Khamis, 9 Disember 2010

Masanya bagi UMNO lapar kelaparan...!!

Putrajaya jatuh, Umno akan lapar

Hazayani Zakaria 
KUALA LUMPUR, 9 Dis: Pemimpin Umno BN hendak mempertahankan Putrajaya bukan untuk rakyat, tetapi untuk suku sakat mereka yang sedang kehausan dan kelaparan, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.


Beliau mengulas gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Barisan Nasional bersungguh-sungguh mahu mempertahankan Putrajaya demi kepentingan rakyat dan negara di dalam taklimat strategi BN Selangor di Shah Alam hari ini.


Katanya, PAS berpandangan gesaan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Umno sebagai bayangan kerisauan yang wujud di wajah pemimpin Umno di semua peringkat.


Menurutnya, mimpi ngeri 8 Mac 2008 masih menghantui pemimpin Umno, mereka bimbang dengan peningkatan celik maklumat di kalangan rakyat, melalui kuasa media baru, terutama di kalangan genarasi muda.


Tambahnya, mungkin pemimpin Umno boleh menipu emak bapa mereka, tetapi kerja pencerahan maklumat akan dibuat oleh anak-anak mereka yang terpelajar.


Justeru, katanya Muhyiddin sepatutnya rasa malu, kalau alasan untuk mempertahankan Putrajaya kerana kepentingan rakyat.


Tambahnya, seantero dunia sudah tahu BN yang memerintah negara ini gagal menjalankan amanah dan mengkhianat kepada rakyat selama 53 tahun.


Sekarang, ujarnya kualiti hidup rakyat semakin menurun, kuasa membeli rakyat semakin rendah, semuanya gara-gara kegagalan Umno mentadbir negara.


“Sepatutnya Timbalan Presiden Umno kena beri motivasi kepada pemimpin Umno, kita kena pertahankan Putrajaya kerana perut kita semakin kempes, kerana lubuk emas dijaga oleh manusia bukan oleh puaka,” ujarnya.


Beliau turut membidas tuduhan Muhyiddin mengatakan “kalau Pakatan Rakyat memerintah, negara tidak aman, maju dan kukuh. Jangan percaya kepada janji-janji pembangkang, mereka cakap tidak serupa bikin”.


“PAS hendak sedarkan Muhyiddin beliau sedar atau tidak ucapan itu terkena kepada batang hidung Umno yang dipimpin oleh beliau bersama dengan Datuk Seri Najib.


“Bukankah pemimpin umno yang berkata pada 1 November 2010, minyak RON 95 tidak akan naik sehingga hujung tahun ini, tiba-tiba Disember 2010 RON 95 telah dinaikkan, siapa yang lidah bercabang?” soalnya.


Justeru, katanya PAS mengingatkan kepada rakyat Selangor terutamanya jangan berikan madat kepada BN dalam pilihanraya akan datang kerana jika BN menang segala bentuk kebajikan akan bertukar kepada penindasan.


Katanya, air percuma 20 meter padu setiap bulan, skim warga emas yang meninggal mendapat RM2,500 akan hilang.


Buktinya, kata beliau rakyat Terengganu sudah mengalami hari ini apabila BN memerintah Terengganu, cukai pintu di zaman PAS memerintah dikecualikan telah dikenakan kembali pada tahun 2004 apabila mereka kembali berkuasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan