Oleh INTAN ABDULLAH
Pilihan raya kampus pada kali ini lahir di kancah amarah dan emosi anak muda dijentik dan dicabar di serata dunia. Ketika generasi penentu masa depan dunia sedang bangkit di Tunisia dan Mesir yang gagah menumbangkan rejim diktator yang menguasai negara mereka berabad-abad lamanya, lanskap dalam negara pula menanti kebangkitan golongan muda untuk melakukan suatu perubahan
Dengan keadaan pilihan raya kecil yang tumbuh bak cendawan selepas hujan, yang kini masuk kali ke 16 diadakan sejak pilihan raya umum pada 2008 lalu, sesuatu sedang berlaku 'di dalam' percaturan sang pencipta yang perlu difikirkan oleh generasi muda yang tinggal di negara 1 Malaysia.
Secara tiba-tiba Pilihan Raya Kampus pula muncul di tengah-tengah kegawatan ini terjadi.
Malah apabila ada yang cuba mengaitkan kebangkitan anak muda di negara-negara Asia Barat dengan senario di Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pula meningkah dan tegas menafikannya.
Namun tindakan anggota keselamatan pada Perhimpunan Anti-Mubarak di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyokong rakyat Mesir, membuatkan ada yang bersangka buruk pada pihak pemerintah.
Maka tidak hairanlah jika ada menyamakan tindakan anggota keselamatan di negara ini seumpama tindakan pihak keselamatan di Mesir yang bertindak menurut arahan Amerika Syarikat dan Israel.
Lembaran PRK sesi 2011/2012 ini dibuka dengan kemenangan percuma di Unisel dan 13 kerusi tanpa bertanding di kubu kuat Pro Mahasiswa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Namun di kampus-kampus lain khususnya yang terletak di Lembah Klang, pelbagai tentangan dan cabaran terpaksa ditempuhi kumpulan aktivis mahasiswa ini.
Di Universiti Putra Malaysia (UPM), ia dimulai dengan peraturan baru yang menghalang anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) tidak dibenarkan menjadi calon, pengurangan kerusi umum dan pencadang atau menyokong serta pelajar ijazah sarjana dibenarkan mengundi.
Malah dalam proses pendaftaran untuk penamaan calon turut mengalami pelbagai masalah apabila server down dan kehilangan maklumat atas talian memandangkan segala permohonan dibuat secara online.
Lebih teruk lagi, hari penamaan calon pula merupakan tempoh bagi mahasiswa menghadapi peperiksaan yang menyukarkan mereka menghadirkan diri pada proses penamaan tersebut.
Situasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berbeza apabila calon hanya dibenarkan menjalankan aktiviti kempen yang hanya tinggal tiga hari termasuk cuti hujung minggu yang pada kebiasaannya dihabiskan oleh mahasiswa untuk pulang ke kampung atau keluar dari kampus.
Masalah timbul apabila peraturan menghalang penggunaan laman sosial seperti Facebook untuk tujuan kempen sehingga menyukarkan mereka untuk menyampaikan maklumat kepada mahasiswa.
Namun keadaan yang lebih mengejutkan berlaku di Universiti Malaya (UM), apabila pihak keselamatan menghalang sidang media Pro Mahasiswa dengan pihak keselamatan cuba menutup mulut jurucakap Pro M UM.
Malah pelbagai bentuk intimidasi dan tindakan dikenakan kepada pihak Pro M oleh pihak lawan iaitu Aspirasi atau lebih dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa serta tindakan dan halangan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Rohana Yusof terhadap aktiviti yang dijalankan Pro M.
Ini termasuklah sekatan dan tindakan menghalau Pro M untuk menjalankan aktiviti ziarah kolej yang mendapat halangan daripada pihak TNC HEPA sendiri.
Buat kali pertamanya, segala urusan pada PRK UM kali ini dijalankan menggunakan sistem atas talian atau online, iaitu e-penamaan, e-bantah, e-rayu dan e-voting.
Bagi kubu kuat Pro M pula, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengalami pertambahan bilangan kerusi di Kuliyyah Pendidikan serta tempoh masa kempen yang hanya boleh dimulakan sehari selepas penamaan calon dijalankan.
Mereka telah berjaya memperolehi 13 kerusi percuma daripada 26 kerusi yang dipertandingkan.
Sementara itu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pihak pentadbiran universiti kali ini membenarkan pelajar sarjana mengundi dalam pilihan raya kampus.
Tahun lalu, mereka (pelajar ijazah sarjana) tidak dibenarkan mengundi tetapi pada kali ini mereka dibenarkan mengundi tetapi tidak boleh menjadi calon.
Manakala, di kampus induknya, Skudai pula terdapat perubahan dalam Buku Syarat dan Peraturan Pilihanraya Kampus MPMUTM yang dikeluarkan sempena Pilihanraya Kampus UTM 2010/2011, di bawah topik ‘6.0 Peraturan Kempen Pemilihan MPM’ bernombor 6.1.7 ada menyatakan klausa berikut.
‘Berkempen melalui atau menggunakan Persatuan yang di bawah penyeliaan Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa adalah dilarang.’ perubahan peraturan tersebut membawa maksud universiti membenarkan mahasiswa bertanding secara berkumpulan, asalkan tidak menggunakan mana-mana persatuan atau kelab yang bernaung di bawah Hema (Hal Ehwal Mahasiswa) sebagai platform untuk bertanding.
Manakala di Universiti Sains Malaysia (USM) pula, didapati terdapat desas-desus yang menyatakan bahawa “ada mendengar ura-ura” satu kerusi akan diperuntukkan kepada pelajar Ijazah Sarjana untuk dipertandingkan.
Bagaimanapun ura-ura tersebut masih dalam pertimbangan Dewan Senat USM dan “sebelum ini tidak ada pelajar Sarjana yang mengundi dan menjadi calon” dalam pilihan raya kampus berkenaan.
Apapun juga yang bakal berlaku pada pilihan raya kampus kali ini, rakyat di luar yang mendengar dan memerhatikan perkembangan menerusi media massa tetap menantikan 'sesuatu' daripada kampus memandangkan golongan mahasiswa ini pernah dinobatkan sebagai 'jurubicara masyarakat' suatu ketika dahulu.
Jika 'darah muda' bisa menggoncang Mesir dan Tunisia, serta negara-negara Asia Barat lain, bagaimana pula dengan Malaysia? - begitulah persoalan yang bermain-main di kotak minda rakyat di negara ini.