Isnin, 4 Julai 2011

PAS Akan Mengadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong - Nyatakan Hasrat Rakyat Berhubung Tuntutan BERSIH



KUALA TERENGGANU - PAS mengambil keputusan untuk mengadap Seri Paduka Yang DiPertuan Agung bagi mempersembahkan hasrat rakyat berhubung tuntutan BERSIH bagi membaik pulih demokrasi dan sistem pilihanraya negara ini.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya dihadapan puluhan ribu hadirin dalam ceramah umum 'PAS Ganti Umno' (PGU) yang diadakan di Ladang dekat sini, semalam 3 Julai.


"Hadirin sekelian, sekarang kita dengar hasutan itu, hasutan ini, keadaan kita tengok sini kena tangkap, sana kena tangkap,

"maka kami (PAS Pusat) memutuskan telah hantar berita awal, iaitu (Dato' Seri) Tuan Guru Abdul Hadi Awang, saya, Dr. Syed Azman (dan) mungkin dicadang beberapa orang (pemimpin) akan mengadap Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung (SPBYDPA),"ujarnya disambut dengan laungan takbir oleh para hadirin.

Menurutnya, rombongan dari PAS itu akan mengadap dalam masa yang terdekat.

Beliau berkata, pandangan SPBYDPA, sebagaimana titah baginda yang dikeluarkan pada hari ini adalah amat baik.

"(Baginda) minta jaga ketenteraman awam, menjaga keselamatan rakyat, dan jangan menimbulkan sebarang kerosakkan harta benda dan keamanan,

"inilah Raja Berperlembagaan, yang betul-betul menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut yang ada sekarang ini,"jelasnya.

Katanya, permohonan awal dari PAS telah pun dihantar kepada pihak SPBYDPA dan maklum balas akan diketahui samada esok atau lusa.

Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengeluarkan titah baginda setelah berlaku penangkapan beramai-ramai rakyat yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional berkait dengan perhimpunan BERSIH 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai depan.

Berikut adalah teks titah penuh baginda yang dikeluarkan semalam 3 Julai.

TEKS PENUH TITAH YANG DIPERTUAN AGUNG

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

Sebelum itu, Haji Mohamad Sabu telah menghuraikan satu persatu tuntutan lapan perkara BERSIH 2.0 sebagaimana dibawah;

Lapan tuntutan dikemukakan untuk tujuan tersebut iaitu:-

Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0

1. Bersihkan senarai undi

• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos

• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam

Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya :

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor

BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Turut hadir dan menyampaikan ucapan dalam ceramah mega diatas adalah YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Pesuruhjaya PAS Terengganu serta Azan Ismail, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Terengganu.

Semua Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Terengganu juga turut bersama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan