Keistimewaan hak bukan maksud ‘Ketuanan Melayu’, kata bekas mufti Asri
Oleh itu kata Asri, ia berbeza dengan sekadar ungkapan ‘hak keistimewaan Melayu’ kerana bukan semua yang dapat keistimewaan itu lebih mulia atau tinggi berbanding orang lain.
“Mungkin seseorang diberikan keistimewaan disebabkan faktor kekurangannya ataupun kelebihannya. Maka, perkataan ‘keistimewaan’ tidak boleh disamakan dengan ketuanan,” kata beliau.
Sambil menegaskan bahawa istilah “Ketuanan Melayu’ kabur, kata Asri (gambar), tiada pentakrifan khusus kepada ungkapan tersebut yang menjadi polemik semula sejak hujung minggu lalu.
“Lagipun tiada ungkapan rasmi dalam perlembagaan. Maka adalah pelik untuk mana-mana pihak cuba mempertahankan ungkapan yang kabur dan tidak tentu maksudnya ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Isu itu menjadi polemik ekoran ucapan dasar Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail minggu lalu.
Namun, menurut Asri, jika merujuk kepada perkataan yang digunakan ia dari akar perkataan ‘tuan’ kepada ketuanan dan digabungkan dengan ‘Melayu’ dan bermaksud orang Melayu berada dalam status ‘tuan’ atau dalam bahasa Arab disebut siyadah.
“Jika merujuk kepada bahasa bererti orang Melayu sentiasa berada di atas, lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan ‘bukan Melayu’. “Jika hendak ditakrifkan maka bererti ‘kedudukan orang Melayu sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia,” katanya.
Bekas mufti ini menambah, jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka ia adalah iktikad salah dan menyanggahi ajaran Islam.
“Jika itu berlaku, ia boleh menyamai dakwaan Yahudi bahawa mereka ‘bangsa terpilih’.
Kebanggaan yang seperti ini ditolak oleh Islam,” katanya lagi. Asri juga berpendapat bahawa sesuatu bangsa jika mahu dipandang mulia, hendaklah membuktikan kemuliaan itu dalam realiti kehidupan mereka.
“Melayu, atau selain Melayu boleh menjadi mulia dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada keturunan atau atas nama bangsa semata,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan