Zunar, kartunis politik yang pernah ditahan polis telah dipilih untuk menerima anugerah CRNI 2011 Award for Courage in Editorial Cartooning, oleh satu badan yang mewakili kartunis editorial sedunia, Cartoonists Rights Network International (CRNI). Beliau bakal menghadiri majlis penyampaian anugerah tersebut yang akan diadakan di St. Petersburg Florida, Amerika pada 7 Julai 2011.
Zunar, atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Haque (gambar kiri) pernah ditahan polis pada 24 September 2010, sebelum koleksi kartunnnya "CARTOON-O-PHOBIA" dilancarkan pada malam tersebut. Malah, koleksinya "1 Funny Malaysia" dan beberapa terbitan majalah jenaka kelolaannya turut diharamkan dari pasaran, menjurus kepada tindakan undang-undang oleh Zunar dan Malaysiakini (penerbit koleksi kartun Zunar) terhadap Kementerian Dalam Negeri atas keputusan tersebut.
Pada Disember 2010, Pengarah Eksekutif CRNI, Robert Russell meminta Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein untuk menggugurkan semua dakwaan terhadap kartunis Zunar. Malah, CRNI menyaran agar buku kartunnya diterbit dan diedarkan tanpa sekatan, untuk menunjukkan bahawa Malaysia terbuka dan jujur dalam proses demokratiknya.
Zunar menjadi kartunis terkenal semasa zaman Reformasi, dengan karyanya yang menyindir pemerintahan kerajaan Mahathir Mohamad ketika itu. Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang lidah Parti Keadilan Rakyat, iaitu Suara Keadilan, sebelum menubuhkan cartoon cafe pada tahun 2009, antara usahanya adalah penerbitan majalah jenaka alternatif, berjudul Gedung Kartun.
Bagaimanapun, beliau bersama pasukan editorialnya terpaksa mengharungi rintangan dan halangan yang pelbagai dari pihak Kementerian Dalam Negeri, tetapi tetap mengeluarkan kata-kata bersemangat, "Saya akan terus berkartun hingga titisan dakwat terakhir."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan