Selasa, 26 April 2011

Kes Ahmad Sarbani: Laporan Siasatan Ke AG, PAS Tawar Bantuan Guaman

PAS melalui Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat telah menziarahi keluarga allahyarham Ahmad Sarbani Bin Mohamad di kediamannya di Kelana Jaya semalam.

Kunjungan ini dimulakan dengan bacaan tahlil ringkas yang dikendalikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Nasruddin Hassan At-tantawi bersama ahli keluarga allahyarham dan 30 orang ahli dan masyarakat setempat turut hadir sama dalam kunjungan tersebut.
Ahmad Sarbani meninggal selepas dikatakan jatuh dari tingkat empat bangunan SPRM Kuala Lumpur selepas beliau ke pejabat itu baru-baru ini. Ekoran itu pelbagai andaian dibuat bagaimana beliau jatuh dan meninggal.

Sebelum ini, para pemimpin kanan PAS turut menziarahim keluarga beliau bagi mengucapkan takziah atas kejadian itu.

Nasruddin mengucapkan takziah kepada balu allahyarham Sarbani (Puan Maziah Bt. Manap) serta keluarga dalam insiden dan memohon agar terus bersabar dalam menempuh hidup.

Nasruddin berkata, “Kita dari Dewan Pemuda dan rombongan yang hadir mengharap dan berdoa agar puan sekeluarga diberikan ketenangan dan keadilan yang sebenar.

“Kita juga telah bersetuju untuk menyediakan khidmat guaman bagi membela Allahyarham serta kos guaman tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh Dewan Pemuda PAS Pusat,” tambah Nasruddin lagi.

Wakil keluarga yang juga merupakan adik kepada Allahyarham (Hussin bin Mohamad) turut berterima kasih atas kesudian PAS untuk datang mengujungi keluarga mereka dan bersama-sama membantu mereka untuk mencari keadilan bagi keluarga mereka.

Apabila ditanyakan apakah tindakan yang bakal dilakukan oleh pihak keluarga dalam kes tersebut, Maziah mengatakan masih menunggu hasil siasatan selesai.

“Kami masih menunggu siasatan polis sehingga selesai dan selepas itu kita akan buat tindakan hasil dari keputusan siasatan tersebut,” kata Maziah yang telah berbincang dengan peguamnya yang juga merupakan abang iparnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh juga turut memberikan sokongan kepada balu Allahyarham serta keluarga agar lebih cekal dan bersabar.

Dewan Muslimat juga bersedia untuk menyalurkan kebajikan dan membantu bagi meringankan bebanan keluarga allahyarham yang telah meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.

Tiga daripada mereka masih lagi belajar di sekolah.

Di akhir pertemuan tersebut sedikit sumbangan juga telah disampaikan kepada keluarga Allahyarham oleh Ustaz Nasruddin dan juga Ustazah Nuridah mewakili kedua-dua dewan.

Kunjungan malam tadi turut dihadiri oleh Ustaz Hasbullah Ridwan (Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor) dan Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan (Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor) serta exco-exco kedua-dua dewan. -HD

Kes Sarbaini: Polis sudah serah A-G laporan siasatan

KUALA LUMPUR, 25 April — Polis sudah menyerahkan laporan siasatan berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbaini Mohamed di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kepada Pejabat Peguam Negara, Jumaat lalu.

Laporan Bernama Online memetik Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah mengesahkan perkara itu.

“Kami sudah berpuas hati dengan hasil siasatan yang dibuat dan sudah melengkapkannya, kami sudah hantar kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Khamis lalu, Zulkifli berkata meninggal dunia kerana kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM di Jalan Cochrane, 6 April lalu.

Justeru kata beliau terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM setelah dilapor ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam. -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan