Rabu, 24 Ogos 2011

Nazri Aziz hina parlimen

Tindakan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang berdolak-dalik dalam isu penubuhan jawatankuasa terpilih parlimen bagi sistem pilihan raya disifatkan sebagai menghina Parlimen.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (gambar) mengenai perkara itu adalah satu penghinaan.

“Semua pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Suruhanjaya Pilihan Raya, mengakui wujudnya kelemahan dalam pilihan raya," katanya.

Beliau mengkritik Najib kerana mengisytiharkan bahawa kerajaan tidak terikat dengan mesyuarat jawatankuasa itu, dalam menentukan tarikh pilihan raya.

“Jika mereka membentuk suatu jawatankuasa, yang menjadi sebahagian daripada Parlimen, mereka harus menyelesaikannya mengikut proses Parlimen. Jika tidak, mengapa perlu mensia-siakan usaha itu,” katanya di Pejabat Agung Pas, semalam.

Mahfuz, yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sikap Nazri ketika mengumumkan komposisi jawatankuasa berkenaan dan menuntut supaya seorang menteri mengetuainya, terang-terang mengabaikan hak dan keistimewaan Parlimen.

“Tindakan Nazri itu seolah-olah membuat keputusan dengan mendahului Parlimen,” katanya yang merujuk kepada lantikan pengerusi dan bilangan wakil untuk pembangkang dalam jawatankuasa terbabit.

Menurut Mahfuz, pembentukan suruhanjaya diraja adalah lebih baik kerana melibatkan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Jika melibatkan pindaan perlembagaan dalam memastikan pembaharuan pilihan raya, banyak pihak boleh mengemukakan pandangan terbaik. Jawatankuasa itu hanya terhad kepada ahli parlimen,” katanya.

Sebelum itu, PR mendesak kerajaan menubuhkan inkuiri awam dan seterusnya suruhanjaya diraja untuk menuntut pembaharuan dalam pilihan raya. -SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan