Ahad, 20 Februari 2011

PRK Kerdau, Merlimau serentak elak asakan Pakatan

KUALA LUMPUR, 20 Feb: Keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Merlimau dan Kerdau secara serentak merupakan isyarat jelas pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan dalam masa terdekat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat harus berwaspada dengan isyarat itu kerana kemungkinan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan dibubarkan sejurus selepas kedua-dua PRK ini.

"Ini satu isyarat yang harus diberi perhatian oleh PAS dan Pakatan Rakyat untuk persiapan menghadapi pilihan raya umum Sarawak.

"Kemungkinan SPR menyegerakan (pilihan raya kecil) Kerdau ini kerana mereka nak tumpu Sarawak. Kemungkinan selepas sahaja pilihan raya kecil di kedua-dua tempat ini, Dun Sarawak akan dibubarkan maka pilihan raya kecil itu disegerakan," kata beliau ketika ditemui di Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa-jaminan PAS di Shah Alam semalam.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena turut mendakwa Umno BN mahu PRK Merlimau dan Kerdau diadakan serentak kerana enggan berhadapan dengan asakan Pakatan Rakyat seperti siri PRK sebelum ini.

Umno BN dalam setiap PRK, katanya terpaksa menghabiskan wang yang banyak untuk menawan hati pengundi bagi bersaing dengan Pakatan yang menurunkan kekuatan jentera dari seluruh negara.

Contoh yang paling hampir ujarnya pada PRK di Tenang yang menyaksikan Umno BN terpaksa berusaha keras menarik hati pengundi meskipun kawasan itu merupakan kubu kuat Umno.
"Seperti di Tenang, walaupun Tenang itu kawasan kuat Umno tapi mereka tidak lagi mudah menang seperti pilihan raya kecil sebelum ini.
"Mereka terpaksa berhadapan dengan asakan Pakatan Rakyat, terpaksa berbelanja banyak untuk melaksanakan tawaran yang dijanjikan kepada rakyat kerana kita mengumpulkan seluruh tenaga kita di Tenang.

"Mereka mengharapkan dengan buat pilihan raya kecil serentak, tenaga kita tidak tertumpu kepada satu-satu tempat sahaja, terpaksa dipisah dua. Jadi pilihan raya itu tidak serancak yang berlaku sebelum ini," katanya.

Namun demikian, Mahfuz mahu jentera Pakatan Rakyat melihat keputusan itu secara positif dan menjadikannya sebagai latihan praktikal terakhir untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Kepada petugas parti saya harap mereka melihat secara positif kerana memang pun dalam pilihan raya umum jentera di peringkat jentera kawasan dan negeri masing-masing yang berkerja. Kita boleh berkerja dan boleh menang di beberapa negeri.

"Kita harap kita hadapi pilihan raya kecil ini seperti kita hadapi pilihan raya umum. Tiada siapa yang membantu kita tapi jentera tempatan itu akan lebih agresif," katanya.

Selain itu katanya, Pakatan Rakyat boleh menggunakan waktu ini untuk mengenal pasti kelemahan sebelum ini dan memperbaikinya.
"Kita harap ini akan menjadi lapangan sasar menembak terakhir untuk membuat latihan praktikal hadapi pilihan raya umum untuk kita lihat di mana kelemahan kita sebelum ini yang perlu dibaiki.

"Jabatan pilihan raya pusat dan negeri perlu kenal pasti kenapa setiap negeri yang ditugaskan di setiap peti undi tak dapat nak meningkatakan lonjakan undi," katanya.

PAS, katanya akan membuat pengagihan jentera dengan sebaik mungkin untuk bertugas di kedua-dua kawasan.
"Kita akan buat pengagihan selepas ini supaya jentera dapat dimanfaatkan sebaiknya," katanya. -Hrkh

12 JAMINAN PAS UNTUK MENGUPAYAKAN BANGSA MELAYU


SHAH ALAM : PAS dalam usahanya mewujudkan sebuah Malaysia Baru yang mengangkat martabat kaum Melayu dan Islam, hari ini memberikan jaminan istimewa terhadap dua belas perkara untuk rakyat Malaysia.

Dua belas jaminan ini terkandung dalam resolusi Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa; Jaminan PAS yang berlangsung sehari di Auditorium MBSA, dekat sini.

Berikut adalah dua belas resolusi yang dibentangkan oleh Naib Presiden PAS selaku Pengarah Konvensyen, Datuk Mahfuz Omar.

PAS sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam memberi jaminan bahawa:

1. PAS tetap komited untuk melaksanakan agenda pengupayaan bangsa Melayu dan Bumiputera berteraskan prinsip-prinsip di atas;

2. PAS akan terus mempertahankan kedaulatan Raja-raja Melayu dan kepentingan bangsa Melayu dan Bumiputera seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia;

3. PAS tetap beristiqamah untuk menghayati Islam sebagai satu cara hidup sesuai dengan kerangka perlembagaan Malaysia sebagai teras terpenting usaha mengupayakan Melayu;

4. PAS akan sentiasa memastikan seluruh kegiatan pembangunan bangsa Melayu berkiblatkan akhirat demi mencapai keredhaan Allah;

5. PAS tetap mengutamakan perjuangan untuk membela nasib rakyat terpinggir dan berpendapat rendah yang sebahagian besarnya adalah kaum Melayu dan Bumiputera;

6. PAS akan terus mempertahankan konsep ketuanan rakyat yang berpaksikan keadilan Islam dengan jaminan saksama kepada kaum-kaum lain;

7. PAS tetap memperjuangkan dasar-dasar affirmative yang berasaskan siapa yang berkeperluan (need based) sesuai dengan matlamat keadilan Islam;

8. PAS akan terus komited untuk menampilkan kepimpinan Melayu yang bebas rasuah dan penyelewengan di semua peringkat kepimpinan bermula dari kepimpinan Negara sehingga kepimpinan komuniti;

9. PAS tetap mempertahankan tanah-tanah rizab Melayu, tanah-tanah adat, kampung-kampung tradisi dan penempatan-penempatan yang mempunyai kepentingan Melayu dan Bumiputera seperti Felda, malah berusaha menjadikannya sebagai penyumbang terpenting kekuatan ekonomi Melayu;

10. PAS akan terus mempertahankan warisan Melayu selagi mana tidak bertentangan dengan syarak, sebagai khazanah penting kepada generasi Melayu akan datang;

11. PAS tetap mempertahankan pendidikan vernakular yang telah memberi ruang kepada kewujudan sekolah agama rakyat, madrasah dan sekolah pondok, di samping tidak menolak kepentingan elemen integrasi nasional diterapkan dalam sistem pendidikan dan;

12. PAS akan terus berusaha memasakkan jatidiri berteraskan Islam kepada generasi muda Melayu kerana mereka merupakan teras kepada pengupayaan bangsa Melayu dan waris kepimpinan akan datang

Jangan Mimpi Mahu Rampas Negeri Pakatan






Lagi gambar2 di FB Pas Puchong
Alor Setar : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abd Razak berkata, PAS tidak akan memberi laluan mudah kepada Umno BN untuk merampas negeri-negeri yang dikuasai Pakatan pada waktu ini.
Bercakap sewaktu merasmikan Himpunan 30K Pemuda PAS di sini beliau berkata, kekuatan pemuda PAS yang hadir hari ini adalah senjata ampuh untuk menghalang Umno merampas negeri dengan pelbagai taktik kotor mereka.

Katanya, kehadiran 30 ribu pemuda PAS membanjiri dataran kompleks PAS Kedah hari ini membuktikan kesungguhan pemuda mempertahan kerajaan Kedah dan menyekat taktik kotor Umno yang mahu menjatuhkan kerajaan PAS Kedah.

"Ini sudah cukup menggerunkan Umno, kita kena pertahankan.

"Umno jangan fikir dia sahaja nak menang, kita pun fikir nak menang.

"Saya dan rakan-rakan yang memikul amanah kepimpinan kerajaan negeri, tidak akan bagi laluan mudah kepada umno BN," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Hadir sama pada majlis perasmian pagi tadi adalah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Ustaz Ahmad Abdullah, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dan seluruh kepimpinan pemuda seluruh negara.

"Apakah kita nak biarkan keadilan yang kita buat ini dihancurkan Umno?" soal Azizan disambut laungan 'tidak' oleh kira-kira 30 ribu pemuda PAS yang hadir termasuk dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Sehubungan itu beliau turut mengarahkan pemuda PAS menggiatkan usaha mendaftar pemilih khususnya kepada anak muda.

Katanya, hanya dengan usaha itu PAS boleh kekal menegakkan keadilan bukan sahaja di negeri-negeri yang dikuasai malah seluruh negeri di Malaysia pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

"Saya meletakkan harapan tinggi kepada pemuda, bangun menjalankan daftar pemilih.

"Hanya dengan mereka mendaftar, mereka boleh mengundi kita, baru kita boleh menang,"katanya lagi.

Hasrat menguasai Putrajaya juga katanya tidak mustahil berlaku, dengan semangat perubahan anak muda di seluruh dunia khususnya di Tunisia dan Mesir yang juga diharap sampai ke negara ini.

"Pemuda perlu mencetus perubahan, idea baru, menjadi tokoh negarawan, bukan sahaja banyak komen, tapi memberi cadangan penambahbaikkan," tegasnya.

Sementara itu, Nasruddin ketika ucapan aluannya pagi tadi meletakkan dua syarat utama jika mahu PAS menang dalam PRU akan datang.

"Setiap individu pemuda PAS mestilah mendekatkan diri kepada Allah SWT, menjadi tentera Allah.

"Inilah kekuatan yang ada pada kita dan beberbeza dengan musuh," ujarnya.

Kedua katanya, ahli PAS perlu mengelak perselisiahan dalamam sehingga membolehkan parti itu diserang musuh sehingga menjadi lemah.

"Rapatkan saf atas dasar ukhwah, jangan bagi ruang walaupun satu lubang untuk musuh masuk pecahbelahkan kita," katanya.

Majlis perasmian hari ini turut menyaksikan
selebriti terkenal, Bob Lokman, menyerahkan borang ahli PAS.

Borang tersebut diserahkan kepada Ustaz Azizan sebelum dipakaikan baju tema himpunan.

Himpunan 30K pemuda hari ini antara lain akan membincangkan tugasan dan gerak kerja berdepan PRU 13.

Program sehari hari ini akan berakhir malam nanti dengan program ceramah oleh dua pemimpin utama PAS, iaitu Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. -Hrkh

Ribuan banjiri himpunan Pemuda PAS di Kedah

Sejak awal pagi tadi, ribuan membanjiri kompleks PAS Kedah di Kota Sarang semut dekat Alor Setar bagi menghadiri himpunan besar-besaran Dewan Pemudanya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Mereka mensasarkan kehadiran 30,000 - sekali ganda lebih banyak daripada perhimpunan yang sama pada 2006 di Kota Bharu.

Mereka pada mulanya bercadang berkumpul di Selangor tetapi ekoran percaturan politik bagi mengekalkan penguasaan kerajaan PAS Kedah, mereka menukar tempat program ke situ.

Antara yang hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak, Naib Presiden PKR Salehuddin Ayun dan Ketua Pemuda Nasrudin Hassan. -mk

ARTIS SOKONG ULAMAK, TOK2 IMAM KG DOK PENAKUT JADI ULAQ DLM SEMAK LAGI...

Bob Lokman Sertai PAS




Bob Lokman mengisytiharkan diri sebagai Ahli PAS di hadapan 30 ribu Pemuda PAS di Kota Sarang Semut, Kedah sebentar tadi. Beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada DS Ustaz Azizan Razak, MB Kedah Darul Aman.

Majlis ini telah dihadiri lebih 30 ribu pemuda dari seluruh negari. Kontinjen Negeri Kedah lebih dari 7 ribu. Selain itu, negeri Terengganu Darul Iman dan Selangor Darul Ehsan berjaya menghantar ramai pemuda ke Himpunan ini
Kesesakan jalanraya sepanjang lima kilometer di laluan ini dikawal dengan baik oleh para unit AMAL malaysia. Allah Akbar..!!!
Majlis bermula jam 9.00 pagi dengan perbarisan kontinjen dengan lagu Negaraku, lagu PAS dan lagu Amal. Ucapan Alu-aluan oleh Ketua Pemuda PAS, Ustaz Ahmad bin Yahya. Seterusnya ucapan oleh Pengarah Himpunan 30K. Ustaz Nasarudin Tantawi menyampaikan amanat untuk para pemuda agar berjuang dengan lebih gigih untuk menjana kemenangan.

Seterusnya ucapan perasmian oleh DS Ustaz Azizan Abdul Razak. Beliau begitu bersemangat dan gembira dengan himpunan yang besar begini. Dalam ucapannya beliau menyindir UMNO dengan katanya ‎'umno kini macam nyamuk kena ubat nyamuk, pening'. Selain beliau mengingatkan media agar tulis bagi betul ‎'Hari ini pemuda PAS berhimpun 30 ribu, tapi esok surat khabar tulis 300 sahaja" -detikdaily

Usia Umno BN sudah tidak dapat bertahan


ALOR SETAR, 19 Feb: PAS telah siap sedia untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara bagi menggantikan tempat yang selama ini didominasi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai pemerintah.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata demikian semasa berucap dalam majlis perhimpunan 30 ribu Pemuda PAS seluruh Malaysia di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut, pagi tadi.
Menurut beliau lagi dunia telah membuktikan kezaliman dan sikap diktator yang diamalkan oleh kebanyakan pemimpin tersungkur di tangan rakyat.

"Gelombang yang telah menggerakkan kebangkitan rakyat di Mesir adalah kebangkitan generasi muda. Kebangkitan rakyat kini sudah menular bukan saja ke Tunisia, malah telah merebak ke Yaman dan Algeria.

"Apakah gerakan ini tidak mungkin bangkit di negara ini? Adalah tidak mustahil bagi rakyat untuk bangkit bagi menumbangkan kezaliman dan melenyapkan kemungkaran yang selama ini menodai sistem pemerintahan dalam negara.

"Jangan bimbang dengan Umno dan BN. Mereka kini sudah hampir kepada penghujung jalan. Usia mereka sudah tidak dapat bertahan lama lagi sebagai pemerintah dalam negara ini," ujarnya lagi.

Salahuddin juga menyatakan perubahan juga berlaku di Amerika.

katanya, imej yang dikagumi oleh masyarakat Inggeris bahawa hanya orang kulit putih saja yang boleh menerajui kerusi Presiden di White House juga sudah berubah apabila Obama yang berkulit hitam menerajui kerusi tersebut.

Oleh kerana itu, katanya PAS dan Pakatan Rakyat juga tidak mustahil untuk menjejakkan kaki ke Putrajaya sebagai parti yang layak untuk menggantikan Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani dan kepimpinan PAS negeri Kedah. -Hrkh