Rabu, 15 Disember 2010

Syarikat Induk SYABAS, Puncak Niaga Pecat 17 Kakitangannya


Pekerja Puncak Niaga Yang Dipecat Berhimpun Tuntut Keadilan
Bekas kakitangan PNSB yang dipecat 30 Oktober lalu mengadakan perhimpunan secara aman di bangunan PNSB, Shah Alam. Mereka mendakwa tindakan memecat tersebut sebagai tidak adil dan tidak telus.

SHAH ALAM: Seramai 12 bekas pekerja Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) telah mengadakan perhimpunan aman berhampiran Ibu Pejabat Puncak Niaga di sini bagi membantah pemecatan mereka yang didakwa dibuat secara tidak adil dan telus.

Mereka yang berhimpun selama kira-kira satu jam itu mendakwa tindakan PNSB memecat 17 kakitangannya secara serta-merta tanpa alasan yang kukuh adalah satu bentuk penganiayaan dan meminta supaya nama mereka dibersihkan kembali.

"Perhimpunan hari ini diadakan bagi menuntut keadilan. Kami mahu nama kami dibersihkan dan kami diterima bekerja semula," kata bekas Pengurus Kanan Jabatan Operasi dan Penyelenggaraan PNSB, Kaharuddin Mohd Ali yang merupakan salah seorang daripada 17 kakitangan syarikat konsesi air Selangor itu yang dipecat.

Menurut Kaharuddin, semua kakitangan PNSB yang dipecat datangnya dari pelbagai jabatan.

Mereka yang terdiri daripada kakitangan eksekutif, bukan eksekutif dan pengurusan telah diberikan notis pemberhentian kerja 24 jam bertarikh 19 Oktober 2010.

Walau bagaimanapun, notis tersebut hanya diserahkan kepada mereka pada 30 Oktober berserta arahan meninggalkan syarikat serta-merta.

"Sebelum dipecat kami tidak pernah terima surat tunjuk sebab, surat amaran atau apa-apa tindakan disiplin mahu pun siasatan dalaman," katanya.

Dalam perhimpunan yang diadakan berhampiran bangunan PNSB yang terletak di Seksyen 13 Shah Alam itu, 12 bekas pekerja terbabit membawa sepanduk dan poster yang menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada ahli lembaga pengarah PNSB.

Antara yang dilaungkan menerusi sepanduk termasuklah 'Exco Puncak Niaga Kejam! Pecat Kakitangan Melayu Sesuka Hati', 'Kami Dianiaya Maruah Kami Tercemar' dan sebagainya.

Tiga adik-beradik pula membawa poster berbunyi 'Ayahku Teraniaya Dibuang Kerja'.

Tiga kanak-kanak ini turut memperjuangkan keadilan untuk bapa mereka.

Kaharuddin yang ditemui selepas perhimpunan itu berasa kesal kerana 15 daripada mereka yang dipecat terdiri daripada kakitangan berdisiplin, jujur dan komited dalam memberikan perkhidmatan.

"Kami dipecat secara tidak adil dan tidak diberi peluang untuk membela diri walaupun ada di antara kami yang telah berkhidmat selama lebih 15 tahun dengan syarikat ini," katanya yang telah berkhidmat dengan syarikat tersebut selama hampir 15 tahun.

Pada 8 Julai 2010, mStar Online telah menyiarkan berita awal berhubung pemecatan ini bertajuk 'Puncak Niaga Pecat Pekerja?'.

Laporan tersebut bagaimanapun telah ditarik balik pada 16 Julai 2010 setelah PNSB memberi kenyataan menafikan laporan tersebut.

"Pemecatan secara serta-merta pada 30 Oktober lalu telah membuktikan berita awal yang disiarkan mStar Online adalah benar dan sahih," kata Kaharuddin lagi.

Kaharuddin bersama rakan-rakan lain yang bernasib sama turut mendakwa pemecatan dilakukan tanpa mengikut prosedur yang betul dan tidak telus.

Empat sesi kaunseling dalam tempoh enam bulan dikatakan sebagai helah Exco PNSB bagi mengaburi pihak berkuasa untuk 'menghalalkan' tindakan mereka.

"Sesi kaunseling tersebut hanyalah berbentuk temubual. Kami juga dipaksa menandatangani Borang Penilaian Kaunseling yang tidak diketahui apa ulasannya tanpa diberikan walau satu salinan," katanya.

Hadir sama pada perhimpunan tersebut ialah Setiausaha Pejabat ADUN Kota Damansara, Sivaran Arumugam.

Pada 21 Disember ini, satu pertemuan akan diadakan di antara kakitangan PNSB yang dipecat itu dengan pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor bagi menuntut keadilan berhubung perkara ini.

Sementara itu, pihak media cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak PNSB berhubung perkara ini tetapi gagal.

Pihak petugas dan polis bantuan kelihatan mengawal pintu masuk bangunan tersebut dan tidak membenarkan wartawan dan jurugambar memasuki perkarangan bangunan PNSB selepas perhimpunan berlangsung. -mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan