Isnin, 3 Januari 2011

Hantu "Pilihanraya Umum Ke-13" Bagi Pakatan Rakyat Dan Barisan Nasional




BANYAK petanda semasa menjurus kepada pilihan raya umum diadakan lebih awal daripada tempoh sah Parlimen.

Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak telah mula menghidangkan sajian-sajian PRU seperti cuti umum merayakan kemenangan pasukan bola kebangsaan dalam pertandingan Piala AFF Suzuki dan bayaran khas kepada peneroka Felda serta pelantikan baru dalam Umno.

Sebelum itu kerajaan mengumumkan penangguhan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang begitu hebat dipromosikan beberapa bulan lalu.

Dikhabarkan juga yang dalam masa beberapa hari lagi beliau akan bersidang dengan semua Wakil Rakyat Barisan Nasional bagi mendapatkan maklum balas mengenai sentimen rakyat jelata terhadap pemerintahannya.

Dari aspek undang-undang, PRU tidak perlu diadakan hingga Mac 2013 atau lewat daripada itu setelah mengambil kira tarikh PRU ke-12, tarikh persidangan pertama Parlimen dan hakikat bahawa PRU boleh diadakan dalam masa 60 hari selepas tamat tempoh Parlimen.

Namun daripada gaya percakapan pemimpin politik, sama ada pemerintah atau pembangkang, PRU ke-13 akan diadakan jauh lebih awal daripada itu.

Ada ramalan mengatakan seawal Mac tahun ini kerana Mohd Najib mahukan mandatnya sendiri dan angka 11 adalah nombor “bertuah” beliau, lantas kenderaan bermotornya berangka plat 11.

Alasan yang lebih serius ialah keyakinan beliau bahawa BN sudah cukup pulih dan bersedia untuk menghadapi pengundi.

Ramalan ini dikukuhkan oleh keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno 30 November lalu yang menangguhkan selama 18 bulan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung tahun ini.

Ini diikuti oleh pelantikan Pengerusi Perhubungan Umno bagi negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu.

Walaupun Mohd Najib cuba meredakan spekulasi dengan mengatakan penangguhan pemilihan Umno bukannya perkara luar biasa kerana ia dibenarkan perlembagaan dan pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini, namun ramai yang tidak yakin.

Kemudian, ketika bercakap kepada wartawan Malaysia di Phnom Penh pada 2 Disember lalu, Mohd Najib berkata PRU akan datang akan menjadi “hari penentuan” bagi BN.

Mesej Perdana Menteri yang lebih utama adalah kelangsungan BN sebagai parti peneraju pemerintahan. Katanya, sama ada PRU diadakan awal atau lewat, keputusannya kelak akan menjadi petanda kelangsungan BN.

Petanda PRU Mengejut

Daripada tanda-tanda yang semakin banyak muncul, Perdana Menteri nampaknya tidak akan menunggu sehingga saat akhir untuk mengadakan PRU atas sebab-sebab berikut:-

1. Beliau yakin kedudukannya cukup kuat untuk mengharapkan prestasi lebih baik daripada PRU 2008;

2. Beliau mahu mengambil kesempatan daripada “kebaharuan” kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk merayu diberi peluang memerintah dengan mandat sendiri;

3. Beliau yakin beliau boleh mengulangi rekod Perdana Menteri sebelum beliau yang semuanya menang besar dalam PRU pertama masing-masing;

4. Beliau yakin perubahan kepemimpinan parti-parti komponen utama BN – MCA dan MIC – mula mengembalikan sokongan bukan Melayu;

5. Beliau yakin segala dasar, pelan dan projek yang beliau perkenalkan mula berhasil dan mendapat sokongan rakyat jelata;

6. Beliau tidak mahu tunggu lama kerana bimbang suasana ekonomi yang semakin cerah sekarang tidak mampu bertahan lama. Seperti diumumkan, kadar pertubuhan kasar ekonomi suku tahun telah mula menurun; dan

7. Beliau mahu mengambil kesempatan daripada suasana yang tidak menentu dalam parti-parti Pakatan Rakyat, khasnya Parti Keadilan Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan