Isnin, 8 Ogos 2011

Kes Fitnah Liwat II : Mahkamah Benarkan PM, Rosmah Ditemubual

KUALA LUMPUR 8 OGOS: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isteri Rosmah Mansor dan 13 yang lain dipanggil menjadi saksi dalam kes fitnah liwat II ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika membacakan keputusan itu Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menyatakan pihak pendakwaraya harus memastikan saksi yang dicadangkan hadir ke mahkamah.
"Apabila pendakwaraya menawarkan saksi kepada pihak pembelaan, adalah menjadi tanggungjawab pendakwa untuk memastikan saksi hadir ke mahkamah.
"Pihak pembelaan mempunyai hak untuk menemuramah saksi," kata Zabidin.
Sebelum ini kesemua mereka enggan ditemuramah peguambela lalu menyatakan hanya akan hadir sekiranya mahkamah mengemukakan sepina.
Sementara itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memohon tempoh seminggu untuk pihak pendakwaan mengaturkan sesi temuramah berkenaan kerana dua daripada saksi kini berada di Indonesia.
Zabidin kemudiannya bersetuju menangguhkan perbicaraan kepada 15 Ogos depan.

Selain Najib dan Rosmah, 13 lain yang akan dipanggil termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Mohd Rodwan Mohd Yusof.
Terdahulu empat individu ini memberitahu sedia memberi keterangan di mahkamah dalam kes fitnah liwat ke atas Anwar sekiranya pihak pembelaan mensepina nama mereka sebagai saksi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Yusof sebelum ini.
“Menurut afidavit DPP Mohd Hanafiah (Zakaria), mereka (4 saksi itu) enggan datang kerana mereka bukan saksi utama.
“Justeru, mereka hanya akan datang ke mahkamah jika disepina sebagai saksi”, katanya.
Beliau berkata demikian menjawab hujah peguam Anwar, Karpal Singh bahawa pihak pendakwaan sepatutnya membawa saksi berkenaan ke mahkamah untuk di temubual oleh pihak pembelaan berikutan nama-nama itu yang ditawarkan kepada pihak pembelaan.

Karpal berkata pasukan pembelaan sepatutnya diberikan hak untuk menemu bual mereka sepertimana ketetapan undang-undang.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menetapkan hari ini iaitu 8 Ogos untuk memutuskan sama ada permohonan Anwar memanggil 15 orang saksi termasuk Najib dan Rosmah untuk dibawa ke mahkamah bagi ditemubual, dibenarkan atau sebaliknya.
Ketua Pembangkang itu juga mahu menemubual 10 saksi alibi sebelum beliau memberikan keterangan.
Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemubual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan yang dijadualkan dari 8 hingga 26 Ogos

Tiada ulasan:

Catat Ulasan