Selasa, 6 Mac 2012

Amerika Lebih Takut Ahmedinejad Kalah Dalam Pilihanraya Presiden Iran

Pilihanraya presiden Iran: Mahmoud Ahmadinejad jauh ketinggalan

TEHERAN: Undi terbaru menunjukkan mereka yang setia dengan pemimpin ulama Iran, menang 75 peratus kerusi dalam pilihan raya parlimen, menjadikan calon Presiden Mahmoud Ahmadinejad semakin sukar untuk menentang puak konservatif.
Keputusan undi Jumaat lalu, sebahagian besarnya dipulau oleh golongan reformis yang pemimpin mereka masih dikenakan tahanan rumah, tidak akan memberi kesan yang besar terhadap dasar luar Iran, termasuk pertikaian nuklear dengan Barat.

Namun begitu, ia akan memberi kelebihan yang ketara kepada kem Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam pilihan raya presiden, pada 2013. Kekalahan besar penyokong Ahmadinejad mungkin akan menghakis kuasa presiden, yang diapi-apikan oleh sekutu Khamenei kerana ia telah mencabar kuasa pemimpin tertinggi dalam pemerintahan Iran yang berlapis-lapis itu.

Dengan 90 peratus daripada peti undi yang dikira, penyokong Khamenei dijangka menduduki lebih daripada dua per tiga daripada 290 kerusi dalam Parlimen, menurut senarai yang diterbitkan oleh Kementerian Dalam Negeri. -Reuters

Walaupun Amerika takut dengan kemenangan Ahmedinejad, namun kekalahan Ahmedinejad lebih menakutkan dan mengerikan Amerika kerana yang menang ialah kem Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang lebih ketara dan keras prinsipnya terhadap Amerika. -GB

Warkah Biru buat Tun Dr. Mahathir

alt



Kembalilah kepangkal Jalan.

Terlebih dahulu saya memohon berbanyak maaf atas kehadhiran warkah terbuka ini jika ia menganggu keselesaan Ybhg Tun Dr Mahathir. Saya utuskan warkah ini, bukan sahaja bermaksud untuk tatapan Ybhg Tun tetapi juga untuk pengetahuan umum bagi menjernih kekeliruan dan kecelaruan fikir masyarakat awam mengenai hukum hudud.

1. Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Konvensyen Kebangsaan Politik dan Patriotisme di Universiti Malaysia Sarawak [UNIMAS] pada 26 Feb 2012  baru - baru ini adalah suatu kenyataan yang cukup mengelirukan dan berpotensi memesong pemikiran orang ramai khasnya ummat Islam terhadap kesucian dan ketulenan agama Islam.

2. Cara Tun Dr. Mahathir memahami Hukum hudud khasnya dan Islam amnya adalah suatu yang sangat asing [gharib] dari disiplin ilmu Islam malah apa yang diutarakan oleh Tun Dr. Mahathir dalam konvensyen tersebut bahawa Hukum Hudud adalah ciptaan ahli Feqah dan ianya tidak terdapat di dalam Al Quran adalah merupakan fitnah yang sangat dahsyat terhadap Kalaamullah Al Quranul Karim.

3. Hudud ialah kategori kesalahan dan hukumannya telah ditentukan oleh Allah swt dalam Al Quran dan RasulNya saw di dalam hadis baginda. Ianya merupakan hak Allah yang tidak boleh ditukar ganti, diubah suai ataupun dipinda. Malah hukumannya tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun bagi pihak Allah swt.  Sebagaimana hukum ini telah ditetapkan oleh Allah swt, demikian juga kita telah diperintah oleh Allah swt untuk melaksanakannya. Firman Allah swt :

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

Surah Al Maaidah : 49

4. Kesalahan hudud yang wajib dijatuhkan hukuman khusus telah jelas disebut oleh Allah swt dengan lafaz yang sorih [nyata] di dalam Al Quran dan juga Hadis Nabi saw. Bagaimana Tun Dr. Mahathir begitu yakin dan konfiden mengatakan ia adalah ciptaan ahli feqah dan tidak terdapat di dalam Al Quran.

a] Kesalahan Zina iaitu persetubuhan suka sama suka tanpa nikah yang sah. Hukumannya disebut dalam surah an Nuur ayat 2.

b] Kesalahan Qazaf iaitu menuduh orang berzina. Hukumannya disebut dalam surah An Nuur ayat 4.

c] Kesalahan Minum arak atau minuman yang memabukkan. Hukumannya disebut dalam hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari riwayat Saidina Ali bin Abi Talib Karramallahuwajhah.

جلد رسول الله صلى الله عليه وسلم أربعين و أبو بكر أربعين و عمر ثمانين و كل سنة و هذا أحب إليَّ

d] Kesalahan Mencuri. Hukumannya disebut dalam surah al Maaidah ayat 38.

e] Kesalahan Murtad. Hukumannya disebut dalam hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari riwayat Ibnu Abbas rha.

من بدَّل دينه فاقتلوه

f] Kesalahan Merompak. Hukumannya disebutkan dalam surah al Maaidah ayat 33 dan 34

g] Kesalahan Bughah atau memberontak kepada Ulil Amri yang adil dan serta menjalankan hukum Allah swt yang berdalilkan Al Quran dan Sunnah. Hukumannya disebut di dalam surah al Hujurat ayat 9.
[ kategori ini ~ bughah ~ menjadi khilaf dikalangan ulama' , samaada ia termasuk dalam kesalahan hudud atau tidak ]

5. Jika kita melafazkannya dengan sedar dan bertujuan menafikan bahawa hukuman hudud ini bukan dari al Quran sedang nyata ianya termaktub di dalam al Quranul Kareem, maka ucapan itu boleh membatalkan aqidah. و العياذ بالله نعوذ  عياذا بالله

6. Mendustakan ayat - ayat Allah swt pula berlagak angkuh kononnya hukum yang Allah cipta tidak adil sangat besar risikonya sehingga kelak mereka yang mendustakannya dinafikan hak dan peluang menduduki syurga Allah swt. Firman Allah swt :

إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.

Surah al A'araf : Ayat 41

7. Saya melihat Ybhg Tun Dr. Mahathir juga sangat keliru bagaimana mahu memahami kedudukan hukuman hudud di dalam Islam. Apabila Ybhg Tun menegas bahawa untuk melakukan sesuatu mesti rujuk kepada Al Quran, tetapi dalam masa yang sama, Ybhg Tun menganggap hukum hudud tidak ada di dalam al Quran. Jika benar tindakan dan ucapan dirujuk kepada al Quran, Ybhg Tun pasti menemui hukum hudud termaktub di dalam al Quranul Karim.

8. Secara rendah diri saya merasakan bahawa Tun Dr. Mahathir perlu mendalami pengajian ilmu Islam melalui bimbingan alim ulama' yang mendalam ilmu mereka dalam perkara ini. Saya dapat lihat dengan jelas bahawa Tun benar - benar keliru terhadap hukum Allah swt ini lalu Tun mempunyai pra sangka yang buruk terhadapnya.

9. Sebagainya contoh menganggap hukum hudud tidak adil hanya kerana hukum hudud tidak dikenakan ke atas non muslim lalu Ybhg Tun membuat perbandingan yang dangkal bahawa muslim mencuri dipotong tangan lalu kudung sedang non muslim mencuri hanya dipenjara dan tangannya tidak kudung. Jika saya menjawab dengan perbandingan serupa bahawa muslim wajib solat, puasa, zakat dan haji sedang non muslim tidak diwajibkan ke atas mereka untuk melakukan semua itu, apakah Tun akan berkata bahawa Islam juga tidak adil ? Allah juga tidak adil ? Cara Tun berfikir kini sangat jauh tersasar.

10. Pengecualian non muslim dari perlaksanaan hukuman hudud adalah suatu pengecualian yang bersumberkan wahyu sebagaimana Firman Allah swt :

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَاءُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Surah al Maaidah : ayat 42

11.  Menilai hukum hudud dan kesannya ke atas ummah tidak boleh dinilai hanya melalui aqal semata - mata, tetapi selaku seorang yang mengaku muslim, Ybhg Tun mesti melihatnya dengan kaca mata Islam dan Iman. Ertinya Tun mesti menilai sehingga tembus ke ruang akhirat. Jangan hanya menilai hukum hudud dalam dinding sempadan dunia semata - mata.

12. Akhirnya saya sekali lagi menasihati diri saya sendiri pula dengan rasa rendah hati menasihati Ybhg Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa hukuman hudud adalah ketetapan Allah swt. Kalaupun kita tidak mampu melaksanakannya, janganlah kita menafikannya apatah lagi mempersendakannya dengan fitnah kononnya hukum hudud adalah cipta ahli feqah.

13. Ybhg Tun, marilah kita baca beberapa penegasan Allah swt di dalam Al Quran agar kita insaf dan patuh pada perintah Allah swt. Pertama, bacalah dengan bahasa Arab kerana al Quran tidak boleh dibaca dalam bahasa lain kecuali dengan bahasa ia diturunkan iaitu bahasa Arab. Adapun terjemahannya bolehlah dibaca dengan apa jua bahasa yang kifaham dan selesa.

a] Firman Allah swt dari Surah an Nisaa' ayat 13.

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.

b] Firman Allah swt dari surah an Nisaa' ayat 56.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

14. Semoga Ybhg Tun diberikan keafiatan dan punya masa terluang untuk membaca warkah ini dengan tenang. Beri masa pada diri untuk berfikir tanpa sebarang prejudis terhadap hukum Allah swt. Jua tidak didorong rasa dendam kepada PAS lalu menolak syariat yang diperjuangkan oleh PAS. Menganggap hudud itu adalah hudud PAS.

15. Saya harap Ybhg Tun dapat mengkajinya sendiri, dengan membuka helaian al Quran lalu membaca dan mentadabburnya dengan cermat. Jika Ybhg Tun tidak jelas memahaminya, boleh dirujuk kepada alim ulama' yang mukhlisin. Bukan merujuk kepada penasihat 25 % yang hanya merosakkan masa depan Ybhg Tun.

16. Salam hormat dari saya. Insyaallah, kiranya diizinkan oleh Allah swt. saya bersama rakan - rakan exco Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin benar bertemu dengan Ybhg Tun untuk bermuzakarah mengenai hukum Allah swt yang suci lagi adil ini. Harap Ybhg Tun juga berlapang dada dan sedia bertemu dengan pihak kami. Insyaallah, kami akan memilih masa yang sesuai dan munasabah untuk menghantar surat rasmi kepada pihak Ybhg Tun untuk tujuan tersebut.

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.