Tidak sesiapa akan terkejut jika Barisan Nasional mengekalkan kerusi DUN Merlimau dan Kerdau pada pilihanraya kecil kali ini. Keputusan dijangka diumumkan pada kira-kira pukul lapan malam nanti.
Namun, dalam mengimbau kempen yang dijalankan oleh Umno di Merlimau dan Kerdau, persoalan yang pasti bermain di ruang fikiran pengundi, ahli politik dan wartawan adalah kenapa Umno masih “bertungkus lumus” menjalankan kempen sebegitu rupa untuk mencari kemenangan mutlak.
Kedua-dua pilihanraya kecil kali ini dicemari dengan budaya samseng. Di Merlimau kereta penyokong yang hadir mendengar ceramah Pakatan Rakyat dipecahkan. Di Kerdau golongan tertentu membaling batu kenderan yang dinaiki Anwar Ibrahim.
Segala perlakuan itu diselang seli dengan kempen Umno yang berpaksi kepada projek-projek mi segera dan ceramah yang menyerang keperibadian pemimpin PR.
Malah ada NGO 1 Malaysia menganjur majlis makan percuma dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik.
Tentunya tidak ada pihak akan membantah jika Umno, MCA dan MIC menggunakan duit sendiri untuk menabur janji dan membiayai kempen mereka bagi mengekalkan kekuasaan politik.
Namun, hakikat adalah setiap projek yang dijanjikan , (jika dilaksana) mengguna duit rakyat, bukannya duit parti politik yang bertanding.
Namun Umno-BN tidak perlu bimbang atas isu moral ini.
Suruhanjaya Pilihanraya menghalalkan sogokan sedemikian. Justeru terbuka luas lah ruang untuk Umno-BN meneruskan amalan menabur gula-gula politik untuk menang besar pada setiap pilihanraya kecil.
Ramai akan bersetuju bahawa bukan pilihanraya umum yang menjanjikan “kebahagiaan” untuk rakyat di negara ini.
Jika rakyat mahukan kemudahan awam, wang tunai, hak milik tanah, jalan bertar dan sebagainya, maka kuncinya ialah berdoa supaya diadakan pilihanraya kecil di kawasan mereka.
Ini kerana untuk tempoh seminggu atau 10 hari berikutnya, seluruh jentera BN dan media arus perdana akan bertumpu untuk mengisi segala ‘mimpi” dan kehendak pengundi.
Pada pilihanraya kecil Batu Sapi, penduduk diberikan zink baru untuk bumbung rumah sehari sebelum keluar mengundi. Di Tenang, pengundi di berikan sampul surat dengan wang di dalamnya.
Di Hulu Selangor, peneroka Felda (di kawasan itu sahaja) dijanjikan wang RM50,000 setiap orang.
Setiap pilihanraya kecil - dahulu dan sekarang - diwarnai dengan janji-janji dan projek mi segera sogokan Umno-Barisan. Kerdau dan Merlimau tidak terkecuali.
Namun segala sogokan itu tidak dapat menutup mata pengundi kepada rasuah, penyelewengan kuasa yang berlaku, sama ada di Melaka dan Pahan mahupun di Putrajaya.
Segelintir daripada pengundi Merlimau dan Kerdau akan tetap memangkah calon PAS hari ini, kerana mereka mahukan pemerintahan yang adil dan amanah pada setiap masa, bukannya untuk tempoh pilihanraya kecil sahaja.
Mereka sanggup menghantar mesej tegas kepada Umno walaupun tahu, selagi menjadi pembangkang, keupayaan PAS dan Pakatan Rakyat agak terhad.
Demi golongan pengundi inilah, maka Pakatan Rakyat tidak boleh berputus asa untuk membela rakyat, sama ada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak.
Perselisihan dalaman harus dibendung, saf dirapatkan dan kekangan sumber diatasi.
Ini amat penting untuk membolehkan Pakatan mendokong suara rakyat yang semakin mual dengan politik sogokan atas nama membela agama, bangsa dan negara pada setiap pilihanraya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan