Jumaat, 24 Jun 2011

Himpunan Bersih: Haram Bagi Sesiapa Termasuk Polis Cetuskan Provokasi - Dr.Asri

Adalah haram bagi mana-mana pihak, tidak kira peserta demonstrasi ataupun polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Oleh itu, kata beliau, sesiapa yang mahu menyertai demonstrasi seperti Bersih 2.0 hendaklah berazam tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, mencederakan sesiapa, dan memaki hamun.
Sebaliknya, kata Dr Asri, mereka harus melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati dengan cara yang aman.

“Pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses itu berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.

“Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan, katanya.

Dr Asri berkata, sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

“Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak. Polis, rakyat dan golongan atasan,” katanya.

Beliau berhujah demikian dalam kolumnya di portal Malaysiakini hari ini berhubung isu perhimpunan rakyat yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0 yang dijadualkan 9 Julai depan.
“Setelah saya mendengar taklimat BERSIH dan menilainya, saya dapati tujuannya baik, menuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh
Perlembagaan.

“Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti. Maka, saya tidak mempertikaikan BERSIH di sudut tujuannya,’
kata Dr Asri lagi.

Bagaimanapun beliau bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkan perhimpunan itu dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum, “sedangkan tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihanraya”.

“Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan mungkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.

“Namun, oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan.

“Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr Asri berkata,
SPR hendaklah menunaikan tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turun ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai.

“Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman,”
kata beliau.

Bagaimanapun beliau menegaskan memelihara keamanan adalah syarat utama keharusan mengadakan demonstrasi, “jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak”.

Beliau mengemukakan hujah bahawa demonstrasi jalanan ini pernah berlaku di zaman Rasulullah.

Katanya, Nabi Mohammad s.a.w. pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya membuat bantahan di jalan.
“Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi: “Sesungguhnya jiranku menyakitiku”.

“Sabda Nabi: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”.

“Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”.

“Maka mereka berkata:“Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”.


Hadis berkenaan, kata Dr Asri, diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dan Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih

Demo seluruh negara bantah Utusan esok

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Ekoran sikap angkuh dan enggan memohon maaf, Dewan Pemuda PAS akan mengadakan bantahan terhadap Utusan Malaysia di seluruh negara esok.

Bantahan aman terhadap penyiaran karikatur "Kekeliruan Kes Rogol" yang didakwa menghina agama Islam itu akan dibuat selepas solat Jumaat.

"Tempoh yang diberi Dewan Pemuda kepada Utusan telah tamat kelmarin. Dan sehingga tempoh itu Utusan tidak memohon maaf.

"Jadi kita telah buat keputusan untuk membantah sikap angkuh Utusan di seluruh masjid di seluruh negara selepas solat Jumaat esok," kata ketuanya, Nasrudin Hassan ketika ditemui di pejabat pembangkang di parlimen hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat di sini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia diberi tempoh tujuh hari agar memohon maaf bermula dari tarikh karikatur itu disiarkan pada 15 Jun lalu.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS Pusat juga mahu Utusan Malaysia mengambil tindakan ke atas pelukis karikatur itu yang hanya dikenali sebagai “Miki.”

"Kita juga akan mulakan kempen boikot Utusan di seluruh negara," katanya

Penyelesaian Isu Bazar Tok Guru : UMNO/BN tumpas lagi di KELANTAN...

Penyelesaian Isu Bazar Tok Guru : DPPNK Rakam Tahniah Kepada Kerajaan Negeri Kelantan

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) merakamkan tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan di atas penyelesaian isu Bazar Tok Guru dengan berlakunya proses pengundian lot-lot perniagaan yang melibatkan peniaga-peniaga Pasar Lama MPKB pada 22 Jun 2011 yang juga merupakan bakal peniaga di Bazar Tok Guru. Isu ini juga dianggap selesai apabila Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Abdul Salim Ahmad memohon maaf secara terbuka dengan kerajaan negeri Kelantan di atas segala polemik yang berlaku selama ini.

2. DPPNK juga melihat penyelasaian isu ini sebgai satu penyelesaian yang terbaik di dalam situasi ‘menang-menang’ (win win situation) khususnya apabila kerajaan negeri Kelantan sudi memenuhi sebahagian tuntutan para peniaga Pasar Lama MPKB kerajaan dengan meluluskan cadangan untuk membuang sebanyak 26 gerai dengan nilaian lebih RM2 juta. DPPNK melihat keputusan tersebut sebagai keputusan yang terbaik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di dalam memenuhi kebajikan bakal peniaga Bazar Tok Guru sekalipun berdepan dengan hambatan kewangan dan undang-undang yang sedia ada.

3. Justeru, dengan permohonan maaf dari Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB itu, DPPNK melihat ia sebagai satu kegagalan UMNO dan Barisan Nasional yang kelihatan bersungguh-sungguh memanipulasi isu ini sehingga sampai kepada peringkat menabur janji yang bukan-bukan. Ini termasuklah siri-siri lawatan hampir setiap hari pemimpin-pemimpin mereka semenjak tercetusnya isu ini. Begitu dengan usaha para ‘blogger upahan’ yang begitu bersungguh-sungguh melakukan pelbagai usaha untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri Kelantan di dalam isu ini.

4. Sehubungan dengan itu, DPPNK mencabar UMNO dan Barisan Nasional menunjukkan pula kesungguhan mereka membela peniaga Melayu dengan memastikan para peniaga Arked Uda mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Aduhai BN..Itu pun jangan canang rata kata depa pun "Kerajaan Berkebajikan''

Kerajaan BN tiada hasrat beri air percuma
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air tidak berhasrat untuk mengusulkan kepada kerajaan program pemberian air "1,000 liter pertama percuma" kerana ia menggalakkan pembaziran.

Timbalannya, Noriah Kasnon, berkata caj yang dikenakan kepada rakyat masih berpatutan dan tidak membebankan berdasarkan tarif air sedia ada bagi semua negeri.

"Kementerian mengambil pendekatan ini ke arah mendidik dan menggalakkan penggunaan air secara berhemah demi memastikan kelestarian sumber air untuk diwarisi generasi akan datang," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Marcus ingin tahu cadangan kerajaan untuk mengadakan program pembekalan air secara percuma kepada pengguna dan pendekatan yang diambil untuk menangani isu kadar Air Tidak Terhasil (NRW).

Noriah berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama dengan operator-operator air telah meningkatkan aktiviti-aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi membendung kes kecurian air melalui penyambungan haram yang turut menyumbang kepada peningkatan NRW di sesebuah negeri.

Katanya, SPAN juga telah menetapkan supaya setiap operator air mempunyai program penurunan kadar NRW yang sistematik.

"Program tersebut perlu dilaksanakan mengikut jadual dan Indeks Petunjuk Utama (KPI) yang telah ditetapkan supaya pengurangan kadar NRW di setiap negeri dapat mencapai sasarannya.

"Komitmen kerajaan ini diteruskan lagi dalam "Rolling Plan" 1 Rancangan Malaysia ke-10 dengan peruntukan siling sebanyak RM324.3 juta dan jumlah ini tidak termasuk peruntukan dalaman yang disediakan oleh setiap operator untuk menangani kadar NRW masing-masing," katanya.

Beliau menyeru setiap operator air di negara ini untuk memberikan komitmen yang berterusan kepada program-program pengurangan kadar NRW yang ditetapkan.
- Bernama

Note : Modai lama... "
caj yang dikenakan kepada rakyat masih berpatutan dan tidak membebankan berdasarkan tarif air sedia ada bagi semua negeri..."

Ibrahim katak melompat lagi tinggi

dari Blog http://www-achtung.blogspot.com

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhUbVyQCHnbj0n5o0oQkwyEfispMKDxqmn555s2k0hhxhmursGpTit_uPkNW1jJsSjgRyNaSaG92aOAkejRmYQ3ukmNFTDh3T6hjjKKuH5TsUn0gzRL_oKceLAXRnO-8ymjB8aoZbkFbQa-/s320/katak+lompat.jpg

Pada tanggal 9 Julai 2011 nanti, satu lagi sejarah baru akan terpahat di dalam arena politik negara. Kesungguhan rakyat untuk keluar beramai-ramai menuntut satu pilihanraya yang adil di Himpunan Bersih 1 pada November 2007, jelas membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia kini sudah sedar dari tidur yang cukup lama di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Kematangan berpolitik tanpa pertumpahan darah seperti yang berlaku di negara timur tengah telah berjaya mengubah sedikit demi sedikit cara pengamalan berdemokrasi mahupun berdemontrasi di Malaysia.

Namun begitu tahap kematangan ini masih belum mampu dicapai oleh orang Melayu Umno. Ini berbeza dengan parti kompenennya iaitu Mca dan Mic yang mana kematangan berpolitik seperti yang ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat terutamanya Pas kini telah mula mengubah cara pemikiran mereka agar seiring fitrah manusia yang menolak kezaliman dan menuntut keadilan. Yang salah tetap salah dan yang betul akan sentiasa betul. Kebodohan yang nyata pada orang Melayu Umno ini adalah sangat memalukan sehingga sanggup menjadi pak turut dan menyokong setiap dasar-dasar kerajaan yang mereka sendiri tahu akan menjahanamkan orang Melayu.

Inilah yang dinamakan pak pandir. Bila tol naik, orang Umno naik motor. Bila minyak naik orang Umno naik bas atau komuter. Bila harga barang naik, orang Umno terpaksa ikat perut atas alasan berjimat. Bil letrik naik, orang Umno sanggup bergelap di dalam rumah sendiri. Tak pernah lagi saya tengok orang Umno mengamuk kepada pemimpin mereka hasil daripada segala ketidaksempurnaan yang berlaku atas diri mereka. Berbeza dengan ahli Mca mahupun Mic. Kerajaan gubal lah apa dasar pun mereka tetap hidup sempurna. Kenapa orang Melayu Umno bengap sampai ke tahap itu?

Parti Pas sejak dari dahulu lagi berusaha untuk membuka minda orang Melayu agar tidak terjerumus ke lembah yang hina seperti orang Melayu Umno. Soal kemiskinan dan kezaliman yang berlaku pada rakyat amat diberi perhatian. Kita begitu konsisten dalam memperjuangkan bab kesempurnaan hidup di negara sendiri sehingga sanggup menggadaikan nyawa seperti yang berlaku di Memali. Kerana Islam itu kesempurnaan. "Islam is the way of life".
Mempertahankan Islam adalah wajib. Dan kalau kita mati kerana mempertahankanya adalah syahid.

Saya teringat kata-kata sheikh Ibrahim ali al- froggori yang sanggup perang salib dengan orang kristian demi agama Islam. Belakang kalu, Husam Musa suruh dia bayar hutang dulu baru boleh mati syahid. Inilah dia satu contoh pemimpin acuan Umno yang paling tak matang pernah ada di Malaysia ni. Kali ni dia suruh ahli perkasa buat laporan polis berkenaan dengan Himpunan Bersih 2 nanti. Tak cukup dengan itu dia suruh Mat Sabu hentikan Himpunan Bersih 2 atau dia akan bermesyuarat dengan badan tertinggi perkasa untuk menghalang Himpunan Bersih 2.

Saya harap tok sheikh bawa lah seluruh ahli perkasa turun pada hari tu. Kami bukan mcm orang Melayu Umno. Nak gertak orang Umno boleh la. Kalau nak buat undang-undang rimba silakan. Kalau hang menjual kami sedia membeli. Kita jumpa di Himpunan Bersih 2 nanti. Kalau dah katak tetap katak. Sebab tu kalau terpandang wajah hang ada iras-iras katak puru yang tak hensem tu. Muka makan duit. Apabila kita berusaha untuk menegakkan keadilan di muka bumi Allah ni pasti akan ada musuh yang akan menghalangnya. Dan musuh itu ialah HANG.

"Guruh berdentum bumi bergegar,Ayam jaguh sedang bersabung Jangan cakap sahaja berdegar,Hulur senjata kita bertarung".

"Cik Embun orang berbidan, Pandai mengurut sakit kepala, Biar berkalang nyawa di badan, Kedaulatan Islam kupertahankan jua

Bersih 2.0: Hadiah lumayan gambar provokasi terbaik

KUALA LUMPUR : Orang ramai di negara ini yang akan menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini berpeluang merebut hadiah lumayan yang disediakan oleh PAS, sekiranya berjaya merakamkan gambar-gambar insiden provokasi terbaik yang dilakukan oleh pihak tertentu pada himpunan itu.

Tawaran tersebut dibuat bagi memberikan semangat kepada setiap pihak yang ingin hadir pada himpunan itu agar tidak takut dengan ugutan pelbagai pihak yang berusaha menghalangnya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berdasarkan pengalaman dalam himpunan-himpunan aman lalu, pihak berkenaan telah melakukan pelbagai tindakan provokasi bagi memburukkan PAS, penganjur dan para peserta.

Menurut beliau, tindakan tersebut mungkin akan turut dilakukan oleh pihak-pihak terbabit pada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, malah mungkin akan lebih ketara lagi.

Katanya, bagi membolehkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka itu diketahui umum dan diambil pengajaran oleh pihak-pihak terbabit, aksi-aksi mereka itu amat perlu dirakam untuk dijadikan tontonan semua pihak.

"Aksi-aksi yang dirakam itu pula tentunya pelbagai. Ada yang menarik, agak menarik, kurang menarik dan tidak menarik. Jadi untuk membolehkan kita mendapatkan rakaman insiden-insiden provokasi yang menarik, PAS akan menyediakan hadiah lumayan bagi mereka yang berjaya merakam gambar terbaik," katanya pada sidang akhbar bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, katanya, tetap akan diadakan walaupun cuba dihalang oleh pihak-pihak tertentu dengan pelbagai cara kerana ia adalah himpunan yang diadakan oleh rakyat untuk tujuan yang murni.

"Ahli-ahli PAS dan orang ramai tidak perlu takut untuk menyertai himpunan itu kerana ia diadakan atas tujuan yang murni oleh Bersih. Walaupun begitu, jangan sekali-kali membawa senjata.

"Himpunan itu adalah himpunan aman. Jika membawa senjata dibimbangi akan mencetuskan kejadian tidak diingini pula. Tujuan himpunan itu diadakan amat jelas, iaitu untuk mendesak kerajaan mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara kita dan desakan itu mestilah didengar oleh kerajaan," tegasnya.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak mengenai himpunan itu yang antara lain dikatakan akan mencemarkan imej negara di mata pelancong, beliau berkata, dakwaan tersebut datangnya dari mereka yang tidak faham tentang demokrasi.

Dalam negara demokrasi, katanya, rakyatnya tidak dihalang dari mengadakan perhimpunan aman bagi mendesak kerajaan melakukan perubahan, apatah lagi setelah sistem pilihanraya di negara kita terbukti tempang sejak sekian lama.

"Sesuai dengan perhimpunan aman yang diadakan, ia tidak akan mendatangkan sebarang kesan negatif terhadap negara jika diadakan, malah ia akan menimbulkan penghormatan rakyat asing itu sendiri terhadap negara kita apabila mereka dapat melihat dengan jelas sikap rakyatnya yang sentiasa menjaga keamanan termasuk ketika berdemonstrasi.

"Manakala pelancong pula bukan hanya terdiri daripada warga asing. Malah rakyat di negara ini yang berkunjung ke sesuatu destinasi itu juga adalah pelancong," jelasnya.

Dakwaan seperti itu, katanya, adalah sebahagian dari usaha menghalang himpunan tersebut diadakan, tetapi Bersih dan rakyat negara ini sudah tidak akan berganjak dari keputusan untuk mengadakan dan menyertai perhimpunan itu, akibat sudah tidak tertahan dengan tindakan buruk yang dilakukan oleh kerajaan BN terhadap rakyat selama ini khususnya dalam pilihanraya.

Bagi keselamatan diri, beliau menasihatkan mereka yang ingin menyertai himpunan itu agar membawa tuala basah, cuka dan garam untuk digunakan sekiranya diserang dengan gas pemedih mata oleh pihak berkuasa

Siapa Yang Rembat Tanah TUDM...??

Menggesa Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara Menyiasat Transaksi Pembelian Dan Penjualan Pelaburan dalam 1MDB PetroSaudi Limited oleh 1MDB dengan PetroSaudi International Limited

Dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2011 pada 20 Jun 2011, saya telah menggesa antara lain agar Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menyiasat transaksi pembelian dan penjualan pelaburan dalam 1MDB PetroSaudi Limited oleh 1MDB dengan PetroSaudi International Limited. Gesaan ini dibuat kerana berdasarkan laporan juruodit, transaksi pembelian dan penjualan pelaburan tersebut yang mencurigakan.

Ia melibatkan pengumuman keuntungan RM425 juta untuk operasi tahun pertama yang berakhir 31 Mac 2010 oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB pada 8 Oktober 2010 dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Sharol Halmi pada 12 Oktober 2010. Keuntungan diperolehi antara lain hasil penjualan pelaburan dalam 1MDB PetroSaudi Limited iaitu syarikat usahasama diantara 1MDB dengan PetroSaudi International Limited.

Dalam transaksi ini 1MDB melabur dalam 1MDB PetroSaudi Limited sebanyak RM3.5 billion yang dibuat secara tunai. Tidak sampai 5 bulan kemudian 1MDB menjual semula pelaburan ini kepada rakan usahasama mereka iaitu PetroSaudi International Limited dengan harga RM4.1 billion dan memperolehi keuntungan sebanyak RM615 juta.

Walaubagaimana pun bayaran untuk penjualan pelaburan ini dibuat samaada secara ansuran atau bayaran tertangguh selama 11 tahun. Ini bermakna perolehan RM4.1 billion ini hanya dapat diperolehi sepenuhnya menjelang 31 Mac 2023 berdasarkan transaksi penjualan ini dibuat pada hari akhir penutupan akaun 1MDB iaitu 31 Mac 2010.

Keupayaan 1MDB memperolehi balik RM4.1 billion ini amat disangsikan berdasar nota khas yang dibuat oleh Juruodit KPMG dalam laporan oditnya keatas akaun 1MDB yang berakhir 31 Mac 2010.

Nota khas ini berbunyi seperti berikut:-

“The Group and the Company held notes receivable amounting to RM4,139,125,000 as at 31 March 2010. A valuation was performed by an independent financial advisory firm to support the assessment of the appropriateness of the carrying value of the notes receivable as at 31 March 2010. This valuation was carried out based on certain sets of assumptions. It should be noted that these assumptions are critical to the result of the assessment. The notes receivable are backed by a corporate guarantee issued by the ultimate holding company of 1MDB PetroSaudi Limited, PetroSaudi International Limited PSI). Management believes that PSI is in good financial standing and has the ability to meet all obligations required as documented in the Corporate Guarantee Agreement”.

Nota ini menjelaskan Juruodit KPMG semata-mata bersandar kepada perakuan pengurusan 1MDB bahawa PetroSaudi International Limited mempunyai kedudukan kewangan yang baik dan berupaya memenuhi kesemua tuntutan kewangan sepertimana yang terkandong dalam dokumen Perjanjian Jaminan Korporat nya. Juruodit KPMG sendiri tidak memberi kepastian samaada hutang tertunggak RM4.1 billion berupaya dibayar oleh PetroSaudi International Limited kerana ia bukan jaminan Bank atau Kerajaan.

Susulan dari gesaan tatkala membahaskan Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan 2011 itu , saya telah menulis surat bertarikh 22hb Jun 2011, memohon Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menyiasat perkara berikut menurut peruntukan Peraturan Mesyuarat 77 (1)(d) :

1) Menilai kedudukan kewangan, pemegang saham, nominee, dan pengurusan PetroSaudi International Limited samada mempunyai keupayaan membayar hutang RM4.1 billion kepada 1MDB sepertimana yang didakwa oleh pengurusannya.

2) Menyiasat sumber 1MDB perolehi untuk membayar pelaburan dalam 1MDB PetroSaudi Limited sebanyak RM3.5 billion secara tunai. Adakah ia hasil penerbitan Bon yang dijamin oleh Kerajaan?

3) Menyiasat penilaian yang dibuat oleh pengurusan 1MDB keatas 1MDB PertroSaudi Limited apabila membuat keputusan melabur sebanyak RM3.5 billion dalam usahsama ini.

4) Menyiasat kegiatan perniagaan 1MDB PetroSaudi Limited sehingga 1MDB berupaya menjual pelaburannya dalam masa yang singkat tidak sampai 5 bulan dengan keuntungan RM615 juta daripada pelaburan sebanyak RM3.5 billion. Ini bermakna pulangan sebanyak 17.6% atau 42% berdasarkan kadar pulangan tahunan (annualized rate of return). Siasatan ini perlu agar 1MDB sebagai sebuah agensi pelaburan kerajaan tidak terlibat dalam kegiatan sindiket kewangan antarabangsa yang mencurigakan dan mungkin jenayah.

5) Menyiasat tempat atau lokasi PetroSaudi International Limited dan kumpulan syarikatnya termasuk 1MDB PetroSaudi Limited diperbadankan. Benarkah PetroSaudi International Limited di perbadankan di Cayman Islands atau British Virgin Islands dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan perusahaan petroleum dan individu atau organisasi dari Arab Saudi?

6) Menyiasat adakah kerajaan terdedah kepada jaminan atau pinjaman dalam pelaburan yang dibuat 1MDB?

Saya menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara menyiasat kes ini kerana ia melibatkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan penerbitan bon sebanyak RM5 billion yang dijamin kerajaan. Difahamkan bon sehingga RM15 billion akan diterbitkan untuk membiayai pelaburan 1MDB. Dalam pengamatan akaun 6 bulan pertama 2011 hingga 1 September 2010, saya dapati 1MDB mengalami kerugian sebanyak RM158.3 juta.

1MDB dianugerahkan konsesi tanah paling berharga di Kuala Lumpur iaitu pengkalan TUDM di Sungai Besi seluas 196.6 hektar sementara Pengkalan TUDM akan dipindahkan ke Sendayan, Negeri Sembilan. Pembangunan Pengakalan TUDM di Sungai Besi ini melibatkan usahasama diantara 1MDB (30%), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (30%) dan Desmond Lim dari Malton Berhad (40%).

Dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan hartanah ini akan dibangunkan sebagai Bandar Malaysia untuk memperkukuh daya saing Kuala Lumpur bagi menarik pelabur tempatan dan asing. Pembangunan yang diumumkan hanya melibatkan yang memberi pulangan besar kepada pelabur. Langsung tidak disebut atau disediakan dalam pelan induk pembangunan perumahan untuk warga kota yang berpendapatan rendah dan penyediaan perumahan untuk bekas tentera yang amat memerlukan perumahan di ibukota ini.

ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

Lifeline for Gaza - betulkah terselit kelaku Hudoh UMNO/BN dalam program ini..???

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/2011/january/23/j23shah_alam_mp_khalid_samad_.jpgSaya dihubungi oleh beberapa sahabat dari NGO Islam pada sekitar bulan Mei dan ditanya samada saya berminat untuk menyertai misi Life Line for Gaza ke-2. Saya diberitahu ianya akan seperti misi yang pertama dan kapal Mavi Marmara akan turut digunakan sepertimana sebelum ini. Ahli Parlimen dan NGO ‘Islamist’ dari seluruh dunia akan turut menyertainya. Tarikh yang dianggarkan adalah pada bulan Jun. Saya turut dimaklumkan bahawa penyertaan Ahli Parlimen PAS amat dialu-alukan.
Program ini, seperti yang dahulu, dianjurkan LL4G, satu pakatan atau gabungan (coalition) NGO Islam yang telah lama istiqamah dengan perjuangan membela nasib dan hak rakyat Palestine seperti Haluan Palestine, Muslim Care, Yayasan Amal dan Aqsa Syarif. Pada masa yang sama, saya turut dimaklumkan bahawa NGO Turkey, IHH, akan memainkan peranan utama, sepertimana dahulu.

Berdasarkan maklumat ini, maka saya telah menyatakan persetujuan saya untuk bersama. Penderitaan rakyat Palestine diketahui umum. Oleh itu tidak perlu saya ceritakan di sini. Mereka mengharapkan dunia, khususnya dunia Islam dan pencinta keadilan untuk membela nasib mereka. Kita tidak boleh membenarkan dunia lupa kezaliman yang sedang dialami rakyat Palestine. Misi yang seperti ini mampu menjadikan kezaliman Zionis berita muka depan akhbar seluruh dunia. Dengan itu, penyelesaian yang adil bagi rakyat Palestine akan diusahakan, termasuk membatalkan sekatan ke atas Gaza.

Tergambar dalam pemikiran saya suasana yang diceritakan kumpulan sahabat yang telah bersama dengan misi LL4G pertama. Saya dimaklumkan bahawa siang dan malam semasa mereka berada di atas kapal Mavi Marmara telah dipenuhi dengan program-program tazkirah, dzikir serta solat sunnat, termasuk Tahajjud. Suasana sebegitu memberikan mereka kekuatan untuk menghadapi cabaran yang bakal dihadapi mereka dengan penuh keyakinan akan pertolongan Allah. Sehingga, apabila berlaku apa yang telah berlaku, mereka langsung tidak gentar, walaupun berhadapan dengan tentera Israel yang bengis dan lengkap bersenjata. Ini adalah berkat dari keikhlasan mereka itu.

Pada 12 Jun, saya telah memohon restu pimpinan tertinggi PAS untuk saya mewakili parti dalam misi ini. Saya turut memaklumkan bahawa Timbalan Presiden telah dijemput berucap bersama Perdana Menteri dalam program pelancaran misi ini. Berdasarkan maklumat tersebut, permohonan saya itu telah dipersetujui dan saya merasa gembira di atas restu serta sokongan yang diberikan.

Sehari selepas itu, saya diberitahu sahabat yang bergiat dalam sebuah NGO bahawa kapal Mavi Marmara dan dua lagi kapal besar telah menarik diri. Oleh itu, jumlah peserta dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, terpaksa dikurangkan dari 20 (saya difahamkan pada asalnya) kepada 10 orang sahaja. Seterusnya saya juga dimaklumkan bahawa misi kali ini tidak akan seperti yang pertama. Beberapa NGO yang telah memainkan peranan utama sebelum ini tidak akan menyertainya. Saya mula kedengaran ketidak terlibatan Haluan Palestine, Yayasan Amal, Aqsa Syarif dan lain-lain. NGO Turkey yang ke depan dalam misi pertama, iaitu IHH juga tidak akan lagi memainkan peranan utama sepertimana dulu. Ini dikatakan ada kena-mengena dengan suasana pelarian dari Syria yang memasuki Turkey.

Walaupun dalam suasana seperti itu, saya tetap meletakkan harapan misi ini akan dapat diteruskan dengan semangat yang sama seperti dulu. Pada masa itu, saya mengharapkan program pelancaran yang akan dilakukan pada 18 Jun akan meletakkan misi ini atas satu asas yang kukuh dari sudut keikhlasan perjuangan membela nasib rakyat Palestine. Hakikat bahawa program itu akan dilancarkan oleh PM dan Timbalan Presiden PAS akan turut berucap mewakili PR serta Khairy Jamaluddin mewakili BN adalah, bagi saya, bukti bahawa perkiraan politik diketepikan sama sekali dalam usaha ini.

Pada 17 Jun, sehari sebelum pelancaran misi LL4G (2), saya dimaklumkan secara peribadi oleh pihak LL4G bahawa mereka dihubungi pihak PM dan diberitahu bahawa Timbalan Presiden PAS tidak dibenarkan berucap! Sekiranya terus ingin membenarkan beliau berucap, maka PM tidak akan hadir dan Aman Malaysia akan menarik diri dari menyertai misi tersebut. Pihak LL4G memaklumkan kepada saya, “sebagai NGO, kita amat memerlukan penglibatan PM dan Aman Malaysia serta kerjasama Wisma Putra dan sebagainya. Apa harus saya lakukan?” Saya hanya mampu menyebut bahawa ianya terpulang kepada dirinya untuk memutuskannya. Sebagai NGO, maka beliau harus berkecuali dan ucapan dari kedua-dua pihak akan membuktikan bahawa LL4G tiada affiliasi politik. Itulah sebabnya mengapa beliau menjemput kedua pihak pada asalnya.

Saya seterusnya bertolak ke Perak pada petang itu kerana mempunyai program di Batu Kurau pada malam 17 dan di Bukit Gantang pada 18 Jun.

Pada 18 Jun, semasa saya di Bukit Gantang, saya telah dimaklumkan bahawa Timbalan Presiden telah tidak hadir kerana telah diberitahu bahawa dia tidak akan dibenarkan berucap. Malahan, sepanduk-sepanduk di tempat program pelancaran turut diubah-suai dengan meletakkan pita bagi menutup nama Tuan Haji Mohd. Sabu dan Khairy. Lencana NGO-NGO tertentu turut ditutup kecuali lencana LL4G dan Aman Malaysia. Kawan-kawan saya yang hadir ke program tersebut memaklumkan ianya berjalan bagaikan program UMNO.

Ketidak-ikhlasan pihak PM dengan menuntut supaya Timbalan Presiden PAS tidak berucap amat menduka-citakan. Ianya jelas menunjukkan bahawa mereka mempunyai motif politik dan ini mencemarkan niat disebalik misi ini. Tindakan mereka untuk mendapatkan keuntungan politik dari penderitaan rakyat Palestine dengan percubaan menenggelamkan keterlibatan PAS dan hanya menonjolkan peranan mereka dianggap keterlaluan.

Sejurus itu saya telah dihubungi beberapa rakan NGO dan ahli parti untuk menarik diri. Saya hanya mendiamkan diri. Namun ianya jelas bahawa UMNO ingin membersihkan nama mereka melalui misi ini setelah dipalitkan dengan Israel melalui perlantikan APCO sebagai penasihat kerajaan BN. Hakikatnya, UMNO TIDAK PERNAH menyokong perjuangan Hamas, parti politik pilihan rakyat Palestine. Sebaliknya, mereka bersama Fatah, parti Yasser Arafat. Sedangkan Gaza dikenakan sekatan kerana ianya dibawah Hamas. Sehingga hari ini kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf Hamas.

Pada 20 Jun saya telah bertolak ke Saudi. Pada ketika itu, tarikh bertolaknya misi LL4G (2) masih tidak disahkan. Menurut sumber yang tertentu, mungkin 23 atau 26 Jun, tetapi mungkin ditangguh seminggu.

Pada 21, setibanya saya di Saudi, saya telah dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah menafikan bahawa dia telah diberikan tekanan untuk menggugurkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohd. Sabu sebagai penceramah pada malam pelancaran misi. Saya terkejut dengan kenyataan beliau kerana beliau sendiri yang telah bercakap dengan saya mengenai tekanan tersebut! Kenapa dia perlu menipu? Tidak cukupkah dengan pengguguran tersebut, adakah perlu dirosakkan lagi suasana dengan penipuan demi membela Najib? Maka jelas, pada mulanya ditekan supaya menggugurkan Tuan Haji Mohd. Sabu dan kemudiannya ditekan sekali lagi untuk menafikan berlakunya ugutan serta tekanan!

Dalam masa yang saman, penafian beliau menjadikan kenyataan Tuan Haji Mohd. Sabu seolah-olah tidak benar dan bermotifkan politik. Sedangkan merekalah yang berniat jahat dan mengugut penganjur demi kepentingan politik mereka dengan menipu membenarkan Najib serta menjadikan orang lain sebagai mangsa.

UMNO membuktikan sekali lagi bahawa ianya parti yang sentiasa berusaha untuk menipu rakyat dan menghalang kebenaran dari terserlah. Saya masih ingin menyertai walaupun misi ini walaupun ketika ini dikelilingi dengan pemainan politik, penipuan serta ketidak ikhlasan. iAllah saya akan ke Mekah pada petang ini (22 Jun) dan di hadapan Kaabah saya akan beristikharah mengenai penglibatan saya dalam misi ini. Misinya penting seperti yang saya sebutkan di atas, namun tidak perlu saya terlibat sekiranya ia bermatlamatkan kepentingan politik UMNO dan untuk dijadikan hujjah untuk menipu rakyat. Kononnya mereka membela rakyat Palestine sedangkan sumbangan mereka kepada APCO sebanyak RM 147 Juta dalam tempoh dua tahun amat disyukuri Israel.

Misi yang semulia ini tidak sepatutnya dicemari melalui putar-belit politik serta penipuan dan pembohongan seperti yang telah berlaku. Belum apa-apa lagi, ianya sudah jelas, misi LL4G (2) tidak akan seperti yang pertama. Sebenarnya, Flotilla pertama dahulu tidak diambil tahu pun oleh pihak kerajaan BN sehinggalah apa yang telah berlaku. Sekembalinya mereka, maka mereka disambut oleh Najib dan segala kepura-puraan bermula selepas itu. Cuma bezanya pada kali ini, ianya bermula dari awal lagi.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Nak bunuh? Bunuhlah!


Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata beliau tidak gentar meskipun menerima ugutan bunuh berhubung anjuran Perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai.
Menurut Khairul atau Jonah, ancaman yang diterimanya tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berjuang bersama rakyat Malaysia yang lain bagi menuntut pilihan raya yang lebih bersih dan adil.

“Saya akan tetap berpegang teguh dan tidak akan patah semangat untuk berhimpun 9 Julai ini. Ini demi masa depan negara,” tegasnya ketika dihubungi Keadilandaily.com.
SMS ugutan bunuh itu dihantar dari nombor telefon 601119732179 kepada Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dan juga beberapa pemimpin Pas dan KEADILAN.
Jonah antara beberapa pemimpin yang menerima ugutan berkenaan, yang mengancam untuk membunuhnya jika perhimpunan itu diteruskan.
Selain pemimpin Bersih dan Pakatan Rakyat, SMS yang dikirim pada malam dan awal pagi tadi turut diterima beberapa wartawan.
Menurut Jonah beliau yakin rakyat tidak takut dengan sebarang ancaman dalam perjuangan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini.
Ditanya samada beliau mengesyaki pihak yang mengirimkan SMS berkenaan, Jonah berkata beliau yakin pengugut adalah individu yang tebal dengan sifat perkauman dan anti demokrasi.
“Ini jelas dengan kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memetik perkataan kasar seperti ‘kafir laknat’ ” katanya