentadbir, mengurus dan memandu atau memimpin yang disebut terkini dengan perkataan politik atau pentadbiran atau panduan. Dicampur dengan perkataan Syara’ dengan maksud kaitannya dengan urusan pelaksanaan syariat mengikut jadual, pelaksanaan, dan pengurusan melaksanakan hukum Islam, bukannya meninggalkan hukum Islam untuk diganti dengan yang lain. (Sila lihat huraian secara khsus dalam kitab-kitab Ahkam Sultaniyyah Karangan al-Mawardi dan Ghiath karangan Imam Haramain daripada Mazhab Syafei; al-Sair al-Kabir daripada mazhab Hanafi; Siyasah Syariyyah Ibnu Taimiyyah dan Turuq Hukmiyyah Ibnu Qayyim daripada mazhab Hambali dan Muqaddimah Ibnu Khaldun daripada mazahab Maliki).

Tegasnya ialah melaksanakan Syariat dengan betul, bukannya meninggalkan Syariat Allah dengan gantian hukum yang lain.

2- Maqasid Syari’ah
“Maqasid” bermakna tujuan-tujuan, maksudnya ialah tujuan pelaksanaan syariat. Objektifnya ialah cara mencapai matlamat membawa maslahat kebaikan kepada manusia secara umum dan khusus secara adil dan istiqamah dan menolak kemudaratan. Di sini pula ada tujuan yang telah ditetapkan oleh syara’ dan ada juga yang tidak disebut di mana Allah memberi keizinan mengikut kemampuan akal dan ilmu manusia.

(Kepada yang mampu berbahasa Arab sila rujuk kepada dua tokoh ilmu Maqasi : Al Syatibi : Al Muwafaqat : J:2, muka surat 391. Ibnu ‘Asyur : muka surat 19)

Contohnya, apabila khalifah Umar R.A. tidak memotong tangan pencuri di tahun melesetnya ekonomi kerana berlakunya kemarau panjang, dan bukannya kerana meninggalkan hudud, tetapi disebabkan melihat keadaan desakan hidup apabila dibayar gaji yang tidak mencukupi, menjadikan seseorang itu melakukan jenayah secara terdesak. Maka kerana itu hukuman potong tangan adalah haram dilaksanakan, kerana Hadis Rasulullah S.A.W.:

“Hukuman Hudud ditolak (kerana adanya syubuhat”.

Ditolak hukuman hudud ini pula bukan bermakna terlepas begitu sahaja. Tetapi hendaklah dipindahkan kepada hukuman takzir yang termasuk dalam ruang Syariat Islam. Hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan kerana tidak memenuhi syarat yang mencapai adil dan mendidik masyarakat mengikut kemampuan.

Mudarat daripada kemelesetan ekonomi yang menimpa penjenayah adalah lebih besar. Sebaliknya kalau pencuri itu seorang berpendapatan tinggi sudah tentu dihukumkan.

Maqasid Syari’ah tidak bermakna membatalkan penguatkusaan undang-undang Hudud. Maqasid Syari’ah dalam hal ini bermakna hukuman tidak boleh dijatuhkan kerana menafikan tindakan secara adil yang menjadi matlamat syariat. Kalau dijatuhkan hukuman juga, bermakna kita tidak melaksanakan syariat kerana tidak mencapai matlamatnya. Meninggalkan syariat secara total menghilangkan segala maqasidnya.

Contohnya juga ialah mengenai kalimah Allah dibenarkan penggunaannya pada asalnya oleh penganut bukan Islam walau pun salah mengikut penafsiran kita, tetapi apabila tujuan penggunaannya bagi mengelirukan penganut Islam yang jahil, maka pihak berkuasa berkenaan agama Islam berhak menghalangnya . Mengikut Qaedahالأمور بمقاصدها (Semua perkara dilihat juga kepada tujuannya).

3- Fiqh Aulawiyyat
Bermaksud melihat keutamaan secara fiqh (faham mengikut panduan Syariat).
Contohnya Islam meletakkan perkara keperluan rukun hidup bagi manusia ialah memelihara (1) Aqidah agama, (2) Nyawa, (3) Akal, (4) Keturunan dan (5) Harta.

Contohnya tidak dijatuhkan hukuman hudud terhadap pencuri kerana lapar adalah kerana keutamaan memelihara nyawa hendaklah didahulukan daripada memelihara harta. Hukuman hudud ditangguh dalam keadaan perang kerana menghalang penjenayah melarikan diri kepada musuh, kerana keselamatan negara diutamakan. Bukan bermakna penjenayah dibebaskan, tetapi diturunkan kepada hukuman takzir.

Orang bukan Islam dikecualikan dahulu kerana berdakwah dalam konsep tiada paksaan dalam agama adalah lebih aulawiyyat.

Contohnya juga seperti pengambilan tanah untuk mendirikan hospital atau jalan raya adalah diizinkan kerana kepentingan umum hendaklah didahulukan daripada kepentingan individu atau segelintir, dan hendaklah diganti tanah itu secara yang adil pula.

“Aulawiyyat” itu pula hendaklah dalam ruang lingkup hukum syariat terlebih dahulu, bukannya bermakna meninggalkan hukum syariat.

Apabila segala syarat tidak ada bagi hukum Hudud dan Qisas maka hendaklah dipilih dalam ruang hukum takzir yang sangat luas.

Bukannya melarikan diri kepada hukum ciptaan Barat yang banyak kelemahannya. Perlu disedari bahawa di sana ada juga tidak yang sama dengan undang – undang yang sedia ada, perbezaannya tidak ada roh seperti syariat Islam.
(Sila lihat Dr Yusuf Al Qardhawi dalam Siyasah Syariayyah halaman 284-297)

4- Maslahah
“Maslahah” dengan maksud tujuan membawa kebaikan. Sama ada mendapat faedah atau menolak kemudaratan.
Para ulama membahagikan maslahat itu kepada tiga kedudukan :

1- Maslahah Mu’atabarah
Ialah dalam perkara yang telah ditetap oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Rahmat terhadap makhluknya. Maka ada yang diwajibkan dan ada pula yang diharamkan. Maka percayalah bahawa semua yang diwajibkan tetap membawa kebaikan dunia dan akhirat. Perkara yang diharamkan tetap mendatang mudarat kepada diri atau masyarakat. Contohnya ialah seperti wajibnya berpuasa kepada yang mampu dan haramnya arak dan judi. Ianya adalah ketetapan Allah SWT.

2- Maslahah Mulghah
Dalam perkara yang diharamkan kerana mudaratnya lebih besar atau manfaatnya tidak ada .Contohnya seorang yang mencuri atau merompak atau mengedar dadah dengan maslahat mengumpul duit untuk kebajikan atau nafkah keluarga. Maslahat ini dibatalkan kerana mudaratnya sangat besar sehingga menimbus segala kebaikannya.

3- Maslahah mursalah atau Masoleh mursalah

Dalam perkara yang didiamkan oleh al-Quran dan Hadis maka ruangnya adalah terlalu luas kepada manusia di sepanjang zaman.

Melaksanakan Syariat adalah maslahah yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Penyayang kepada makhluknya.

Isu Enakmen Kanun Jenayah Syariat (KJS) Negeri Kelantan
Isu undang-undang jenayah Syariat menjadi hangat sejak kedatangan penjajah apabila mereka menghapuskannya. Seterusnya menjadi hangat di kalangan umat Islam sendiri kerana kejahilan agama dan pendekatan, sehingga berlakunya isu kafir mengafir dalam masyarakat sendiri kerana kejahilan hukum dan kejahilan cara pendekatan berdakwah.

Apabila keadaan dapat diredakan, maka PAS mengambil langkah ke depan melalui kemenangannya di Kelantan, kemudiannya di Terengganu secara ilmu dan demokratik.

Langkah pertama ialah menubuhkan pasukan daripada Parti dan kerajaan. Pasukan ini melibatkan Ketua Dewan Ulama dan kalangan ahli majlis Syura Ulama, Tun Saleh Abas (Mantan Ketua Hakim Negara), al-Marhum Prof Ahmad Ibrahim salah seorang pengasas UIA (mantan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tahun lima puluhan daripada Singapura dan mantan Peguam Negara Singapura yang pertama), al-Marhum Dr Mahmud Saedon Awang Osman dari UIA dan Pakar Syariah Negara Brunei Darussalam, al-marhum Datuk Abdul Halim Muhammad mantan Penasihat undang-undang negeri Kelantan dan Exco kerajaan negeri, dan Datuk Daud Mohamad Kadi Besar negeri Kelantan.

Sebelum enakmen ini dibawa kepada DUN Negeri Kelantan, ianya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum di berbagai forum – seminar dan dialog. Akhirnya enakmen berkenaan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 dan DUN Terengganu pada tahun 2000. Manakala Kelantan pula memperkukuhkannya secara mengadakan seminar dan sambutan mengenainya secara tahunan.

Kini setelah lebih dari 20 tahun (dua puluh tahun) PAS memperkenalkan enakmen ini, disamping melaksanakan proses pendidikan mengenai KJS dalam masyarakat, dialog dan sebagainya, maka PAS ingin bergerak setapak lagi dalam proses mendidik masyarakat untuk mengenali hukum-hakam syariat Islam yang menyeluruh. Hasilnya kini suara yang mengeji hukum Islam ini semakin hari menjadi terpencil.

Maka dengan sedikit ruang yang ada ini, Enakmen KJS ini mengalami beberapa pindaan- pindaan memperkemaskannya dengan mengambil kira cabaran dalam perlembagaan dan masyarakat majmuk, tanpa paksaan, dan bagi orang Islam sahaja setelah mengambil kira pandangan para ulama daripada semua mazhab dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di sepanjang zaman.

Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi Private Members Bill nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.

Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan.

Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.

Firman Allah:

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ (49) أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ (50) المائدة.

(Dan hendaklah kamu melaksanakan kalangan mereka hukum yang telah diturunkan oleh Allah,dan jangan sekali-kali engkau mengikut hawa nafasu mereka (meninggalkan hukum Allah) sehingga engkau meninggalkan sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Maka jika sekiranya mereka berpaling(enggan)maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hendak mengenakan mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya sebahagian daripada maknusia itu adalah orang-orang yang jahat). Adakah mereka mahukan hukum jahiliyyah, padahal siapakan lagi yang paling baik hukumnya daripada Allah kepada orang-orang yang percaya dengan yakin).

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Pas Tetap Menang dengan Pertahankan Hudud. InsyaAllah


Firman Allah s.w.t. Surah Al Ahzab 23,

"......وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا ......"

Maksudnya, "...dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun..."

1. Pas tak akan rugi apa-apa tentang hudud.
Samada PAS membentang Enakmen Jenayah Syariah II diterima mahupun ditolak di Parlimen.

2. PAS dan ahlinya jangan melihat isu hudud ini isu politik semata-mata yakni dari sudut kerugian dan kehilangan kerusi dalam pilihanraya atau kekeruhan dari kalangan rakan politik PR, ini adalah kewajiban agama sekiranya dilekakan nanti kita akan dijauhi daripada rahmat Allah s.w.t.

3. Kebimbangan akan PR berpecah disebabkan isu hudud. Sedarilah bahawa DAP dan PKR sedia maklum tentang hasrat PAS dari dulu lagi berkaitan memperjuangkan Hudud dan tetap ditentang keras oleh DAP.
Tak timbul soal PR berpecah, agree to diasgree dalam perjanjian PR yg telah termerterai pada tahun 2011.

4. Kalau PAS tunggu hingga Putrajaya utk hudud memang benar bahawa Pas mempolitikkan hudud.
Jadi, PAS diharap jangan membiarkan diri dimurkai oleh Allah. Kita jangan cari redho manusia.

5. Masa depan PAS ke Putrajaya kita belum pasti. Sekarang yang pastinya bahawa kita dianugerahkam Allah kuasa negeri dan berbetulan tawaran daripada pihak kerajaan persekutuan. Samada ikhlas mahupun tidak, bukan isunya. Pas telah melaksanakan tanggungjawab sbg hamba Allah membentang Enakmen Jenayah Syariah II ini.

6. Masyarakat Melayu Islam melihat selama ini Pas telah menggadaikan prinsip dengan PR. Jangan kita berterusan dilihatkan begitu. Walaupun kita tidak sebegitu.

7. Ingat kuasa poltik Islam dalam negara ini penentunya adalah Melayu Islam dan orang Islam. (Ini bukan perkauman) tetapi realiti, bukti spt majoriti kawasan parlimen Melayu dan kuasa raja-raja Melayu.

8. Sebab itu yakinlah bahawasanya kalau kita pertahankan prinsip ini, Pas akan mendapat kedudukan baik pada majoriti pengundi.
(Ini kalau dilihat pada kacamata politiknya)


Alfaqir ila Robbihi

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Lajnah Penerangan
DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
25 Mac 2015 / 4 Jamadil Akhir 1436h

SOKONGAN PAS P.PINANG TERHADAP PRESIDEN PAS

KENYATAAN MEDIA BERSAMA DEWAN ULAMA PAS, DEWAN MUSLIMAT PAS & DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PULAU PINANG.

Merujuk kepada tindakan DAP yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, berikut ialah respon kami:-

1. Dewan Ulama PAS Negeri Pulau Pinang (DUPN PP), Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang (DMPN PP) & Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPN PP) dengan ini menyatakan ketegasan & istiqamah kami untuk berdiri teguh mempertahankan Presiden PAS dalam isu hudud. Memutuskan hubungan dengan Presiden PAS bermaksud memutuskan hubungan dengan PAS keseluruhannya. Hubungan dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan yang bersifat parti dengan parti, bukan individu dengan individu.

2. Kami juga kesal terhadap tuduhan tidak jujur & tidak bermaruah keatas Presiden PAS yang kononnya telah bekerjasama dengan UMNO untuk melanggar semangat konsensus Pakatan Rakyat. Tuduhan jahat inilah yang sebenarnya telah menyemarakkan lagi api perselisihan dan memberi nafas baru kepada musuh. Kami menggesa supaya tuduhan ini ditarik balik serta merta, melainkan jika DAP benar-benar mahu Pakatan Rakyat berkubur.

