Khamis, 5 Mei 2011

Umno sekongkol dengan MCA anti-Islam - Pemuda PAS

KUALA LUMPUR, 5 Mei — Di sebalik pelawaan Datuk Seri Najib Razak PAS sertai BN, Pemuda PAS menuduh Umno terus bersekongkol dengan MCA, yang menurutnya anti-Islam ekoran desakan agar parti Islam itu menggugurkan dasar negara Islam jika mahu menyertai perikatan itu.

Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan berkata, kata sindir dan sinis orang Melayu seperti “kuman di seberang mereka nampak jelas, namun malang gajah di hadapan langsung mereka tidak nampak” adalah sangat tepat untuk dikirim secara terhormat kepada Umno dan seluruh kepimpinannya.

“Ia bertujuan untuk menginsafkan Umno bahawa dulu dan kini, harap tidak selamanya, mereka bersekongkol dengan MCA sebuah parti cauvanis yang anti-Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Ketua Pemuda itu berkata, sebelum ini Presiden MCA Dr Chua Soi Lek pernah menghina Islam secara terbuka dengan menganggap kononnya Malaysia sebagai negara Islam tidak progresif, mengamalkan rasuah, miskin dan mundur.

“Sementara Umno dan pemimpinnya tidak berbuat apa-apa terhadap kenyataan yang sarat dengan penghinaan terhadap Islam dan ummatnya,” kata beliau.

Nasrudin seterusnya berkata sewaktu berkempen ketika pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang menghadapi pilihan raya kecilnya awal tahun ini, Dr Chua sekali lagi menunjuk sikap anti-Islam apabila memperkecil dan mempersenda langkah calon PAS Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki ajnabi sebagai kolot dan ketinggalan zaman.

“Umno dan pemimpinnya bukan sahaja tidak memberi gambaran jelas mengenai Islam kepada MCA tetapi juga tidak pernah mengambil tindakan tegas untuk membendung perkara seumpama itu berulang,” kata beliau lagi.

“Terbaru, saat Presiden Umno dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib menyelar PAS kononnya langkah yang diambil oleh PAS untuk bersama dengan DAP hanyalah akan merugikan Islam, di samping melemparkan tuduhan kononnya PAS telah menggadai prinsip perjuangan Islam dan memujuk supaya PAS menyertai BN, tiba-tiba lantang suara Presiden MCA memberi amaran kepada PAS agar tidak memperjuangkan Islam dan cita-cita menegakkan negara Islam jika mahu menyertai Barisan,” katanya lagi.

Sambil berkata “terkedu dan bungkam sejuta bahasa Datuk Seri Najib dek penangan Chua Soi Lek”, tegas beliau, amaran ketua MCA itu tidak dilihat hanya kepada PAS tetapi lebih dekat ia dituju kepada Najib sendiri agar tidak mendekati PAS.

“Usahlah Umno risaukan PAS bersama Pakatan Rakyat,” katanya beliau.
Sehubungan itu tegas beliau, Umno wajar memberi tumpuan kepada MCA sebagai kompenan BN yang lantang menentang Islam.

“Rawatan segera mesti diberikan oleh Umno kepada MCA yang kini sedang mengalami radang Islamofobia yang serius.

“Usah larikan diri dari realiti lalu melemparkan tuduhan pada pihak yang lain demi menyembunyikan kelemahan sendiri,” katanya lagi.

Menurut Nasrudin, bukan sahaja MCA yang sangat anti-Islam, kelihatan Umno sendiri tidak jelas fahaman dan sikapnya terhadap Islam.

“Lebih kurang 50 tahun Umno bersama MCA, nyata Umno masih gagal untuk memahamkan MCA mengenai Islam.

“Kalaupun mereka tidak menerima Islam, sekurang-kurangnya MCA tidak berlaku biadab dan kurang ajar terhadap Islam dengan mempersendakannya di khalayak,” kata Nasrudin lagi.

Ketua Pemuda ini juga meansihatkan para pemimpin Umno agar tidak lagi menyibukkan diri mereka dengan urusan rumah tangga orang lain dan tidak pula menyukarkan hidup mereka dengan mengatur rancangan jahat bagi mencerai beraikan “rumah tangga orang.”

“Ambillah masa yang berkualiti ini untuk memberi ilmu dan mendidik ahli keluarga (kompenan) sendiri dan apa yang paling penting ialah masa untuk diri sendiri dekat kepada Islam dan perjuangannya,” katanya lagi.

themalaysianinsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan