Sabtu, 23 April 2011

1Malaysia Bukannya 1Islam - Perak Islam Lain, Negeri Lain Islamnya pulak lain...!!!

Majlis Fatwa benarkan poco-poco di negeri lain
April 22, 2011

SEPANG, 22 April — Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan untuk tidak menghalang tarian poco-poco di kalangan umat Islam selagi ia tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan, kata pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Sehubungan itu masyarakat Islam dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan badan itu sejak 2007 yang antara lain tidak melakukan ritual ibadat bukan Islam, menjaga pergaulan lelaki dan perempuan serta pakaian yang sesuai.

“Sekiranya tidak melanggar (peraturan ) maka tiada halangan. Malah kalau ia mendatangkan kebaikan kepada kesihatan, maka kita rasa tiada halangan kepada perkara itu,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan di sini.

Bagaimanapun Bernama Online memetik beliau berkata Majlis Fatwa Kebangsaan tetap menghormati keputusan Majlis Fatwa Perak untuk mengharamkan tarian itu seperti diumumkan muftinya Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh.

Pada 6 April lalu, Harussani memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau tidak akan menarik balik keputusan mengharamkan tarian poco-poco, sebaliknya bersedia untuk memberi penjelasan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Mufti Perak berkata Jawatankuasa Fatwa negeri itu membuat keputusan mengharamkan tarian poco-poco selepas membuat kajian dan penelitian mendalam.

“Saya bersedia (buat penjelasan), kita haramkan tarian poco-poco sebab kita dah siasat... kita dah kaji...kita dah teliti sebab itu kita haramkan kerana ia menyimpang dari ajaran Islam.

“Keputusan ini bukan keputusan main-main, kita tahu dan sedar apa yang kita buat, jika ada sesiapa yang tidak faham saya sedia jelaskan dan bersedia memberikan sebab kenapa ia diharamkan termasuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan,” kata Harussani.

Kata Harussani, Jawatankuasa Fatwa Perak telah mengambil kira sembilan asas, antaranya soal akidah dan kepercayaan umat Islam lebih penting daripada penjagaan kesihatan apabila memutuskan tarian poco-poco sebagai haram.

Sementara itu, Harussani yang turut menghadiri muzakarah itu ketika dihubungi berkata fatwa pengharaman itu dibuat selepas terdapat pertanyaan daripada persatuan Islam di Perak sama ada tarian itu patut diharamkan atau sebaliknya.

“Selepas itu kajian dibuat dan didapati ada unsur itu. Negeri-negeri lain tiada permintaan untuk mengkaji tarian itu sebab itu tiada fatwa mengenainya dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Shukor ketika diminta mengulas mengenai antara perkara utama yang dibincangkan pada muzakarah kali ini, beliau berkata ia termasuklah penggunaan vaksin ‘mencevax’ iaitu sejenis vaksin yang digunakan jemaah haji dan umrah sejak sekian lama.

“Jadi kita telah mengkaji dan mendapatkan pandangan pakar di mana selepas tahun 1997 penghasilannya lebih baik selain kos yang lebih munasabah. Kita setuju teruskan (penggunaannya) jika tiada gantian yang lebih baik daripada itu,” katanya.

Menurutnya terdapat juga permohonan daripada syarikat lain untuk membekalkan vaksin untuk jemaah haji dan umrah, yang sudah berada di pasaran selama dua tahun.

“Pada prinsipnya kedua-dua vaksin itu harus dan boleh digunakan. Tetapi kita mengutamakan vaksin pertama kerana ia sudah lama digunakan,” kata beliau.

Muzakarah tiga hari yang bermula 20 April turut membincangkan mengenai wang pampasan insurans konvensional yang tidak dituntut serta masalah wang khairat kematian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan