Selasa, 21 Jun 2011

NEGARA BERKEBAJIKAN [wacana politik]


PERTAMA : MAQASID SYARIAH DAN NEGARA KEBAJIKAN

Dalam “Maqasid hizf Al-Mal” [penjagaan harta], perkara yang ditekankan adalah dua perkara besar, iaitu At-Taawun (saling tolong menolong) dan Ar-Rifqah (kasih sayang)

Ia terkandung pada firman Allah;

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya;
“Tolong menolonglah kamu atas kebaikan dan ketaqwaan, dan jangan kamu tolong menolong atas dosa dan permusuhan. Takutilah kamu akan Allah. Sesungguhnya Allah adalah tuhan yang azabnya terlalu hebat”

[Al-Maidah : 2]

Juga sabda Nabi SAW;

الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمْ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا أَهْلَ الْأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Maksudnya;
“Orang yang saling berkasih sayang, akan disayangi tuhan yang maha penyayang. Kasih sayanglah akan ahli bumi, pasti kamu akan disayangi oleh mereka yang berada di langit” [Abu Daud : 4290]

Asas dua tujuan inilah, kita dapati pemerintahan Umar bin Abdul Aziz merupakan pemerintahan yang dipuji zaman berzaman. Di zaman itu diceritakan sukar untuk mendapati orang-orang yang layak menerima zakat, sehingga gabenor dari Azarbaijan telah menghantar surat kepada Khalifah Umar melaporkan kesukaran untuk berjumpa dengan rakyat yang layak menerima zakat.

Surat tersebut dibalas oleh Khalifah. Dalam surat terbabit, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengarahkan agar dicari anak muda yang ingin berkahwin, lalu diberikan kepada mereka wang zakat untuk meringankan beban mereka untuk berkahwin.

Kejayaan pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, bukan kejayaan melahirkan orang-orang kaya, tetapi pemerintahan itu berjaya melahirkan masyarakat yang mempunyai dua unsur ini (taawun dan rifqah). Dengan dua unsur ini, rakyat tidak sanggup menjadi golongan yang meminta, tetapi mereka mahu menjadi golongan yang memberi; menjadi tangan diatas berbanding tangan dibawah. Makanya mereka bekerja untuk menjadi masyarakat yang bekerja. 

Dengan dua unsur ini, mereka menjadi masyarakat yang berdikari. Makanya mereka bersaing secara positif, sehingga lahirnya inovasi yang kejayaan ini dikecapi oleh pihak kerajaan sendiri.

pemerintahan itu terjadi kerana model dan tauladan itu ditunjukkan sendiri oleh Umar bin Abdul Aziz dalam pemerintahan beliau. Bagaimana tindakan Umar bin Abdul Aziz yang membedakan antara pelita kerajaan dan pelita peribadi, tidak mengambil kesempatan kekayaan ketika memerintah, beliau menyekat kepentingan anak beranak dan kroni dari berkuasa dalam kerajaan dan banyak lagi.

KEDUA : NEGARA KEBAJIKAN – PERKEMBANGAN ISLAM

Jika diperhatikan kepada sirah, kita akan dapati perkembangan Islam itu mula bertapak di Madinah dan Makkah, bermulanya dengan factor kebajikan. Ulasannya adalah seperti berikut;

MADINAH

Rakyat madinah sedang berhadapan dengan dilema perang saudara; iaitu melibatkan antara Aus dan Khazraj. Peperangan yang berlanjutan ratusan tahun [ada riwayat kata 400 tahun, dan ada riwayat lain pula kata 140 tahun], menyebabkan rakyat Madinah sudah muak dengan keadaan yang berlaku. Keadaan ini menyebabkan rakyat mahukan alternatif.

Apabila As’ad bin Zurarah sebagai ketua kabilah Khazraj ketika itu telah ke Makkah untuk meminta bantuan kewangan dan ketenteraan dari kerajaan makkah dalam misi menyerang Kabilah Aus, ternyata hatinya terbuka untuk menerima Islam sebagai agama pegangan hidup, apabila terlihat sebatang tubuh yang bernama Muhammad SAW, dan mendengar ulasan nabi SAW dari firman Allah dari surah Al-An’am ayat 151 dan 152 sejurus melakukan tawaf Wida’ di Kaabah, iaitu setelah ‘frust’ tidak dapat bantuan dari Makkah menerusi lidah wakilnya yang bernama ‘Utbah bin Rabi’ah.

Firman Allah dari Surah Al-‘An’am itu adalah;

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ * وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya;
“Katakanlah: "Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan, Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar." Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya) * Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada sesorang melainkan sekedar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, kendatipun ia adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat”

[Al-An’am : 151-152]

Ucapan syahadah terus terpancul dari lidah As’ad bin Zurarah sejurus mendengar firman Allah ini, menandakan keislaman beliau. Ungkapan sastera yang maha indah disamping ajaran kehidupan menerusi Firman Allah SWT itu, ternyata melunakkan hatinya, malahan memujuk-mujuk dirinya agar mencadangkan kepada Nabi SAW supaya ke yasrib untuk menyelesaikan perbalahan antara Aus dan Khazraj dengan ajaran yang maha indah ini.

Nabi SAW menolak untuk hadir ke Yasrib pada tahun itu, tetapi bersedia ke sana di masa akan datang. Ternyata Nabi SAW dan para sahabat dari warganegara Makkah telah bertolak ke yasrib dalam peristiwa sejarah hijrah yang cukup bermakna, sehinggakan nama Yasrib yang dikenali, sudah berubah kepada Madinah Al-Munawwarah yang dicintai.

Dengan pulangnya As’ad ke Yasrib pada tahun itu, menyebabkan 12 orang telah memeluk islam. 12 orang ini telah mengadakan pertemuan bersama dengan Nabi SAW di musim haji dalam sejarah Perjanjian Aqabah, seterusnya berlaku pula perjanjian aqabah yang kedua yang sudah mencecah ratusan orang, lantaran terbukti penerimaan terhadap ajaran Nabi SAW itu amat memberansangkan. Ia tidak lain dan tidak bukan, kerana rakyat Yasrib sudah benci dengan kekacauan dalam negara, sehinggakan kehadiran ajaran islam yang membawa kehidupan ini mudah diterima.

FATH MAKKAH

Jika kita merenung jauh kepada kejayaan Nabi SAW membawa Islam dalam sejarah Sulh Al-Hudaibiyyah, kita akan mendapati betapa bijaknya Nabi SAW dalam berpolitik.

Dalam sirah, kita dapati Nabi SAW banyak ’mengalah’ ketika melakukan perjanjian Al-Hudaibiyyah, tetapi ternyata ’mengalah awal’ bukan bermakna kalah, sebaliknya ia merupakan kemenangan yang nyata selepas dari itu.

Ia sama seperti yang kita lihat dalam filem tamil dan hindi, sehingga ada orang melayu tua-tua dulu sering berkata, ”hero tamil memang kalah dulu”.

Pada tahun kedua selepas berlaku Sulh Al-Hudaibiyyah, baru Nabi SAW dan para sahabat dibenarkan oleh Quraish untuk melakukan ibadat di Kaabah. Dalam tahun kedua itulah, berlakulah sejarah Umrah Al-Qada’ [umrah Al-Qada’ ini dikenali juga dengan nama Umrah Qadiyyah, Umrah Qishash dan Umrah Sulh], tetapi keizinan menunaikan ibadat itu hanya selama 3 hari sahaja.

Namun begitu, dalam jangka terlalu pendek, Nabi SAW berjaya membina imej yang cukup baik di mata-mata rakyat makkah terhadap umat Islam yang ditarbiah oleh Nabi SAW.

Bermula dari kesetiaan terhadap perjanjian, yang bersuaian dengan sabda Nabi SAW;

الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ


Maksudnya;
”orang Islam itu disisi syarat-syarat [perjanjian] mereka [Abu Daud : 3120]

Juga, banyak tindakan yang membawa imej baik dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat, seperti mengerjakan solat dan menghilangkan sama sekali sikap meninggi diri, mana yang kuat akan membimbang yang lemah, mana yang kaya akan membantu yang miskin.

Rasulullah SAW sendiri dilihat seperti seorang bapa, yang mencintai dan dicintai. Baginda SAW dilihat sebagai seorang yang agak senang diajak ketawa dan bergurau, tanpa menafikan kebenaran ajaran Islam.

Keadaan ini berlanjutan, menjadi tontonan rakyat Makkah yang belum lagi beragama Islam. Mereka melihat keindahan suasana tersebut; seperti tidak ada minuman keras, tidak melakukan amalan maksiat, tidak mudah tergoda dengan makanan dan minuman dan mereka cukup tidak mudah terpedaya dengan pengaruh duniawi.

Lebih memberi kesan kepada jiwa rakyat Makkah yang tidak beragama islam lagi, apabila para sahabat yang hadir ke Makkah untuk menunaikan Umrah Al-Qada’ itu, dilihat cukup lunak dalam memberi pertolongan kepada orang-orang miskin dan para hamba yang tinggal di Makkah. Waima mereka tidak beragama Islam, tetapi bantuan dari para sahabat hulurkan kepada mereka, seperti sanggup himpun duit untuk membayar hutang bagi mereka yang berhutang dan sebagainya, cukup memberi kesan kepada jiwa rakyat Makkah secara menyeluruh.

Dengan imej baik inilah, menyebabkan nabi SAW dan para sahabat diterima oleh rakyat Makkah. Waima tindakan Nabi SAW itu dibenci oleh pimpinan Quraish yang kufur, tetapi kejayaan Nabi SAW menarik pengaruh dikalangan rakyat Makkah tidak boleh dinafikan lagi.

Ekoran itu, Nabi SAW berjaya mencipta satu gelombang rakyat yang cukup hebat; sehingga tidak dapat dinafikan lagi oleh pimpinan Makkah, iaitu apabila majoriti rakyat makkah sendiri telah menerima Nabi SAW dalam sejarah Fath Makkah [pembukaan kota Makkah].

KETIGA : NEGARA BERKEBAJIKAN DALAM AYAT 151-152 SURAH AL-AN’AM

Firman Allah;


قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ * وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya;
“Katakanlah: "Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan, Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar." Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya) * Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada sesorang melainkan sekedar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, kendatipun ia adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat”

[Al-An’am : 151-152]

Dari ayat ini, Allah SWT menyenaraikan kandungan berkebajikan anjuran Islam itu seperti berikut;

1- Tidak syirik kepada Allah [tonggak pemerintahan berasaskan kepada aqidah];
2- Buat baik kepada ibu bapa [akhlak];
3- Tidak bunuh anak kerana bimbang kepapaan [menyediakan bantuan kewangan kepada ibu bapa yang baru melahirkan anak, menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar yang tidak berkemampuan dll]
4- Tidak melakukan perkara dosa secara nyata dan tertutup [didikan akhlak berbentuk tauladan terhadap rakyat];
5- Tidak membunuh orang sesuka hati [member jaminan keselamatan rakyat];
6- Tidak mengkhianati harta anak-anak yatim [amanah dan akauntabiliti dalam pemerintahan];
7- Tidak tipu dalam timbangan [transparansi]
8- Adil dalam pemerintahan;
9- Menunaikan perintah-perintah Allah SWT.

Dari kesembilan perkara yang termaktub menerusi ayat ke 151 dan 152 dari surah Al-An’am ini, ia dirangkumkan kepada …. ;

1- Pemerintahan yang berpaksikan kepada ketaatan kepada Allah SWT;
2- Pemerintahan yang mempunyai kepimpinan yang berakhlak tinggi;
3- Pemerintahan yang beramanah; bertugas memberi kebahagiaan dan kesenangan hidup kepada rakyat, bukan pemerintah berniaga dengan rakyat;
4- Pemerintahan yang mempunyai cirri-ciri transparansi, akauntabiliti, adil dan telus sehingga diyakini rakyat;
5- Kerajaan yang menjamin keselamatan rakyat.

KEEMPAT: CABARAN DALAM KERAJAAN BERKEBAJIKAN

Dalam banyak Negara kebajikan di dunia, terdapat dua cabaran yang merupakan kelemahan dalam pemerintahan Negara kebajikan. Dua cabaran tersebut adalah;

1- Melahirkan rakyat yang malas bekerja;
2- Pengambilan cukai yang terlalu tinggi.

Menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam satu wawancara ilmiyyah yang bertajuk, “bagaimana Islam mengubat kemiskinan”, beliau menyatakan bahawa punca kemiskinan itu hendaklah dilihat dari dua faktor;

1- Faktor yang khusus, iaitu individu manusia itu sendiri.

Berhubungan dengan individu, seperti budaya malas dan mental miskin dan hanya mahu menerima tanpa mahu berusaha.

2- Faktor yang umum, iaitu berpunca dari negara.

Seperti pemerintahan Negara dipenuhi dengan penyelewengan harta Negara, rasuah, struktur sosial yang eksploitatif, menindas dan seumpamanya.

FAKTOR INDIVIDU

Kemiskinan berfaktorkan individu diambil penting oleh Islam. Ekoran itu, banyak nas-nas wahyu, sama ada al-quran atau hadis yang amat menekankan peri penting bekerja.

Islam menganjurkan umatnya menjadi pekerja yang rajin dan giat. Seperti perintah untuk bertebaran di muka mencari rezeki Allah.

Firman Allah;

وَابْتَغِ فِيمَا آَتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآَخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya;
"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan. "

[Al-Qasas : 77]

Firman Allah lagi;

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya;
"Apabila telah ditunaikan shalat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung. "

[Al-Jumuah : 10]

Begitujuga, Sabda Nabi SAW;

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَحْتَطِبَ عَلَى ظَهْرِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَأْتِيَ رَجُلًا أَعْطَاهُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ فَيَسْأَلَهُ أَعْطَاهُ أَوْ مَنَعَهُ

Maksudnya;
"Demi nyawaku di tangan-Nya, bahawa seseorang itu mengambil talinya untuk mengangkut kayu di belakangnya lebih baik baginya berbanding seseorang lelaki itu meminta-meminta" [Al-Bukhari : 1588]

Menurut Islam, bekerja bukan hanya untuk memuliakan diri, atau untuk menampakkan sisi kemanusiaan, tetapi juga sebagai manifestasi amal saleh, kerana ia memiliki nilai ibadah yang sangat luhur. Penghargaan hasil kerja dalam Islam kurang lebih setara dengan iman, bahkan bekerja dapat dijadikan jaminan atas ampunan dosa.

Sabda Nabi SAW;

من أمسى كالا من عمل يديه أمسى مغفورا له

Maksudnya;
“Barang siapa yang di waktu petang merasakan keletihan kerana bekerja dengan tangannya sendiri, maka di petang itulah ia diampuni dosa-dosanya,” [Al-Mukjam Al-Awsat : 7733]

FAKTOR NEGARA

Kemiskinan juga tidak boleh lepas berpunca dari konsentrasi kekuatan politik, birokrasi, dan ekonomi di satu tangan. Hal ini terlukis dalam kisah Fir’aun, Haman, dan Qarun yang bersekutu dalam menindas rakyat Mesir. 

Firman Allah; 

إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِي الْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَائِفَةً مِنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَاءَهُمْ وَيَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ إِنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan”

[Al-Qasas : 4]

PENYELESAIAN

Bagi menyelesaikan masalah kemiskinan, hendaklah kerajaan perlu melakukan perkara berikut;

DARI SUDUT KERAJAAN

Pertama; 

Sesebuah negara hendaklah diperintah oleh oleh yang bijak mengurus kewangan negara. Kebijaksanaan dalam mengurus kewangan negara ini, termasuk bijak mencari kemasukan kewangan negara dan pandai dalam mengawal pengeluaran dana kerajaan agar ia sampai kepada mereka yang berhak dan tidak boros dalam perbelanjaan.

Dengan kebijaksanaan ini, ia dapat melahirkan keuntungan pada negara, dan seterusnya dengan kebijaksanaan itu kewangan negara itu dapat membantu kepada golongan miskin.

Firman Allah;

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا قَالُوا أَنَّى يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِنَ الْمَالِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya;
“Nabi mereka mengatakan kepada mereka: "Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi rajamu." Mereka menjawab: "Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang diapun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?" Nabi (mereka) berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa." Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.”

[Al-Baqarah : 247]

Kelayakkan yang ada pada Talut menjadi raja adalah kerana dia mempunyai dua perkara penting, iaitu keluasan ilmu, dan tubuh badan yang sihat. Dengan keluasan ilmu, beliau berjaya mengalahkan raja Jalut yang zalim dan menindas.

Maka begitujuga dalam mengurus kewangan negara. Ia memerlukan pemimpin yang bijak dalam pengurusan ekonomi.

Kedua:

Pemimpin negara, hendaklah dari kalangan orang yang mempunyai integriti dan amanah, seperti tidak rasuah. Dalam Al-Quran, diceritakan bahawa Nabi Yusuf AS pernah meminta jawatan kementerian kewangan, kerana berfaktorkan amanah yang wujud pada diri beliau.

Firman Allah;

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الْأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Maksudnya;
"Berkata (Yusuf) lantiklah aku sebagai “menteri kewangan”, kerana aku seorang yang sangat penjaga (Amanah) dan mengetahui (selok belok ekonomi)”

[Yusuf : 55]

Ketiga;

Kerajaan tersebut mempunyai kemampuan untuk mengagihkan hasil mahsul negara kepada rakyat dengan tepat. Pemberian hak kepada mereka yang berhak.

Sabda Nabi SAW;

فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya;
“Berikan kepada setiap orang yang berhak akan haknya” [Al-Bukhari : 1832]

Tentang pembahagian kekayaan hasil mahsul negara ini (seperti pembalakan dan minyak), ia telah dinyatakan oleh Allah SWT. 

Firman Allah;

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
“Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya perbendaharaan negara tidak beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu”

[Al-Hasyr : 7]

DARI SUDUT RAKYAT

Dari sudut rakyat pula, perlu dilakukan perkara-perkara berikut;

Pertama;

Rakyat perlu digalakkan supaya rajin bekerja. Disamping pihak kerajaan berusaha dengan bersungguh-sungguh menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.

Nabi SAW sebagai pemimpin negara, ada bersabda;

إِنَّ مِنْ أَطْيَبِ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ

Maksudnya;
"Sesungguhnya sebaik-baik makanan yang dimakan oleh seseorang itu adalah yang terhasil dari usaha tangannya sendiri" [Abu Daud : 3016]

Dan lagi, Sabda Nabi SAW;

مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ

Maksudnya;
"makanan yang terbaik dimakan oleh seseorang itu adalah makanan dari hasil tangannya. Sesungguhnya Nabi Daud makan makanan yang terhasil dari usaha tangannya sendiri" [al-Bukhari : 1930]

Kedua;

Pengurusan zakat yang berkesan. Apabila pengurusan berkesan, ia dapat menyelesaikan orang miskin.

