Selasa, 27 Mac 2012

SYRIA - ISU TERKINI DAN TERSEMBUNYI


WAJIB BACA: Menarik mengenai PAS Kelantan...

                             3 dekad kebangkitan PAS di Kelantan

Oleh SUBKY LATIF

PADA 10 Februari lalu saya diminta mengulas tentang kebangkitan PAS dan kerajaan 1990-2008 dalam Seminar Tiga Dekad Kebangkitan PAS di Kelantan di Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu.

Kemenangan besar PAS Kelantan tahun 1990 itu adalah barakah dan hasil kebangkitan kepimpinan ulama PAS sejak tahun 1982.

Wujud sekumpulan pimpinan ulama dalam PAS pimpinan Haji Yusof Rawa dan Kelantan dianugerah kemenangan dulu kebetulan ia juga dipimpinan ulama tersohor Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama beberapa ulama lagi seperti Nik Abdullah Arshad, Ustaz Halim Abdul Rahman dan Ustaz Yahya Othman serta ia disokong oleh sekalian tok-tok guru pondok seluruh Kelantan.

Amanah Allah dan rakyat kepada PAS Kelantan itu adalah ujian dan cabaran buat PAS seluruhnya.

Saya menyapa Tok Guru Nik Abdul Aziz di Markas PAS Kelantan sebelum beliau berangkat ke Istana mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar; "Tok Guru bersamping di bawah lutut untuk menghadap Sultan, seperti orang kampung saja!"

Jawabnya, "Ana mahu sebagai orang tua menjadi penasihat kepada Sultan..."

Ertinya Tok Guru memulakan tugasnya sebagai menteri besar, memimpin kerajaan dan rakyat sebagai orang tua, mungkin beliau tidak setua setengah daripada ketua-ketua kerajaan lain.

Dengan watak tuanya itu Menteri Besar menghadapi pegawai-pegawai kerajaan, meminta sokongan dan nasihat mereka bagi memimpin negeri.

PAS sebenarnya sudah bangkit dan padu semula sebelum tahun 1990 itu. Kemenangan itu meningkatkan lagi kebangkitan dan perpaduannya.

Kerajaan itu dikenali sebagai kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah pimpinan PAS menjadikan motto kerajaannya Membangun Bersama Islam, mengisytiharkan Kelantan sebagai negeri Serambi Makkah.

Sebelum itu orang membolot sebanyak-banyak duit negeri, melalui Tabung Serambi Makkah yang diwujudkan orang memberi duit kepada kerajaan di bawah skim itu bagi membangunkan negeri dan rakyat.

Menteri Besar tidak tinggal di kediaman rasminya dan tidak pula mengambil elaun rumah yang diperuntukkan jika tidak tinggal di rumah kerajaan.

Meneruskan kehidupan yang sederna, tidak mengambil pembantu rumah baru bagi membantu isterinya mengendalikan kerja rumah sebagai isteri Menteri Besar.

Menteri Besar mengangkat hidangan sendiri seperti biasa kepada tetamu di rumah.

Menteri Besar tidak minta apa-apa daripada kerajaan untuk diri dan keluarganya – sebatang balak pun tidak diminta. Ini menyebabkan sekalian pembesar negeri dan kerajaan segan dan malu untuk mengambil kesempatan.

Kerajaan itu berdepan dengan cabaran awalnya, MCA sengaja hendak menunjukkan pengaruh politiknya menganjurkan pesta minum arak. Kerajaan menasihat melarangnya. MCA berkeras hendak mengadakan juga. Reaksi Menteri Besar, 'Lantaklah minum hingga pecah perut.' MCA pun membatalkannya.

Sepanjang tiga dekad – 1990- 2008 – parti dan kerajaan berdepan dengan pasang surut sokongan rakyat. Ia berdepan dengan suasana tidak serasi dengan sekutunya Parti Semangat 46. Apabila parti itu dibubarkan, ahli-ahlinya rujuk semula kepada Umno, sebahagian dari penyokongnya hilang tetapi kerajaan dapat diselamatkan.

Pernah PAS kalah dalam pilihan raya kecil di kawasan kuatnya di Pengkalan Pasir. Pernah kerajaan PAS itu diselamatkan oleh satu majoriti saja di Dun untuk jangka waktu yang lama. Tetapi PRU 2008 memberinya kemenangan besar semula hampir menyamai kemenangan tahun 1990.

Kerajaan negeri menghadapi berbagai catuan daripada kerajaan pusat dan layanan anak tiri.

Geran per kapita diberi lewat, pelaburan disekat malah hak ke atas royalti minyak di perairannya dinafikan. Tetapi kerajaan Kelantan tetap dapat meneruskan pembangunan dan dapat pula membayar hutang kepada pusat mengikut jadual.

Dalam apa keadaan pun imej kerajaan Kelantan dan Menteri Besarnya dalam mengendalikan amanahnya terus meningkat dari semasa ke semasa. Pemerintahannya dikira bersih dan tidak pula ketinggalan kecekapannya daripada lain-lain kerajaan. Menteri Besarnya pula jauh lebih terserlah daripada ketua kerajaan yang lain.

Imej Menteri Besar dan kerajaan ikut memberi kekuatan kepada parti baik di peringkat negeri mahupun di peringkat nasional walaupun kekuatan parti itu juga memberi kekuatan kepada Menteri Besar dan kerajaannya. Kekuatan Menteri Besar dan kerajaan tidak menjamin keselamatan kerajaan jika parti tidak kuat.

PAS di Kelantan sudah dikira kuat sebelum kemenangan tahun 1990 tetapi kekuatan itu lebih terserlah apabila dibantu oleh Parti S46. Begitulah cara Allah membantu pihak yang dikehendaki.

Persoalan sekarang yang menjadi cabaran kepada PAS ialah apakah ia benar-benar kuat atau kekuatannya itu adalah kerana kekuatan Tok Guru sebagai Mursyidul Am dan Menteri Besar?

Mana lebih kuat antara parti dengan Tok Guru? Atau adakah kedua-duanya sama-sama kuat? Kita tetap boleh bersyukur kiranya kedua-duanya sama-sama kuat.

Dalam apa keadaan PAS mesti memastikan ia lebih kuat daripada Tok Guru. PAS Kelantan akan bermasalah kiranya Tok Guru lebih kuat daripada parti.

PAS tidak boleh bergantung kepada kekuatan Tok Guru saja kalau ia tidak kuat. Kita mesti menerima hakikat bahawa suatu hari nanti Tok Guru tidak ada dalam kerajaan. Seperti umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w. mesti menerima hakikat bahawa Rasulullah tetap wafat dan Islam mesti terus tanpanya.

PAS Kelantan mesti bersedia tanpa Tok Guru dalam kerajaan dan tanpa Tok Guru di dunia nyata ini.

Mahu tidak mahu PAS Kelantan dan kerajaan Kelantan akan terpaksa menghadapi cabaran tiada lagi Tok Guru di dunia. Parti akan berjalan terus dan kerajaan juga akan berjalan terus. Pengganti Tok Guru dalam parti tidak sama dengan Tok Guru dan pengganti Tok Guru dalam kerajaan pun juga tidak sama dengan Tok Guru. Ia terpaksa dihadapi.

Tetapi apakah PAS Kelantan bersedia tanpa Tok Guru dalam kerajaan sedang Tok Guru masih berada di dunia? Tok Guru masih ada di dunia tetapi tidak lagi menjadi Menteri. Bagaimana?

PAS dan rakyat mesti bersedia menghadapi keadaan itu dan mesti bersedia untuk belajar menghadapinya.

Di sinilah perlunya parti itu mesti lebih kuat daripada Tok Guru supaya masing-masing tidak berhadapan apa-apa masalah tanpa di dunia atau tanpa Tok Guru dalam kerajaan.

Tok Guru boleh jadi pemimpin seumur hidup baik bagi parti dan rakyat, tetapi Tok Guru tidak boleh jadi Mursyidul Am seumur hidup dan Menteri Besar seumur hidup. Tok Guru boleh jadi pemimpin seumur hidup tanpa menjadi Mursyidul dan tanpa menjadi Menteri Besar.

Lim Kit Siang adalah pemimpin DAP walaupun dia sudah tidak lagi jadi Setiausaha Agung dan tidak juga jadi Pengerusinya.

Mahatma Gandhi tidak menjadi Presiden dan Perdana Menteri India serta tidak menjadi ketua Parti Kongres India tetapi dia adalah pemimpin parti itu dan pemimpin rakyat seumur hidup.

PAS mesti bersedia menerima realiti itu bagi memenuhi tuntutan sebuah parti dalam dunia demokrasi kerana demokrasi mengajar dunia begitu. Justeru itu PAS mesti menentukan ia lebih kuat dari pemimpin. Pemimpin datang dan pemimpin pergi, PAS mesti ada terus dan relevan.

Saya tidak bercadang untuk menamatkan perkhidmatan Tok Guru dalam parti dan dalam kerajaan, tetapi saya mahu mengingatkan keperluan sebuah parti yang kuat dan lebih kuat dari pemimpinnya, supaya ia boleh menghadapi apa jua susana dan cabaran.

Hadirin cekup remaja cuba ganggu ceramah Pakatan

 



Seorang remaja yang dipercaya cuba menganggu ceramah pemimpin Pakatan Rakyat di Kuala Selangor malam tadi, ditangkap para hadirin, menyebabkan anggota Unit Amal PAS yang mengawal ceramah tersebut, terpaksa bertungkus berusaha menghalang daripada remaja itu dipukul.

Sebelum itu, sekumpulan kira-kira 20 remaja bermotosikal berhenti di luar tempat ceramah tersebut di Stadium Kuala Selangor serta membawa sepanduk anti-Pakatan sambil mengejek hadirin dari luar pagar.

Perbuatan itu mencetuskan kemarahan hadirian yang sebahagiannya bergerak menujuk ke arah pagar sambil menjerit "Tangkap mereka! Tangkap mereka!".

Pagar itu terletak kira-kira 20 meter dari pintu masuk stadium di mana kira-kira 5,000 orang sedang mendengar ucapan pemimpin Pakatan.

Seorang saksi mendakwa, beberapa remaja tersebut tertindak merosak dan mencalar beberapa buah kenderaan yang diletakkan di luar stadium.

Sekumpulan hadiran yang berang kemudian keluar dari stadium dan berjaya mencekup salah seorang remaja tersebut dan mengheretnya masuk ke dalam stadium.

Remaja itu yang berpakaian baju-T berwarna merah jambu berjalur putih, diserbu orang ramai yang berang, menyebabkan anggota Unit Amal bertungkus lumus bentuk membentuk perisai manusia untuk melindunginya.

"Jangan pukul dia, jangan pukul dia, biarkannya dia pergi," jerit seorang anggota Unit Amal berulang kali ketika mereka cuba menghalang orang ramai yang berang manakala yang lain meminta supaya bertenang, tetapi usaha itu tidak berhasil.

Selepas anggota Unit Amal berjaya membentuk bulatan di sekelilingnya, remaja tersebut dikejar ke pintu stadium dan dilepaskan untuk menyertai rakan-rakan yang sedang menunggunya

Pintu stadium terus ditutup untuk menghalang orang ramai yang marah daripada yang mengejar mereka.

Di sebalik kekecohan itu, ceramah yang dihadiri oleh pemimpin tertinggi Pakatan - Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Datuk Seri Hadi Awang dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim - berjalan tanpa gangguan. -M'kini

Tengok betoi2 gambaq ni...Najib pandai buat kerja ka pandai berlakon?



DEY MACHA!!!
HANGPA NAMPAK DAK APA YANG GUA NAMPAK?
TENGOK BETOI-BETOI BEB
NAJIB NI HANYA PANDAI BERLAKON KA PANDAI BUAT KERJA?
KAH! KAH! KAH!

NI KISAHNYA...KLIK GAMBAQ KAT BAWAH NI...


KAT MANA DIA BELAJAQ IKAT BATA LAGU TU?
SAH TAK MASUK SEKOLAH TEKNIK NI
KAH! KAH! KAH! - Biaqpila.

"Tembikai" (Nambikei) Najib Bersepai Dikerjakan Hindraf

Hindraf: 'Nambikei' kami remuk macam tembikai

Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) hari ini berhimpun di pejabat perdana menteri (PMO) di Putrajaya kerana mendakwa kerajaan BN telah menghampakan kepercayaan masyarakat India.
Mempermainkan ungkapan "nambikei" (kepercayaan) yang sering digunakan perdana menteri untuk mendapatkan sokongan minoriti kini, Hindraf berkata ia kini pecah di tanah seperti buah tembikai.
Dalam perhimpunan kedua ini, lebih 100 masyarakat India berkumpul di Putrajaya sambil menuntut Datuk Seri Najib Razak menunaikan permintaan 18 perkara berhubung komuniti mereka.
Pemimpin Hindraf - yang tampil bersama buah tembikai bertulis nambikei - mengaku kecewa kerana gagal bertemu dengan wakil PMO walaupun sudah memaklumkan sebelum ini.

P Uthayakumar lalu melaungkan perkataan "Umno rasis" sebelum menghempaskan buah tembikai itu berkecaian di atas tanah.


"Nambikei kami pada kamu (Najib) sudah remuk macam tembikai ini," katanya. -m'kini
 

Luar nampak dacing, dalam perut tetap PAS

KAJANG, 25 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru anak Terengganu yang berada di perantauan agar pulang mengundi pada pilihan raya umum nanti.

"Rakyat kena balik, yang jadi pengundi kena balik," ujar Abdul Hadi di hadapan kira-kira 1,000 anak Terengganu di Perantauan (Perantau) yang berlangsung di dewan MPKj, Kajang tengah hari tadi.

Katanya, tenaga mereka ini sangat penting dalam menentukan politik negeri Terengganu selepas ini.

Malah katanya, harapan untuk menang agak susah jika anak-anak Terengganu yang berada di luar tidak pulang mengundi di kampung masing-masing.


"Kita merayu bersungguh-sungguh kerana kita bertekad untuk menang di Terengganu kali ini. Kita mahu perintah Terengganu untuk kali ketiga jika kita menang kali ini," katanya.

Malah Abdul Hadi yakin dan percaya dengan kemampuan PAS yang ada di negeri itu sama ada Pakatan Rakyat berjaya atau tidak ke Putrajaya, Terengganu, Kelantan, dan Kedah wajib menjadi model pelaksanaan dasar-dasar Islam.

Abdul Hadi turut mengakui sikap rakyat negeri Terengganu sukar  untuk ditafsir dan keadaan ini jauh berbeza dengan rakyat negeri Kelantan yang 'independent'.

"Kita ni, kalau dacing tu sampai ke dalam perut pun dacing. Kena ambil iktibar dari sikap rakyat Kelantan, di luar nampak dacing dalam perut tetap PAS," katanya sambil diikuti gelak tawa para hadirin.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi menegaskan PAS akan terus mempertahankan tiga negeri dibawah pentadbirannya dalam PRU akan datang.

"PAS akan jadi seperti ekor cicak yang terputus, jika Terengganu tidak menang dalam masa yang sama Kelantan terlucut. Kita akan terus mempertahankan negeri yang kita perintah," kata beliau.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Terengganu Abdul Wahid Endut dalam ucaptamanya di samping membentangkan Pra Pelancaran Manifesto 'Terengganu Maju: Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan yang turut menggariskan 10 manifesto awal negeri itu.

Tawaran itu, antara lain menggariskan program skim belia atau beliawanis niga melalui penyediaan prasaran dan modal untuk mewujdukan Program Satu Belia Satu Kerja (seorang belia se kerja).

Katanya, dengan memperkenalkan dasar Merakyatkan Ekonomi, kerajaan PAS menyediakan satu tawaran program negeri Terengganu berkebajikan yang ampuh dan berdaya saing serta bersifat 'sustainable' untuk membawa rakyat negeri itu keluar dari kemelut ekonomi di bawah Umno BN.

"PRU nanti adalah masa yang paling sesuai dan tepat untuk rakyat Terengganu berubah. Kerana Umno BN Terengganu kekal mundur dan tercorot, ini adalah kegagalan Umno BN," katanya.

Agung Dukacita sebab Hospital Pendang & Bandar Baharu masih belum di bina...


Minit Ke 12 di mana TUANKU KESAL sebab hospital untuk rakyatnya masih belum di bina walaupun dah berjanji sudah lama...

 

Video - Kadir Mendedahkan Kenapa Beliau Keluar UMNO

Menjelang Pilihan Raya Macam-Macam Ada

Oleh A Kadir Jasin

SEMAKIN kuat, hangat dan bersemangat cakap-cakap pilihan raya, semakin panas jugalah persekitaran politik satu Malaysia. Pendek kata, macam kata iklan ikonik Astro tidak lama dulu – “macam-macam ada.”

Antaranya:-

1. Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dilaporkan oleh akhbar The Sun sebagai berkata, tarikh pilihan raya umum adalah “trademark” (tanda niaga) beliau. Maksud beliau, keputusan bila PRU akan diadakan adalah hak mutlak beliau. Beliau yakin orang India kini menyokong Barisan Nasional dan mahu kelebihan suara dua pertiga dikembalikan.

2. Namun begitu, di sebalik kecanggihan kempen blog, Facebook dan Twitter, aspek-aspek tahayul dalam pemikiran sesetengah orang politik terus kukuh. Maka, ramailah tukang tilik dan burung serinditnya, sami pelbagai agama, bomoh Siam dan Kiai Jawa yang dilawati untuk mendapatkan “petunjuk”.

3. Khabarnya, ada tok sami yang meramalkan bulan Jun ini, bulan, bintang dan matahari akan berbaris harmonis di angkasa raya menandakan masa paling sesuai untuk mempertaruhkan nasib. Agaknya itulah sebab mengapa ada ramalan mengatakan PRU akan diadakan Mei atau Jun.

4. Namun begitu, hanya Mohd Najib akan menentukan sama ada segala ramalan mengenai tarikh PRU itu tepat. Itu tanda niaga yang didaftar atas nama beliau.

5. Selepas pergolakan Pas di Kedah, kini giliran DAP pula. Pengerusi Nasionalnya, Karpal Singh terus bertelingkah dengan Timbalan Setiausaha Agung merangkap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy. Karpal tidak puas hati dengan keputusan Jawatan Kuasa Disiplin mengenai aduan salah laku terhadap Ramasamy lantas menghalakan serangan kepada pengerusi jawatankuasa itu, Tan Kok Wai, pula. Apa yang sedang berlaku dalam DAP sekarang adalah penerusan perebutan kuasa antara golongan lama dan baru dalam parti itu. Pergolakan dalam Pas dan DAP itu sudah tentunya tidak baik bagi Pakatan Rakyat.

6. Selain isu lembu dan kondo NFCorp yang menghambat Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil, keluar daripada Kabinet, Umno kehilangan seorang veteran apabila bekas Menteri Penerangan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir, mengumumkan keluar parti selepas 56 tahun berkuat kuasa 19 Mac. Beliau berbuat demikian selepas dicabar oleh Setiausaha Agung Umno, Teuku (Tengku) Adnan Mansor agar keluar kalau tidak puas hati dengan parti.

7. Bukan Abdul Kadir saja keluar parti. Ramai lagi yang telah keluar Umno tapi nama mereka ada lagi dalam daftar kerana cawangan tidak mahu atau tidak berani kemukakan kepada ibu pejabat.

8. Ramai yang keluar parti masih komited kepada Umno, tetapi mereka berbuat demikian kerana tidak yakin lagi dengan kepemimpinan parti, khasnya mengenai mempertahankan hak orang Melayu. Pemimpin atasan Umno dilihat lebih mengutamakan Barisan Nasional daripada Umno.

9. Jawatankuasa Akaun Parlimen (PAC) mengesahkan yang National Feedlot Corporation (NFCorp) milik keluarga Shahrizat tidak membayar balik ansuran hutang mudah kepada Kerajaan pada bulan Januari dan Feb lalu berjumlah RM34 juta.

10. Dr Hassan Ali, bekas Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, yang baru dipecat daripada Pas kerana bergaduh dengan rakan kongsi DAP, berkata beliau gembira menghadiri sidang DUN sebagai wakil rakyat bebas. Cabaran terhadap Pas ialah membuktikan kepada orang Melayu/Islam yang ia bukan di bawah telunjuk DAP dan PKR.

11. Sebahagian peneroka Felda dan perwakilan mereka masih menentang IPO Felda Global Ventures. Masih banyak soalan mengenai modus operandi cadangan IPO itu yang belum terjawab. Seorang bekas menteri kanan bertanya mengenai “preference shares” yang akan memberikan keutamaan dividen kepada pihak-pihak tertentu dan membelakangkan peneroka.

12. Tidak kira di negeri perintah BN atau PR, keselesaan dan keselamatan harian rakyat jelata semakin terancam. Bandar raya, bandar dan pekan semakin kotor, jalan raya berlopak dan anjing (bertuan dan liar) berkeliaran menjadi ancaman kepada orang ramai. Di Bukit Mertajam, Seberang Prai baru-baru ini, seorang kanak-kanak tujuh tahun, Dhiya Qairina, diserang anjing jirannya ketika berbasikal.

13. Sekarang dalam satu Malaysia (rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan) anjing, sama ada anjing bertuan atau anjing liar, serta babi hutan menjadi masalah besar. Dulu anjing yang tidak ada lesen tergantung di tengkuk akan ditangkap atau ditembak. Tapi sekarang tidak lagi. Tunggu sajalah sampai manusia dijangkiti penyakit anjing gila (rabies) barulah Kerajaan akan riuh-rendah, hiruk-pikuk buat ikrar dan janji.

14. Tidak cukup dengan anjing, babi hutan dan kera, kita juga kena main oleh pendatang (halal dan haram). Kerana para perunding antarabangsa dan diplomatik kita hambar dan half-past-six, maka negara kita kena buli kiri kanan oleh negara-negara jiran. Negara jiran yang sepatutnya jadi kawan sudah jadi lawan.

Wallahualam. Kalau pembahas ada nak tambah, silalah tambah.

http://kadirjasin.blogspot.com

Jentera pilihan raya PAS bekerja untuk menang

WALAUPUN diancam dengan politik samseng dan tohmahan jahat, cuba menggugat kestabilan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor, PAS yakin tindakan itu tidak akan mematikan semangat jentera pilihan raya PAS untuk menghadapi PRU13.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Ustaz Sallehin Mokhyi menegaskan, sama ada pilihan raya di peringkat Dun di adakan berasingan atau serentak dengan PRU13, PAS telah bersiap siaga bagi memastikan Pakatan Rakyat akan terus mendapat tempat di kalangan rakyat di negeri itu.

“PAS mengadakan pendemokrasian dengan semua jentera Pakatan Rakyat dan mengadakan program culaan undi.

“Daripada segi pendaftaran pemilih, melalui Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN), kami mengadakan program pemutihan daftar pemilih. Jika ada sebarang keraguan, kita akan buat bantahan,” katanya

Jelas beliau lagi, PAS akan membuat semakan daftar pemilih bukan sahaja terhadap pengundi yang telah meninggal tetapi juga terhadap kes seperti pendaftaran di dua tempat dan pengundi yang tidak mempunyai alamat.

“Kita juga mendapati terdapat pengundi Sabah dan Sarawak yang berdaftar di Selangor dan terdapat juga berdasarkan alamat kediaman tersebut didiami orang Melayu tetapi pengundi yang berdaftar berbangsa Cina.

“Kes-kes seperti ini kita sudah membuat semakan dan hantar bantahan kepada SPR,” ujarnya.

Ustaz Sallehin berkata, berdasarkan maklum balas daripada pihak SPR, badan pengendali pilihan raya itu mengakui segala bantahan yang dibuat PAS adalah relevan berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan dan lebih 70 peratus bantahan diterima.