Isnin, 28 Mac 2011

Perkongsian kuasa Azizan faktor ‘Kedah Sejahtera’


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg83YKALRkKOfBn3WN7_Q08MMz5SsjcEcA2NBLdvRwd5tfonWz4fTtif8nki-79iky9ZgDQj4lGW7efsaUdR6RAo1yTo0h_FVFC3Pqy_DuoGdpJrWHtjtQucJtAJX_82elJOaoczls2so72/s1600/kedah%2520sejahtera%25202.png
ALOR SETAR - Pendekatan perkongsian kuasa yang diamalkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam mentadbir Kerajaan Negeri dikenal pasti antara faktor utama Kedah dianggap sebagai lebih sejahtera dan aman.

Ahli Exco, S Manikumar berkata, pendekatan yang lebih dikenali ‘approach power sharing’ itu pada mulanya ditentang kebanyakan orang termasuk segelintir pemimpin dalam PR sendiri kerana ‘tersalah faham’ tetapi mereka mula menyedari hasil positif setelah tiga tahun diamalkan.

Menurutnya, pendekatan perkongsian kuasa merujuk kepada tiga entiti yang menerajui dan mentadbir Kedah iaitu institusi diraja, pembuat dasar iaitu Menteri Besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai kerajaan dan pelaksana dasar iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan pegawai Kerajaan Negeri (KSC).

“Secara profesional, Azizan dapat meletakkan ketiga-tiga entiti ini secara berasingan dan menjadi peneraju ke arah hala tuju yang positif.

“Banyak orang pada mulanya menyalahkan Azizan dan mendakwa beliau terlalu berlembut dengan KCS sekiranya sesuatu isu timbul, sedangkan tindakannya adalah betul dan di bawah undang-undang negeri,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian.

Manikumar berkata, Kerajaan Negeri ditunjangi Pakatan Rakyat (PR) perlu mewujudkan revolusi minda dalam kalangan rakyat Kedah bagi membolehkan mereka lebih profesional dalam menilai sesuatu tindakan atau isu yang timbul.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat sebahagian rakyat negeri ini yang terus menuding jari ke arah Menteri Besar dan Exco Negeri sekiranya terdapat masalah melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri.

“Saya ambil contoh penguatkuasaan sampah yang sebenarnya merupakan tugasan harian PBT melalui Akta Kerajaan Tempatan 171 dan 172.

“Bagaimanapun, sekiranya masalah melibatkan penguatkuasaan sampah, Menteri Besar perlu merujuk tindakan di bawah akta terbabit terlebih dahulu dan bukannya boleh ‘ketuk’ kepala PBT secara semberono. Inilah antara perkara penting yang ramai orang tidak tahu,” katanya.

Manikumar berkata, sehingga kini hubungan Kerajaan Negeri dengan KCS juga semakin baik dan pelbagai perancangan sudah dapat dilaksanakan hasil daripada sistem politik terbuka diamalkan Azizan.

“KCS kini sudah menyedari fungsi sebenar mereka untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Kerajaan Negeri dan saya yakin hubungan semakin intim ini mampu memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerajaan Negeri hanya boleh bergerak apabila disokong tiga tulang belakang utama (institusi diraja, Kerajaan Negeri dan KCS) yang bergerak seiring. Kekalkan hubungan sedia ada, slogan Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua bakal menjadi realiti suatu hari nanti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan