Selasa, 8 November 2016

ISU SALAF-KHALAF UMPAMA AIR DALAM BOTOL

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK
ISU SALAF-KHALAF UMPAMA AIR DALAM BOTOL

Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [Al-Baqarah:29]

Lafaz istawa ila sama' (menuju ke langit) menjadi khilaf dikalangan Ulama antara salaf dan khalaf. Ulama salaf adalah mereka yang hidup zaman Nabi, sahabat dan tabiin sehingga akhir kurun ke 3 hijrah. Zaman tersebut orang belum banyak berfikir. Zaman orang Islam belum terpengaruh dengan pemikiran luar. Jadi mereka hanya menerima zahir ayat. Kalau tuhan menuju ke langit, maknanya memang Dia tuju ke langit. Namun mereka tidak samakan tuhan dengan makhluk kerana Firman Allah SWT:
ليس كمثله شيء
Tiada yang sepertiNya sesuatupun
[As-Shura:11]

Ulama-ulama khalaf pula mentakwil ayat tersebut dengan erti kekuasaan Allah. Maknanya kuasaNya menuju ke langit untuk mencipta. Timbul pentakwilan sebegini kerana berada di zaman ilmu falsafah, orang banyak menggunakan akal sehingga sesat. Oleh itu ulama menggunakan ilmu falsafah untuk menerangkan hakikat sifat tuhan. Masanya ialah selepas kurun ketiga, selepas munculnya ulama seperti Asyairah, Maturidy dan lain-lain.

Malangnya hari ini masing-masing berbalah. Tuduh menuduh kamu salafi, kamu wahabi, Ibn Taimiah, Asyairah dan Maturidi dan macam-macam. Puncanya kerana tidak membaca akan sejarah ini.

Dulu sesama mazhab fiqh boleh berbeza akidahnya walaupun fiqhnya sama. Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal semuanya mengikut manhaj salaf kerana berada di zaman salaf. Mereka tak mentakwil ayat-ayat ini semua. Belum ada lagi sifat-sifat 20 dan sebagainya. Namun ulama mutaakhirin seperti Imam Ghazali, Imam Haramain, al-Juwaini yang datang kemudian pula bermazhab Asyairah dan Maturidi walaupun bermazhab Syafie. Mereka tak berbalah antara satu sama lain.

Yang jadi ribut hari ini umpama orang mengaji bab gajahlah. Mengaji gajah bahagian kaki saja. Terus kata gajah macam batang pokok. Yang mengaji gajah bahagian telinga, kata gajah macam kipas. Bila berbeza terus berbalah.

Ulama-ulama dulu tak berbalah sebab belajar secara menyeluruh. Belajar akidah dengan sejarahnya, belajar syariah dengan tarikh tasyriknya, tafsir dengan asbab nuzulnya.

Ulama sekarang pula jadi berbalah sebab belajar tak habis. Bila belajar tak habis, ilmunya sedikit. Bila sedikit ilmu, dia jadi macam botol yang ada air sedikit. Bila dikocak memang kuat bunyinya. Kalau dalam tin lagi kuat. Padahal tak ada apa pun.

Masjid Rusila
27 Muharram 1437
28 Ogos 2016

_(Alang Ibn Shukrimun)_

Telegram:
http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun
Facebook:
https://m.facebook.com/alangshukrimun/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan