Selasa, 1 Mac 2011

MB Pahang diminta jawab

26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH - Pas mendesak Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob tampil memberi penjelasan berhubung laporan Ketua Audit Negara tahun lalu yang menyebut Kerajaan Negeri hilang sumber pendapatan sebanyak RM227.9 juta.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, laporan itu sekali gus menunjukkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri yang sangat nyata.

Menurutnya, isu ini juga menunjukkan terdapat banyak 'modal' yang boleh dibangkitkan oleh Pas pada kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau yang sedang berlangsung, sekali gus menepis tanggapan sesetengah pihak bahawa parti itu ketandusan isu.

"Kita hairan kerana dalam suasana anak-anak syarikat Kerajaan Negeri mengalami kerugian, menteri besarnya masih mengharapkan 50 peratus daripada keuntungan GLC disumbangkan kepada Kerajaan Negeri," katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Pas Kerdau berkata, apa yang berlaku juga seakan-akan mengiyakan telahan pakar ekonomi bahawa Kerajaan Negeri berpotensi bankrap.

"Ia berlaku kerana empat syarikat GLC itu gagal membayar pinjaman mengikut jadual," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, laporan itu juga mendedahkan bahawa tidak wujud peruntukan dalam perjanjian yang membolehkan Kerajaan Negeri mengambil tindakan terhadap GLC apabila mereka gagal membuat bayaran balik.

“Rakyat Pahang harus ingat bahawa Kerajaan Negeri telah mengalami defisit belanjawan selama 13 tahun dan kini menanggung hutang RM2.17 bilion,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, Pas menuntut Kerajaan Negeri mendedahkan prestasi semasa GLC sebagaimana dilakukan oleh negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat. SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan