Naib
presiden PKR N Surendran berkata serangan yang didakwa dilakukan polis ke atas
wartawan yang membuat liputan perhimpunan BERSIH 3.0 menunjukkan kerajaan tidak
ikhlas dalam meningkatkan kebebasan media.
Beliau mendakwa, pasukan polis dengan sengaja dan
secara sistematik menjadikan para wartawan sebagai sasaran serangan dalam
perhimpunan berlangsung semalam.
"Motif gangguan dan serangan fizikal ini adalah untuk
mengelakkan wartawan daripada merakam kekerasan, kegasan dan serangan polis ke
atas orang awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa dalam kejadian berkenaan, polis
melakukan penahanan ke atas wartawan daripada laman Malaysiakini, akhbar Guan
Ming dan juga Malay Mail.
Selain itu, polis juga merosakkan kamera dan merampas
rakaman daripada wartawan Nanyang, stesen TV Channel News Asia, Al Jazeera,
akhbar Makkal Osai dan laman Merdeka Review, dakwanya.
Dengan itu, beliau menuntut perdana menteri Najib Razak
bertanggungjawab ke atas "tindakan jenayah" ke atas petugas media
itu.
"Serangan yang diselaras sebegitu dan juga serangan
yang dialami tidak mungkin dijalankan tanpa arahan daripada pemimpin polis dan
menteri dalam negeri.
"Kami menuntut supaya Najib mengeluarkan jaminan segera
bahawa kerajaan BN akan menghormati kebebasan media dan menghentikan segala
campurtangan dengan media yang menjalankan tugas mereka,"
tambahnya.
Katanya lagi, serangan berkenaan melanggar peruntukan
yang menjamin hak kebebasan bersuara mengikut Perkara 10 dalam Perlembagaan
Persekutuan dan juga Perkara 19 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia
Sejagat.