Rabu, 13 Julai 2011

BERSIH 2.0 - Laman Liow Tiong Lai dibanjiri cemuhan [video]


Laman Liow Tiong Lai dibanjiri cemuhan

Semalam, Timbalan Presiden MCA, Liow Tiong Lai yang menafikan "gas pemedih mata ditembak ke dalam perkarangan hospital Tung Shin", kini merasai "malapetaka" yang disebabkan kenyataan beliau. Malah, warga internet membanjiri laman diri-nya dengan cemuhan, kritikan, maki hamun, mendesak beliau menjawab setelah ditampalkan gambar, klip video yang jelas menunjukkan gas pemedih mata ditembak ke dalam perkarangan hospital.

Liow Tiong Lai mempertahankan tindakan polis, bahawa tiada gas pemedih mata yang ditembak ke dalam hospital, menyebut kemungkinan ia ditiup angin ke dalam kawasan itu, dalam satu sidang media semalam. Malah, apabila diminta untuk mengulas tindakan anggota polis menyerbu ke dalam hospital untuk menangkap orang, beliau berkata polis membawa peserta demonstrasi yang tercedera untuk dirawat di hospital.

Kenyataan ini mengundang kemarahan dari warga internet, yang berada di tempat kejadian semasa FRU menyuraikan peserta demonstrasi. Malah, Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor mengeluarkan kenyataan semalam, dengan tajuk "Berbohong bukan budaya kita", menuntut Ketua Polis Negara memohon maaf secara terbuka, kerana gambar dan klip video yang dirakam jelas menunjukkan gas pemedih mata ditembak ke dalam perkarangan hospital.

Sebelum ini, lebih 10,000 warga internet menyokong satu page memboikot China Press, kerana membubuh tajuk pada muka surat depan di akhbar tersebut, yang ditafsirkan sebagai "mempersalahkan peserta perhimpunan kerana kekecohan yang berlaku". Ramai warga internet kaum Cina yang turun ke jalan raya kali ini, menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana kekerasan digunakan polis untuk menyuraikan perhimpunan aman BERSIH 2.0.
Merdeka Review

Tiada ulasan:

Catat Ulasan