Firman Allah;

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya;
"Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

[At-Taubah : 60]

Ketiga;

Kerajaan menyediakan “alat mengail ikan berbanding memberi ikan”. Ini dilihat kepada kisah Abdur rahman bin Auf yang disifatkan sebagai orang yang terkaya di Zaman Nabi Muhammad SAW. Semasa beliau berhijrah ke Madinah, seorang lelaki Ansar bernama Saad bin Rabi’ telah menawarkan beliau sebuah kebun, tetapi beliau menolak. Sebaliknya beliau meminta agar ditunjukkan pasar untuk beliau berniaga. [Siyar Al-‘Alam Wa An-Nubala : 1/76]

Keempat;

Memperkasakan institusi Faraid dan ar-Rahn. 

Sabda Nabi SAW;

إِنَّكَ أَنْ تَذَرَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَذَرَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ

Maksudnya;
"sesungguhnya kamu meninggalkan para waris kamu dalam keadaan kaya lebih baik berbanding kamu tinggalkan mereka dalam keadaan miskin yang meminta-minta kepada manusia" [Al-Bukhari : 1213]

Kelima:

Menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada rakyat. Pendidikan yang boleh melahirkan pemikiran inovasi untuk rakyat agar mereka mampu melahirkan reka cipta terbaru untuk masa akan datang.

Pernah satu hari Nabi Muhammad SAW melalui di satu kawasan yang dikala itu ada sebilangan sahabat sedang mengahwinkan antara satu pokok dengan pokok yang lain, bagi menghasilkan penghasilan yang baik.

Melihat keadaan itu, Nabi SAW berkata;

أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ

Maksudnya;
“Kamu lebih mengetahui terhadap urusan dunia kamu” [Muslim : 4358]

Mendapatkan pemikiran yang inovasi ini, tidak tertumpu belajar dari orang Islam sahaja. Malahan tidak menjadi satu kesalahan jika dipelajari dari orang bukan islam sama. 

Umar bin Al-Khattab pernah berkata;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ! تَمَسَّكُوا بِدِيوَانِ شِعْرِكُمْ في جاهليتكم؛ فإن فيه تفسير كتابكم

Maksudnya;
“Wahai Manusia, berpeganglah kamu dengan diwan syair kamu semasa zaman jahiliyyah kamu dahulu. Ini kerana, padanya dapat membantu kamu memahami tafsiran kitab kamu (Al-Quran)” [Al-Muwafaqat : 1/58]

KELIMA : KESIMPULAN

Apabila pemerintahan itu berkebajikan, masalah kemiskinan berjaya dikurangkan. Masalah malas bekerja, berjaya dihapuskan sekiranya pemerintahan itu melakukan dua perkara kepada rakyatnya, iaitu;

Pertama;

Mendidik rakyat agar berdikari dalam mencapai kemajuan dalam perekonomian mereka. Ini dilihat kepada kisah Abdur rahman bin Auf yang disifatkan sebagai orang yang terkaya di Zaman Nabi Muhammad SAW. Semasa beliau berhijrah ke Madinah, seorang lelaki Ansar bernama Saad bin Rabi’ telah menawarkan beliau sebuah kebun, tetapi beliau menolak. Sebaliknya beliau meminta agar ditunjukkan pasar untuk beliau berniaga. [Siyar Al-‘Alam Wa An-Nubala : 1/76]

Kedua;

Rakyat dididik agar menjadi bangsa yang mampu bersaingan sihat sesama mereka. Budaya bersaing ini amat digalakkan oleh Islam. 

Firman Allah SWT;

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya;
“Maka berlomba-lombalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”

[Al-Baqarah : 148]

Apabila rakyat sudah bersaing sesame mereka, ia akan melahirkan kemampuan untuk berinovasi. Apabila mereka berinovasi, tidak hairan mereka akan berjaya menyaingi bangsa lain dalam ekonomi. Dari situ, usaha hendak mengurangkan kemiskinan mampu berjaya diatasi.

Adapun dari sudut ketinggian cukai, ia juga dapat diatasi kerana memperkasakan badan-badan kewangan rakyat, seperti memperkasakan lembaga zakat, memperkasakan institusi faraid dan Rahn [pajak gadai] dan sebagainya. 

Sekian

Wallahu ‘Alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan