Selasa, 28 Jun 2011

Jantan Tak Jantan, Laksanakan Dahulu Tuntutan BERSIH!

Laksana Dahulu Tuntutan Bersih, Baru "Anak Jantan" - Dr. Nasir

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak perlu ada keberanian terlebih dahulu untuk menunaikan segala tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih 2.0, jika mahu mencabar Pakatan Rakyat bersaing di arena itu pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim yang juga bekas tahanan Bersih 1 pada 2007, Najib sepatutnya hanya mencabar Pakatan Rakyat bertanding selepas beliau melaksanakan gesaan rakyat di bawah gabungan pertubuhan badan bukan kerajaan di negara ini yang mahukan pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini.
" Kalau kita lihat semua tuntutan Bersih, ia adalah tuntutan yang memang semua orang mahukan untuk dapatkan pilihan raya yang adil.

" Kalau ini dapat kita laksanakan, lepas itu kita boleh berlawan (secara adil). Sekarang ini kalau pilihan raya memang berat sebelah. Cuba kita lihat tuntutan Bersih itu, boleh mereka kata tidak mahu.. Kalau mereka tak mahu, maknanya mereka tak mahu pilihan raya yang bersih," kata Dr Nasir merujuk kepada pendirian Najib dan rakan-rakannya dalam Umno-Barisan Nasional(BN).

Semalam Najib mencabar Pakatan Rakyat untuk berdepan dengan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 sebagai "anak jantan" dan bukan turun di jalanan untuk mengadakan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Dakwa Najib, himpunan Bersih 2.0 bukan bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tetapi bertujuan mahu menimbulkan huru-hara dalam negara.

“Waktu pilihan raya, kalau anak jantan yang sebenar bila pilihan raya, bertandinglah . . . kalau berani, kalau bukan anak jantan buatlah di jalanan dan berdepan dengan undang-undang,” Najib dipetik sebagai berkata ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk di Kuala Lumpur, semalam.

Najib juga turut memberi amaran bahawa beliau akan mempertanggungjawabkan segala insiden pada hari berkenaan kepada Pakatan Rakyat dan mereka yang menyertai perhimpunan berkenaan akan menerima "akibat" dari perbuatan itu.

Melihat kepada pendirian Najib dan tindakan polis mutakhir ini menahan sesiapa sahaja yang memakai pakaian berwarna kuning terutamanya yang mempunyai logo Bersih jelas mencerminkan ketakutan yang begitu memuncak dalam jiwa pemimpin negara itu.

" Najib sekarang ini memang paranoid, takut pada bayang-bayang sendiri. Nampak orang baju kuning pun tak boleh.

" Oleh kerana 2008, rakyat sudah berubah. Ramai orang yang mengundi kita... tetapi oleh kerana penyelewengan, kemenangan kita itu nampak kecil kita menang (majoriti undi)," katanya.

Oleh itu katanya, segala bentuk perundangan hatta nama Yang di-Pertuan Agong akan digunakan bagi mengekang kemaraan rakyat kerana mereka tahu tuntutan yang dibawakan oleh Bersih 2.0 akan meranapkan impian mereka mempertahankan Putrajaya.

" Sekarang ini kalau kita berentap, memang berat sebelah kepada dia (Umno-BN). Sebab itu mereka tak mahu ikut Bersih, mereka akan bermasalah, mungkin mereka akan jatuh.

" (Trend pengundian) ini yang mereka takutkan sebab kalau tidak ada penyelewengan, mereka tidak akan lepas (menang pilihan raya). Sebab itu tuntutan Bersih yang sememangnya adil, tidak ada satu pun yang boleh dipertikaikan kepada sesiapa yang mahukan pilihan raya adil, inilah yang harus diikuti.. tetapi mereka tak mahu itu. Jadi kalau kata nak bertanding secara saksama, tapi tak mahu ikut cara yang betul macam mana?," kata Dr Nasir.
-tvsnews

Tiada ulasan:

Catat Ulasan