3. Oleh kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen berpandukan perlembagaan persekutuan, maka sewajarnya PAS mempunyai hak untuk mengemukakan rang undang-undang berkaitan hudud dalam ruang demokrasi yang dibenarkan. Samada rang undang-undang itu diterima atau sebaliknya, ianya bergantung kepada keputusan yang akan dibuat dalam parlimen kelak.

4. Kami menegaskan bahawa perjuangan memartabatkan syariat Islam yang luas mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk hudud adalah arahan daripada Allah SWT sebelum kewujudan PAS, PKR, DAP & Pakatan Rakyat lagi. Sebagai parti politik yang memperjuangkan Islam, adalah menjadi kewajipan kami untuk menjunjung tinggi titah perintah Allah SWT jauh mengatasi persetujuan manusia termasuk DAP.

5. Oleh itu, kami tidak boleh menghalang mana-mana pihak yang turut menyokong perlaksanaan syariat Islam ini, kami juga bersedia untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja termasuk DAP bagi menyampaikan dakwah mengenai keindahan Islam yang bersifat universal.

Sekian, terima kasih.

UST MOHD FAUZI YUSOF
Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Pulau Pinang

USTZH HASANAH IDRUS
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang

UST MOHD YUSNI MAT PIAH
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang

25 Mac 2015, Rabu

Tabiat Perjuangan Islam

Firman Allah Taala di dalam surah As-Saba' ayat 28 bermaksud: Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad), melainkan kepada semua umat manusia sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

RasululLah saw diutuskan ke seluruh alam. Bukan semata-mata kepada bangsa Arab dan Jazirah arab. Namun sebaik sahaja di Madinah telah wujudnya rakyat yang mendukung perjuangan Islam dan tertegaknya sebuah kerajaan yang menerima Islam sebagai fikrahnya maka Baginda saw langsung melaksanakan hukum-hukum Islam yang diwahyukan Allah Taala.

Baginda tidak menunggu sehingga dakwah Islam telah menguasai terlebih dahulu Parsi atau pun Rom atau tempat-tempat lain di dunia ini sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah. Adakah Baginda tergesa-gesa? Tidak bahkan itulah tabiat perjuangan Islam. Seluruh hukum syariatnya wajib segera ditegakkan sebaik sahaja telah ada kerajaan dan rakyat yang mengimani kebenaran Islam dan ajarannya.

Kesediaan rakyat Kelantan menerima PAS sebagai sebuah kerajaan negeri selama 25 tahun menuntut agar seluruh Syariat Islam dilaksanakan di negeri itu. Walau pun cita-cita PAS untuk melaksanakannya sehingga di peringkat nasional namun tuntutan Islam mewajipkannya sebagai gerakan Islam melaksanakannya diperingkat negeri Kelantan terlebih dahulu seperti mana RasululLah saw melaksanakannya di Madinah terlebih dahulu.

Kesilapan dan kekeliruan para penentang Hudud ialah kerana mereka memandang perlaksanaan hudud itu pada skala nasional. Memanglah dari sudut itu ia belum mungkin dilaksanakan kerana kerajaan yang memerintah dan sebahagian yang amat besar dari rakyat belum menerima perjuangan Islam yang syumul dan kerajaan pusat yang memerintah masih berfahaman sekular. Berlainan dengan Kelantan.

Maka sebagai Muslim kita tidak ada pilihan selain mengikuti contoh yang telah diberikan oleh RasululLah saw dalam perlaksanaan syariat Islam yang syumul. Kita mesti melaksanakannya terhadap mereka yang telah meyakini Islam dan menerimanya sebagai Agama yang syumul. Kelantan telah bersedia selepas melalui proses dakwah dan tarbiah yang panjang berasaskan asuhan para ulamanya dan perjuangan aktivis Islam dan budaya ilmu Islamnya yang kukuh.

Alasan menangguhkan pengiktirafan dan perlaksanaan hukum hudud sehingga setelah mendapat kuasa di Putra Jaya terlebih dahulu adalah alasan yang tidak berpandukan AlQuran, Sunnah maupun seerah RasululLah saw. Ia lebih merupakan khayalan para pendukung ideologi dan falsafah sekular di negara ini dan terjemahan kebencian sebahagian mereka terhadap setiap perkara yang tidak selari dengan fahaman Sekularisme.

Zulkifli Ismail Muhammad
Ketua Dewan Ulama
PAS Negeri Melaka
Penulis Buku Ancaman
Bahaya Sekularisme