Jumaat, 29 Julai 2011

Komentar : Latah Wan Ahmad dan SPR

Melatah itu dikatakan hanya ada pada orang Melayu, sebagaimana amok yang menjadikan budayanya unik.

Sifat-sifat kemelayuan itu turut berlaku dalam dunia moden hari ini, termasuk dalam satu acara dialog di antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diwakili oleh Timbalan Pengarahnya Wan Ahmad Wan Omar (gambar  kiri, tengah, Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreevenasan (gambar kiri, kiri) dan Prof Shamsul Amri Baharuddin (gambar kiri, kanan) dari UKM, yang telah berlangsung baru-baru ini.

Latah Wan Ahmad tidaklah seperti mana yang biasa dikaitkan dengan seorang nenek atau datuk yang diusik oleh anak atau cucunya.

Sebaliknya melatah versi SPR ini adalah dengan bentuk terlepas cakap, tersasul atau "kantoi" dengan menyebut antaranya "Barisan Nasional tak hentam SPR", ketika membezakan layanan SPR terhadap BERSIH 2.0, Pakatan Rakyat dan BN.

Lawak seram

Begitu juga ayat susunan Wan Ahmad, "kita (SPR) memang ada hubungan yang baik dengan Bukit Aman", ketika beliau cuba menggambarkan sistem pengurusan SPR yang dianggap cekap dan lengkap termasuk hubungan "istimewa"-nya dengan Polis Diraja Malaysia.

Selepas tersasul menyebut ayat-ayat ini, hadirin dalam dialog yang diadakan di Shah Alam pada Selasa lalu dapat melihat perubahan air muka beliau yang semacam tersedar akan kata-katanya.  Dan, beliau mula mengambil masa untuk "melarikan" topik itu.  Lucu sungguh!

Latah secara spontan ini, secara tidak langsung telah memberi gambaran sebenar kepada penonton "debat" yang menyaksikannya melalui siaran langsung TV internet dan kita sendiri bahawa itulah realiti bawah-sedar yang terjadi selama ini kepada pihak SPR.

Bagaimana kita menerima dan memahaminya?

Selain melatah dengan "bertandak", biasanya sindrom ini akan diikuti dengan sebutan kata-kata yang diucap tanpa dikawal oleh individu tersebut.  Kadang kala bunyinya mencarut, kadangkala pula tersebut perkara "rahsia".

Bagi individu yang berkedudukan penting seperti Wan Ahmad ini, pastilah ia menjadi tragedi seram baginya dan SPR sendiri.  Bagi yang mahu kepada pilihan raya yang bebas, bersih dan adil, ia tidak ubah seperti menonton satu lawak seram.

Bagaimana ianya berlaku?

Melihat pada suhu dialog pada ketika itu, kedudukan Timbalan Pengerusi SPR itu semasa sedang berdebat dengan Ambiga dan juga menghadapi persoalan daripada hadirin, beliau berada dalam keadaan amat defensif.  Malah sedang berada dalam tekanan kesan dari asakan bertubi-tubi yang datang dari mood hadirin pada masa itu.

Kita memahami tekanan yang dialaminya tetapi tidak pula menyangka beliau akan "kantoi" menyebut perkara-perkara seperti itu.
"Itu kerja kerani"

Salah seorang penonton bertanya kepada Wan Ahmad, soalannya amat objektif, jelas dan dengan membawa bukti tentang kelemahan sistem SPR iaitu bagaimana seorang polis dengan dua kad pengenalan (kad pengenalan polis dan kad pengenalan awam) telah menggunakan kedua-dua kad pengenalannya itu untuk mengundi dua kali di dua tempat yang berlainan.

Jawapan yang paling baik dari Wan Ahmad (gambar kiri) adalah, "Itu kerja kerani, bukan kerja orang di peringkat kami (pegawai atasan)".

Keangkuhan beliau telah menjengkelkan hati para audiens yang mendengarnya.

Rumusannya, beliau telah memberi persepsi yang lekeh tentang SPR kepada orang awam.

Emosi

Satu lagi perkara yang paling terkesan sewaktu dialog itu ialah apabila kita dapat lihat dan dengar dengan jelas bagaimana orang UMNO turut melatah, khususnya apabila mendengar penjelasan dari pihak Ambiga.

Seorang peguam UMNO di majlis itu bangkit dengan niat untuk bertanya, tetapi telah bertukar menjadi ulasan penuh perasaan, emosi dan kemarahan.

Ironis sekali seorang yang berkerjaya sebagai peguam gagal mengawal emosi, lebih-lebih lagi dalam acara awam.  Malah beliau menjerit-jerit sedangkan ia cuma mahu menyatakan pendapatnya.

Adakah ini pun sudah menjadi budaya Melayu atau mungkin sekadar budaya Melayu yang khusus untuk orang UMNO sahaja?

Keadaan emosi lebih terserlah apabila ahli akademik Wong Chin Huat (gambar kanan) yang juga salah seorang ahli jawatankuasa BERSIH 2.0 yang dijemput oleh moderator Wan Saiful Wan Jan untuk memberi sedikit penerangan tentang proses pilihan raya di Malaysia.

Wong memaparkan kepada hadirin beberapa hasil kajiannya tentang apa yang telah dan sedang berlaku dalam sistem pilihanraya kita.

Sebaliknya huraian beliau yang penuh dengan fakta dan maklumat disambut oleh sesetengah hadirin dengan jeritan kata-kata "Sudahlah sudahlah! Tak kena tempat" untuk memaksanya berhenti dari memberi penerangan.

Agak pelik bagi kita kerana acara ini diadakan untuk semua pihak berbincang dan menjelaskan tentang keadaan sebenar menerusi pelbagai fakta dan bukti sebagai sandaran untuk berhujah, tetapi sesetengah hadirian tidak mahu kepada fakta dan maklumat berkenaan.

Adakah audiens yang rata-ratanya Melayu itu tidak mahu atau tidak mampu menggarap fakta dan maklumat?

Kalau itu hendak dikatakan budaya Melayu, bagaimana pula tradisi Melayu ada pepatah yang mengatakan, ikut rasa binasa ikut hati mati.

Budaya yang matang

Usaha murni Sinar Harian dan Karangkraf dalam membudayakan wacana ilmiah menerusi dialog dan perbincangan seperti itu amatlah baik dan wajar dicontohi oleh akhbar lain khususnya Utusan Malaysia yang menjaja dirinya sebagai lidah rasmi UMNO.

Kita yakin, jika media cetak di negara kita bergerak atas pasaran yang terbuka, sudah pasti akhbar Sinar Harian ini akan menjadi akhbar yang paling digemari, laris dan paling berpengaruh berbanding Utusan dan Berita Harian.

Pada masa yang sama, mungkin sesetengah hadirin yang datang dengan jerit dan jerkah itu tidak perlu dimarah atau dikecam sangat kerana ada antara mereka begitu baru dengan budaya keterbukaan.

Lagi pun mungkin sesetengah mereka menyangka menjerit dan memaki-hamun itu tidak ada salahnya kerana kadang-kadang itu yang diperlihatkan dalam sidang Dewan Rakyat.  Maklumlah Ahli-Ahli Parlimen tidak diberi peruntukan kewangan untuk membolehkan mereka mempunyai pengkaji dan penyelidik.

Jadi perbahasan di Dewan Rakyat kadang-kalanya tidak berilmiah sama sekali dan hampir sama dengan kanak-kanak bergaduh berebut guli.

Rakyat bertatih mengenali demokrasi

Justeru itu, beberapa hadirin di dialog Selasa lalu mungkin baru hendak mula meraikan ruang demokrasi ini.  Anggaplah ia sekadar anak-anak yang sedang bertatih mahu berjalan.

Lama-kelamaan, sifat keanak-anakan ini akan hilang bila mereka telah memahami etika menghadiri majlis ilmu.

Ini juga menjadi bukti, bagaimana Utusan dan agensi-agensi kerajaan yang selama ini memerintah dengan agenda tutup minda telah membungkam acara-acara ilmiah dan terbuka di dalam masyarakat.

Kerana itu, masih ada kelompok di kalangan masyarakat kita, walau pun bertaraf profesional, amat mudah melatah dan penuh emosi.

Begitu juga dengan kegigihan Wan Ahmad menangkis dan membalas hujah yang harus dipuji.  Sekurang-kurangnya beliau hadir di majlis itu dan tidak lari dari berdepan dengan rakyat.

Kita tahu bahawa tangannya terikat dan lidahnya kelu untuk menyatakan kebenaran kerana budaya pemerintahan UMNO-BN tidak menggalakkan penyebaran dan perkongsian kebenaran fakta dan maklumat.

Atas sebab itu juga kita perlu sedar bahawa pentingnya negara mempunyai pembangkang yang kuat, dalam contoh ini, Pakatan Rakyat dan kumpulan-kumpulan masyarakat madani seperti BERSIH, untuk memastikan kerajaan tidak boleh bersembunyi dengan kebejatan mereka.

Hanya dengan desakan Pakatan Rakyat dan BERSIH, maka budaya wacana yang bebas dan terbuka dapat tumbuh dan hidup subur.  Bukankah ianya baik untuk kita semua?

*Tulisan ini dipetik dari
Roketkini.com.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan