Jumaat, 25 Mac 2011

Cadangan Loji Nuklear: GAMIS usul memorandum 100 soalan

1. Mahasiswa menyambut baik cadangan kerajaan Malaysia melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)Malaysia untuk membangunkan janakuasa nuklear di Malaysia.

2. Sememangnya mahasiswa mengakui manfaat yang diperoleh hasil daripada perkembangan teknologi ini yang mana boleh memberi penjimatan kos janakuasa elektrik jangka masa panjang di samping meningkat kualiti tenaga yang dihasilkan.

3. Namun begitu, dalam memastikan perkembangan kemajuan yang ingin dicapai, hendaklah diingat akan risiko yang bakal dihadapi oleh jutaan rakyat Malaysia secara amnya. Hal ini kerana mahasiswa menyedari akan permasalahan utama yang sering dipersoalkan ialah berkaitan isu keselamatan rakyat dan implikasi tenaga radioaktif ini ke atas Rumah Hijau.

4. Oleh itu mahasiswa berpendirian untuk menggesa kerajaan untuk meneliti beberapa perkara :

(i) Mahasiswa menggesa kerajaan melalui kementerian yang berkaitan untuk mewujudkan elemen-eleman penerangan terus kepada rakyat sama ada melalui media rasmi kerajaan mahupun penerangan menerusi pendidikan secara formal. Ini termasuklah memberi laporan yang lengkap mengenai projek ini dan dibentangkan secara telus termasuklah implikasi dan konsekuensi bencana loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi.
Sumber: Reuters
(ii) Mahasiswa juga bersedia untuk menjadi agen penerangan alternatif kepada rakyat sekiranya kerajaan bersedia untuk memberi penerangan lanjut mengenai teknologi ini. Penerangan ini perlu untuk memastikan rakyat benar-benar memahami sepenuhnya cadangan loji nuklear ini oleh kerajaan.

(iii) Mahasiswa menggesa pihak kerajaan agar memulangkan segala keputusan berhubung cadangan loji ini sepenuhnya kepada rakyat. Hal ini kerana selain daripada manfaat yang bakal diterima oleh negara, rakyat juga berhadapan dengan risiko luar jangka yang boleh berlaku seperti di negara Jepun. Oleh itu, sememangnya kuasa pemutus untuk menentukan sama ada negara memerlukan tenaga nuklear atau tidak perlu diserahkan kepada rakyat.

(iv) Mahasiswa menggesa pihak kabinet untuk mengambil kira kehendak rakyat sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengelakkan terbentuknya dasar yang akan membelakangkan rakyat seperti isu pembentukan dasar PPSMI dan isu pengekalan agama anak-anak yang baru lahir.

Sehubungan dengan itu, Gabungan mahasiswa Islam Se-malaysia (GAMIS) akan mengusulkan memorandum 100 soalan yang perlu dijawab oleh kementerian yang berkaitan berhubung cadangan pembinaan loji nuklear ini. Soalan-soalan ini merupakan persoalan lazim yang sering ditimbulkan oleh rakyat kebanyakan dan perlu dijawab segera oleh pihak kerajaan. Mahasiswa menuntut agar jawapan kepada 100 soalan ini perlu dijawab dalam sidang dewan rakyat yang akan datang.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia juga akan melancarkan skuad khas penerangan bagi memperjelaskan isu ini kepada rakyat. Skuad ini akan bertindak sebagai agen penerangan seterusnya mengumpul suara rakyat berhubung isu cadangan pembinaan loji nuklear ini. Diharapkan dengan himpunan suara rakyat tersebut akan dapat memberi mesej jelas kepada kerajaan mengenai kehendak rakyat dalam isu ini.

Diharapkan dengan memorandum ini, pihak kerajaan dapat membuat tindakan yang terbaik berhubung isu loji nuklear demi masa depan negara dan kesejahteraan rakyat.

*Kenyataan media oleh Ahmad Syukri Ab Razab (gambar kiri) selaku Pengerusi Majlis Politik nasional (MPN) dan Gabungan mahasiswa Islam Se-malaysia (GAMIS).

http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=11668

Tiada ulasan:

Catat Ulasan