Selasa, 14 Jun 2011

Berkenalan Dengan PJ PAS Selangor: Hajat Sembelih Kambing Tak Sampai

Dr Rani hargai kepercayaan, anggap pikul amanah berat

SHAH ALAM - Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abd Rani Osman menyifatkan pelantikannya sebagai Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor yang baru sebagai satu amanah berat untuk dipikul.

Menurutnya, beliau sebelum ini telah menolak tawaran untuk menggantikan Exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan bernazar jika tidak pilih.
Namun menurutnya, beliau terpaksa memikirkan semula tawaran tersebut setelah beberapa ulama parti menasihati beliau untuk menerima jawatan jika telah dipilih sebulat suara oleh pimpinan pusat.

”Saya sendiri telah bernazar untuk sembelih kambing jika tidak dipilih sebagai pesuruhjaya Pas negeri, kerana saya melihat ia sebagai satu amanah berat untuk dipikul.

”Namun, kini semua terpulang kepada pucuk pimpinan parti, saya akan menunggu surat rasmi pelantikan tersebut sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, sekiranya dipilih menjadi pesuruhjaya negeri, beliau akan memastikan misi utama mengekalkan Negeri Selangor di tangan Pakatan Rakyat (PR) tercapai.

Menurutnya, beliau akan berbincang dan bekerjasama dengan kesemua pemimpin Pas negeri khusus dalam persediaan pilihan raya kali ini.

”Saya menganggap salah satu tugas yang berat untuk dipikul adalah untuk membawa Pas Selangor menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

”Namun, saya berpendapat kesemua keputusan berhubung pilihan raya, perlu diputuskan oleh kesemua ahli jawatankuasa negeri termasuklah timbalan pesuruhjaya negeri, setiausaha, bendahari dan lain-lain,” katanya. -SH

BIODATA DR. ABD. RANI BIN OSMAN

UMUR : 50 TAHUN
ASAL : PELABUHAN KLANG
MENETAP : KAPAR, KLANG
KELAYAKAN AKADEMIK : IJAZAH PERUBATAN, UNIVERSITY TANTA, MESIR
PEKERJAAN : DOKTOR
PENGALAMAN KERJAYA : HOSPITAL BESAR KUALA LUMPUR
JAWATAN DI DALAM PARTI : YANG DIPERTUA PAS KAWASAN KAPAR, NAIB PRESIDEN YAYASAN AMAL MALAYSIA

Tuan Dr. Haji Abdul Rani bin Osman adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi DUN N42 Meru, Selangor.

Pilihan Raya Umum 2008

Pada pilihan raya umum yang lepas, beliau telah bertanding di atas tiket Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melawan calon dari Barisan Nasional (BN) Md. Ghazali Md Amin. Keputusan pilihan raya tersebut telah memihak kepada beliau :-

* Dr. Abdul Rani Osman (PAS) (14,826)
* Md. Ghazali Md. Amin (BN) (9,313)
* Majoriti : (5,513)
* Jumlah Undi : (24,478)
* Peratus Mengundi : (82.29%)
* Undi Rosak : (339)

Kerjaya

Sebelum beliau turun ke kancah politik, beliau merupakan seorang doktor perubatan dan mempunyai sebuah klinik swasta di Pekan Meru iaitu Klinik Fitrah. Beliau yang berkelulusan M.B.CH.B (Ijazah dalam bidang Perubatan) dari Tanta Universiti Republik Arab, Mesir telah membuka klinik tersebut semenjak sekian lamanya dan bertempat di Batu 6 1/2, Pekan Meru, Klang, Selangor.

Perkhidmatan yang beliau sumbangkan amat dirasai dan dihargai penduduk Meru. Kini, klinik beliau diselia oleh beberapa orang doktor gantian dan pelatih justeru beliau kini merupakan seorang wakil rakyat.

Mesra rakyat

Selain mendekatkan diri beliau dengan penduduk Meru, Selangor melalui perkhidmatan perubatan, beliau juga merupakan seorang imam di Masjid Asy-Syarif, Meru. Kerap kali dalam beberapa minggu, akan kedengaran suara beliau membaca khutbah Jumaat di masjid dan mengimamkan solat tersebut. Beliau juga sering mengikuti program-program anjuran masjid yang mana secara tidak langsung menjadi seorang tokoh yang islamik dan sistematik.

Beliau juga kerap memenuhi jemputan penduduk untuk memeriahkan majlis kenduri mahupun perkahwinan tanpa mengira agama dan bangsa. Kelibat beliau juga sering dilihat memberi bantuan kepada penduduk Meru yang memerlukan. Rata-rata penduduk Meru amat berpuas hati dengan kepimpinan beliau tanpa mengira parti yang beliau naungi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan