Khamis, 26 Mac 2015

SOKONGAN PAS P.PINANG TERHADAP PRESIDEN PAS

KENYATAAN MEDIA BERSAMA DEWAN ULAMA PAS, DEWAN MUSLIMAT PAS & DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PULAU PINANG.

Merujuk kepada tindakan DAP yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, berikut ialah respon kami:-

1. Dewan Ulama PAS Negeri Pulau Pinang (DUPN PP), Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang (DMPN PP) & Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPN PP) dengan ini menyatakan ketegasan & istiqamah kami untuk berdiri teguh mempertahankan Presiden PAS dalam isu hudud. Memutuskan hubungan dengan Presiden PAS bermaksud memutuskan hubungan dengan PAS keseluruhannya. Hubungan dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan yang bersifat parti dengan parti, bukan individu dengan individu.

2. Kami juga kesal terhadap tuduhan tidak jujur & tidak bermaruah keatas Presiden PAS yang kononnya telah bekerjasama dengan UMNO untuk melanggar semangat konsensus Pakatan Rakyat. Tuduhan jahat inilah yang sebenarnya telah menyemarakkan lagi api perselisihan dan memberi nafas baru kepada musuh. Kami menggesa supaya tuduhan ini ditarik balik serta merta, melainkan jika DAP benar-benar mahu Pakatan Rakyat berkubur.

3. Oleh kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen berpandukan perlembagaan persekutuan, maka sewajarnya PAS mempunyai hak untuk mengemukakan rang undang-undang berkaitan hudud dalam ruang demokrasi yang dibenarkan. Samada rang undang-undang itu diterima atau sebaliknya, ianya bergantung kepada keputusan yang akan dibuat dalam parlimen kelak.

4. Kami menegaskan bahawa perjuangan memartabatkan syariat Islam yang luas mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk hudud adalah arahan daripada Allah SWT sebelum kewujudan PAS, PKR, DAP & Pakatan Rakyat lagi. Sebagai parti politik yang memperjuangkan Islam, adalah menjadi kewajipan kami untuk menjunjung tinggi titah perintah Allah SWT jauh mengatasi persetujuan manusia termasuk DAP.

5. Oleh itu, kami tidak boleh menghalang mana-mana pihak yang turut menyokong perlaksanaan syariat Islam ini, kami juga bersedia untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja termasuk DAP bagi menyampaikan dakwah mengenai keindahan Islam yang bersifat universal.

Sekian, terima kasih.

UST MOHD FAUZI YUSOF
Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Pulau Pinang

USTZH HASANAH IDRUS
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang

UST MOHD YUSNI MAT PIAH
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang

25 Mac 2015, Rabu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan